SAHABAT
Aku tidak mau tau perangainya yang tidak terpuji. Sungguh ramai yang mengadu padaku, tapi tiapkali aduan tentang dirinya kuterima kuberitahu si pengadu bahawa dia kawan kita. Kita harus menerima dia apa saja. Tapi kalau harus melibatkan pihak ketiga itu wajib diusahakan untuk menutup kesilapannya. Itu tanggungjawab kita sebagai teman dia.
Pertama kali kau kenal dia apa yang menarik perhatianmu? Jawapan itu harus dikekalkan dalam kepala kalau kau masih anggap dia temanmu. Kalau tidak berusahalah supaya jangan ada apa-apa kaitan dengannya. Sebabnya kerana kau terlalu bangus untuk mendampinginya. Nasihatku ini apa bernada keras, melampau dan ada nada rajuk? Kau kena faham aku sudah tua. Kau mengadu padaku kerana aku jauh lebih tua daripada kamu. Bukan kerana aku seorang tua yang sudah gayut maka aku berpendapat begini. Tapi inilah caraku selama hidup ini.
Bagi aku peribadi walau apapun kelemahan temanku yang terpamer kemudiannya aku anggap itu sifat yang bertentangan dengan ciri-ciri kelebihan atau keanggunan sifatnya yang lain terpuji. Maksudku bahawa aku tidak rela mendengar aduan tentang kelemahannya daripada sesiapapun. Dia sahabatku dan aku selama ini menerima dia seadanya berasaskan kelebihan/kebaikan/kebagusan perangainya yang pernah kuketahui.
Yang menjadi asas persahabatanku mungkin agak pelik pada pertimbangan orang lain tapi itulah aku seperti orang jatuh cinta pandang pertama. Kalau hati kita pernah menerima seseorang teman maka kita kenalah berdamai dengan segala sengatan terhasil daripada kelemahan dia. Sedang kita belum tahu dan tidak akan pernah tahu apakah sebenarnya sebab maka hal-hal yang tidak menyenangkan itu harus berlaku.
Akhirnya, kesan pertama itu paling mulia kudakap sampai aku padam.
No comments:
Post a Comment