SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, October 5, 2009

ABDILLAH SM : RENCANA - Tidak Membenarkan Yang Salah Tetapi Tanpa Kebencian

MAJLIS PERASMIAN EKSPO
BULAN BAHASA KEBANGS
AAN 2009
PERINGKAT KEBANGSAAN


Tidak Membenarkan Yang Salah
Tetapi Tanpa Kebencian

Tulisan: Abdillah SM

Gambarannya seperti puluhan pasangan pengantin ‘disandingkan’ di sebuah medan pelamin. Kalau diambil foto persandingan gambarnya nanti terpaksa guna kanta pembesar demi untuk melihat butir-butir senyum mempelai-mempelai yang terpaksa mengungsi frem lensa kamera jumud!


Aku tengah berfikir dalam perjalanan ke Blok C, dengan senyum harapan mencari sesuap makanan sedekah yang disediakan oleh pihak penganjur majlis. Entah ceria entah duka yang terpamer di wajahku tidaklah dapat kuandaikan waktu itu, tapi mudah-mudahan saja yang baik-baik tentunya. Kuhampiri meja di mana kulihat ada seorang rakan penulis wanita yang amat kukenali. Kulafaz salam mendekati lalu duduk. Aku sudah begitu bersedia mengambil sudu menceduk nasi, tiba-tiba aku dikejutkan oleh semacam terjah guraun yang sering beliau lontarkan apabila kami bertemu: Kau senyum-senyum pa hal?


Kekanda Hajah Latifah bt Haji Mohd Shebli

Penyair wanita itu ialah kekanda Hajah Latifah Hj Mohd Shebli. Dengar-dengar dua buah buku karya kekanda itu turut dilancarkan di majlis yang kuibaratkan sebagai majlis persandingan beramai-ramai itu. Berduka rupanya kekanda penyair orang lama dalam bidang penulisan puisi dan pernah sesekali kugelar kalau ada kesempatan di majlis-majlis releven sastera sebagai ‘ibu puisi’ Sarawak Darul Hana. Aku percaya diriku tidak berlebihan dalam cara menjunjung bakti perjuangannya. Beliau adalah satu-satunya wanita negeri ini yang pertama bangkit meredah belantara dunia perpuisian tempatan. Aku percaya beliau sudah berkecimpung dalam bidang ini mendekati jangka masa setengah abad.

Munurut maklumat kakanda Hajah Latifah kemudiannya, memasuki Blok B seusai majlis pelancaran ke tempat jamuan tengahari bagi para jemputan kehormat termasuklah dirinya, beliau telah dihalang, dipersoal dan telah mendapat malu yang amat tidak disangka-sangka sama sekali. Begitulah rentetan peristiwa yang membawa aku bertemunya di Blok C, tempat yang menyediakan jamuan sedekah bagi jemputan biasa seperti aku. Pedih pilu hatiku makan keseorangan di meja bulat besar kerana kemudian kekanda itu telah berangkat pulang meninggalkan nasi dalam pinggannya yang belum lagi sempat dijamah apabila terpaksa pergi entah kerana berduka atau anakandanya sudah lama menunggu dalam kereta menjemput pulang.


Yang Berbahagia Dato' Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz
Ketua Pengarah DBP

Sepulangku ke rumah tengahari itu, aku duduk termenung menghadap komputer yang sejak pagi tadi terpasang. Belum teringin aku menyentuh papan kekunci kerana hati belum begitu tenang. Sebenarnya aku ke majlis pagi itu berjalan kaki dari rumah. Jangan tanya berapa kilometer. Letih dan berpeluh sudah barang tentu. Lenguh anggota bandanku. Sesempat menyapai diri ke tangga. Itu istilahnya. Ini lagi satu cerita pedih. Setelah solat subuh pagi itu aku terlelap kembali. Orang rumah diam-diam sudah lenyap, beritanya ada urusan rasmi di tempat kerja walaupun hari itu hari tidak bekerja. Ya. Baru teringat aku, sambutan idulfitri. Dan itu kebetulan saja. Kereta sebuah rebutan kami itupun sudah daif dan bermasalah sebenarnya. Tua seperti aku sendirilah.

Mamasuki Auditorium, Blok J, Kompleks Pelancongan Sarawak, majlis sudah pada acara lagu Bahasa Jiwa Bangsa! Jam kurang lebih 10.45pagi. Pada tanganku sudah sedia kamera untuk merakam acara pada peristiwa yang kuanggap penting itu. Kalau bukan kerana pentingnya peristiwa sastera-bahasa bagiku memang tidak rela aku berjalan kaki dalam panas yang semakin ganas menggigit pada waktunya.


YB Datuk Amar Abg Haji Abdul Rahman Zohari
Menteri Perumahan Sarawak


Kembali pada peristiwa di majlis pelancaran: Rupa-rupanya sastera itu cuma dipergunakan. Itulah ayat tanggapanku yang pertama apabila jejariku sudah mulai bergerak atas papan kekunci komputer. Apa betulkah renunganku ini. Aku berfikir lama juga selaras apa yang kusaksikan di majlis pagi itu. Ya. Jelas kebenarannya berlandas pada apa yang sempat kukutip sepanjang acara dilangsungkan. Rupa-rupanya majlis sastera-bahasa perlu membayar harga yang mahal, kehilangan maruah dan martabat di mercu kalau terpaksa disangkutkan pada kepentingan seseorang menteri, pengamal politik jumud!

Ucapan menteri Abang Zohari tidak punya elemen magis yang layak disampaikan pada majlis penting bahasa-sastera itu. Siapa penyedia teks ucapan seburuk itu? Maaf cakap, ucapan menteri Abg Zohari tidak relevan sama sekali. Itu kesalahan yang jelas. Kewajaran dalam segala hal itu amat penting. Jangan sampai mulut berbuih berucap tapi isinya hampas!

Dimaklumkan kemudian oleh beberapa orang pegawai di pihak yang berwewenang pengurusan acara pelancaran bahawa semua susun aturcara majlis itu merupakan arahan/peraturan yang diwajarkan oleh wakil pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Kerana itulah, alasan mereka, maka tidak tembusnya campur tangan pihak DBP Cawangan Sarawak ke atas aturcara. Alasan seperti itu bagiku peribadi adalah sesuatu yang tidak jelas kebenarannya dan mustahil pula terjadi. Pada waktu mendengar pejelasan itu aku tetap sanggahi diam-diam. Tidak guna melepaskan kata-kata tidak setujuku di tempat umum itu.

Kesilapan DBP Cawangan Sarawak yang begitu menonjol selama pengalamanku bergiat dalam bidang penulisan ialah badan berwewenang itu tidak punya hubungan telus dengan penulis-penulis tempatan. Pihak DBP Cawangan Sarawak begitu jelas padaku dalam tindak-tanduknya tidak pernah turun padang dalam erti kata berlumpur sesekali untuk bertemu, berbincang serta memahami aspirasi kami secara ikhlas dan berhati budi. Bukan emosi kalau aku katakan bahawa DBP Cawangan Sarawak tidak kenal erti budibicara; peduli melihat serta membina komunikasi bagus dan berkesan dengan para penulis/aktivis sastera-budaya tempatan. Demikian terjadi maka kami penulis-aktivis tidak mendapat pembelaan yang wajar diperolehi daripada wujudnya sebuah badan wewenang Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak. Bukan tiada kuasa pentadbiran kerajaan selainnya yang boleh disangkutkan hal ini tetapi bagiku peneraju sewajib adalah Dewan Bahasa & Pustaka, Cawangan Sarawak.

Memang kita sedia maklum apa-apa saja elemen perkara yang diperingkatkan ke tahap nasional pasti akan serba-sedikit menenggelamkan warna tempatan hatta sekalipun sesuatu majlis itu diadakan di mana-mana wilayah di luar ibu negara. Bagi aku dalam hal sesensitif ini masih ada ruang usaha alternatif penyesuaian dilakukan pada susuncara majlis sepertinya supaya lebih dinamik pendekatannya demi keharmonian. Betul tidak? Bukankah keharmonian itu antara perkara dasar yang ingin diterapkan dalam semangat Satu Malaysia.

Merujuk kembali pada peristiwa ‘kabur’ acara pelancaran buku terbitan DBP Malaysia di mana antaranya ‘konon’ tersenarai beberapa tajuk buku karya penulis tempatan, memang sah bukan saja penulis-penulis berkenaan yang tidak puas hati tetapi aku sebagai hadirin biasa tetap tertanya-tanya; pelancaran buku-buku tulisan siapakah ini?

Kemudahan multimedia yang sederhana canggih wujud pada majlis itu pada saat itu , tetapi telah tidak dipergunakan secara bijak dan berwibawa. Serah pada aku menguruskan hal multimedia menyediakan hal sekelumit itu namun penting bagi mereka yang berkaitan, akan aku sediakan jauh lebih berkesan dan bermutu untuk rakan penulis agar dapat dirasai bahawa mereka dihargai dan paling tidak pada saat itu sajahlah wujud sedikit rasa hormat DBP, Cawangan Sarawak terhadap kami.

Acara selingan memang bagus diadakan pada majlis-majlis seumpamanya tetapi janganlah pula sampai menenggelamkan acara pokok. Sudahlah ucapan menteri berbuih tidak tentu hala dan tidak sekali-kali memberi kesedaran baru yang semestinya perkara penting bersifat amanah, wajib ada pada teks selaras dengan isu kedudukan Bahasa Melayu yang dibuli oleh pihak pentadbiran negara kita sendiri. Itu isu penting! Ucapan menteri Abg Zohari wajib menyatakan pendiriannya baik peribadi atau rasmi kedudukannya sebagai menteri kerajaan negeri yang memerintah.

Anda wakil rakyat, kami mau dengar apa pendapat anda dalam isu besar bangsa kami. Cakaplah!

Kalau kedudukan beliau begitu sukar untuk komit disebabkan kementeriannya tidak berkenaan dengan isu ini, baik jangan terima cadangan merasmikan majlis seumpama itu. Cari menteri lain yang lebih berkepentingan dan berani bercakap bagi pihak rakyat. Ucapan seburuk itu bukanlah hidangan majlis sastera-bahasa yang kami ingini dan tidak wajar menyebabkan aku berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer ke tempat persitiwa penting itu berlangsung.

Jo. Kalau sudah gayut, dan hilang stamina politik lebih baik turun saja. Masih ada anak-anak kita orang Melayu yang sanggup bercakap bagi pihak kami. (Menteri Abg Zohari ini rakan sedarjahku sewaktu menuntut di sekolah rendah) Kami kawan baik. Cuma sejak berada di kerusi itu dia tidak pernah tegur atau rela pabila berpintas dekat menghulur salam. Kedudukannya sebagai menteri tidak mengizinkannya bersalam dengan aku. Biasalah tu. Aku selalu pinjam basikalnya untuk dikayuh semasa waktu rehat tengahari; sekolah kami pada waktu itu ada sesi jadual mencakupi waktu sebelah pagi dan petang. Ini kenangan lama semasa menuntut di Sekolah Rendah Merpati Jepang, Kuching.

Jo, kami tidak membenarkan kesilapan tetapi tanpa kebencian. Ingat itu. Usahakanlah cari penggantimu di kalangan anak-anak kita. Berilah mereka peluang yang wajar mereka warisi. Kepentingan kita orang Melayu Sarawak semakin sehari semakin mengecil. Kita kena cari cara dan usaha untuk terus eksis dan wujud penuh wibawa di tanah bertuah, Sarawak Darul Hana. Kita orang Melayu Sarawak tidak ingin merampas belahan kek rakan-rakan kaum lain yang sama memakmurkan negeri ini tapi cubalah usahakan Jo, mendapatkan kembali maruah dan hak kita yang kini semakin banyak tergadai di tangan durjana politik.

Deklamasi puisi lagi satu perkara pelik terjadi pada peristiwa pelancaran itu, tapi sudah terjadi dengan penuh sesalan di hati tiap orang bukan saja kami penulis-aktivis sastera tetapi aku terpaksa menjawab perli yang tajam daripada seorang pegawai kerajaan yang bertembung denganku di ruang pamerian buku.

Bang Dil, itukah jenis deklamasi puisi yang abang kata bagus dan terpilih. Bacaan yang mana? Aku bertanya kembali. Itu, deklamasi puisi penyair Saiee Driss sebentar tadi. Jawapan aku senang aje; Saiee Driss itu penyair, buah ati, dia bukan deklamator. Oh. Saie Driss itu penyair, ya Bang. Perli aku nampak budak ini. Kataku dalam hati. Tapi puisi apa yang disampaikannya itu, bang? Cakap benar, bang, sedikitpun saya tak faham puisi yang dibacanya itu. Abang jangan fikir saya tidak pernah tahu hal-hal sastera ini. Di universiti saya penggiat sastera, cuma sekarang belum waktu saya nak terbit antologi puisi peribadi.

Ya tuhan. Rasa tertampar pipiku. Aku nak cakap apa? Saiee Driss bukan kenalan biasa-biasa bagiku. Aku dan dia sama-sama bergiat dalam aktiviti sastera tempatan seawal 1970 an. Aku nak cakap apaaa?! Nak bela Saiee Driss? Saudaraku ini wajib sudah maklum kedudukan diri sendiri bukan seorang deklamator, tolonglah, lain kali jangan sambut jemputan bukan-bukan seperti itu lagi. Memang itu satu peluang pameran untuk diri anda peribadi sebagai penulis tapi majlis itu sungguh istimewa dan menagih sesuatu yang punya keistimewaan pula. Keistimewaan anda bukan dalam bidang itu, anda penyair. Ingat majlis itu bukan majlis sastera par se yang sering menampilkan penyair mendeklamasikan puisinya sendiri, buah ati.

Puisi terdiri daripada kata-kata terpilih makanya sebuah puisi itu lebih-lebih lagi yang dipersembahkan untuk hidangan umum (bukan baca sendiri-sendiri) wajiblah diambilkira panjangnya. Ini penting untuk tidak terjadi kesilapan jeda bacaan yang boleh menghadirkan situasi prahara-petaka diksi sehingga termusnah makna dan estetiknya. Jelas bagiku bahawa sdr Saiee Driss waktu itu sudah kehabisan stamina membaca, mungkin saja disebabkan serangan demam teruk dialaminya sebelum Ramadahan yang lalu. Kasihan kawan aku! Disebabkan rasa simpati terhadap keadaannya di pentas, aku jadi lupa tangkap gambarnya. Maksudku tidak ingin mengganggu bacaannya yang dhaif itu dengan flash kameraku.

Negeri Sarawak ada puluhan deklamator puisi yang aku anggap bagus dan berwibawa. Di bandaraya Kuching saja memang sudah ramai, terpulang pada anda di pihak berwewenang sudi pilih siapa. Aku turut turun padang dalam usaha mencari dan menilai deklamator puisi pada beberapa kesempatan sayembara peringkat negeri. Aku berasa amat kecewa. Peristiwa yang dianggap istimewa seperti Majlis Pelancaran Ekspo, Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan pagi itu wajiblah diusahakan dengan tujuan mempertahankan keistimewaannya, memilih yang terbagus untuk disangkutkan padanya. Begitu terjadi akan terangkatlah keistimewaan sesuatu peristiwa itu. Bukankah itu semestinya kejayaan yang diinginkan oleh pihak penganjur?

Siapa tidak kenal Zacharia Abdul Manan, Supian Jalet, Jamayah Pawi, Atiqah Sharkawi dan ramai lagi yang mantap-mantap deklamasi puisi mereka. Ada yang pernah jaya di peringkat kebangsaan. Di mana silapnya pilihan deklamator di majlis pagi itu? Aku duduk baris kedua dari pentas masih jelas mendengar keluhan-keluhan entah apa yang terlontar dari hati para hadirin yang kuanggap sedang dalam situasi muak.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kena kaji semula hal-hal yang terbangkit sebagai tidak betul (makna: salahlah tu), tetapi terjadi pada peristiwa penting Majlis Perasmian Ekspo Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan yang dilangsungkan di Bandaraya Kuching, Sarawak pada hari Sabtu, 3 Oktober 2009.

Peribahasa tempatan Melayu Sarawak ada sesuatu untuk diambil ingatan dalam perihal muhasabah seperti ini bagi menentukan arah yang wajar diterokai demi keharmonian yang ingin didakap: Jangan kitak lemak gilak, lileh kelak. Lebih kurang bermaksud sesuatu yang tidak betul kalau terpaksa berlaku janganlah dibiarkan terjadi berterusan sehingga mendatangkan padah.

Dalam hal ini aku tetap mimilih untuk bertegas: Tidak membenarkan yang salah tetapi tanpa kebencian.

Gituuu.
Eh! Syaruk aku. Giaa bah! Paham sik?





3 comments:

dahirisaini said...

adui bang dil, sedih bila baca posting ni, nasiblah hari tu saya 'disibukkan' pengilan rumah orang, kalau tak saya pun 'marah', tapi tak apalah bang dil, salam

setiakasih said...

Tuan Dillah...
kmk pun turun bersedih mendengar luahan kitak...
macam kmk pernah cerita pasal hal 'dewa-dewa'.. :)

DBP nang patut 'bangun' ..
mun sik bangun dik empun..
kita mesti tulung gerak2kan...

arora said...

sir,
i also agree with you...
i think the exhibition is not interesting enough..
wasalam...