SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, July 28, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Compromy



Compromy



Fajar menyingsing. Suasana menebar tenteram. Nyanyian burung kasih ketara bentur kesayuan di ujung syahdu. Angin sepoi bertiup lembut. Nyaman elusannya menyapa pohon-pohon hijau berseri. Di halaman rumah, kebunan mawar aneka warna anggun ceria menghiasi pagi yang indah; segar tapi sepi.

Siang berganti malam dan malam seterusnya dinanti siang, dilalui insan teruji dengan cekal dan iman di kalbu. Begitulah perjalanan masa yang dapat dianggar secara kasar, diukur sebagai waktu. Namun perubahan dan perkembangan pada sesuatu di dunia, yang ingin memerhati dan mengkaji bisa menambah rasa kesyukuran akan limpah nikmat dariNya.


Firdaus menyebut namaNya berkali-kali. Setiap mendadak tekanan penyakit Firdaus menerimanya dengan rasa keimanan yang jitu. Firdaus yakin apa yang bakal terjadi.


Diyakini dirinya bahawa waktu adalah suatu proses. Dan proses ini memang sesuatu yang tidak akan tergugat, kecuali atas kehendakNya jua. Firdaus telah menetapkan perihal ini dalam kalbu.


Manakala yang dikatakan ‘tiada’ itu, Firdaus mengulangi perkara yang sering didebatkannya sendirian, bukanlah hakikatnya betul-betul tiada. Demikianpun, 'ada' dirinya tidak seharusnya cuma dilihat sebagai bermula daripada 'ada atau tiada’ yang tersaksi secara materi.


Demikianpun ‘tiada’ dirinya yang belum bisa tersaksi di mata insani, adalah 'ada' jua pada hakikatnya; ada yang belum diwujudkan. Ada atau tiada, sesungguhnya tidak memerlukan pergantungan walau sekelumitpun pada faktor lain. Firdaus memaktubkan dalam kalbu bahwa ‘saksi’ hanya untuk yang tidak berkeyakinan. Noktah! Firdaus bersyukur ke hadratNya atas ingatan yang belum tersirna.


‘ 'Ada' bagi wujudNya,’ Firdaus mengumpul kepastian, ‘tidak sekali-kali bermula dengan ‘tiada.’ ’ Betul! Bersyukur Firdaus dalam kalbu. ‘Kerana ‘adaNya’ adalah 'ada' yang kekal dan abadi.’ Alhamdullilah. Alhamdullilah. Alhamdullilah.


Syukur Firdaus kerana dirinya masih boleh melalui proses masa yang diizinkan, dengan tenang dan sabar. Atas kehendakMu jua Tuhanku. Firdaus tersenyum. Kini setiap yang dipandang Firdaus kabur segala. Pendengarannya pula bagaikan dikacau-bilau oleh bunyian yang terlalu asing. Namun dia mulai faham fenomena dalaman ini.


Firdaus terus menerus menyebut nama Tuhan Yang Maha Mengasihani. Seringkali juga ruang antara pengucapan hati yang terluang, terisi bayangan yang pelbagai. Kenangan masa lalu datang padanya bagaikan wayang tanpa bunyi.


Doktor telah memberitahu secara ikhlas kepadanya bahawa sakitnya tidak memungkinkan adanya ruang harapan menunggu sembuh. Firdaus maklum dia sekadar harus menyimpan ingatan itu sebagai landasan dan pertimbangan saintifik semata-mata.


Sejak itulah Firdaus sering berhujah dalam diri peribadi bahawa betapapun pengetahuan doktor berserta kepastian-kepastian sains perubatan mutakhir yang terbukti kekukuhannya namun tidak pernah dia, seingatnya, menyerah seluruh kepercayaan. Tuhan lebih mengetahui dan Tuhan juga yang mentakdirkan proses masa yang perlu dilaluinya. Kukuh pegangan Firdaus.


Hatta sekalipun sakitku sekarang memang tidak boleh disembuhkan menurut doktor, bukan menyebabkan dirinya mesti memohon doa agar dipadamkan sebelum waktu. Biarlah Tuhan yang melaksanakan takdir ke atasku, pintanya. Kewajipanku cuma berusaha dan berdoa, Firdaus berusaha mengukuhi pegangannya.


Penyakitnya yang ‘belum’ dapat disembuhkan. Bukan tidak dapat disembuhkan, fikir Firdaus. Selagi wujudnya proses masa selagi itulah wujudnya ruang untuk berusaha. Tiada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat, saat dan ketika tibanya apa yang dikatakan kematian ke atas diri jasmani.


Badan Firdaus gementar menahan sakit yang kadang-kadang kekerapan serangan tidak dapat dijangka. Namun dia tetap tenang di pembaringannya. Dia berharap, biarlah ketenangan diri menghadapi ujian ini setenang air di tasik.


Fikirannya terfokus dan sesekali pula berligar sekitar beberapa peristiwa penting pernah dilaluinya. Ibunya telah lama dijemput takdir. Silap jangkaan Firdaus bahawa insan semuda ibunya dan kelihatan sihat boleh berhayat beberapa dekad lagi seperti lazimnya manusia lain. Rupa-rupanya kelaziman tidak dapat digunakan sebagai ukuran yang pasti. Ini menebalkan keyakinannya bahawa proses masa tiada siapa dapat meramalkannya. Satu pengajaran bagi Firdaus. Syukran. Firdaus menginsafi kesilapan diri.


Selama berdepan dengan ujian Tuhan yang paling besar setakat ini, Firdaus sering memikirkan bahawa bersifat tenang adalah paling wajar. Namun tenang sebuah tasik, kalau diandaikan sebuah kehidupan, tidaklah bererti ianya datar dan licin seperti kaca digilap. Sesekali permukaannya pasti akan berkocak jua. Begitulah juga riak kesan dari derita yang ditanggunginya. Kecuali, fikir Firdaus, tasik itu adalah permukaan yang beku. Tapi setiap yang beku juga akan mencair.


Walau apapun sehingga detik kebekuan dan kecairan itu berlaku, biarlah, Firdaus memohon, moga-moga dirinya tidak terlepas pegangan dan harapan daripada mengharapkan rahmat dan rahim dariNya.


Firdaus dan ibunya bagaikan menjalani waktu yang terancang. Gembira ibu kerana dapat menghantar anak tunggalnya ke sekolah walaupun kehidupan mereka sebenarnya serba kesempitan. Firdaus tidak pernah melihat ayahnya. Dia cuma tahu dirinya bin Adam. Segala keperluan kehidupan mereka berdua diusahakan oleh ibu yang berkerja sebagai pembantu harian rumah sebuah keluarga terkenal di bandar K.


Firdaus mula dibuai kenangan lampau; jauh dan samar. Namun detik ke detik antaranya terus juga diisi dengan zikir dan tahmit, selagi berupaya, harap Firdaus.


Seperti hari-hari yang dilalui sebelumnya walau penuh duga dan cubaan, suatu pagi ini tidak terkecuali kerana pada satu detik teruji maka terciptalah sebuah peristiwa pada tarikhnya. Hari-hari persekolahan memang waktu paling riang bagi si ibu dan anak. Pagi itu selepas solat subuh mereka sudah mulai berkemas-kemas. Sebagai anak yang baru memulakan dunia persekolahannya, Firdaus seperti juga kanak-kanak yang lain, penuh ceria menghadapi kesibukan yang memang sering jadi impian.


Firdaus dengan pengaruh semangat dan cita-cita ibu turut mengimpikan yang indah-indah. Sementara si ibu amat berharap satu-satu buah hatinya ini berjaya dalam hidup. Bukanlah dia mengharap kejayaan anaknya untuk dijadikan sumber pergantungan hidup pada masa hadapan. Ibu muda itu cuma berdoa agar si anak bisa menjadi manusia yang berguna, paling minima untuk diri sendiri.


Keceriaan mereka pada setiap kali dalam perjalanan ke sekolah adalah satu pengalaman ikatan kasih sayang yang singkat. Namun tidak ternilai sumbangannya pada membentuk diri Firdaus menjadi seorang anak muda yang penuh tawakal dan sabar. Anak yang sedang memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu, pada suatu pagi yang mencatat sejarah pedih telah dicabar takdir.


Di pertengahan perjalanan ke sekolah pagi itu, kedengaran raungan tangisan serta ratapan yang memilukan. Si anak mendakap ibunya yang berlumuran darah di pinggir jalan. Rohani, ibu muda tunggal, berusia dua puluh empat tahun, mengakhiri perjuangan hidup yang singkat akibat dilanggar kereta. Tragedi memusnah ikatan kasih dua insan.


Berakhirlah proses waktu kewujudan jasmaniah seorang ibu. Yang tinggal hanya rindu yang berkekalan. Walau semangat dan impian ibu masih menyinar dalam kalbu tiap waktu Firdaus mensedekah doa baginya. Namun kesepian dan kesayuan bukan hal yang mudah ditangani. Dan pemandu kereta yang melanggar ibunya, bukan sekadar kebetulan, adalah isteri Datuk Azman, Datin Dayang Zabani, tuan rumah tempat si ibu berkerja.


Firdaus dibawa bersama-sama dengan mayat ibunya ke hospital. Datin Dayang Zabani dikehendaki membuat laporan kemalangan di Balai Polis berhampiran. Suaminya, Datuk Azman yang menerima berita kemalangan itu dari balai polis terus bergegas ke hospital.


Datuk membawa keretanya dengan perasaan bagaikan diremuk. Sesampai di hospital berlari-lari dia ke bilik kecemasan tanpa peduli orang ramai yang memerhatinya. Dia menghampiri katil di mana Rohani yang sudah tidak bernyawa itu diselimutkan. Rasa sedih yang membungkamkan jantungnya seketika menerima berita pada mulanya tadi, kini bagaikan meletup kembali. Begitu hebatnya kuasa cinta kasih dan kasihan yang terpamir apabila terlihat perlakuan si anak yang mendakap mati-matian sekujur jasad yang diselimutkan dengan cadar putih atas katil di bilik kecemasan.


Datuk juga tidak ingin terlepas menyentap kesempatan itu untuk kali terakhir. Datuk mendakap mayat yang berlumuran darah itu sepuas-puas hatinya. Bagaikan berebut-rebut Firdaus dan Datuk Azman menagih kasih terakhir sehingga jururawat dan attendan yang bertugas di situ menasihatkan mereka agar bertenang.


Firdaus bergerak ke kiri ke kanan. Peristiwa yang menyelubungi benaknya kini bagaikan terputus kesinambungannya.


Setelah ketiadaan ibu, Firdaus telah dihantar ke rumah anak-anak yatim. Di situlah dia meneruskan persekolahannya. Masa selebihnya telah dihabiskannya di universiti. Apabila tamat pengajian Firdaus berkerja.


Dua puluh tujuh tahun yang lalu, Firdaus cuba mengumpul ingatan yang semakin diajak bertenang namun terasa gundah dan sayu.


Seorang lelaki yang segak dan tampan, Datuk Azman, yang dia kenali dengan panggilaan Pakcik, menangis terisak-isak di bilik kecemasan. Mungkin saja kehidupan tanpa anak selama sepuluh tahun perkahwinan, menginsafkan Datuk akan nilai nyawa seorang manusia. Dan terhentinya proses waktu dalam kehidupan wanita yang didakapnya itu sesungguhnya amat mengesankan emosi.


Itulah pengalaman pertama Firdaus menyaksi sebuah kematian. Satu pemberhentian proses masa yang singkat. Firdaus beristifar beberapa kali. Tekanan sakit semakin terasa. Adakah ini menjanjikan sesuatu yang pasti, Firdaus bertanya dalam hati. Syukuran, syukuran, syukuran.


Pengalaman tragik sesekali bertandang ke ruang aktif memori. Antaranya insiden sedih berlaku semasa dia masih berada di rumah anak-anak yatim. Suatu hari Raymond rakan bersebelahan katil denganya di rumah kebajikan dilaporkan hilang. Raymond tidak pulang bersama rakan-rakan yang lain dari sekolah. Dua hari kemudian mayatnya dijumpai terapung di tasik berhampiran sekolahnya. Hasil bedah siasat mendapati tulang lengan radius-ulna patah. Terdapat tusukan-tusukan benda tajam di bahagian belakangnya. Pada beberapa liang tusukan terdapat kesan remukan karbon pensil. Liang-liang luka itu bukan daripada tusukan logam tajam tapi kayu runcing.


Sahabat itu seorang yang periang dan terlalu gemar akan makanan; apa saja makanan. Itu yang Firdaus paling ingat. Kalau dia terlihat benda makanan yang Firdaus simpan seperti biskut dan gula-gula dia sering minta; ‘Firdaus, please may l have some.....’ Setelah rakan itu meninggal dunia pengawal asrama mengumpul barang kepunyaannya. Dalam lipatan pakaiannya terdapat puluhan wang syiling satu sen. Dalam lipatan pakaian juga tersembunyi gula-gula yang dikerumuni semut. Sungguh memilukan hati. Kemewahan hidup yang Firdaus nikmati kini sering mengingatkan dia akan rakannya itu. Apabila ingatan itu datang, dia berasa terpanggil untuk mensedekah wang atau makanan. Ke surau atau ke mana-mana rumah kebajikan yang terdekat. Dia sedar peristiwa yang sudah lama terjadi itu masih jelas di ingatan. Masih berkesan, menggamit kemanusiaan dan simpatinya. Dengan melakukan sedikit kebajikan seperti itu Firdaus berasa lega dan tenang. Astaghfirullah. Firdaus beristifar. Nafasnya terasa sedikit berat.


Lebih sebulan yang lalu, pada suatu malam semasa menunaikan fardu maghrib, Firdaus telah melalui detik-detik kesangsian. Namun ketara itulah kemudiannya sebuah permulaan rentetan peristiwa yang bersejarah. Waktu itu dia masih sihat lagi. Dia tidak sakit seperti ini walaupun doktor kata bahawa dia sebenarnya telah mulai mengidap penyakit ini selama lebih kurang tiga tahun.


Firdaus memicit-micit dahinya. Dia berpeluh dingin dan terasa kepalanya seperti meretak. Tuhan Maha Besar. Tuhan Maha Kuasa. Firdaus berusaha menenangkan dirinya.


Pengalaman yang dikatakan satu permulaan bersejarah itu tidaklah terlalu luar biasa, tetapi apabila difikir-fikirkan, seorang perlu berasa gerun lebih-lebih lagi diri Firdaus yang tinggal seorang diri dalam rumah besar dan lengang ini. Rumah ini termasuk dalam surat wasiat Datuk Azman yang menamakan Firdaus sebagai pewarisnya. Selain rumah ini, sebidang tanah lima ekar di bandar ini dan wang simpanan di sebuah bank berjumlah lebih satu ratus lima puluh ribu ringgit turut disenaraikan sebagai harta Datuk Azman yang telah meninggal; diwasiatkan kepada Firdaus melalui seorang peguam.


Firdaus! Firdaus! Firdauuuuus.


Mendengar panggilan itu, Firdaus lalu bangun dari tikar sembahyangnya dan turun tangga dengan cepat ke tingkat bawah menuju pintu depan. Dia mengemas-ngemas dirinya seperti biasa bila ada tetamu.


Setelah sampai, Firdaus tercegat di muka pintu apabila didapatinya tidak ada sesiapa seperti yang didengar memanggil-manggil namanya dari luar rumah. Pada malam yang sama sewaktu mengantuk dan mahu baring dia mendengar panggilan yang serupa sekali lagi. Firdaus! Firdaus! Firdauuuuus. Dia percaya ada baiknya kalau dia menjenguk keluar sambil melihat apakah mungkin ada orang yang tidak tahu menekan butang chyme di pintu pagar rumahnya lalu mencuba-cuba memanggil. Dari jendela bilik tidurnya Firdaus melihat cahaya lampu di jalan depan rumahnya terang-benderang. Cahaya lampu dari rumahnya juga boleh sampai ke halaman sekitar hingga ke pintu pagar. Jika ada orang datang berkunjung sudah tentu dengan mudah dapat di lihat dari jendela itu. Tapi Firdaus turun jua.


Setelah sampai di luar, apa yang dilihat oleh Firdaus cuma beberapa ekor anjing jiran sebelah yang berbaring di jalan masuk dekat pagar. Selain dari itu kucing putihnya sendiri yang duduk dengan tenang di luar pintu. Setelah puas melihat sekeliling, Firdaus memeriksa pintu pagar. Masih kejap berkunci.


Datuk Azman bagi Firdaus seorang yang berhati mulia. Sejak kecil dia mengenalinya walaupun tidak pernah sekalipun dia menjejak kaki ke rumah ini semasa hayat ibunya. Tidak pernah seingatnya Datuk apabila datang ke pondok mereka tanpa membawa buah tangan untuknya.


Satu pertengkaran besar berlaku antara Datuk dan isterinya apabila Datuk mencadangkan mereka mengambil Firdaus sebagai anak angkat setelah Rohani meninggal dunia. Bukan setakat pertelingkahan itu berlaku dalam rumah ini tetapi seluruh keluarga Datin Dayang Zabani tanpa segan melibatkan diri dalam krisis itu. Saudara-saudara lelakinya juga telah cuba mengertak serta mengancam Datuk.


Semasa hayatnya Allahyarham Datuk telah berusaha untuk mengeluarkan Firdaus dari rumah kebajikan tetapi tidak berkesudahan. Walaupun demikian hampir setiap minggu dia datang melawatnya dan sering meminta kebenaran penyelia rumah kebajikan untuk membawa Firdaus keluar bersiar-siar atas alasan Firdaus adalah anak bekas pembantu rumahnya.


Datuk tiada sanak saudara dan keluarga di bandar ini. Dia merasa terlalu tercabar dengan tindakan keluarga isterinya. Lebih-lebih lagi apabila Datin Dayang Zabani mengada-ngada pula berpindah ke rumah abang tuanya kononya terlalu sakit hati. Atas sebab tidak mahu kembali ke rumah mereka maka nasihat syariah disampaikan kepadanya. Terlalu degil dan keras hati isterinya menyebabkan Datuk tiada jalan penyelesaian selain menceraikannya. Setelah beberapa tahun berpisah, Dayang Zabani mengalami tekanan perasaan dan masih dirawat di hopital sakit jiwa .


Sesalan yang tidak terhingga menyebabkan diri Datuk Azman semakin tenggelam dalam tekanan emosi. Kegagalannya bukan sekadar kerana isteri yang terpaksa diceraikan. Datuk amat kecewa dan menyesali kematian Rohani yang tidak terbela. Sekalipun untuk menyumbang bantuan kekal dengan mengangkat dan memelihara anaknya yang ditinggalkan menjadi isu yang diperalatkan oleh keluarga bekas isterinya.


Firdaus kembali tenang. Tuhan Maha Suci, bisik hatinya. Dadanya menyenak. Kadangkala terasa olehnya bagaikan dirinya tidak berupaya lagi menyedut udara untuk bernafas. Terasa lemas dan terkial-kial sendirian.


Suasana di luar rumah tenang dan nyaman. Bunga-bunga mawar masih segar berseri. Kumbang dan lebah terbang berkeliaran dalam kebugaran udara pagi mengelilingi kuntum-kuntum harum wangi.


Firdaus cuba menarik selimutnya ke atas. Tetapi tangan itu terlalu letih untuk sampai ke sisi selimut tebal. Seluruh badannya kedinginan. Dalam mencuba-cuba dia ngelamun.


Firdaus berada di hospital dalam sebuah bilik ward kelas satu ketika itu. Jam lebih kurang pukul sembilan pagi. Dia memintal-mintal sudut cadar dengan tangan sebelah kirinya sambil baring dan cuba-cuba membaca buku. Dalam pada itulah terbayang lewat ekor matanya seperti tayangan kain putih. Firdaus kehairanan sedangkan dia tahu tidak ada orang lain dalam bilik selain dirinya. Tayangan kain warna putih berulang lagi, memancing kehairanannya pada tengah hari itu tetapi dari arah kiri. Dua hari kemudian Firdaus minta izin balik daripada doktor.


Peluh dingin timbul bagai butir-butir mutiara di dahi Firdaus. Matanya yang letih kini memandang ke hadapan dengan tenang.


Kejadian di hospital adalah pengalaman pelik yang kedua bagi Firdaus. Perkara seperti ini tidak pernah diberitahunya kepada sesiapapun. Ini adalah rahsia tegasnya dalam hati. Kalau diberitahu mungkin orang akan menyangka dia mulai diserang sakit jiwa, hujahnya. Sepanjang yang pernah dia dengar dan baca, di antara pesakit jiwa ada yang mengalami panggilan ghaib seperti yang pernah dirisaukannya. Firdaus digamit kerunsingan. Dia mulai resah dan ragu-ragu terhadap sekitar diri. Namun dia berusaha menenteram setiap tiba keresahan yang tidak logik dan yang banyak menggunakan energi fikir.


Sekarang Firdaus tidak ragu-ragu lagi. Dia tidak akan meragukan segala apapun kerana dia yakin apa yang sedang dialaminya. Dan peluh seperti butir-butir mutiara di dahinya tadi kini surut mengalir antara kedut-kedut di kulit mukanya.


Kenderaan di jalan raya depan rumah kediamannya mulai bersimpang-siur. Tetingkap bilik tidur Firdaus dibuka sejak subuh tadi. Angin sepoi yang bertiup sesekali mengibas-ngibas langsir tebal dan berat. Fabrik motif sulam bunga mawar akar padanya begitu cantik mengapung dan sesetempat timbul pada permukaan langsir monokrom warna hijau itu.

Firdaus seorang lelaki yang sederhana perwatakannya. Dia senang bergaul dengan sesiapa sahaja. Dia mempunyai ramai kawan, baik di pejabat maupun dalam kehidupan sosial di luar. Tentang dirinya sekarang, dan nazak yang dihadapainya, tidak seorangpun daripada kawan-kawannya tahu. Selain itu perkembangan penyakitnya dirasakan berlaku amat cepat. Dalam masa tiga minggu dia mulai mengalami tekanan seperti yang dialaminya sekarang. Tiada waktu untuk menghubungi kawan-kawan.


Mata Firdaus kelihatan letih namun nampak jernih dan berkaca. Muka itu kelihatan seperti tersenyum. Tenang keadaannya. Firdaus tidak segelisah tadi.


Firdaus telah memutuskan tidak akan memberitahu sesiapapun tentang panyakitnya. Di pejabat rakan-rakannya cuma tahu dia bercuti rehat, secara kebutulan dia jatuh sakit pada masa bercuti panjang selama tiga puluh hari. Dia rasa tidak perlu orang tahu tentang penyakitnya, kerana dengan memberitahu tidak akan merubahkan keadaan. Yang perlu baginya ialah usaha, tegas Firdaus setiap kali dia berasa tekanan penyakit. Hingga ke saat inipun Firdaus tidak putus-putus merancang, tetapi dalam bentuk usaha alternatif terakhir.


Di atas katil, Firdaus menarik nafas dengan keadaan lelah tapi masih lagi teratur ritmanya. Peluh dingin telah menyerapi cadar putih. Dia cuma dapat menyebut nama Tuhan dalam hati. Bibirnya terasa kebas dan lidahnya kelu. Tuhan mentakdirkan dan Tuhan juga memberi aku kesempatan berusaha. Aku telah berusaha dan sedang berusaha sedaya upaya hingga ke saat inipun. Satu perkara yang adil untuk diri sendiri. Secebis kesedaran yang terlintas di hati Firdaus. Dia menuju kompromi.


Dia mulai faham apa yang sedang berlaku ke atas dirinya sekarang. Tetapi setakat ini segala kefahamannya berbentuk sangkaan; bayangan ide dan rupa. Pengalaman Firdaus seterusnya semasa penyakit mula menunjuk akibat adalah terlalu berbagai. Tujuh hari yang lalu Firdaus mendengar sesuatu yang menggegarkan. Dia cuba berlari keluar dalam keadaan letih dan payah. Dia mendengar semacam letupan berlaku di sekitar kawasan rumahnya. Sesampai di luar rumah, dia gopoh-gapah menoleh ke kiri dan ke kanan. Tetapi jiran sebelah malah dilihatnya tenang sahaja sambil bermain-main dengan anak-anaknya. Lalu dengan rasa gementar, hasrat untuk bertanya perihal letupan itu, disimpan dalam lipatan hati hingga kini.


Firdaus tenang dalam nazaknya. Jam hampir sepuluh setengah pagi. Di luar panas mulai terik. Bahagian muda tumbuh-tumbuhan melentuk-liuk dek perubahan atmosfera.


Seperti nasihat doktor, Firdaus perlu berehat dan dirawat di hospital supaya dapat diawasi. Tapi buat apa diawasi kalau memang tidak ada ubatnya untuk menyembuhkan, fikir Firdaus. Adalah lebih baik baginya berehat di rumah sendiri. Mungkin juga dia dapat berasa sedikit ketenangan sebelum apa yang dikatakan doktor bahawa dia akan mati, betul-betul terjadi. Kalau memang betul dia akan mati, pemberitahuan doktor adalah satu rahmat Tuhan jua kerana dalam masa yang sesingkat itu dia tidak lengang daripada berusaha sekalipun ternyata semakin sukar baginya kerana tekanan dalaman jasmani. Tuhan Maha Pengasih. Tuhan Maha Penyayang.


Kini badan Firdaus mulai terasa ringan. Dia cuba-cuba menggerakkan kakinya, tetapi tidak berkesan. Firdaus dengan sabar melalui pengalaman demikian detik ke detik. Tuhan Maha Besar. Tuhan Maha Pengasih.


Sejak terdengar bunyi semacam letupan tempoh hari, Firdaus tidak hairan dengan pengalaman-pengalaman pelik yang berlaku kemudian ke atas dirinya. Dua hari yang lalu pengalaman di hospital berulang beberapa kali semasa dia berbaring dalam bilik di rumah sendiri. Tayangan pelbagai warna silih berganti memancing ekor mata. Akhir-akhir ini bayangan seperti itu tidak lagi dalam bentuk helai-helai kain tetapi warna-warna menyeluruh berdensiti jelas, silih berganti di sebelah kiri dan di sebelah kanan. Dan Firdaus faham apa erti semuanya itu. Tuhan Maha Kuasa. Tuhan Maha Mengasihani. Tuhan Maha Pengampun. Firdaus terkial-kial mencari nafas yang semakin dikejar semakin pendek dan kosong. Ujian jasmani.


Sebelum mengalami rasa letih yang menyeluruh seperti ini, pagi tadi dia masih dapat bergerak-gerak di depan cermin hias. Firdaus memerhati mukanya. Terlalu berubah wajah ini kata Firdaus sendirian. Memanglah - perubahan jasmani kerana diserang penyakit, dia membujuk diri. Tangannya mencubit-cubit lembut pipinya yang cengkung.


Nafas Firdaus kembali tenang. Setenang permukaan tasik. Syukran. Dadanya tidak hebat berombak seperti beberapa minit sebelum ini.


Berdiri di muka cermin pagi tadi, Firdaus menyikat rambutnya perlahan-lahan. Keperitan dalam kepalanya sudah mula bertindak. Sedikit kekasaran menyisir rasakan tercabut rambut dari akarnya. Setelah menyisir rambut dia berlalu dan merenung sebuah potret yang tersangkut dekat almari pakaian. Potret itu diabadikan semasa menyambut hari jadinya yang kedua puluh. Seorang lelaki yang tampan aku, bisik Firdaus. Kepalanya semakin menyentak. Puji kembali padaMu Tuhan Maha Pencipta. Syukur Firdaus atas pemberianMu Tuhan.


Firdaus tersenyum. Sungguh tenang keadaannya kini. Mukanya cengkung kekuningan tapi berseri; bertunas keceriaan tersembunyi.


Dari tempat potret tergantung, Firdaus melangkah lambat-lambat ke meja tulis di mana dia meletakkan air kosong minumannya. Dia meneguk sedikit air dari gelas jernih itu. Sambil mengusap-usap bibirnya yang basah dengan belakang tangannya, dia bergerak perlahan-lahan ke tingkap lantas memandang ke luar. Ketika itu wap dan embun masih menebal di kawasan belakang rumahnya. Firdaus memerhati kawasan berjerebu itu. Cantik kelabu. Dia mengalamun. Namun tidak lama ketenangan itu dinikmati kerana kemudian Firdaus tersentap perhatiannya: Takjub dan kehairan. Firdaus melihat bebayang wajahnya sendiri. Firdaus segera mengalih pandangannya ke dalam bilik dan cuba memerhati ke dinding-dinding. Anehnya wajah itu kelihatan di mana-mana. Di dinding, di lantai, di siling dan semakin lama semakin jelas.


Wajah yang kelihatan itu bukan sahaja semakin nyata tetapi seluruh badan dalam bentuknya sendiri waktu itu hadir bagaikan dua jasad serupa. Mulai saat itulah Firdaus berasa surut energi yang ketara dan drastik. Dia cuba bergerak berlahan-lahan ke pembaringan. Dia resah. Dan bayangan wajah peribadi hilang bagaikan sebuah ilusi; namun pasti.


Kebisingan kenderaan di jalan depan rumahnya tidak kedengaran lagi oleh Firdaus. Yang didengar cuma bunyian yang terlalu asing. Dia berusaha mengingat nama Tuhan dalam hati dengan sedikit kepayahan kerana gangguan pendengaran dalaman yang terlalu sukar ditafsir minda yang dicengkam kesakitan. Dia beristifar tanpa henti.


Kini seluruh tubuh Firdaus terasas ringan. Bibirnya tidak sekebas tadi. Lidahnya tidak lagi kelu seperti beberapa ketika sebelum ini. Penglihatan tadinya kabur kini jelas. Tapi hairan, dalam keadaan begini dia tidak berkeinginan untuk menggerakkan kaki atau menyebut apa-apa perkataan untuk menguji lidah dan bibirnya. Dengan pandangan yang terang dan jelas seperti sekarang, Firdaus tidak bernafsu melihat sekeliling.


Perubahan yang mendadak itu rupa-rupanya menjanjikan sesuatu. Dia mulai berasa lega dan tenteram daripada segala keperitan. Laksana gahnya kemenangan di sebuah medan tempur. Elemen kesakitan tidak lagi terasa. Tiada gugatan. Firdaus ralip dalam ratib dan puji. Firdaus didatangi wajah diri peribadi. Firdaus tidak ragu-ragu. Malah dia kini semakin tenang dan damai. Dia menerima. Dia mendakap. Seperti damai mesra reaksi sponge, disedut-resap wajah itu penuh keikhlasan, rindu-rela-berahi.


Firdaus mafhum wajah itu kepunyaannya. Dirinya berhak kepada wajah itu. Sentosa dan aman. Detik basirah dilalui seiring ratib-puji lewat kalbu pasrah.

- Abdillah SM

No comments: