SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Sunday, October 18, 2009

ABDILLAH SM - 'MAAF CAKAP' - KONSERT SYUKUR


MENTAFSIR
INDAH DISIPLIN SENI MUZIK
KE ALAM NYATA


WOW! Tahniah!

Tahniah Orkestra Pelajaran Sarawak. Dalam masa kurang lebih satu minggu mereka sudah jaya menyatu dalam sebuah persembahan orkestra yang bukan berlebihan kalau saya katakan inilah persembahan orkestra tempatan terbagus pernah saya ikuti serupanya di Bandaraya Kuching. Mereka bukan pemuzik profesyenal tetapi warga pendidikan yang punya kemahiran muzik. Selain itu Orkestra Pelajaran Sarawak atau nama singkatnya OrPeS juga memberi peluang pendedahan untuk pelajar institut perguruan dan penuntut sekolah yang boleh bermain alat muzik dan menyanyi. Tahun ini adalah kali kedua mereka mengadakan persembahan OrPeS. Yang pertama berlangsung pada tahun 2008.

Saya sendiri yang meminati bidang muzik dapat meramalkan kepayahan yang terpaksa dilalui dalam sebuah disiplin seni yang amat mencabar ini. Bukan satu tugas yang mudah mengumpul individu pemuzik, mengarahkan mereka untuk sebuah persembahan orkestra setandingnya walaupun mereka itu memang terdidik dalam bidang ini.


Cikgu Reduan Taha
(konduktor)

Selamanya saya percaya bahawa muzik itu mendekati peranan sebuah bahasa. Berjinak ke bidang muzik secara serius seseorang wajib belajar seperti dia belajar mana-mana bahasa yang melibatkan latihan kenal huruf, belajar mengeja, menyebut, lantas bercakap dalam bahasa itu. Kalau nanti apabila sudah punya kebolehan akan cuba menulis dan mengarang dalam bahasa yang dipelajari itu.

Begitu dekat persamaan yang saya dapati antara muzik dan bahasa sewaktu saya belajar muzik puluhan tahun yang lalu. Daripada mengenal simbol-simbol muzik, memainkan bunyinya pada vokal maupun pada alat muzik yang kita pergunakan sudah tentu menghendaki latihan yang berterusan. Usaha mempelajari muzik dan berjaya menguasai magisnya sebagai salah satu bidang ilmu yang mencabar menuntut ketekunan maksima.

Bagi saya muzik seperti juga bahasa ia melibatkan usaha yang tekun untuk mempelajarinya; ada elemen mata pelajaran fizik padanya. Persamaan yang sama ada pada ilmu senibina yang memerlukan ketentuan dalam perhitungan dan perancangan sehingga bukan lagi ia cuma dikenali sebagai seni pembinaan yang cuma berasaskan kreativiti seni semata-mata tetapi semuanya wajar realistik dan objektif. Bukan pula bermakna seni sudah tidak punya nilai estetiknya kerana terlalu mementingkan ketentuan yang dirancang, tetapi semua itu adalah demi kesenangan komunikasi, interaksi dan rujukan sehingga segalanya akan menjadi lebih mudah dan objektif.


Adnan Zaki Bunyamin

Mungkin ada yang menapikan disiplin muzik yang ketat itu tetapi itulah kunci kepada ketentuan yang tidak dapat dilayurkan dalam proses pembelajaran muzik. Usaha mempelajari muzik sudah tentu mengambil masa, dan kesabaran kita amat dituntut. Bakat alam seseorang itu penting dalam bidang muzik tetapi untuk bernafas dan terus eksis dalam wadah ini saya tidak melihat alternatif lain kecuali seseorang itu diwajibkan belajar dan menguasai muzik walau pun proses pembelajaran itu mengambil masa; tertakluk kepada kemampuan individu.

Ingin saya mengambil perbandingan bahawa seseorang boleh saja belajar bercakap mana-mana bahasa apabila ia terdedah dan menyanggupi untuk cuba berinteraksi dengannya tetapi itu tidak bermakna dia telah melalui disiplin pembelajaran bahasa itu secara teratur kerana belum tentu dia boleh membaca tulisan apalagi untuk menulis menggunakan bahasa termaklum itu. Begitu jugalah ada individu yang boleh bermain alat muzik tapi itu tidak bermakna dia boleh membaca dan menulis atau berkarya dengan baik dan cemerlang dalam bahasa muzik yang penuh disiplin ini tanpa berusaha mempelajarinya.

Apabila individu-individu disatukan dalam sesebuah persembahan muzik seperti yang berlaku dalam sesebuah persembahan orkestra, maka di situlah muzik sebagai satu bidang ilmu jelma sebagai bahasa interaksi dan luahan jiwa raga. Bahasa muzik itulah yang menyalurkan secara bertertib keindahan seni (muzik) ke alam nyata.

Muzik sebagai satu bidang seni amat mementingkan disiplin. Apabila ia dikaitkan dengan antara lain kegunaannya sebagai ‘performing art’, tanggungjawab setiap pemuzik yang terlibat memanglah diwajibkan ke takat maksima. Tanpa semua itu tidak mungkin kita dapat menyaksikan sebuah kejayaan persembahan orkestra seperti yang saya katakan: Wow! Syabas OrPeS! Inilah yang saya sebagai peminat muzik tempatan harap-harapkan terjadi, dan anda telah hadiahkan kami realiti sebuah impian!


Gambar Kenangan

Saya sempat bertemu dengan salah seorang konduktor yang memimpin Orketra Pelajaran Sarawak - OrPeS, anakanda Reduan Taha, seorang warga pendidik, masih muda dan bertenaga. Di tangannya, seandai beliau diberi tanggungjawab berterusan ada harapan kita melihat kejayaan besar dalam bidang muzik tempatan bukan saja untuk tujuan hiburan semata tetapi turut menjana keseriusan kita melihat muzik sebagai satu bidang ilmu ditangani dengan lebih berkesan di peringkat persekolahan lagi.

Berkenalan dengan anakanda ini adalah satu pengalaman yang bagus. Seorang pendidik apalagi yang terlibat dengan disiplin muzik seperti beliau, apabila berinteraksi dengannya sudah terhidu harum muzik dan budibicara sopan terhadap orang tua peminat muzik seperti saya. Sambil menyempat sedikit masa beliau yang terluang seusai persembahan pada 16hb Okt 2009 saya bergegas untuk ambil foto bersamanya. Dalam hati saya berkata bahawa muzik yang saya tekuni selama ini sebenarnya bahasa yang bisa membuat saya membaca dan mengerti hati budi anakanda ini.

Mengutip kata pengalaman anak saya, Adnan Zaki Bunyamin yang terlibat dalam OrPeS sebagai pemain viola katanya dengan bangga bahawa konduktor kami itu amat penyabar orangnya. Kalau bapa tidak percaya bapa boleh cuba jumpa dia. Yah! Memang saya bernasib baik kerana mendapat maklumat yang terhampir tentang konduktor muda itu apalagi sumbernya daripada anak saya sendiri.

Pertemuan sesingkat dengannya memberi saya satu harapan dengan kepercayaan bahawa negeri Sarawak tidak akan sepi dengan kegiatan muzik yang sihat dan bermutu kalau aktiviti sepertinya ditangani oleh Jabatan Pelajaran yang telah kita berikan kepercayaan mendidik anak-anak kita mencapai taraf insan berintelek tinggi di samping memelihara budi yang luhur demi kesejahteraan negeri Sarawak yang kita cintai. Syukran!

Wallahualam.

No comments: