SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, November 23, 2009

Abdillah SM - SUARA MARHAEN - Rencana - Korban











Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

24 nov 2009



KORBAN



Yang sering saya fikirkan sekarang ialah bagimana menjaga hati dan perasaan diri sendiri daripada tergores. Apabila kita terus berinteraksi sesama dan berada pada lingkungan kehidupan rutin, saya dapati adalah mustahil kita dapat hindari ancaman seperti ini.


Tergores perasaan itu lumrah dalam hidup bersosialisasi. Yang pasti bukan semua orang dalam lingkung harian hidup kita penyebab terjadinya fenomena perasaan ini. Usaha yang pernah saya lakukan dalam perkara ini ialah berterus terang pada individu penyebab. Kalau memang dia salah seorang daripada ahli keluarga kita bagi saya perkara itu senang saja. Berterus terang. Beritahu bahawa kita tidak suka sesuatu perkara sensitif itu berlaku banyak kali. Tapi bagaimana kalau ianya terjadi antara rakan yang sama-sama kelihatan baik pada permukaannya, masing-masing konon menjaga hati, tetapi yang musykil terus juga wujud dan berlaku dalam keselindungan budi?


Kadang-kadang penghinaan penyebab rasa tergores bukan mudah untuk dijelaskan dan ia benar-benar pula berlangsung lewat bijaksana budibicara. Tetapi harus diingat bahawa kebijaksanaan bukan cuma hak anda seorang saja. Seseorang yang terhina juga punya kebijaksanaan mentafsir yang tersirat. Bagi saya kalau ada sesuatu yang musykil dalam hubungan antara rakan, setelah berusaha dengan ikhlas membetulkan tapi tidak berkesan, adalah lebih baik hindari dia. Jangan bersifat pura-pura sehingga budi bahasa anda tidak lagi dapat menampung kebijaksanaan berinteraksi. Lambat-laun bisa terbaca sebenarnya apa yang tersimpan dalam nubari itu.


Sebab musabab tindakan anda sudah tidak penting lagi, kerana yang jauh lebih penting waktu itu ialah jangan berterusan bertindak dengan kata-kata berlapis dan bertindak jijik-jijik ulat terhadap rakan. Kalau perhubungan anda memang menjadi sesuatu yang musykil bagi diri anda; duri dalam daging, elakkan saja daripada terus berhubung. Mungkin anda ingin menyelamatkan diri daripada fitnah atau ada perkara yang jauh lebih serius mahu dielakkan; barangkali saja yang melibat maruah dan dosa. Jalan terbagus dan mulia pada pendapat saya ialah dengan menjauhkan diri anda daripada seseorang yang memusykilkan.


Menjaga kepentingan maruah dan menjauhi hal-hal yang boleh mendatangkan dosa itu suatu tindakan yang mulia untuk diri peribadi; satu tindakan orang bijaksana dan beriman. Ganjarannya adalah pahala sekalipun cuma terniat untuk menghindari daripada fitnah. Tetapi apakah menggores perasaan rakan yang mafhum erti tersirat tindakan kita itu tidak mendatangkan perhitungan yang buruk? Takkanlah dapat 10 markah kerana niat menghindari fitnah itu harus ditolak pula 10 markah kerana menggores perasaan rakan? Ini bukan tindakan bijaksana. Kos melepas itu!


Kalau kita masih berasa ragu-ragu terhadap persahabatan atas sebab maruah dan dosa, adalah lebih bijaksana dihindari saja rakan itu daripada anda terus melukai hatinya. Perbuatan melukai hati seseorang dengan sengaja atas tujuan apa saja, serasikah untuk mendapat rahmat Ilahi? Menyebabkan seseorang hamba Allah berasa terhina dengan sengaja itu jelas bukan tindakan mulia walaupun tujuan asalnya tidak begitu. Kalau diteruskan ia satu penganiayaan lebih-lebih lagi kalau rakan anda punya niat yang jauh lebih murni dan mulia dari apa yang anda musykilkan.


Bagi saya anda harus hindari seseorang rakan yang menimbulkan kemusykilan walaupun anda sayang pada persahabatan kerana ada kebaikan pada kepentingan yang lain. Berkorbanlah untuk kesejateraan diri dan rakan anda. Ingat bahawa doa orang yang teraniaya makbul. Hanya Allah saja yang dapat melihat jauh ke dalam hati kita yang sering berubah-ubah, memilih sesuatu untuk sesuatu kepentingan mengikut prioriti yang kita letakkan sendiri pada waktu-waktu tak terduga!


Jangan terlalu bertindak memilih: bahagian roti yang disapu kaya! Jangan bermain dengan asas keimanan selamanya terbilang menegak kukuh yang murni dan mulia saja. Wallahualam.


Sejahtera anda.



Friday, November 20, 2009

ABDILLAH SM - SUARA MARHAEN - nujum sungai









Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

23 nov 2009


nujum

sungai


dalam buku

realiti maya

nujum

lelaki hebat

lebat misai janggut

rambut gondrong

baju gelap etnik

yang ini

perempuan

seksi eksotik

berdesing

mantra ingin

takjub ralip

kumat kamit

bibir rekah delima

mata magis hipnotis

renung pasang

sungai dari

tebingan

curam

jatuh

hatiku

ke

sana



Thursday, November 19, 2009

ABDILLAH SM - 'KULIPAT TIRAI PUISI' - melor sang puteri








Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

20 nov 2009


melor

sang puteri


tebingan sungai pahang

pohonan menjajarinya

enggan jadi saksi

aniaya cinta


tabii tuah

diretorik sepanjang

sungai ke muara

ke laut cina selatan

ke selat teberau

ke selat melaka

ke pangkuan

sultan

wangi-jebat

sekalipun

bukan saksi

terpanggil

mahkamah

asmara

sejarah

melayu


seperti teja

dipaksa melor

korban berahi

mendam ingin

dasar nubari

apakah

tanpa

dendam


subuh dingin sepi

baginda nyelinap

pinggir penjara

dengar bicara

rahsia

:

akulah

melor

jelmaan

puteri ledang

kucemar

berahimu sultan

tumpah jadi aib

malu harum

sepanjang

zaman


Tuesday, November 17, 2009

ABDILLAH SM - 'KULIPAT TIRAI PUISI' - ziarah








Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

18 nov 2009


ziarah


saujana

padang ilalang

bergelombang

dipuput bayu

petang

bunga-bunga

putih

berterbangan

mendamai

mimpi-mimpi

terpadam



Thursday, November 12, 2009

ABDILLAH SM - EVENT- TENUTO


Sasterawan, Seniman, Budayawan dan Publik
Dengan Hormat dan Takzim
Dijemput Hadir
Ke

“ tenuto ”
sebuah trubute

MENGENANG

MOHAMAD SHAZALI BIN HAJI ATTAELAH
(pemuzik, penggubah dan pencipta lagu)

DI MAJLIS

BACA PUISI BULANAN
NOVEMBER 2009, KUCHING WATERFRONT
SABTU, 14HB NOVEMBER, 2009
MULAI JAM 8.00 MALAM.

ANJURAN

ANGKATAN
PENGKARYA INDIE

DAN

SUARA MARHAEN


Wednesday, November 11, 2009

ABDILLAH SM - 'KULIPAT TIRAI PUISI' - tenuto







Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

11 nov 2009


tenuto


tenuto

hentian pada jeda

qadar tak terduga

padam melodi kasih

pulas tidur

bantal mimpi

terakhir


tersungkur

terima kabar duka

takdir tak terjangka

november monsoon dingin

sayup namamu

di hening

memori


pulanglah kekasih

setia pada rahmat

tunggulah di sana

nada nadi damai

berlabuh

tunggu

sangkakala

::

eterniti



Tuesday, November 10, 2009

ABDILLAH SM - 'KULIPAT TIRAI PUISI' - qalam memori








Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

10 nov 2009


qalam

memori


sekilas

terlintas

suatu jadi benar

gimana mungkin

kubebat luka

hatiku

kala

momen

takdir jatuh

pada jangka

tanpa duga

kenapa

harus wajib

bahagia retak

cita angan

jadi debu


tiap

zikir doa

kupohon anugerah

padanya hak iqra’

dijanjikan



Sunday, November 8, 2009

ABDILLAH SM - 'MAAF CAKAP' - teleks no5


teleks sastera no5 (COMA) kepada dahiri saini (COMA) unimas (COMA) kota samarahan (COMA) sarawak (STOP) adinda dahiri saini (STOP) salam (STOP) kalau anugerah sastera negeri sarawak itu bukan untuk sasterawan dan penulis (COMA) untuk siapa lagi ( ? ) tak kan urusan anugerah seperti itu juga perlu campurtangan barisan nasional negeri ( ? ) front nasional itu sudah cukup tenat dengan masalah politik belum selesai jadi kenapa cari beban yang bukan sangat tanggungjawab mereka (STOP) kenapa semuanya mesti dipolitikkan (STOP) kita penulis bukan anti politik tapi aplikasinya pada mana-mana perkara wajib ikut kewajaran (COMA) bukan kerana pihak bertanggungjawab itu punya kuasa magis ( ! ) faham tak pengertaian wajar (?) wajar itu sepupu logik ( ! ) dua pupu mantik (STOP) oleh itu (COMA) si wajar (COMA) si logik dan si mantik (COMA) semuanya hendaklah dijemput untuk sama-sama berunding ( ; ) resolusi daripada rundingan itu kemudian diterapkan dengan saksama untuk menghasil kemurnian tindakan (STOP) kesaksamaan merumus pertimbangan arif akan dapat pujian ( - ) di dunia (COMA) mungkin dapat ganjaran pahala untuk akhirat (STOP) kita penulis sebenarnya tidak sangat mendesak pada hal-hal anugerah dan hadiah seperti ini (STOP) itu martabat dunia (COMA) buah ati (STOP) ingat nasihat abangmu ini benar-benar (STOP) tanamkan nasihat ini ke dalam nubarimu yang masih jernih dan belum polluted itu (STOP) abang sayang kamu orang semua (STOP) abang mau kamu orang belajar daripada fenomena ini (STOP) renungkan sedalam-dalamnya (STOP) ada pengajaran daripadanya (STOP) paling tidak adik-adik abang wajib hindari daripada terjerumus ke dalam kancah percaturan senada ini pada masa akan datang ( ; ) bila nanti sudah jadi orang besar (COMA) ternama dan kaya raya (STOP) jadilah penulis-seniman tegas jatidiri dan berjiwa mulia (STOP) abang dan mungkin juga adinda-adinda yang lain tidak terkecuali adinda sendiri (COMA) kita belum kebulur lagi sehingga kita memerlukan sumbangan tunai yang mengiringi anugerah itu (STOP) tahu apa yang kita sangat perlukan demi menseimbang eksistensi kita di wadah budaya sebagai seniman-penulis (?) kita wajib berusaha untuk mencapai martabat jiwa ( ! ) Sekian (STOP) Wallahualam (STOP)


Saturday, November 7, 2009

ABDILLAH SM - 'KULIPAT TIRAI PUISI' - terhenti








Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

7 nov 2009


terhenti


cinta

kencana

kutemu

suatu detik

kelalaianmu

mencatur

pesona


relakan aku

berdamai

tanpa sesal

bukankah

sekian

bukti

kau

terhenti

peduli



Friday, November 6, 2009

ABDILLAH SM - 'MAAF CAKAP' - jangan dipermain cinta








JANGAN DIPERMAIN CINTA


Sewaktu bercinta seseorang itu sering menafikan intelek diri. Dia cenderung pada menuruti naluri yang kekadang dimonopolikan oleh sentimen dan emosi. Kalau situasi ini harus terjadi maka penafian fakta dan rasional turut berlaku.


Mana akan disangkal bahawa apabila hati telah terpikat rasa bahagia nyelinap ke tiap indera. Bahagia yang belum pasti itulah turut menolak sementara akal bijak. Kebijaksanaan yang sering dipinggirkan oleh nafsu keinginan tak terkawal. Bukan senang untuk kembali kepada norma berfikir yang wajar kalau bukan ikhlas rela diri untuk bermuhasabah. Pengalaman memilih yang benar di antara yang palsu adalah ilmu nilai tinggi kalau diaplikasikan secara maksima dapat membantu pulih anda daripada perangkap ini.


Fenomena jatuh hati ini dianggap perangkap apabila hasil daripada kekangannya mendatangkan lara pada hati. Kalau anda ingin bebas daripada perangkap ini tapi tidak berniat memutuskan ikatan persahabatan adalah wajar anda hindari emosi yang berlebihan; melibatkan harapan dan sandaran.


Tiap tindakan tidak setia pasangan anda gunakan secara intelektual bagi menolak kuasa magisnya dari ruang kejiwaan anda. Jangan mudah berasa kecil hati, bersedih dan merajuk sebab reaksi sepertinya adalah emosi semata-mata. Renungkan semua tindakan dan reaksi negatifnya terhadap anda dengan pertimbangan akal yang luwes. Kembali jadi diri anda sebelum terjadi fenomena mabuk cinta; permainan emosi yang menyebabkan anda duka nestapa.


Bukankah hidup kita, kita harus bahagia. Berusahalah keluar daripada jaring perangkap ini untuk menemukan cinta yang lebih setia, simpatik dan berakal budi.


Hindari perasaan benci terhadap bekas kekasih anda kerana anda pernah menyanyanginya. Kalau anda terus cuba membencinya anda akan merosakkan fikiran sendiri. Memori tentang dia masih berbekas dalam minda anda kerana apa saja peristiwa yang pernah anda lalui bersamanya terjadi dalam suasana yang dramatik.


Tiap kesan peristiwa yang berlaku pada momen dramatik itu sifatnya kekal lama. Resolusi cara untuk tidak membencinya adalah dengan bertindak bersandarkan akal sihat yang menghasilkan justifikasi paling wajar dan fakta sifatnya; bukan ada emosi dan sentimen.


Semoga anda sejahtera.


Wallahualam.