KENANGAN
Dia berjalan lambat-lambat. Meninggalkan batu hitam. Teramat pilu. Bungkusan rokok itu sudah tidak menarik minatnya. Sengaja dibiarkan di situ. Menentu nasib; termanggu mereng atas lekuk kering batu hitam. Dalam masa sesingkat, bungkusan rokok akan dicapai gelombang. Akan terapung untuk seketika. Tenggelam, apabila tembakau di dalamnya meresap air laut. Berat. Basah. Dia nekad. Merokok pengibas kenangan. Kenangan sedih. Kenangan itu merusuh ke jantung kalbunya.
Siang yang cerah di pantai ini adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Pantai dengan pasirnya yang putih menganjur ke pinggir sebuah gunung di sebelah; hala ke laut adalah pemandangan semula jadi yang romantis.
Pinggir Gunung Dara yang kebetulan demikian kedudukannya adalah tanjung yang memisah pantai yang panjang ini dengan samudera biru. Tanjung di kaki Gunung Dara adalah gelanggang bagi ombak dari beting sejauh satu batu ke laut menghempas diri di atas longgokan batu hitam besar dan berkilau. Di pinggir Gunung Dara hala ke samudera lepas sebelah barat terbentang sebuah lagun yang indah.
Berjalan di pantai seperti ini dan sesekali ombak mencapai betis adalah pada mulanya pertemuan yang tidak disengaja. Seorang anak kota yang belum sebati dengan asin air laut bagaikan menunggu-nunggu satu realiti dari tendangan psiko, yang dialaminya dalam pondok sewaan di daratan pantai ini.
Pada suatu malam bulan penuh. Dorman merayau-rayau beginilah apabila dia terasa satu ajakan yang membatahnya meneruskan penitian pantai ini. Tanpa mencurigai apa-apa, cuma kerana keletihan perjalanan jauh ke pantai ini, mungkin ada baiknya dia tidur lebih awal dari biasa untuk seterusnya bangun awal pagi esok lalu menikmati udara segar di sini lagi. Satu perjanjian yang dimeterai bersama Pantai Pasir Putih.
Dari pantai dia berjalan lambat-lambat menuju ke pondok sewaannya yang cuma menempatkan sebuah pangkin dan sebuah kerusi malas. Apabila sampai, dipasangnya pelita minyak lalu menarik keluar sebatang rokok dari kotaknya. Rokok diinyala dengan rasa hendak tak hendak.
Dorman terus berbaring sambil menghisap rokok. Dia sedar dirinya belum tertidur lagi, dan pintu pondok memang dibiarkan terkuak kerana mahukan angin laut meluru ke dalam tanpa halangan menyapa mukanya, seorang anak kota yang inginkan kesebatian dengan laut.
“Yang kutahu jasmin adalah bunga,” kata hatinya tertanya-tanya. Dari hatinya juga dia mendengar jawapan yang mengelirukan.
“Akulah Jasmin. Akulah bunga. Akulah bunga yang tidak pernah ‘kan layu. Jasmin akan kekal segar sepanjang masa selagi pantai ini masih wujud. Jasmin dan pantai ini adalah pasangan yang tidak pernah dipisah-pisahkan. Yang ingin menikmati keindahan pantai ini tidak lengkap pengalaman kalau tidak kusapa ia dengan jelmaan seperti ini. Kamu, seorang pengunjung yang kupilih untuk purnama ini.”
Apakah ia iblis atau malaikat yang amat tiba-tiba hadirnya lalu mengajak Dorman kembali ke pantai dengan keadaan letih dan kantuk. Dorman bergerak, melangkah dalam keterapungan suasana serta sekitaran yang lunak dan ringan.
Jasmin: Dari matanya terpancar sinar gemilang yang tidak pernah terlihat pada mata seorang perempuan yang benar-benar wujud. Matanya yang kuyu itu apabila ditatap ialah himpunan kesayuan pengalaman dan kegelisahan jasad yang kini membimbing tangan Dorman menyusuri pantai tengah malam bulan purnama.
Semilir angin laut yang lembut dirasakan mengajak dirinya; bagaikan sebuah bahtera kosong bergerak lambat-lambat ke hadapan mengharungi sebuah dunia asing.
Dorman terkejut apabila rokok yang tadinya baru dinyala masih tersepit di jari dan abunya yang melengkung dan panas jatuh ke dadanya. Dia bangun dari pangkin lalu mencecah puntung rokok ke dalam sebuah bekas.
Angin dari pantai masih meluru tanpa halangan menyapu dinding pondok penuh debu asin. Cahaya bulan menyampai jalur-jalur sejuk dan lembut ke muka Dorman melalui lubang-lubang atap nipah kering. Ketika inilah dia ingat rupa-rupanya sebahagian malam itu seterusnya dihayati dengan tidur yang nyenyak hingga terbit suria di pipi laut; kini bergelora menerima ciuman pertama. Dan Dorman sudah berada di pantai ini lagi; terpesona.
Kini, apabila dia berjalan-jalan di gigi pantai dan sesekali ombak mencapai betisnya, adalah pengulangan pengalaman setahun yang lalu. Waktu itu hujan turun dengan lebatnya. Matahari meretak siang apabila seorang perempuan berlari-lari dari daratan. Bermula pada rimbunan pohon-pohon ru. Lalu dihampirinya Dorman yang mencari-cari tempat berteduh.
“Aku Jasmin: Selagi kau mengingati pantai ini dan setia berkunjung ke mari, dalam apa keadaan sekalipun, aku tetap ada. Pantai ini, pohon ru, bulan purnama, sinar suria dan aku, adalah sebuah kehidupan yang jarang-jarang diketahui orang kecuali mereka yang ingin kudampingi,” berkata perempuan itu padanya dengan bahasa kerlingan.
“Ya. Aku ingat, kau Jasmin. Tapi, di mana ya….?” Terputus di situ pertanyaan Dorman. Sememangnya patah-patah perkataan itu tidak pernah terlepas dari bibir Dorman.
Semilir angin laut yang lembut rupa-rupanya sekali lagi mengajak Dorman dalam hujan panas kekuningan untuk mengulangi pengalaman yang lalu. Percayalah bahawa laut, pantai dan matahari adalah satu dunia yang serba berlainan apabila hari hujan seperti ini. Perempuan ini menghadangnya daripada naik ke daratan dengan senyumannya, dan Dorman bagaikan pemuja yang ralip menatap dewi jelmaan Pantai Pasir Putih.
Jasmin, matanya merenung tepat ke mata Dorman dan tidak berkedip sedikitpun dalam hujan lebat, seakan dia ingin mengerudi ruang jantung dan isi hati Dorman. Sungguhpun demikian pandangan itu amat menenteram. Apa yang terlihat di wajahnya tiada perbandingan yang cocok untuk menyata keindahannya. Apakah mungkin dia ratu kepada dewi-dewi. Jadilah Dorman seorang manusia yang telah dibekukan oleh keinginan, dan dia tercegat dalam hujan panas di tepi pantai yang romantis.
Di sinilah pengalaman ajaib itu berlaku empat tahun lalu. Dan sejak itu dirinya adalah pengunjung pantai ini yang tidak pernah merasa jemu dengan keindahannya. Dari kota penuh asap dan debu dia datang ke pantai ini mencuci kekotoran di dada dan di mata, paling kurang sebulan sekali.
“Jasmin sebuah kisah lama. Tapi benar,” kata seorang anak nelayan kawan Dorman yang tinggal di perkampungan berhampiran. Kerana sering berkunjung ke sini, Dorman mulai kenal dengan penduduk setempat. Dan anak nelayan ini, seorang budak yang lincah dan cerdik, amat akrab bagi Dorman apabila mengunjungi pantai ini.
“Jasmin sebenarnya gadis sunti kacukan Inggeris dan Melayu,” jelas anak nelayan itu lagi. Dorman dan Zul, anak nelayan yang lincah itu berjalan-jalan di gigi pantai. Sesekali ombak mencapai betis, Dorman teringat bahawa ini baginya adalah pengulangan sebuah pengalaman.
Mereka menghisap rokok. Pada mulanya memang pelik Dorman melihat Zul semuda itu sudah pandai merokok. Pernah sekali dia memberitahu Zul bahawa merokok itu tidak sihat. Tapi Zul sudah pandai menghisap rokok sejak berumur tujuh tahun lagi apabila dia mulai berjinak-jinak dengan perahu dan laut. Mana boleh seseorang itu memberi nasihat dengan berkesan kalau dia sendiri masih melakukannya, timbang Dorman sendirian.
Angin laut bertiup tidak begitu lembut seperti disangkakan. Kalau tidak mana mungkin sesekali terasa badan Dorman terlayah ke kiri dirempuhnya.
“Kisah Jasmin ini kisah lama,” sambung Zul. “Perkara ini sudah jadi cerita lama, bang.” Tambah Zul lagi. “Jasmin ialah anak seorang pegawai Inggeris yang berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Kalau tak salah di bawah pokok-pokok ru di sana itu dulu ada sebuah rumah batu yang yang telah dirobohkan kerana dikatakan berhantu, menurut nenek Zul. Rumah itu kepunyaan pegawai Inggeris yang kahwin dengan gadis Melayu. Jasmin memang anak tunggal mereka.”
“O begitu,” kata Dorman kehairanan. Dia cuba menghubungkan peristiwa pertemuannya dalam hujan panas dengan seorang perempuan yang berlari-lari anak dari rimbunan ru itu.
Lembat betul budak ini bercerita, rungut Dorman dalam hati. Dia menghulurkan kotak rokok kapada Zul. Zul memang tidak menolak. Dia merokok. Selama berkawan dengan Dorman, Zul merokok sambung buntut.
“Kata nenek Zul, di situlah rumah pegawai Inggeris bapa Jasmin. Hantu tu.” Katanya. “Jasmin itu hantu,” tegas Zul. “Apa abang nak tau sangat?” Zul bertanya pada Dorman. “Nak buat apa, bang? Abang nak kahwin dengan dia?” Tak terjawab Dorman pertanyaan Zul yang bertindih-tindih itu. Mereka sama-sama ketawa, bergurau, kejar-mengejar.
“Zul, kamu ni cabul sangat,” marah Dorman. Sambil bercakap-cakap, mereka terus menyusur pantai hingga sampai ke pertengahan perjalanan ke tanjung Gunung Dara. Mereka berhenti sebentar di atas batu hitam, sebahagian daripada batu itu ditenggelami air.
Rokok hampir habis. Tinggal sebatang dua lagi. Zul pula jual mahal dengan cerita Jasmin. Lambat Dorman menghulur rokok, dia pula minta-minta. Kadang-kadang melihat perangai Zul, Dorman rasa nak ketawa. Seorang budak lincah dia. Kadang-kadang terfikir Dorman kalaulah Zul dihantar ke sekolah rasanya budak ini masih boleh menerima pelajaran. Kecuali ketagihannya dengan rokok itu saja membuat Dorman ragu-ragu.
“Jasmin itu cerita hantu, bang. Tapi dia betul-betul hilang dan dia betul-betul pernah hidup,” kata Zul menyambung cerita neneknya.
“Memanglah dia pernah hidup kalau tidak mana pula dia boleh hilang.” Mengarut cakap budak Zul ini. Dorman senyum sendirian.
“Dia seorang gadis cantik…. Memang cantik,” tekan Zul lagi. Macamlah dia pernah melihat Jasmin, fikir Dorman sendirian sambil tersenyum-senyum mendengar cerita Zul.
“Kenapa abang senyum-senyum?”
“Mana tidaknya. Dah cantik sangatlah tu. Jangan-jangan dia yang teringin berkahwin dengan Jasmin,” sahut Dorman.
“Abang jangan main-main, ini cerita benar, tau,” jawab Zul sambil ketawa lalu menggeletek Dorman dan mereka kembali kejar mengejar.
“Semasa…, ibu….. , dan….., ayahnya, hendak…balik, negeri…..,” Zul cuba meneruskan ceritanya, tercungap-cungap kerana baru berhenti berlari, “Jasmin… enggan…. turut sama….. Jasmin… suka tinggal di sini…, bang,” kata Zul sambil menghisap rokok dan menyedut asap dalam-dalam, kemudian melepaskannya perlahan-lahan.
“Macam orang tua yang betul-betul ketagih rokok budak Zul ’ni,” kata Dorman. Zul melongo memerhatinya.
“Apa Bang?” Zul bertanya hairan.
“Kamu tak bolehkah berhenti merokok?” cadang Dorman dengan nada tegas.
“Abangpun merokok he he he…,” sahut Zul sambil menolak lengan Dorman.
“Abang bercadang berhenti merokok.”
“He he he he, rokok dah habis. Berentilah.” Zul menjawab.
“Cerita Jasmin belum habis, Zul.”
“Hah, itulah. Ikut cerita, Jasmin jatuh sakit. Pemergian mereka ke negeri Inggeris itu terpaksa ditunda. Waktu sakit-sakit begitulah, pada tengah hari hujan panas seluruh keluarga Jasmin gempar dan heboh kerana Jasmin hilang.
“Pada malam Jasmi hilang, ayahnya bermimpi Jasmin datang padanya minta disediakan makanan supaya diletakkan di kawasan belakang rumah mereka, kebetulan dekat hutan ru itulah,” Zul menunjuk ke arah rimbunan ru.” Zul seperti melengah-lengahkan cerita tentang Jasmin.
“Lepas itu macam mana?” tanya Dorman tidak sabar-sabar lagi.
“Tunggu dulu. Minta rokok, bang.” Zul meminta. Dorman memberi kotak rokok pada Zul.
“Batang yang terakhir,”katanya.
“Bang, mancis bang.”
“Mana ada mancis lagi? Kamu dah jatuhkan tadi. Puntung rokok, Zul?”
“Habis. Padam.” Zul menjawab, hampa.
“Habis, habislah,” sahut Dorman. Mereka sama-sama ketawa.
“Yalah, orang putih mana percaya dengan mimpi dan ancak-ancakan seperti itu.” Zul menjelaskan pendapatnya. Masam saja mukanya kerana menyepit rokok yang tidak berasap. Sementara itu Dorman berfikir diam-diam. Merokok di peringkat umur budak Zul mungkin dapat dihentikan, sekiranya Zul mempunyai aktiviti yang lebih menyeronokkannya. Memang Dorman pernah berjanji pada dirinya sendiri, kalau ayah Zul izinkan, dia ingin membawa Zul ke bandar supaya dia dapat bersekolah di sana.
“Ibunya orang bangsa kita, ‘kan?” tanya Dorman seperti menempelak, memecah kesepian mereka.
“Yalah. Tapi orang nak jadi mem mana boleh percaya mimpi-mimpi yang karut. Abang tau apa yang terjadi? Mem Melayu itupun jatuh sakit. Tidak sempat dia melihat tanah Inggeris. Dia meninggal di sini dan dipendamkan di depan rumah mereka. Dan ayah Jasmin, semasa dalam pelayaran ke Singapura menuju negerinya; terjun kapal bunuh diri. Mungkin kerana terlalu sedih.” Zul menghabis ceritanya. Hujan sudah turun di laut lepas. Matahari masih terik seperti tadi juga. Hujan kini merusuh ganas ke daratan. Zul mengajak Dorman berlari cepat-cepat.
Hari ini Dorman berada di pantai ini kerana mendapat berita seorang anak nelayan muda hilang ditelan lagun Pantai Pasir Putih. Dari bandar kediamannya Dorman bergegas dengan kereta ke kampung nelayan itu. Sesampai dia terus ke rumah keluarga Zul. Setelah bertanya khabar dengan ayah Zul dan mengucap takziah Dorman menghulur sedekah. Tidak lama selepas itu dia minta diri dan bersalam. Hatinya begitu pilu.
Berjalan-jalan di gigi pantai seperti ini sesekali ombak mencapai betis adalah pengulangan pengalaman bersama Zul. Dorman terus juga menyusuri pantai hingga sampai ke batu hitam di kaki Gunung Dara. Berdiri seketika dia di situ.Teringat dia akan persiapannya untuk membawa Zul tinggal di bandar dan menyekolahkannya. Dia tidak tahu nak buat apa dengan buku-buku dan seragam sekolah yang telah dibelikan untuk persediaan.
Semasa meninggalkan rumah arwah tadi, Dorman amat tersentuh dan menitis airmata apabila terlihat topi mengkuang yang sering dipakai arwah tersangkut di dinding kajang dekat pintu. Apakah cuma topi mengkuang itu saja yang terselamat. Imaginasi Dorman meliar.
Dorman berdiri sambil memandang ke laut lepas. Matanya terasa berkaca. Dia menangis. Pilu dan duka berebutan mengisi ruang kesedihan yang retak nganga di dada. Dalam keadaan tafakur dia mensedekah Al Fatihah puluhan kali untuk teman yang tidak akan terjumpa lagi. Duka, adalah Pantai Pasir Putih.
- Abdillah SM
No comments:
Post a Comment