SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, July 21, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Sang Sagerba (sebuah rekonstruksi)




SANG SAGERBA
(sebuah rekonstruksi)

Dari jauh jambatan itu kelihatan seperti ampaian kain merentangi sebatang sungai yang luas. Sebuah keajaiban ia pada zaman gemilangnya. Jambatan itu bukannya tidak bertiang. Di kedua belah tebing yang direntanginya berdiri gagah menara besi, tinggi tetapi semakin mengecil ke puncak. Di bawahnya mengalir Sungai Sarawak tepu kemanusiaan - ceritera atau sejarah; metos maupun politik. Dari jambatan itu dapat dilihat Gunung Lesung dengan jelas. Biru. Tambah menarik apabila pada latarnya sebuah lagi banjaran kelihatan berbalam antara putih awan dan biru langit. Jambatan Gantung mercu tanda bandar K.


Matahari kini semakin meninggi dengan sinar retak siang. Tiap yang disinarinya bagaikan mencair. Warna-warni gemilang panorama pagi tadi kini seakan-akan pudar. Sesekali terpantul cahaya kilat-kilatan daripada arah yang tidak terduga. Tompok-tompak gelap adalah bebayang redup, tenteram dan nyaman. Ke situ, sejuk-sejuk dingin mata memandang.


Sejak ada orang baru dia sering kesunyian. Kedai runcit yang dulu diuruskan oleh suaminya kini terpaksa diambilalih oleh dirinya seorang. Hampir dua tahun dia hidup bermadu tapi belum ada berita orang di sana mengidam asam. Tiba-tiba datang rasa kesian yang sukar dimengertikan.


Dia sedar. Setakat manalah kuasanya sebagai seorang isteri. Belum pernah lagi dia membantah kehendak suaminya sampai bertengkar besar. Dia tahu kesabaran itulah kelebihan dirinya. Dia faham suaminya anak yang terlalu dimanjakan ibubapa. Anak tunggal dan sekali gus anak angkat. Keluarga asal Melanau Matu-Daro. Dia bangga kerana suaminya melekap gelaran Pengiran kerana ayah angkatnya keturunan perawangan. Anak mereka pasti bangga mendakap gelaran keturunan bangsawan Melayu Sarawak.


Sejak menjadi pemborong pasir dia semakin sibuk. Tiada masa untuk anaknya. Urusan jual-beli pasir ditanganinya seorang. Pekerja-pekerja pasir akan datang membawa pasir selang dua hari ke tempat pemunggahan tebingan Jambatan Gantung sebelah Matang. Setiap punggahan kena diawasi. Itu semua tanggung-jawabnya seorang diri. Mereka kebanyakannya orang susah tapi bukan miskin, kata hatinya meletak tafsiran. Harga pasir kena dibayar setiap kali mereka datang. Sangat faham dia dengan kehidupan mereka.


Dia sedang menatap sekeping gambar sambil menarik kerusi lalu duduk. Gambar persandingan. Sejak akhir-akhir ini gambar itu memang disimpannya dengan cermat dalam laci meja kedainya yang berkunci. Dia teringat. Tidak kurang daripada empat-puluh orang jemputan dari kampung Matang dan Satok dibawa oleh Pak Sakip dengan bot Ah Chieng tanpa sewa ke majlis kenduri perkahwinannya. Ah Chieng sendiri turut datang ke majlis persandingan itu.


Kedai runcitnya walaupun tidak semewah kedai Ah Chieng tetapi ia menjadi tempat kaum Melayu Ulu mengadu susah. Kepada pekerja-pekerja itu cuma dialah tempat bersahadu. Kedainya kini tempat pekerja-pekerja itu membeli maupun berhutang. Kalau sesekali dulu pernah dia terdengar Ah Chieng memarahi mereka, di kedainya hal seperti itu tidak terjadi. Mereka Melayu Islam seperti aku, katanya. Kalau Ah Chieng pernah berlaku kasar dan sombong memang kerana mereka bukan sebangsa seagama.


Kenangan itu berputar lagi. Indah dan memancing rindu.


Waktu itu dia berperahu ke hulu dengan tujuan. Hampir setengah perjalanan berdayung dia berasa letih kerana panas matahari semakin mengigit. Perahu dikayuh ke tepi dan diikat talinya pada sepohon pedada. Kecur liurnya apabila terpandang buah pedada masam kelat bergantungan antara selang-selang rimbunan daun.


Bungkusan yang berisi pakaian ibunya dijadikan bantal di bawah kepalanya. Sesekali ditarik ke kiri, sesekali pula ditarik ke kanan. Lembut tapi sesetempat bungkusan itu berbongkol-bongkol rasanya. Terkejut ia melihat seekor burung raja udang bertenggek di haluan; kemudian menoleh ke arahnya. Teringat dia peristiwa itu.


Datuk sebelah ayah seorang pelaut Inggeris bernama Rodney, dia merancang fikir. Aku tak kisah siapa saja dia. Sudah mati mana dapat menyumbang lagi. Rotikah, Rodneykah, Matikah atau Sanikah ...........


“Saniiiiiiiiiiiiiiii...”
Pak Sakip melaung dari seberang Satok. Waktu itu dia sedang membelah kayu api untuk ibunya. Dilepaskannya segera kapak. Bergegas ia ke tebing. Laungan itu menandakan ada penumpang. Selalunya kalau memang dia sudah berada dalam perahu Pak Sakip tidak melaung sehebat itu.


Sesampai di seberang Pak Sakip mengada-ngada marahkan dia. Seorang mandor PWD juga turut marah.
“Kemana awak Sani! Sudah lama tuan tunggu.”
Dia tidak menjawab. Dia membetulkan haluan perahunya ke jeti papan belian yang menganjur ke air. Jeti masih kotor dengan selut yang ditinggal air surut. Selalunya Pak Sakip tolong menyimbah air untuk membersihkannya.
“Naiklah tuan. Minta maaf, tuan.”
“Tidak mengapa. Tidak juga lama.”
“Baik-baik tuan. Tarik tinggi-tinggi gaun tuan.”
“Terima kasih. Siapa nama?”
“San....Sani tuan.”
“Sani, ya?”
“Ya, tuan. Duduk tuan. Jangan berdiri, tuan.” Nak mampus. Dahlah terheret-heret bergaun macam tu, berkasut, berdiri pula. Kalau terlingkup perahu ni mampus mati kembunglah kamu! Dia melepas marahnya diam-diam.
“Maaf tuan, siapa nama tuan?” Bertanya dia tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Mana boleh dia bertanya. Orang itu tuan. Tapi dia mana tahu adat atau peraturan-peraturan yang tidak bertulis itu. Katakan peraturan itu bertulis, dia bukan tahu baca.
Dia mulai menyeragamkan rentak dayungannya.
“O, saya? Brother John.”
“O, Brother John....” Kufikir Rodney. Dia berjenaka dalam hati.

"Saya nak ke Matang....aaa ke Singhe.”
“Pertama kali ke sana, tuan?”
“Ya.”
“Ada orang tunggu, tuan?”
“Itulah, ada awak tengok pekerja PWD di seberang?”
“Tak nampak, tuan.”
“Masih awal.”
“Oo. Masih awal, tuan?,” tanyanya seperti mengejek.
“Ya.” Brother John menoleh ke belakang. “Mengapa penumpang lain tidak naik sama?”
“Ada yang mereka tunggu berangkali, tuan.”
“Tunggu di seberang tidak bolehkah? Buang masa kerana seorang penumpang sahaja.”
“Tak mengapalah, tuan,” sahutnya bersahaja. Sani mendayung perahu tambangnya dengan cermat. Sekali-sekala ia memerhati Brother John yang duduk bercanggung di tengah perahu membelakangkannya. Perahu merapati jeti. Sani memperlahan dayungannya agar haluan perahu tidak terhantuk kuat seperti selalu.
“Sudah sampai, tuan.”
“O, sudah sampai. Berapa tambang?”
“Orang perentah tidak bayar tambang, tuan. Orang preman bayar satu sen.”
“Begitukah? Tapi saya bukan orang perentah.”
“Tak apalah, tuan. Nanti marah mandor .”
“Memang dia selalu marahkah?”
“Dia mandor, tuan.”
“Terima kasih..Sa..Sas.. “
“Sani, tuan. Sama-sama, tuan.” Brother John berhati-hati melangkah ke jeti. Lambat-lambat dia berjalan sambil mengangkat gaunnya. Sani masih juga memerhatinya. Penuh hairan dia. Pertama kali dia bercakap dengan orang putih. Bukan dia tidak pernah melihat orang putih, tetapi ini orang putih lelaki bergaun. “Tingginya,” kata Sani dalam hati. “Macam pokok kelapa dipakaikan gaun......”


Kelapa. Air kelapa. Sambil baring dalam perahu menatap langit cerah dia teringat air kelapa. Ingin benar Sani kalau dapat meminumnya waktu panas terik begini. Keliling rumahnya memang banyak pokok kelapa. Tidak kurang daripada dua puluh batang. Ayah yang tanam kata ibu. Masih juga baring sambil membetulkan letak bungkusan di kepala. Dia berperahu ke hulu dengan tujuan. Sani mengumpul kenangan.


Pernah dia terjumpa sekeping gambar persandingan dalam peti besi ibunya. Arwah ayah memang lawa, ingatnya. Tinggi lampai. Hidung mancung. Ada tahi lalat hidup dekat hidungnya. Jambang, janggut dan kumisnya jelas membayang walaupun telah dicukur. Itu sebahagian kenangan manis, nostalgia masa lalu ibu. Waktu terus mengimbau.


Sejak dia berumur lebih tiga tahun, ayahnya, Mat Simon meninggal dunia. Arwah pernah menjadi kelasi kapal Cina selama tujuh tahun, belayar berulang-alik Miri dan Kota K. Ibu arwah ayahnya Iban di Miri, meninggal kerana tertetak lehernya dalam satu pergaduhan keluarga. Suaminya, lelaki Inggeris itu cuma sempat menyelamatkan diri ke Brunei. Terpisahlah mereka.


Sejak mendirikan rumahtangga dengan Bu Timah dan menetap di Bandar K, arwah semakin terasing dari keluarga ibunya di Miri. Di bandar ini, Bu Timah juga dagang seperti suaminya . Tambahan pula dia tidak diakui anak oleh ibu bapanya kerana perkahwinan mereka.


Semasa sarat mengandungkan Sani, Bu Timah sering ditinggalkan dan kerananya kemudian maka arwah terpaksa berhenti kerja sebagai pelaut. Ibu kata arwah pernah berkerja di ladang teh di Matang. Pernah jadi kuli pemasangan pipa di tempat tadahan air kawasan Sungai Serapi, Matang sebelum jadi pendayung sampan dan mencari rezeki di sungai.


Sani berperahu ke hulu dengan tujuan. Perahu ini hampir berpuluh kali sudah ditimbau. Timburnya masih kuat, diambil dari bekas perahu arwah ayah, ingat Sani.


“Baki duitku dua ratus itu sudah habis,Timah. Aku beli dusun di Matang. Untuk Sani. Jangan sampai dia merempat seperti aku.” Kata-kata terakhir arwah Mat Simon kepada Bu Timah. Keesokan hari mayatnya ditemui hanyut di Sungai Sarawak, berdekatan jeti pemunggahan ke Lorong Pisang di Bandar K. Bu Timah tidak pernah tahu di mana tanah dusun yang dibeli arwah suaminya itu.


Sani mengeluh. Keluhan yang dalam. Kesal dan dendam. Tetapi kepada siapa dendam itu harus dilemparkan? Sani mengalih kaki kirinya. Terkuis dia pengayuh di atas tempat duduk. Baring dan berhayal dalam perahunya menyeronokkan. Teringat dia waktu itu.


Brother John berjalan lambat-lambat menaiki jeti. Tinggi lampai tuan itu, lawa juga orangnya. Sejak hari itu dia dan Brother John seperti kenalan baik. Menghantar pederi itu seberang-menyeberang, mereka bercakap, mereka berbual. Rasa segannya waktu mula berjumpa sudah hilang. Timbul rasa hormat dan kagum terhadapnya. Seorang Inggeris yang petah berbahasa Melayu. Brother John peramah dan senang bergaul dengannya.
“Mengapa setiap kali saya naik perahu, penumpang lain tidak ikut sama.” Tanya Brother John suatu hari.
“Mereka segan, tuan.”
“Segan apa?”
“Mereka hormat tuan.”
“Hormat bagus, tapi jangan merugi diri.”
“Tak mengapalah, tuan...” Pernahnya budak-budak kecil dan perempuan-perempuan tua itu tengok orang macam kamu, seloroh Sani sendirian. Dahlah tinggi bergaun terheret-heret. Putih pula. Kalau terserempak kamu waktu malam maunya bungkam pengsan. Sani memuncungkan bibirnya rapat-rapat. Brother John sekilas terpandang Sani.
“Mengapa Sani?"
“Tidak ada apa-apa tuan,” Sani menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia risaukan geli hati yang cuba disembunyikannya terlepas jadi ketawa. Brother John memandang ke hulu, ke arah jambatan yang sedang dalam pembinaan itu.
“Macam mana kalau jambatan itu siap nanti, Sani?” Tanya Brother John. Berkedut dahinya.
“Macam mana tuan?”
“Jambatan... kalau siap nanti..”
“Sudah tuan.”
“Apa, Sani?”
“Sudah sampai, tuan.”
“Sudah sampai, ya.”
“Ya tuan, baik-baik jalan tuan.”
“Terima kasih, Sani.”


Dia berperahu ke hulu dengan tujuan. Masih lagi baring dia. Belum ada tanda-tanda air akan pasang. Tetapi angin yang bertiup sesekali sepoi sesekali kuat seperti ini ada kisahnya. Bila sepoi berhembus anak-anak kera yang bergayut di dahan-dahan pedada terbuai, mengantuk dan terlena. Tanpa dijangka apabila sepoi mendadak kuat, anak-anak kera yang bergayutan lebih-lebih yang terlena terlepas genggaman lalu jatuh. Ke air atau ke selut. Rezeki buaya, tapi bukan selalu ada buaya.


Sani seperti membilang sesuatu dengan jari-jarinya. Kumat-kamit bibirnya. Sudah sembilan belas tahun, mengira dia dalam hati. Belum terlalu tua. Ibu kata arwah ayah berumur dua-puluh lima tahun bila mereka berkahwin. Ayah lain. Dia pelaut. Pelaut jarang benar kahwin awal. Teringat dia Brother John.


Setelah membetulkan duduknya dalam perahu, suatu pagi, Brother John memulakan perbualan.
“Kita tidak dapat semua yang kita mau, Sani. Ada yang dapat, ada yang kita tidak dapat. Penting, kita berusaha.”
“Ya, tuan.”
“Awak bukan tidak bekerja. Jangan peduli apa orang cakap. Saya lihat awak semacam tidak tenteram, kenapa?” Sani diam. Gelisah.
“Apa bau ni, Sani?”
“Tempoyak, tuan.”
“O, tempoyak.”
“Kiriman ibu saya untuk isteri Pak Sakip. Tuan makan tempoyak?”
“Tidak. Bukan tidak sedap, perut saya tidak tahan.”
“Rupanya tuan pernah cuba.”
“Mesti. Mana boleh tidak cuba.”
“Tuan ke Singhe mesti lalu dusun durian.”

“Tentu sekali, banyak. Minggu depan, ahli-ahli gereja akan membawa durian ke bandar untuk di jual. Ah, kebun itu kebun orang Melayu rasanya. Kebun ditinggalkan. Sudah lama tuan punya tidak balik-balik. Sudah berbelas tahun, kata mereka.”
“Ke mana pergi tuannya, tuan?”
“Entahlah, kata mereka dia marah Raja Putih membenarkan orang mendirikan gereja bersebelahan tanahnya.”
“O begitu tuan.”
“Sani, dalam hal ini saya tidak mau masuk campur. Saya tidak suka orang marah-marah. Saya ke sanapun kerana tugas.”
“Macam mana dengan kebun itu, tuan?”
“Macam mana macam mana, Sani?”
“Buah-buah durian itu tuan. Sayang dibiarkan.”
“Bukan mereka punya mereka ambil juga. Kalau dibiarkan nanti busuk. Saya kata jualkan buahnya. Hasil jualan tolak upah mengutip dan mengangkut, simpankan. Tunggu tuan punya datang, bagikan hasil jualan itu, yang hak bagi dia. Bukan begitu, Sani?”


Dia berperahu ke hulu dengan tujuan. Terlontar ingatannya ke satu detik yang masih mengapung di pinggir kenangan. Waktu itu musim durian hampir empat bulan berlalu.


“Ya,” Jawab Brother John.
“Sabtu ini, tuan?”
“Ya, Sabtulah.”
“Macam mana saya nak ke sana, tuan?”
“Pagi Sabtulahlah awak ke sana. Usah risau Sani, mereka orang baik-baik. Ada tukang masak. Ah, mereka tahu apa yang awak boleh makan.”
“Makan tak kisah, tuan. Saya boleh cari sendiri.”
“Selamat tinggal, Sani.”
“Selamat jalan, tuan.”


Sani terkenang cerita ibu. Kematian Mat Simon ayahnya adalah peristiwa mengemparkan penduduk Bandar K. Ibunya tiap kali mengenang kembali peristiwa itu pasti menangis. Orang menemui perahu dan mayatnya di tempat berasingan. Lebih menggerunkan apabila terdapat liang luka di belakang, tembus ke dada sebelah kiri mayat.


Sebelum berumahtangga Bu Timah memang jadi rebutan. Mesyhur cantik. Dia sharifah berdarah tuanku – keturuan Arab. Kenapalah ibu tidak kahwin lagi. Soal Sani pada diri sendiri. Mungkin ibu terlalu mengenangkan arwah ayah, fikir Sani seperti menjawab. Atau tiada siapa berani melamar ibu kerana takut mati seperti arwah ayah. Ibu cantik. Badan tinggi lampai. Rambut ikal berombak. Kulit cerah. Memang lawa. Tidak hairanlah kalau ayah jatuh hati padanya. Sekarangpun ibu masih lawa. Masih cantik. Cuma kehidupan menjadikan dia permata yang tidak bercahaya, kesal Sani.


“Kamu jangan buat kerja nakal, Sani. Marah ibu kamu nanti. Kesian dia. Dia bukan sihat, tu.” Sani dimarahi oleh isteri Pak Sakip. Semasa kanak-kanak Sani memang suka berenang sungai. Pernah sekali dicubanya menyeberang. Air pasang penuh. Kalau bukan ketangkasan Pak Sakip berkayuh sekuat hati mendapatkan Sani yang terkial-kial, keletihan di tengah-tengah sungai, memang sudah arwah dia. Sani ingat semua itu.


Dia berperahu ke hulu dengan tujuan. Sungai Sarawak kini sudah putus surut. Perahunya tersadai di atas beting Paroh. Sani menarik nafas panjang dan dalam. Angin bertiup kencang. Debu dan pasir kering beting Paroh terangkat. Perahunya pula bagaikan berada di atas sebuah pulau, dikelilingi air jernih dan tenang. Belum nampak tanda-tanda akan pasang. Ke hulu belum ke hilir memang tidak mungkin lagi. Sudah putus kering begini surut apa lagi. Sani merungut sendiri. Dia terus baring dan menunggu.


Memang betul aku tidak banyak mengambil iras abah, ingat Sani. Kecuali susuk badan dan tahi lalat hidup di sebelah kiri hidungku. Itu saja. Ketangkasanku kata ibu memang seperti ketangkasan arwah ayah. Menurut ibu, arwah tidak banyak cakap. Tetapi kehendaknya memang tidak dapat dibantah-bantah. Kenapalah iras wajah dan halus kulitku terlalu banyak mewarisi ibu. Sani membetul-betul keningnya yang dibasahi peluh. Kening halus bentuk taji itu memang kening Bu Timah. Teringat dia orang-orang tua kata anak perempuan ikut iras ayah dan lelaki ikut ibu.


Jauh ke hilir kelihatan orang memasang belat, berlumpur dalam selut di tepi tebing. Esok mesti banyak udang terperangkap di situ, Sani cuba-cuba menjangka. Kadang-kadang tidak juga. Dia membenar-benarkan fikirannya. Kata ibu arwah ayah pernah membelat. Kerja berlumpur dan berselut seperti itu semua sudah dicuba ayah. Dan baring dalam perahu yang terdampar di atas beting memang panas. Tapi tiupan sepoi lewat tengahari memadai untuk bertahan sehingga air pasang. Fikir Sani.


Diusap-usapnya tapak tangan kiri ke lengan baju sebelah kanan. Baju arwah ayah. Sudah bertahi lalat baju ini, sesalnya. Warna asalnya putih tetapi kini kelabu kekuningan. Tetapi ibu kata sarung warna hitam jenis kain kapas, sebelum digunakan lebih baik dipendamkan dalam selut tepi sungai beberapa hari. Tahan seperti disamak. Hitamnya berkilat. Ibu, macam-macam petuanya! Sani senyum sendirian. Dia ngelamun lagi.


Terpandang saja orang bergaun putih itu dia sudah kenal. Brother John tercegat-cegat menunggu di seberang Satok . Perahu dilancarkannya ke air cepat-cepat. Seingat Sani waktu itu hujan rintik-rintik. Musim tengkujuh sebelum tahun baru Cina. Sekali-sekala terdengar bunyi letupan. Pasti anak-anak tauke Ah Chieng sedang bermain mercun. Setelah mengucap selamat pagi kepada Sani, Brother John terus naik sampan dan duduk. Sani mengundur perahunya mengelak reba.


Air sungai keruh kekuningan. Pasti hujan turun lebat di hulu, Sani menjangka. Buah pelajo dan engkabang kelihatan di mana-mana, terapung berpusar-pusar, mengikut pusingan arus. Sani mendayung berhati-hati. Dia melajakkan perahunya jauh ke hulu, mengambil kira air deras yang akan mengheret perahunya ke hilir. Kalau betul-betul dilakukan, perahunya pasti sampai tepat ke jeti seberang Matang. Kalau tidak tepat ke jeti mungkin perahunya tidaklah hanyut terdampar jauh ke hilir.


Musim landas, tuan.” Kata Sani sambil mendayung.
“Ya. Hujan tak menentu. Sani, tak lama lagi jambatan itu siap.”
“Nampaknya begitulah, tuan. Tuan ke Singhe lagikah?”
“Ke mana lagi. Kenapa, Sani?”
“Tak becakkah Jalan Matang arah ke sana, tuan?”
“Memanglah. Jalan tanah campur batu.”
Sambil bercakap-cakap, Sani menaruh perhatian pada dayungannya. Janganlah sampai hanyut ke hilir, harapnya. Selalunya Brother John duduk menghala ke haluan. Kali ini tidak. Bercanggung dia hala ke buritan, memerhati Sani mendayung. Angin bertiup sederhana kecang. Mungkin Brother John sejuk, fikir Sani. Sani pura-pura mengalih pandang ke seberang. Gelisah dia direnung begitu.


Apa mungkin tuan marah, fikir Sani. Tiada sebab, timbangnya dalam hati. Peduli apa. Mungkin juga dia nak sampai cepat. Kalau begitu dayunglah sendiri.
“Selalunya saya naik perahu saya rasa pusing. Tapi cara awak mendayung, saya amati, sungguh teliti. Tidak membuat saya rasa teroleng-oleng.” Brother John seperti faham keresahan Sani.
“Biasa, tuan.”.
“Tidak. Jarang benar pendayung teliti seperti awak, Sani.”
“Dah lima tahun saya kerja ni, tuan. Dah biasa.”
“Masih juga luar biasa.”
“Ah, tuan memuji...”
"Memang saya ikhlas"
Sani ketawa dibuat-buat, sambil membelok perahunya kerana mereka sudah menghampiri jeti seberang Matang.
"Dah sampai, tuan"
“Yakah? Tidak perasan saya.” Brother John berdiri mahu melangkah ke jeti.
“Sani...” Dia masih tercegat di situ. Angin bertiup kencang menepis-nepis cuping teling. Pendengaran jadi kurang jelas. Sesekali terangkat gaun Brother John.
“Saya tuan.” Sahut Sani. Nyaring dari biasa suaranya .
“Awak mau saya bagi gaun.”
“Apa tuan? Roti paun?” Tidak pasti Sani apa yang didengarnya.
“Bukan roti, gaaun.”
“O, gaaaun. Gaun macam, tuan pakai?”
“Bukaaaaan. Pakaian perempuan, kain bercorak bunga-bunga dan beropol.”
“O, tak payah, tak payah, tuan. Ibu saya tidak pakai gaun. Terima kasih sajalah, tuan.” Masih tercegat di situ Brother John. Dahlah angin kencang dan dingin menepis-nepis telinga, masih juga nak bercakap. Terangkat-angkat pula gaunnya, merungut Sani dalam hati.
“Bukan begitu, begini Sani. Palang merah England hantar banyak pakaian terpakai. Saya ada bawa beberapa helai.”
“Begitukah, tuan? Terima kasih sajalah, tuan.” Kamu sajalah pakai. Orang Melayu mana pakai gaun. Pelik betul dia ni, rungut Sani dalam hati. Brother John terus melangkah. Tidak jadi pula. Apa lagi?
“Jadikah awak ikut rombongan kami, Sabtu ini?”
“Jadi, tuan. Memang saya nak ikut.”
“Baguslah begitu. Selamat tinggal, Sani. Jumpa di sana.”
Brother John mengangkat tangannya. Sani melepas genggaman tangan kiri pada dayungnya lalu mengangkat tangan membalas.


Udara tidak sepanas tadi. Air mulai pasang. Sani berperahu ke hulu dengan tujuan. Sani cuba bangun dari baring yang lama. Matahari sudah sarat condong ke barat. Air pasang hampir menenggelami beting Paroh. Tetapi buritan perahunya masih terbenam kerana terdampar di atas kawasan beting yang tinggi. Sani memerhati arus pasang yang membawa hanyut sampah sarap; daun baruk, bakung sungai, pelepah nipah, buluh, buah-buah pokok tebingan sungai. Tetapi kulit durian yang banyak. Memerhati kulit durian ingatan Sani kembali ke peristiwa menunggu buah jatuh di Singhe.


Keseronokan bersama rombongan Brother John ke dusun durian masih terasa walaupun sudah hampir beberapa bulan berlalu. Orang-orang kampung di sana baik-baik. Malam itu mereka tidak tidur. Menunggu durian jatuh memang bahaya, ingat Sani. Brother John juga tidak tidur malam itu. Jam hampir empat pagi hujan turun. Riuh-rendah suara orang mencari tempat untuk berteduh. Brother John mempelawa ahli rombongan termasuk Sani, berteduh bersamanya di sebuah dangau kecil. Yang lain mungkin segan. Sani rasa tak sedap membiarkan Brother John seorang diri. Diapun berlari ke dangau. Dangau sementara itu memanglah kecil. Didirikan siang tadi oleh ahli-ahli gereja untuk Brother John. Selesa untuk tiga atau empat orang sahaja.


Hujan turun terhenti-henti, antaranya, sesekali terdengar suara ahli-ahli rombongan yang lain yang berteduh di merata tempat, bercakap-cakap dan ketawa. Angin bertiup. Sejuk rasa menikam-nikam ke tulang. Tiba-tiba api dari unggun di kiri dangau naik menjulang. Terang-benderang. Tetapi seketika sahaja. Apabila hujan bertambah lebat, sedikit demi sedikit cahaya dari kemarakannya, malap bersama asap yang berkepul-kepul, semakin lama semakin nipis ditelan kelembapan. Sekitaran gelap. Sejuk.


Kegelapan mengingatkan Sani ibunya selalu memadam pelita apabila dia menangis malam atau meragam waktu hendak tidur. Kadang-kadang ibu marah. Kadang-kadang ibu pujuk Sani. Ibu bercerita kisah Si Dongeng. Sambil mendengar cerita ibunya Sani jadi ngantuk lalu tertidur.


Brother John bercerita tentang tempat kediamannya di England. Seronok Sani mendengarnya. Tentang kisah kenakalan Brother John semasa bersekolah, sekali-sekala membuat Sani ketawa terbahak-bahak. Cerita sedih ada juga. Brother John pada zaman remajanya pernah punya kekasih, Mary Eliza namanya. Eliza kemudian meninggalkannya dan berkahwin dengan seorang askar. Enam bulan selepas mereka kahwin, Eliza dan suaminya meninggal dalam satu kemalangan bot laju.


Sani berperahu ke hulu dengan tujuan. Kalau perahu ini berinjin. Tidak perlu berdayung lagi, Sani berhayal sendirian. Boleh pergi ke mana-mana dengan cepat. Tapi jarang benar orang Melayu beli injin perahu, fikir Sani. Injin mahal. Minyak untuk menghidupkan injin juga kena beli. Kenangan Sani terputus-putus.


Duduk berbual dalam gelap di kedinginan hujan malam menunggu buah durian jatuh memang seronok, tapi mengantuk. Brother John terus-terusan bersembang. Bukan kerana terpaksa, tapi Sani rasa dia patut melayannya. Tidak baik kalau tidak dilayan, fikir Sani.
“Sani, kalau awak ngantuk, tidurlah. Saya sudah biasa begini.”

Tiada sahutan dari Sani.
“Sani. Sani... “ Tiada juga jawapan. “ Memang sudah tidur rupanya,” Brother John bercakap seorang diri. Diselimutnya Sani dengan gebarnya.
“Terima kasih, tuan.” Lemah bunyi suara Sani.
“Memangnya tidur?, Ha, ha,” Brother John ketawa. Sani juga ketawa. Tetapi antara terdengar dan tidak.
“Tidurlah.... darling,” Brother membisik ke telinga Sani. Sani terkejut apabila terasa mancung hidung Brother John terkena cuping telinganya. Geli-geleman dia. Dadanya berdebar-debar. Semacam ada keseronokan tiba-tiba menjalar dan menguasai dirinya.


Peristiwa itu bagaikan penamat kepada kerjanya sebagai pendayung sampan. Selang beberapa hari selepas malam menunggu durian gugur di Singhe, Jambatan Gantung sudah boleh digunakan oleh kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki. Dia tidak sedih kerana kehilangan pekerjaan sebagai pendayung. Ada yang lain menggangu fikirannya.


Perahu mulai terangkat dan oleng sedikit. Air pasang sudah menenggelami seluruh beting Paroh. Pun demikian dia masih ingin berada di situ. Lambat-lambat dia menghulur sauh ke air. Diambilnya bungkusan pakaian ibunya. Dibukanya. Seperti memastikan sesuatu ada di dalam. Wajahnya kelihatan tenang. Sani sudah bersedia.


Dia mandi. Diceduknya air perlahan-lahan dengan timba air ruang. Sambil menceduk, dibelek-belek dan diamatinya timba yang diperbuat dari pelepah nibung itu. Timba itu baru dan belum pernah digunakan lagi. Tegap dan teliti pembuatannya. Memang rajin ibu, kata hatinya.


Sebuah perahu melintas. Tetapi agak jauh ke kiri. Diangkatnya kajang lipat ke arahnya. Entah kenapa tiba-tiba saja dia merasa kurang senang mandi terdedah begitu. Perahu yang melintas tadi semakin lama semakin jauh. Pun demikian dia perasan pendayung itu masih tertoleh-toleh ke belakang.


Matahari hampir terbenam. Terlalu merah dan terlalu jingga warnanya hingga bagaikan pecah ia antara dahan-dahan dan pohon-pohon besar di hujung tanjung. Dia mengenakan pakaian. Cuba membenar-benarkan bahawa semuanya teratur dan patut. Seluar dan baju yang dipakainya tadi dibelek-beleknya. Basah peluh baju itu. Dia termenung seketika. Dia mahu mencuci baju dan seluar itu. Tidak jadi. Disendalkannya pakaian itu ke dalam timba dan diletakkannya di bawah pepijak buritan perahu.


Haluan perahu nyata tertarik ke depan. Tali sauh semakin terik. Air semakin naik. Dilipatnya kajang. Diangkatnya dayung. Kedua-dua keliki dicabut. Dayung diletaknya sejajar di kiri tempat duduk. Sementara itu pengayuh yang terselit di sebelah kanan tempat duduk ditariknya. Memang jarang dia menggunakan pengayuh itu. Tali sauh ditarik. Sauh diangkatnya ke dalam dan disimpankan di bawah pepijak di haluan. Perahunya kini melintang arus. Matahari sudah terbenam. Yang tinggal cuma cahaya jingga larut dan keputihan. Semakin jauh dia berkayuh ke hulu, semakin jauh senja meninggalkannya.


Terdengar ayam berkokok di kejauhan. Mengigaukah ayam itu berkokok lanjut awal malam begini, fikir Sani. Tidak juga, Sani membetulkan tanggapannya. Ibu pernah kata ayam berkokok melanjut pada masa luar biasa menyahut kokokan ayam di syurga. Dari jauh kelihatan cahaya dari sebuah perkampungan. Kedengaran azan sayup-sayup dibawa angin dari arah itu. Sani sedar sudah masuk waktu isyak.


Malam semakin gelap. Air masih naik. Mungkin sudah melimpahi permukaan sungai. Kunang-kunang semarak gemerlapan di pohon-pohon pedada tebing sungai. Meriah dan ceria suasana jadinya. Seperti menyambut turunnya pari-pari. Sani berperahu ke hulu malam ini dengan tujuan.


Berombak dada Sani. Pada saat itu juga bayangan wajah ibunya semakin jelas. Senyumkah, marahkah. Tidak pasti Sani. Tidak juga dia pedulikan itu. Detik-detik seperti ini bukan untuk berleka. Sani membelok haluan perahunya ke kiri arah ke pengakalan. Air sudah melimpahi tebing dan kawasan rumah. Lantunan cahaya api dari rumah-rumah sederet di depannya bergetar mengikut riak di air. Sani pernah ke sini dua tiga bulan lalu. Waktu malam juga. Menghantar dia. Moga-moga dia tidak berseloroh, harap Sani dalam detik-detik yang mencemaskan. Darahnya menyerbu ke muka.


Tiba-tiba pipinya terasa panas. Sani berjalan perlahan-lahan di atas titian papan, melintasi beberapa buah rumah. Kedengaran Sani suara bayi merengek, diselangi oleh suara ibu mendodoikan. Dia mempercepatkan langkahnya apabila melintasi surau. Matanya sempat mengerling ke situ. Cuma beberapa orang berada di dalamnya. Seorang lelaki yang berbaju teluk belanga warna ungu bersarung pelikat hijau tua menyebabkan jantungnya berdetik cepat.


Menjenguk seorang perempuan dari jendela sebuah rumah di kiri titian. Terkejut Sani. Menonong dia ke depan. Sani berjalan dengan teliti. Tapi dalam pada itu Sani perasan belakangnya disuluh. Kiri kanan titian semakin sesak dengan pokok-pokok pedada. Masih rendah tetapi rimbun. Deretan rumah-rumah hala ke hujung kampung itu semakin jarang dan jauh dari titian. Sani mempercepatkan langkahnya. Kedengaran derapan kaki mengekorinyanya. Jengkerik berbunyi. Ada yang dekat serasa bawah titian. Bunyi langkah seseorang di belakangnya itu semakin jelas meningkahi.


Semakin cepat langkah Sani semakin jelas bunyi langkah orang di belakangnya. Semakin dekat orang itu menghampiri, bertambah cepat pula langkah Sani. Lenguh lutut Sani. Memang dah dekat benar, keluh Sani. Dia berhenti melangkah. Menepi dia lalu berpaut pada pepegang. Dada Sani semakin kuat degupannya. Kunang-kunang tiba-tiba menghurung sepohon pedada yang berhampiran dengannya. Dahannya berjuntaian pada pepegang di belakang. Bergoyang-goyang ditiup sepoi malam. Bergoyang-goyang juga himpunan kerdipan kunang-kunang yang melekap di situ.
“Siapa itu?!”
Tersentak dia.
"Aku!" Kalau tidak ada pepegang harus dia terjelepuk di atas titian.

“Subhanallah!” Sang Segerbakah ini? Awang Isa terpana. Terhenti seketika degupan jantungnya. Bagaikan jelmaan puteri kayangan. Kunang-kunang malam ini laksana taburan intan, berkerdipan, bergemerlapan menghiasi kehadiran ini bersama haruman setanggi. “Edan kesmaran hamba.......” Isa tidak sedar kata-kata itu terucap. Atau cuma berlegar dalam hatinya sahaja. Dia sedar dirinya terperangkap pesona asmara.


Masih juga Awang Isa menyuluh muka perempuan cantik yang berdiri di depannya. Terlucut kain sarung yang menutup kepala. Terserlah wajah gadis jelita. Rambut terurai lebat. Masih tergamam Awang Isa. Pun begitui masih juga dia cuba menerjah.
“Kamuuuuuu?”
“Akulah.
........Saniah!
........Aku nak ikut kamu balik.
........Kamu berjanji.”


Sedih peristiwa itu baginya. Dia bernikah dan bersanding di rumah pihak lelaki. Di kampung orang, rumah orang. Bukan di rumah sendiri. Kerana dirinya miskin. Memang aib. Ayah telah meninggal, tiada waris tiada wali. Ada ibu tapi tidak berupaya. Dia telah menggadai maruah diri dan keluarga. Serah diri.


Dia bangun meninggal meja kedainya lantas menjenguk ke luar tingkap. Matahari hampir terbenam. Suasana tebingan sungai dekat Jambatan Gantung kini kelihatan tenang, sejuk dan nyaman. Angin sepoi yang bertiup dari arah Gunung Serapi membawa bersamanya sejuta aroma daun-daun kayu hutan tropika. Segar dan tenteram. Di atas jambatan kelihatan ramai orang bergegas seberang-menyeberang. Ada beberapa orang lelaki Melayu separuh umur bersongkok dan berbaju teluk belanga berjalan menuju ke seberang. Azan maghrib lama lagi akan bergumandang. Surau Satok adalah surau yang terdekat. Kalau Awang Isa ada ia bersolat jemaah di situ. Sani terpilu.


Sani teringat Dayangku Mariam. Anak tunggalnya itu masih bermain di timbunan pasir yang baru dipunggah semalam. Beberapa orang rakan sebayanya turut memanjat dan ngelunsur di situ. Riuh rendah kedengaran suara mereka bergurau dan bernyanyi. Sudah besar dan boleh bermain sendiri anak itu. Comel dan cemerlang. Saat-saat genting semasa melahirkan Mariam lima tahun dulu masih mencengkam jiwanya. Bidan Deng tempat dia bergantung harap. Bidan kampung yang terkenal dan berpengelaman di Kota K.


“Kur semangat, besarnya budak ini.” Kata bidan Deng semasa memandikan Mariam. “Biru matanya! Besar pula. Bukan macam tujuh bulan. Tujuh bulan tak berambut. Macam lutut. Eh tak berambut. Macam lutut, latah aku, eh latah aku. Jangan diusik akkuuuu.”
Mariam yang dipegangnya meraung-raung menangis kesejukan dalam kedinginan jam lima pagi. Saniah sempat menelinga semua itu walau keletihan.
“Keparat,” sumpahnya senyap-senyap. Sekalipun dalam keperitan selepas melahirkan, Saniah sempat mengimbas peristiwa-peristiwa pahit manis dalam hidupnya. Rentetan yang kadangkala terputus-putus.


“Ohoiiiiiiiii. Ranaplah pasir tu.”
Mendengar suara Saniah mereka bersembunyi.
Tidak lama kemudian mereka menyanyi semula.
“Brother John, Brother John,
morning bell is ringing
morning bell is ringing
ding dong bell,
ding dong bell”


Saniah menoleh ke arah nyanyian itu. Hatinya terusik. Melongo ia.
“Brother John?” getusnya tiba-tiba. Hatinya berdetak.
Sepi mencengkam memori.


- Abdillah SM

2 comments:

Zaid@Zaidel said...

Salam...lamak sik dngar khabar berita...

Abdillah SM said...

Salam.... U2. nama brita nuan? nadai bisik brita manah aku tok, nggal. hehehe. abg dapat 7P Iban PMR last year.