SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Tuesday, July 29, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Timang Buyung


TIMANG BUYUNG


Pemergiannya membuat malam-malam sepiku bertambah sepi.


Sejak tadi burung tukang terkial-kial menukul dinding malam. Aku tidak peduli sama ada tukulan itu akan tembus ke siang. Sejak tadi juga aku bagaikan tungkul ais terapung di kedinginan waktu, menyimpan kecairan. Detik ke detik tidak terbendung fikiran; kupaksa mengalir menyusuri sungai kenangan menuju kesepian malam di kamar ini, sengaja atau terpaksa jadi begini: Gelap. Guling ini adalah dia.


Wangian penginggalannya kusembur ke seluruh kamar. Kesayuan melilit ke puncak. Berbelit bersilang. Kusut mati.


Bukan tidak pernah aku dihempap kesayuan. Anehnya cuma kali ini ku berasa kesayuan tidak terperikan. Hampir tidak teroleh kata-kata untuk kubagaikan seperti apa kesayuan ini. Tidak juga seperti sayunya aku apabila aku gagal beberapa kali menyakininya tentang cintaku. Prelude itu menghiburkan juga walau malam-malam rinduku hanya terlerai lewat nyanyian pungguk merindui purnama di ujung dahan: Sekalipun rindu sering singgah dan berteduh, harapan masih kukuh menghiasi angan-angan.


Tetapi tekanan perasaan yang kuhadapi malam ini seperti ada pertanda sesuatu pengalaman baru yang lebih mencabar: Dia sudah pergi.


“Din, sabar nak. Berbanyak-banyaklah sabar.” Ibu terus meletakkan secawan kopi di atas meja di sisi katilku. Ibu berhenti sebentar seperti menunggu jawapan dariku. Aku diam. Lama diamku. Mungkin terasa lama menunggu ibu keluar. Aku terus memeluk guling. Wangi Tini meresap ke hatiku.


Senyap-senyap, dengan rasa hampa dan pilu aku mencuri pandang ke buyung di atas meja hias.


Rasakan bengkak kepalaku memikirkan segala yang berkaitan dengannya. Kalau kesakitan ini bukan kerana emosi dan fikir tidak dapat kubayang sebesar manakah ketumbuhan dalam otak ini.


Malam sudah menjelang dinihari. Aku sedang lena bila dia membisik ke telingku dengan getaran suara yang sungguh berlainan dari biasa. Merdu dan mengasyikkan.
“Bang, termasuk bulan ini sudah dua bulan Tini tidak kedatangan,” Aku menelinga. “Bang.., abang masih jaga lagikah? Alah, abang ni pura-pura lena. Bang.., mungkin Tini mengandung, bang.”
“Mengandung? Syukurlah,” kataku pendek. Mataku semakin berat. Apa, mengandung? Ya, Tuhanku! Tidak berani kudepani kenyataan ini.


Lamunanku tersentak apabila daun pintu bilik terkuak. Ibu masuk. Aku memejamkan mata dan berdengkur. Ibu menyelimut kakiku. Aku terkejut pura-pura. Ibu cepat-cepat beredar sambil menarik daun pintu, senyap dan teliti.


Minggu depan bawalah Tini jumpa doktor, ya bang.” Pintanya sambil mengusap-usap rambutku. Aku diam. Sengaja diam. Lembut dan wangi jari-jari Tini bila ia bermain dengan misai dan jambangku.
“Tidurlah sayang,” kedengaran lembut suaranya mengelus ke kuping telingku, “esok ‘kan kuberitahu abang segala keinginanku apabila anak ini lahir.” Tini duduk membetul selimut pada kakiku.


Memang sah. Tini sudah tiada lagi di kota ini. Dayangku Kartini sudah bertolak jam 0915. Begitulah maklumat yang kudapati. Terlalu kecewakah Tini kerana peristiwa itu?


Pagi itu sebelum aku bangun, Tini sudah berada di sisi katil. Barang tentu dengan pakaian kemas dan rapi seperti selalu, kata hatiku, sambil meleraikan selimut ke samping. Seperti selalu juga pagi ini ia mengusap-usap jari-jarinya ke tapak tanganku dengan manja. Tini menyanyi-nyanyi kecil. Sungguh merdu suara Tini kudengar. Mahu rasanya aku lena kembali kerana dendangan itu memang membuaikan. Nyanyian Tini membuat aku teringat waktu kecilku bila ibu mendodoi lagu yang hampir sama irama dan lengguk nyanyiannya.


Kucing mengiau. Kucing itu di luar pintu. Tini tiada, tiada siapa pedulikannya.


Rupa-rupanya musim semi kami bermula pagi itu. Tatkala mataku celik, di sisiku Tini telah siap berpakaian wanita mengandung. Dari detik itu aku berasa suatu keriaan yang belum pernah kualami sebelumnya. Biarlah kuumpamakan keriaan ini air pasang penuh lalu melimpah pada setiap inderaku: Yang kusebut adalah kata-kata manis. Yang kurasa adalah madu. Yang kudengar adalah keindahan ucap cinta dari bibir kekasih. Yang kupandang adalah titisan madu dan manisan dari segala rasa keriangan, seumur hidupku, baru sekarang bisa kuperolehi. Tini sedang menuang air dari buyung ke dalam sebiji gelas lalu meminumnya.


Aku merenung sebuah gelas terguling mereng di tepi buyung tempat Tini menyimpan air minumannya. Satu kebiasaan Tini yang kuketahui sejak kami hidup bersama.


“Oh Tuhan. Bersyukur hamba padaMu kerana keriaan ini. Janganlah permainkan hambaMu dengan mimpi-mimpi yang pernah hambaMu dengar tentang harapan yang tidak pernah tersampai. Tuhanku berkatilah cinta kami. Jangan Kau rampas dia dari sisiku kerana tanpanya tidak rela aku hidup keseorangan.”


Apa saja yang dibuat oleh Tini sekarang. Masih ingatkah Tini akan detik-detik manis itu?


Masih kuingat Tini tersenyum apabila mendengar pengucapan doa yang kulafaz dengan tekanan suara yang terketar-ketar. Suara yang telah dikecamuk oleh keraguan antara percaya dan tidak percaya akan perasaanku sendiri, juga sekitar yang sedang berubah.


Udara semakin dingin. Aku menelinga. Ibu batuk-batuk.


Segalanya berubah. Terpesona dan terpukau aku. Apakah ini suatu hikmah atau cuma hiasan membayangi sebuah petaka sebenar? Sungguh aku tidak mengerti. Pun demikian aku bahagia. Tini dengan gaya anggun berwajah ratu, adalah kebalikan pada segala yang pernah kuketahui mengenai dirinya.


Sebelum kami bernikah tidak banyak yang kutketahui tentang Tini. Aku cuma tahu ia berketurunan bangsawan. Anak tunggal Pengiran Morshidi dengan isteri pertamanya, Mina, wanita Bisaya. Berpisah mereka kerana Mina tidak sanggup berdepan dengan keangkuhan kerluarga mertuanya. Mina nekad meninggalkan anaknya Tini yang berumur empat bulan. Dia membawa diri ke Brunei dan kemudian berhijrah ke Filipina. Pengiran Morshidi, dengan hati luka terus pergi ke Singapura. Setahun kemudian dia kembali menjemput anaknya.


Aku merenung gambar Tini yang baru kuambil dari gantungannya di dinding. Pagi tadi sengaja Tini tutup gambar ini dengan selendang hitamnya. Kutatap gambar itu lama-lama. Mungin juga ibu Tini seorang wanita cantik. Entah mengapa aku tiba-tiba berfikiran begitu.


“Selamat pagi kekasih,” Tini keriangan melihat aku yang baru bangun. Aku kagum merenung ke dalam matanya yang bersinar bagai bintang pagi kelewatan.
“Selamat pagi kekasih. Selamat pagi jua untuk anakku.” Aku mengarah senyumku ke perut Tini yang ternyata besar dari semalam. Sungguhpun demikian aku masih ragu-ragu dengan diriku sendiri. Oh Tuhan. Kembalikan ingatanku ke sediakala andainya detik-detik manis ini telah menyirna kewarasanku.
“Tuhan, kekalkan keriaan ini untuk kami,” kulafazkan doa dengan jelas sementara Tini seperti mengia doaku dengan senyuman yang manis dan ikhlas.
“Tuhan, abadikan kebahagiaan ini untuk kami selama-lamanya.” sambut Tini, juga dengan nada penuh harapan, “Bang anak kita menjawab salam abang,” Tini terus memegang tanganku. “Sampaikan salam peluk cium abang untuk dia Tini,” sahutku sambil mengusap-usap perut Tini yang sudah menampak bentuk kandungannya. Tini ketawa kecil kemanjaan.
“Sembahyanglah bang, nanti terlewat pula. Lepas sembahyang kita sarapan. Setelah sarapan kita jalan-jalan di tepi tasik. Dari tasik kita ke pekan. Di pekan kita beli ikan. Kita beli sayur-sayur segar. Kita beli udang. Hari ini Tini masak gulai asam pedas. Tini pasti abang suka.”


Terasa perutku berkeroncong. Sejak semalam aku belum menjamah makanan. Bergegas ke sana ke mari sehari suntuk. Tini sudah pergi. Tukulan burung tukang cuma sesekali kedengaran. Angin sejuk mendesir rimbunan pisang hutan di belakang rumah. Salakan anjing tetangga jauh di pinggir tasik sebelah barat kedengaran sayup-sayup. Dan Tini sudah pergi. Tuhan, rupanya saat ini Kau hadirkan juga untukku walaupun sekian kali kupohon doa menghindarinya.


“Apa dia?,” tanyaku terpinga-pingga.
“Suka tak?,” Tini ingin memastikan.
“Asam pedas, gulai asam, sambal asam dan macam-macam asam. Sungguhpun semuanya asam, kehidupan kita tetap manis. Setuju tak Tini?”
“Apa dia?,” tanya Tini tersenyum. “Memang ya. Tapi jangan salahkan Tini kerana semuanya asam. Citarasa abang terhadap lauk semuanya jenis masam dan pedas-pedas.”
“Yakah?,” tanyaku pura-pura.


Ya. Pohon mempelam di hadapan rumah ini sudah berbuah. Kedengaran angin malam menyelerakkan daun-daun kering di bawahnya. Mempelam sedang membesar. Mungkin Tini tidak sempat merasa keriangan menjoloknya seperti pernah ia berangan-angan.


“Betul, kau cantik. Usah ragui itu.” Tiba-tiba saja aku menjelas pengucapan itu sambil menggaru-garu dadaku.
“Tini tidak pernah inginkan kepastian seperti itu, bang. Rasanya memang tidak pernah lagi. Cinta Tini tulus dari nurani yang menghendaki.” Tekan Tini sambil meletak mukanya ke dadaku.


Jam besar di ruang tamu berdering. Dentingannya sayup-sayup kudengar. Dentingan dua kali yang lemah dan rapuh menggambarkan keadaannya yang sudah uzur.


Tini pergi dengan hati terguris. Pasti dia tidak akan memaafkan aku. Terlalu kejam aku. Kesedaran juga kejam. Aku dan kesedaran tiba-tiba menghadir diri di tengah-tengah kelunakan permainan emosi antara kami lalu menghancur-luluh mimpi-mimpi Tini. Mimpi-mimpi yang ingin direalisasi padaku kerana Tini sebenarnya amat mengasihiku.Lebih besar dari cintanya terhadap rumah pusaka almarhum ayahanda ini.


Dan rumah ini menyimpan rahsia kehidupan keluarganya. Tini pernah berkata ia ingin menetap di bandar ini kerana kesan masa lampau bagaikan hidup di depan mata. Dia mahu tinggal di rumah ini untuk selama-lamanya sehingga takdir memisahkan. Dia pernah menyatakan hasrat untuk mencari ibunya. Namun segala usaha menjadi terlalu rumit. Sehingga Tini pergi hasrat itu belum terlaksana. Kasihan Tini.


Burung tukang terus menukul-nukul . Mahligai yang dibinanya malam ini pasti tersergam pabila mentari terbit esok. Atau sirnakah ia ditelan cahaya dan bahang mentari. Antara kemungkinan yang dapat diramalkan.


Angin terus mendesir pohon-pohon pisang hutan yang kebanyakannya sudah berjantung. Guling ini tetap juga Tini. Aku sudah berusaha mencari Tini. Aku ingin membawanya kembali ke sisiku seperti ini.


Aku tidak suka bermain dengan kesunyian. Apabila kesunyian tiba seperti ini ianya akan mengingatkan aku akan beberapa peristiwa pedih. Tetapi peristiwa pedih juga sering membawa kepada peristiwa gembira. Buat saat ini kedukaan kerana pemergian Tini tidak mungkin terubat seperti mana-mana peristiwa yang pernah kemudiannya mengembirakan aku. Mungkin kerana Tini terlalu sayang padaku dan aku jadi amat terasa kepergiannya. Tini tidak mungkin kembali kecuali guling ini menjelma jadi Tini.


Pertama kali aku pernah bertikam lidah dengan perempuan ialah dengan ibuku sendiri juga kerana perempuan.
“Kalau Maria aku tau. Usah kau nak bela-bela dia. Isteri yang cantik isteri ramai orang, Nordin,” tekan ibuku tanpa memberi sedikit ruang untuk aku menerang sesuatu yang lebih meyakinkannya. Sungguh pedih kata-kata ibu apabila aku berhajat mengambil Maria menjadi isteri.
“Perempuan kerja hotel, Nordin. Elakkan dari sesuatu yang mungkin jadi sebutan jahat. Aku tau dia cantik tapi cantik tidak menjamin kebahgiaan.”
“Dia bekerja, mak,” aku terus membela Maria.
“Aku tidak memerlukan semua itu kerana kita memang orang tidak berada. Walau tidak miskin.” Ibu tetap menentang niatku dengan alasan-alasan yang kedengaran benar tetapi tidak semestinya betul. “Aku memilih orang yang kaya budi bahasa. Maria bukan pilihanku!” Terlalu senang ibu meletakkan keputusannya sehingga lebih nampak cela Maria daripada kemurnian budi yang pernah kuketahui tentang dirinya. Kasihan Maria.


Maria mengandung sebelum bernikah. Khabarnya dengan suami orang. Aku terkejut dengan berita itu. Terlalu besar pengorbanan Maria untuk melupakan aku. Ibu seperti keramat. Siapa yang salah? Maria sendiri atau kerana aku tidak melayaninya lagi kerana ibu tidak setuju dengan pilihanku.


Kedengaran angin bertiup kencang diikuti hujan lebat sederap menerpa atap belian rumah ini. Fikiranku terus berlegar memikiirkan hal-hal diriku sendiri.


“Nordin mana tak suka kahwin dapat harta. Tua sikit tak ngapa,” kata Kak Munah seorang jurutaip di pejabat tempat aku bekerja. Merah hangat pipiku mendengar kata-kata Kak Munah.
“Anak Kak apa bezanya,” sahut Nora yang baru betukar ke pejabat kami bulan lepas.
“Perempuan tak ngapa. Dapat anak seorang dua dah nampak sebahaya dengan suami. Lelaki jarang benar. Tapi cinta ya, Nora?”
“Taupun! Tak boleh cakap, Kak. Jaman sekarang. Pilihan terhadkah atau suka memilihkah. Kita ni sama-sama ramai anak. Kena kontrol mulut sikit,” Nora memberi pendapatnya. Sementara itu Kak Munah menoleh dan terkejut besar apabila terpandang aku tercegat di belakangnya. Aku pura-pura senyum. Senyum pahit.
“Eh, Nordin. jangan kecil hati, Nordin. Kakak bergurau aje.”
“Apa saja yang mampu kita buat pagi-pagi begini Kak selain dari “warming-up”, mengayam ketupat. Memanaskan bibir dan lidah.” Sahutku sambil beredar dari situ. Sebenarnya Kak Munah tak perasaan aku sampai dulu dari mereka. Menyesal sungguh dia. Sehari itu entah berapa puluh kali Kak Munah minta maaf. Aku maafkan. Di pejabat aku menganggapnya seperti kakak.


Berita perhubungan aku dan Tini telah menjadi bahan bual rakan sepejabat. Ramai yang gembira. Tidak kurang juga yang sengaja menimbulkan kelakar bukan-bukan. Itu di pejabat. Di rumah pula aku terpaksa berdepan dengan ibu.
“Apa yang kau harap, Nordin? Anak atau harta. Kenapa dengan kamu, ni?” Ibu mula menyerangku. Aku diam. Bunga-bunga pertengkaran mungkin lebih hebat kalau aku membalas kata-kata ibu.


Hujan lebat. Lebat sungguh. Pintu terkuak. Ibu lagi. Kali ini dia menarik daun jendela yang tidak kututup sejak siang tadi. Aku pura-pura tidur.


Aku nekad mengahwini Tini walau pun tanpa restu ibu. Aku tahu ibu tidak merelakan. Sebab itulah aku terpaksa pindah rumah. Sebelum itu rumah ini dijaga oleh orang gaji sehingga Tini kembali dari Malaya apabila ayahanda meninggal dunia dua tahun lalu.


Mataku tidak mahu lena. Kuusap-usap kelopak mata. Terasa keras biji mataku. Keras seperti bebola kayu.


“Bang, marilah kita pergi ziarah ibu. Tak selamanya kita begini. Dua bulan sudah terlalu panjang. Berdosa kita dengan ibu,” Tini mengajakku bertemu ibu. Telah banyak kali Tini menyata hasratnya tetapi aku enggan. Bukan kerana keras hati tetapi takut disembur ibu. Kalau terjadi hal-hal seperti itu mana muka kuletakkan. Segan aku pada Tini. Walau memang aku menyedari ibu sebenarnya berkecil hati. Dia perlu dibujuk. Bagiku itu memerlukan lebih banyak masa. Aku harap Tini turut bersabar seperti aku.


Hujan masih lebat. Udara dalam bilik semakin sejuk. Ibu batuk berkali-kali. Mungkin kerana sejuk. Kasihan ibu.


Berita Tini mengandung melembutkan hati ibu untuk tinggal bersama kami. Alasan menunggu kelahiran cucu. Aku tahu diam-diam ibu gembira.


Memang sah Dr. Wee tidak tepat. Tini mengandung. Aku sungguh gembira. Tini lebih lagi gembiranya. Ibu semakin sejuk hatinya. Perhubungan antara mertua dan menantu semakin baik. Sesekali apabila kedua-dua mereka sibuk di dapur kedengaran mereka ketawa. Entah apa yang menggelikan hati. Aku bahagia dengan suasana begini.


Hujan mulai reda. Kokok ayam kedengaran sayup-sayup. Tini entah ke mana. Tidurkah ia atau seperti aku sedang memujuk kenangan.


Tini memang anak orang kaya lagi bangsawan. Tetapi kekayaan tidak membuat dia sombong. Yang kufahami sebenarnya Tini memerlu kasih sayang dan sebuah keluarga untuk mengadu sepi. Setiap bulan apabila aku membawa gaji balik dan menyerah semua kepadanya dia menyambut dengan kedua belah tangan tanda kesyukuran. Esok atau lusa Tini minta izin dariku menyerahkan wang itu kepada ibu. Aku tidak menghalang. Sebaliknya aku harap ibu gembira.


Ibu kata bawaan Tini mungkin anak perempuan. Seingatku memang ibu inginkan anak perempuan.


Pernah sekali dia berhajat benar mengambil anak angkat. Sebulan gajiku ibu gunakan untuk bayi perempuan Ah Kiaw, penoreh getah di kebun Haji Ludin. Kemudiannya isteri Ah Kiaw tidak setuju menyerahkan bayinya. Segala rundingan dibatalkan. Tapi ibu tidak pernah minta kembali wang lima ratus ringgit itu. Dia cuma menangis kerana terlalu berangan mungkin. Semua persiapan menerima bayi diserahkan kepada isteri Ah Kiaw.


Sampai sekarang apabila bertemu anak Ah Kiaw itu ibu seperti terkilan. Budak perempuan itu bernama Ah Soon tapi ibu panggil dia Sulhoon atau kadang-kadang Siti. Yang peliknya Ah Soon menyahut juga. Melekatlah nama itu untuk sekian waktu sehingga orang kampung mengenal Ah Soon dengan nama Siti Sulhoon. Kadang-kadang Sulhoon pakai baju kurung kalau ada kenduri di rumah kami. Mana tidaknya hampir setiap Hari Raya ibu sudah sedia dengan pakaian raya Sulhoon.


Kadang-kadang Sulhoon berpindah ke rumah kami sejak tujuk likur lagi untuk berhari raya. Ah Kiaw suami isteri tidak terdaya lagi menghalang Ah Soon mendekati kami. Dia berbahasa Mak Anjang pada ibuku dan berbahasa Abang padaku. Aku gembira dengan perangai Ah Soon yang manja dan lemah lembut. Setelah aku berkahwin dan terpaksa meninggalkan ibu seorang kerana berpindah ke rumah ini Ah Kiaw suami isteri datang melawat ibu. Mereka turut marahkan aku kerana meninggalkan ibu keseorangan. Kemudian disuruhnya Ah Soon menemani ibu.


Kokok ayam semakin meriah dan jelas. Kedengaran ibu bangun dan berjalan arah ke dapur. Bunyi air diceduk dari bekas.


Semasa mengandung Tini kularang mengisi air ke dalam buyung itu kerana aku tidak mahu dia mengangkat beban berat. Aku mengambil-alih tugas mengisi air ke dalam buyung. Bukan saja kerja mengisi air itu kularang Tini lakukan tapi sejak mengandung kujadikan ia seperti ratu. Tini gembira dengan kasih sayangku.


Sementara itu ibu juga bukan main banyak pantang larangnya. Alasan ibu Tini mengandung anak sulung. Tapi kadang-kadang Tini buat juga kerja-kerja itu apabila aku tiada di rumah, kata ibu. Aku sering dengar ibu melarang Tini membuat kerja dapur dan mencuci pakaian. Kata ibu, sekiranya Tini tidak sampai hati melihat dia membuat kerja-kerja itu biarlah ambil pembantu. Aku gembira kerana ibu nampak prihatin terhadap kesejahteraan menantunya.


Sebenarnya ibu sudah menempah ubat bersalin dari bidan Bedah. Ongkos tiga ratu ringgit. Ibu bayar sendiri. Kalaupun nanti Tini melahirkan anak di hospital dia nak juga bidan Bedah menjaga Tini sepanjang masa pantang. Aku mengiakan saja. Hal perempuan. Tapi hatiku gembira dan berbunga.


Belum azan subuh lagi. Ibu kudengar sedang membaca surah Yassin. Terlalu pilu kudengar suara ibu. Antara nyaring dan tidak tetapi jelas sebutannya pada pendengaranku.


Pagi semalam aku bergegas pulang dari pejabat. Tini menelefon minta aku balik segera. Tini mengadu dia mengalami pendarahan. Tini kubawa berjumpa doktor kerana risaukan kandungannya. Setelah memeriksa Tini, doktor memanggil aku ke biliknya kerana Tini mahu doktor sendiri memberitahu aku tentang perkara itu.
“Isteri Encik Nordin tidak sakit. Jangan risau,” jelas sungguh kata-kata Dr. Hamid padaku.


Ibu memberitahu aku petang tadi, sekembali dari klinik, Tini membawanya ke pekan. Tini membelikan untuknya sepasang gelang emas pintal. Ibu tunjuk gelang itu padaku sambil terisak-isak. Ibu kemudian memberitahu bahawa kemudian mereka terserempak dengan Maria yang terheret-heret dengan tiga orang anak yang masih kecil. Ibu memperkenalkan Tini kepada Maria. Mereka bersalaman kata ibu.


“Secara kebetulan, Makcik,” kata Maria, “Nordin jumpa kami di klinik tadi. Diapun ambil ubat juga. Katanya dia tidak sihat dan nak ambil cuti sakit. Dia ajak kami makan di restoran sebelah klinik tu,” kata Maria, ibu bercerita. Kata ibu lagi Tini kasihan melihat budak-budak tu, kerana Maria memberitahu bahawa suami keduanya telah kahwin lain dan menceraikannya.
“Apa betulkah kamu nak ambil anak Maria yang sulung tu jadi anak angkat, Din ? Yang sulung itu ibu rasa sudah besar betul. Dah nak masuk sekolah. Kalau kita ambil kasihan juga Maria tiada teman untuk disuruh ke mana-mana. Yang bongsu itu kan lebih baik. Baru sepuluh bulan, bayi perempuan lagi tu,” ibu berdebat panjang lebar sedangkan aku tidak perlu mendengar hal-hal seperti itu. Aku pura-pura terkejut mendengar hujah-hujah ibu. Memang Maria berkata yang benar. Ibu memberitahu bahawa Tini juga setuju kiranya aku mengambil salah seorang anak Maria. Dia mempelawa Maria datang ke rumah. “Mungkin esok Maria datang,” beritahu ibu.


Malamnya aku balik lewat. Jam 12.30 pagi. Tini masih menunggu. Tini membeli sepasang baju untukku. Aku tersenyum tanda terima kasih. Aku pura-pura. Sebenarnya aku sedih. Tini mungkin tau aku pura-pura. Aku tidak menjamahpun makanan yang dihidang Tini. Aku sebenarnya belum makan malam lagi. Aku ke bilik merehatkan badan. Aku pura-pura tidur.


Dalam samar lampu tidur aku nampak Tini cuba mengenakan gaun mengandung sambil membetul-betulkannya. Tidak lama Tini membuka kembali gaun itu. Tini mengambil bungkusan-bungkusan kecil dari almari. Bungkusan-bungkusan itu dibuka sambil diciumnya. Dari bungkusan-bungkusan itu dikeluarkan pakaian bayi. Tini selepas itu tertidur, mesra di sisiku. Aku turut terlena.


Ibu mengetuk pintu bilikku. Mengapa ibu mengetuk. Semalaman tadi keluar masuk bilik ini tidak pula ia mengetuk.
“Bagaimana dengan Tini, Din. dia tu mengandung. Hari dah hampir siang. Cuba-cubalah berikhtiar.” Berdebar-debar dadaku apabila mendengar kerisauan ibu dan prihatinya tentang menantunya yang sedang mengandung. Aku diam. Ibu masih tercegat di sisi katilku. Aku tidak menjawab kata-kata ibu. Aku teringat peristiwa semalam.


“Jangan risau Encik Nordin, isteri Encik Nordin sihat. Bukan pendarahan. Usah risau, tidak ada yang membahayakan.” Doktor Hamid menepuk-nepuk bahuku apabila aku meninggalkan bilik konsultasinya. Entah mengapa aku terlupa mengucap terima kasih kepadanya lalu bergegas keluar.


Ibu keluar. Aku terus mengelamun.


Tini bangun tengah malam. Aku sedar apabila Tini menuang air dari buyung kecil itu dan meminumnya. Tini membuka jendela dan mencurah air selebihnya ke tanah. Buyung kosong diletakkannya baik-baik di atas meja hias. Disebabkan kantuk aku lena kembali walau aku sedikit perasan Tini sedang mengemas-ngemas pakaian. Itu memang kebiasaan Tini bila dia kerisauan.


Aku dikejut deru kenderaan di jalan depan rumah. Jam 0415 pagi. Tini tiada di sisiku. Teringat aku kata-kata Doktor Hamid. “Bukan pendaharan, Encik Nordin. Ini haid biasa. Sering wanita yang akan putus haid mengalami jarak haid yang agak lama. Cuma jangan risau.”


Ketika aku meleraikan selimut ke samping, sekeping surat berlipat terjatuh ke lantai. Terdengar azan dilaungkan dari surau di hujung kampung bersebelahan perkuburan. Kalau ada Tini dia akan mengejutkan aku. Kami akan solat dengan ibu.


Kertas tadi masih kugenggam erat hingga kini. Telah kubaca puluhan kali untuk mencari pengertian yang lebih dari cuma perasaan seorang wanita yang putus harapan.


“Kalau abang sayangkan Tini jangan tinggalkan rumah ini. Rumah ini pasti mengingatkan abang tentang Tini. Seperti rumah ini, walaupun sudah tua tetap setia menyimpan kenangan. Rumah ini akan Tini uruskan untuk abang. Kahwinlah lagi, Tini izinkan. Izin juga Tini pulang ke sana. Di sana masih banyak kenangan yang belum terkumpul. Hari-hari tua begini hanya kenangan menjadi teman.”


“Tiniiiiiiiiiii.”


Ibu meluru masuk ke bilikku bertelekung.



- Abdillah SM

No comments: