SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, October 14, 2009

ABDILLAH SM - POJOK 'MAAF CAKAP' - Tertib Semasa Mengucap Selamat Tinggal








TERTIB SEMASA MENGUCAP

SELAMAT TINGGAL


Menghargai ruang selesa orang lain bermakna kita janganlah menghadirkan diri sehingga mendatangkan keadaan tidak menyenangkan dan menghimpit. Perbuatan seperti itu dianggap menyemak baik pada situasi fizikal maupun yang lain temasuk ruang fikir orang yang kita didampingi.


Memang tidak dinafikan bahawa sesuatu itu harus ada had dan limitasi yang kadang-kadang kita peribadi tidak sedar kedudukan kita tidak lagi menyenangkan seperti yang kita harapkan. Saya secara peribadi seringkali terjebak dalam keadaan seperti ini dan terlalu dungu pula tidak mudah memahami isyarat-isyarat yang ditayangkan lewat kata-kata berlapis dan kabur atau lewat perbuatan atau tindakan rakan yang tidak sengaja terganggu.


Isyarat seperti ini sebenarnya bukan mudah untuk dibaca sehingga ke titik waktu tengadah selepas terhantuk. Tengadah itu memerlukan kita memuhasabah diri dan kesan terhantuk itu pula perlu diubati secara mendamaikan fikiran dan seterusnya pasrah. Walaupun kesan terhantuk itu harus sudah menjadi sebab untuk menjauhi tetapi apabila berdepan dengan hal seperti itu tindakan kita wajib beralaskan budibahasa yang sedia dipermaniskan dan budibicara pula harus kelihatan logik dan masuk akal.


Jangan turut perasaan sedih. Kerana kesan tengadah itu amat berat bagi orang yang berfikiran waras dan pemalu apabila terlewat baginya menyedari bahawa selama waktu itu dirinya adalah elemen gangguan yang rakannya berusaha begitu drastik tetapi senyap cuba menyalurkan keinginan menuntut kembali keselesaan peribadinya.


Ajari diri kita supaya memahami beberapa ungkapan yang sering atau pernah diucapkannya lewat gurau atau sesekali betul-betul memaknakan keinginannya:


I need space of my own too. (hehehehe!)


Apabila kita berhadapan dengan gurauan atau sendaan atau mungkin juga sindirian seperti di atas, kalau kita berasa tersinggung itu sudah memang wajib terjadi. Tetapi janganlah hal seperti itu mengakibatkan kita tidak boleh lagi berfikiran terbuka dan wajar untuk melihat dan berusaha bagaimana harus caranya menarik diri daripada kedudukan apabila seseorang seperti diri kita sudah tidak diingini lagi. Ambil tindakan dengan pendekatan yang penuh budibahasa supaya rakan kita itu tidak begitu terasa kepedihan kita yang terhasil daripada tuntutan kembali ruang selesanya yang pernah kita sempitkan sepanjang pergaulan.


Jangan mudah melupakan bahawa sebelum terjadinya hal seperti itu sudah barang tentu segalanya adalah baik sehingga berlangsung keadaan pada titik waktu puncak datang keresahan di pihaknya. Jangan sekali-kali mudah lupa budi rakan yang pernah kita akrabi. Kenangkan sesuatu yang baik dan indah tentangnya kerana itu akan menjadi ingatan manis yang wajib disimpan apabila kita tidak lagi bersamanya.


Mana-mana tindakannya yang menjadikan kita sedar bahawa diri sudah tidak diperlukan lagi itu wajib diketepikan kerana adalah tidak baik menyimpan kenangan yang tidak menyenangkan apabila kita berpisah. Jelasnya kenangan yang tidak indah itu akan mendatangkan kebencian di hati kita walau memang diakui tersinggung itu satu perasaan yang bukan mudah untuk dilupakan.


Terpilu itu satu perkara lain yang wajib diubatkan dengan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan yang samasekali berlainan daripada yang pernah kita kongsi bersamanya selama itu.


Pujukkan hati diri sendiri dengan segala upaya terdaya agar tidak memikirkan keseronokan yang pernah dikongsi kerana itu akan membuatkan diri kita berasa sedih. Kesedihan itu pula kerapkali akan membuat kita hilang rasa yakin diri. Pesan pada diri sendiri bahawa kita masih punya harga dan berguna untuk orang lain.


Sesekali pasti terfikir oleh kita bahawa peristiwa yang baru saja berlangsung itu adalah takdir dan kita harus pasrah menerimanya.


Hidup ini seperti roda. Sekali kita berada di bawah dan pada waktu yang mendatang siapa tahu kita akan berasa lebih bahagia apabila berada di atas. Itukan janji waktu yang tidak dapat disangkalkan.


Wallahualam.


No comments: