SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, October 28, 2009

ABDILLAH SM - TEATER SEJUTA MAKNA - Muzikal Monolog Bukan Bunuh Diri





MUZIKAL MONOLOG

BUKAN BUNUIH DIRI



Pentas

Saya pernah berlakon teater. Tapi pengalaman saya mengarah teater dan dramatari jauh lebih banyak kalinya daripada saya bertindak sebagai pelakon. Kalau dihitung secara menyeluruh jumlah penglibatan saya ternyata angka itu tidaklah dapat diterimakira sebagai satu kesungguhan yang dapat membantu perkembangan teater tempatan secara serius.


Zachariah Abdulmanan
pengarah & pelakon teater,
deklamator
dan pulukis


Saya pernah terpilih sebagai pelakon terbaik tahun 1984 dalam ‘Jangan Bunuh Rama-Rama’ skrip Nordin Hasan. Pernah memenangi tempat kedua pada sebuah festival teater tempatan apabila mementaskan sebuah skrip drama karya saya sendiri berciri teater monolog berjudul ‘Kupu-Kupu Putih’. Saya pernah mengarah beberapa buah persembahan muzikal seperti ‘Who Shall Separate Us’, ‘Melting Moment’ dan ‘Tugau’ yang melibatkan ramai pelaku.



Mizan Daud Sulaiman
orang baru penuh minat

Saya pernah berlakon di bawah arahan Esmawy Hj Husly, Zaini Ozea, Nurjayadi Jasan, Glen Walford dan Raphael Scot Ahbeng. Saya pernah melihat Saniah Zainuddin, Awang Kelana, AB Nor, Hajah Saptuyah Bolhi juga Zakaria Hassan mengarah pelakon mereka semasa sesi latihan. Baru-baru ini saya sempat melihat hampir setiap sesi latihan sebuah drama monolog arahan Zacharia Abdulmanan.


Mizan
ditangani pengarah


Semua pengalaman ini saya cuba kaji semula walaupun antaranya berlaku hampir tiga puluh tahun yang lalu. Pada akhir renungan, saya berpendapat bahawa perbezaan cara mengendalikan sesi latihan itu sebenarnya memberi impak yang besar kepada kejayaan sesuatu persembahan kemudiannya. Hangat dingin cara arahan itu perkara biasa tetapi ilmu dalam bidang teater itulah yang menggariskan perbezaan estetik masing-masing produksi yang kita sebagai penonton nikmati di pentas. Andaiannya ialah seperti menyaksi perkembangan ladang-ladang tani yang diusahakan oleh barisan peladang yang mempunyai pelbagai tingkat upaya kerajinan dan ilmu pertanian. Demikian akan tercitra imej dan mutu yang semestinya berbeza-beza antara satu ladang dengan yang lain.



Mizan
bermonolog


Mengimbau waktu, tiga minggu yang lalu saya telah dipesonakan oleh persembahan orkestra kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak di mana masa latihannya saya maklumi relatif singkat tetapi hasilnya bermutu. Saya pernah menulis tentang persembahan OrPes – Orkestra Pelajaran Sarawak ini di blog yang sama dengan memberi pandangan peribadi saya bahawa dalam kejayaan itu ilmulah yang memainkan peranan yang penting. Tanpa bimbingan ikhlas berasaskan ilmu sebuah projek pementasan seni sehebat yang melibatkan arahan bercabang-cabang sepertinya tidak akan jaya mencapai tujuannya dalam masa latihan sesingkat satu minggu itu.




Wasiat
pesan demi pesan disampaikan

Ilmu sebagai asas kepada pencerahan kebijaksanaan kreatif dalam konteks pementasan sebuah teater tidak semudahnya ditolak ke tepi. Dalam usaha menggapai kecemerlangan itulah maka terjadi kemudiannya peringkatan pelbagai mutu pada senarai panjang produksi. Fenomena ini begitu terserlah lebih-lebih lagi dalam pertarungan merebut kejuaran dalam sesebuah festival teater. Pada peringkat menentukan juara, ilmu masih juga berdiri teguh sebagai pemangkin dasar kearifan penghakiman berjuri.



"bang dil, biarkan mereka berpesta
mertabat dunia, saya redha martabat jiwa
"

Dalam masa kurang sedikit dua puluh jam ( 6 kali / 6 hari ) latihan, saya telah menyaksi Zacharia Abdulmanan mengarah drama ‘Jangan Bunuh Diri’ karya Dinsman. Pelakon Mizan Daud Sulaiman, orang baru tetapi setakat yang saya perhatikan jelas punya minat dan ketekunan yang luar biasa. Kesediaan Mizan cuba memeran karektor dalam drama monolog ini telah dijawab pasti oleh Zacharia Abdulmanan dengan kesanggupannya mengarah. Dan itulah juga untuk pertama kalinya saya melihat Zacharia Abdulmanan mengarah.


Setelah dimenung
direalisasikan

Kalau bukan kerana beberapa sebab menghalang sepatutnya saya sudah jenuh menyaksi sesi latihan teater ‘Wangi Jadi Saksi’ di mana Zacharia Abdulmanan adalah salah seorang pelakonnya. Walaupun dia bukan pengarah ‘Wangi Jadi Saksi’, saya percaya magis teaternya sudah pasti terpalit juga pada citra produksi itu. Mungkin saja ‘Wangi Jadi Sakti’ itu sebuah persembahan teater perse maka jodoh saya waktu itu bukan ke sana. Namun kali ini peluang menyaksi sesi latihan teater ‘Bukan Bunuh Diri’ saya sentap hingga ke akhirnya. Ini sebuah pengalaman baru bagi saya kerana teater ini sudahlah sifatnya monolog tetapi dengan berani Zacharia Abdulmanan menguji diri dan pelakonnya mencuba sebuah genre yang amat mencabar ini. Paling tidak untuk pentas teater tempatan – sebuah semi muzikal bukan cubaan calang-calang.


‘Bukan Bunuh Diri’ dipertarungkan pada Festival Teater Malaysia peringkat negeri Sarawak pada 27 Okt 2009, Auditorium P Ramlee, RTM Kuching jam 10.00 pagi. Wow! Saya bagaikan dikejutkan dari sebuah festival mimpi pada tamat pementasan. Tidak puas. Nak lagi. Please, give me some more. Tidak terasa masa empat-puluh tiga minit berlalu melihat kesenian teater yang jaya menipu saya lewat ilusi pentas teater sejuta makna! Menitis airmata saya sehabis persembahan; mengenang sinonim kehidupan si Adam dan diri saya sendiri yang terlibat hingga ke usia tua ini dengan muzik dan sastera. Ha ha ha.


Jaya mendakap kejuaraan di pertarungan sengit yang sering dihadapi oleh peserta festival teater sepertinya bagi saya peribadi sudah tidak begitu penting lagi kerana dasar tujuan penyebaran sudah terlaksana. Kesungguhan proses penyebaran ilmu itulah bagi saya puncak kepada usaha menanam benih kesenian permainan pentas.


Nah! Ini dia muzikal monolog ‘Jangan Bunuh Diri’, sehidangan santapan sedap yang saya tunggu-tunggu selama ini. Cubaan ini bukan sebuah cabaran yang ringan. Sudah pasti seorang pendatang baru seperti Mizan harus telah mendapat bimbingan ilmu yang paling tidak bisa membekalkannya dengan keyakinan yang punya impak yang kuat apabila segalanya terjadi dalam masa ghairah begitu mendesak ke minggu-minggu terakhir persediaan ke festival teater 2009. Sedang pula sumber ilmu datang bergolek! Kalau kesempatan seperti itu terjadi pada titik sekitar tiga puluh tahun yang lampau pasti akan saya jolok habis-habisan.


Zacharia Abdulmanan bukan calang-calang pengarah teater di samping kesohorannya dalam bidang deklamasi puisi. Beliau juga penulis dan mungkin tidak ramai yang tahu bahawa beliau adalah juga seorang pelukis. Wow! Ini dia sebutir permata dunia seni Sarawak Darulhana. Diserah permata ini pada seorang pandai emas akan terserlah sebuah karya agung barangan kemas.



Trans
cari jalan selamat kalau ilham tiba-tiba jelma
pada masa kritikal


Zacharia Abdulmanan seorang aktivis yang sudah lama berlumur lumpur dalam usaha menegakkan eksistensi diri di wadah seni pementasan teater tempatan; sebagai pelakon dan pengarah. Mahagurunya seorang yang terbilang dalam bidang seni pementasan – allahyarham WS Rendra. Semasa berguru di negara jiran, Indonesia, beliau adalah wartawan pada sebuah akhbar. Akibat pemergian tanpa sepenuh restu majikan beliau tidak bergaji selama berperguruan di sana.


Segala kesukaran itu harus sudah dapat diselesaikan dengan bijaksana kiranya pihak berwewenang majikan punya budibicara yang mulia menghargai kepentingan ilmu dalam melestarikan perkembangan seni tempatan. Demikian perit situasi yang beliau harungi namun kesabaran dan kesungguhan telah memberinya kelebihan ilmu yang kemudian disumbangkannya kembali dengan ikhlas berbudi untuk perkembangan seni teater bumi kelahirannya. Ilmu yang dibawa pulang kemudian telah dikungsi dan disuguhkannya penuh keihklasan dan tanggungjawab pada rakan dan adik-adik yang punya minat di bidang ini.


Relaks
secawan teh ais lemon dan tiga gelung donut

Zacharia Abdulmanan seorang aktivis tepu nilai kesenimanan. Kerana cintanya terhadap kesenian pentas teater ia dengan rela memikul beban tambahan tanggungjawab di pundaknya selain tekanan masa dan kewangan mengurus kehidupan berkeluarga yang menagih kesabaran yang jitu. Itulah apabila saya memerhati pada catatan kegiatan teater tempatan kita untuk dua dekad yang lalu dengan teliti dan saksama saya temui beberapa aktiviti yang melibatkan perbelanjaan wang kerajaan beratus ribu ringgit Malaysia.


Sila perbetulkan amalan yang tidak menguntungkan itu. Bukankah bagus wang sebanyak itu diagih dan dirancang sebaik mungkin untuk kegiatan jangka panjang dengan memberi bantuan kewangan kepada yang rela beraktiviti secara beterusan di bidang ini. Pihak yang menjaga belanjawan negeri harus tahu bahawa pengarah plastik teater itu ramai. Tujuan pokok cuma untuk mendapat imbuhan yang lumayan tapi sebenarya tidak punya ilmu yang cukup untuk membina enviromen teater yang indah dan punya kesungguhan. |ngat itu. Kena berjaga. Jangan berulang lagi.


Fikir-fikirkanlah sumbangan jangka panjang aktivis-aktivis kita dan kebajikan kehidupan mereka kerana itu adalah tanggunjawab di pihak anda lembaga kuasa mentadbir. Jika gagal anda mengurus secara saksama dengan pembahagian sumber yang adil dan bermanfaat maka di tangan andalah musnah sebuah establishmen keilmuan yang amat kita perlukan untuk generasi akan datang.


Saya amat berasa bimbang melihat caturan dan polisi yang meluluskan perbelanjaan sebesar itu. Persoalannya apa gunanya projek ini pada jangka panjang kegiatan teater kita jika faedah darinya masih dipercakapkan hingga ke hari ini sebagai tidak setimpal dengan banyaknya wang rakyat hangus tanpa menghasilkan pulangan yang diharap oleh rakyat. Hasil seninya nihil – nothing.


Teater telah dipergunakan sebagai sebab untuk berbelanja. Ini korupsi yang pasti. Tidak siapa boleh mendalihkan pendapat ini. Anda yang meluluskan perbelanjaan seperti ini kena bersedia!


Wallahualam.



1 comment:

" S E M A N D I N " said...

Salam Bang. Sedari dulu tika dia sering berdamping dgn saya, telah nampak kesungguhan yg.ada pada diri Zach. Berilmu, kreatif dan berani utk meneroka. Hasilnya, beliau adalah penerus kpd warna teater d Sarawak. Provokasinya juga sebagai cetusan kpd rakan2 lain supaya berkarya dengan lebih jujur dan matang.