Minah duduknya gelisah atas bendul pintu sejak tadi. Malam semakin gelap. Ribut baru saja reda. Guruh masih lagi kedengaran, berguling-guling di kejauhan langit sebelah timur. Dia belum pulang lagi.
Dimanakah dia malam gelap-gelap begini? Terlalu terhimpit rasa Minah ditinggalkan dengannya. Terlalu banyak masalah yang timbul. Dari hidup menderita begini lebih baik mati kita berdua.
Tapi Minah tidaklah mahu memikirkan tentang mati. Biarlah mereka sama-sama hidup. Tidak wajar memikirkan mati cuma kerana ada masalah. Tapi mengingatkan diri bahawa kematian itu sesuatu yang pasti memang baik. Kurang adil pada diri sendiri kalau cuma memikirkan mati apabila ada masalah. Tetapi pura-pura melupakannya apabila hidup senang. Minah beristifar.
Hidup semakin hari bagaikan duri dalam daging dirasakan. Sedangkan pencen terbitan gemulah yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan sebagai Peon di Pejabat Daerah belum selesai-selesai lagi. Telah belasan kali dia turun naik pejabat menguruskannya.
Sejak mengenal diri dan sekitaran, Minah tidak pernah ingat ibunya. Ibu Minah meningal dunia sewaktu Minah berumur kurang dua tahun. Selama tujuh tahun Minah diperlihara oleh ibu saudaranya, Mak Uda. Beliaulah satu-satunya saudara kepada ibunya. Selain dari orang tua itu, Minah dan Janot tidak mempunyai kerabat lain yang hampir. Gemulah bapanya pula berasal dari Pulau Sarasan.
Hati Minah semakin resah menunggu Janot yang belum pulang-pulang lagi. Waktu hujan-hujan begini memang takut Minah tinggal seorang diri di pondok terpencil dari perkampungan orang. Di kiri rumah sesak dengan paku midin. Di belakang rumah pula selut belukar hutan. Jauh ke darat di belakang rumah ada sebuah anak sungai yang mengalir dari sebuah bukit berhutan tebal. Di depan rumah ada pokok nyiur dan pokok manggis dua tiga batang.
Janot belum nampak-nampak lagi.
Dalam degup ngeri perasaan, Minah sempat juga memerhatikan kunang-kunang berhimpun di pohon-pohon manggis. Minah ternampak api colok. Itu mungkin kakak, fikir Minah. Lega hatinya.
Api dari colok bergerak ke kiri tetapi cahayanya sesekali hilang sesekali nampak. Bukan apa fikir Minah, kawasan itu tebal sesak rumput dan tumbuhan melelat maka keterusan pandangan jadi tersekat-sekat.
Bukan. Orang membawa colok itu tadi bukan Janot. Orang itu menyimpang ke sebelah kiri. Gelisah Minah bermula lagi.
Janot yang suka berjalan keliling kampung lewat-lewat ini telah menimbulkan satu masalah pula apabila budak-budak nakal suka mengusiknya. Dia sudah besar panjang, memanglah tidak elok berkelakuan begitu. Tapi Janot cacat. Umurnya sudah dua puluh tiga tahun bukan ukuran untuk mengharap sesuatu yang betul dari perbuatan Janot.
Petang semalam Janot lari lintang-pukang dan terjatuh dekat jambatan menuju ke pondok mereka. Mukanya lebam-lebam dan badan calar-balar di sana sini. Hati Minah rasakan terhiris kepiluan kerana menahan dendam yang belum pernah dapat disampaikan kepada budak-budak nakal itu.
Kunang-kunang berkumpul rapat. Sungguh cantik kunang-kunang apabila berkumpul begitu. Tetapi kalau dipandang lama-lama, mengerikan. Macam mata hantu, fikir Minah. Mana boleh. Dia mana pernah melihat mata hantu.
Lebam-lebam begitupun Janot tidak serik lagi. Subuh-subuh sepi dia sudah bangun seperti biasa bersiap-siap hendak pergi. Minah menegurnya. Janot menurut. Cuma satu kebetulan sahaja kerana biasanya Janot peduli apa.
Berpindah kunang-kunang dari pokok manggis di tepi parit ke pokok manggis berdaun lebat dekat perigi buta. Minah cuba mengamati. Tidak jadi. Minah tidak mau menghayalkan benda yang pelik-pelik walaupun memang kunang-kunang itu cantik. Minah tercium nasi hangit. Bergegas dia ke dapur.
Hangus nasinya. Dialihnya periuk dari tungku yang masih berbara itu. Setelah itu Minah terus ke bendul pintu lagi sambil membawa sebiji pelita dan meletakkannya di atas anak tangga. Minah merenung ke simpang jauh dalam kegelapan.
Kunang-kunang yang banyak tidak kelihatan lagi. Cuma beberapa ekor sahaja berterbangan menghadang sepoi yang bertiup dari barat. Api pelita di depan Minah meliuk-liuk. Pelita diambil oleh Minah dan diletakkannya di atas lantai dekat dinding. Tidak jadi pula di situ. Takut dinding nipah kering disampai api. Dialihnya.
Dari tandas Janot terus naik ke rumah. Tersengeh-sengeh dia sambil melihat Minah. Cepat sungguh, fikir Minah.
"Kakak belum basuh lagi 'kan? Berbasuhlah, kak.....?" Tanya dan pujuk Minah sekaligus. Dia pasti Janot faham. Janot kembali ke bawah menuju perigi.
Tidak lama kemudian dia naik. Minah sedang membuat kopi. Janot tersengeh-sengeh lagi. Masih berkemban. Meleleh liurnya.
"Tak sejuk, kak. Kenalah baju dulu. Lepas tu, kita minum." Nasihat Minah. Janot masuk ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar lalu duduk menuju minuman yang telah Minah siapkan. Sambil duduk Janot tergaru-garu betis hingga ke paha. Entah kerana digigit nyamuk di tandas tadi. Tangan Janot semakin kerap menggaru. Semakin asyik. Tersingsing sarung Janot hingga ke pangkal paha.
Janot tidak peduli kali ini. Dia terus duduk mengadap kopi yang masih panas itu bagaikan hendak dihabiskannya sekaligus. Minah menarik nafas. Dia cuma mengerling ke arah Janot. Sudah nasib, keluhnya dalam hati.
Nafas Minah rasakan tertahan-tahan. Dia betul-betul resah. Janot belum pulang lagi. Kunang-kunang yang bersembunyi di belakang daun-daun manggis berarak ke pohon yang lain. Hujan merintik-rintik.
Minah terdengar ayam terkiuk-kiuk. Reban belum di tutup, ingat Minah. Dia turun ke bawah. Reban ditutupnya. Setelah itu Minah naik dari pintu belakang yang kebetulan pula terlupa dikuncinya. Dia terus menuju jabir mencuci kakinya yang berselut. Lepas itu Minah ke pintu depan lalu duduk lagi di bendul.
Kunang-kunang berkumpul lagi. Bulatnya, fikir Minah kehairanan. Tidaklah juga sebulat bola. Tapi memang kunang-kunang itu berkumpul jadi beberapa bebola api. Walaupun tidak kelihatan seketul seperti tadi, memang ia tetap mengerikan juga, fikir Minah.
"Tahniah, Aminah. Syabas. Awak akan ke universiti tahun ini." Minah mengimbas pertemuannya dengan Guru Besar jam sebelas pagi tadi.
"Terima kasih, Cikgu," Minah membalas ucapan tahniah gurunya. Masuk universiti ada masalah. Tidak masuk universiti juga ada masalah. Masalah baginya ada di mana-mana.
Berkedut dahi Minah. Janot belum balik lagi. Kelewatan Janot malam ini nampaknya luar biasa. Terlalu lewat. Ini bukan kebiasaan kakak, fikir Minah.
"Tengok Idrus, dapat biasiswa tak dapat tempat. Awak beruntung, Minah. Tempat dapat biasiswapun dapat. Jawab cepat surat dari universiti 'tu. Pasal kakak awak, ibu saudara awak tentu tidak keberatan menjaganya sementara awak belajar. Bukannya lama. Yalah kalau dikatakan lama memanglah lama. Tapi peluang seperti ini sayang dilepaskan, Aminah."
"Terima kasih, Cikgu."
Minah memanjang-manjangkan lehernya memandang ke simpang. Gelap. Janot entah ke mana.
Sungguhpun demikian Minah dapat merasakan bahawa hubungan antara dia dan Idrus, tidak dapat dinafikan jauh lebih rapat, apalagi kerana mereka adalah rakan sedarjah. Idrus sering datang ke pondok mereka untuk mengulang kaji pelajaran bersamanya. Idrus datang dua kali seminggu membelah kayu api untuk mereka. Ikatan kekeluargaan dan rasa tanggung jawab terhadap saudara yang telah ditunjukkan oleh ibunya, serba sedikit tertanam juga ke dalam peribadi Idrus.
Minah teringat tentang masuk universiti. Tentang pencen terbitan gemulah ayahnya. Dan tentang Janot yang pernah dicadangkan oleh gurunya supaya dihantar ke rumah kebajikan memang Minah tidak sanggup. Entah macam mana pula perlihara orang, fikir Minah.
Ayam dalam reban di bawah rumah terkiuk-kiuk. Minah tidak peduli lagi kerana reban sudah ditutup. Terdengar dia anjing menyalak di kejauhan.
Tentang Idrus lewat-lewat ini selalu marah-marah dengan kelakuan Janot, Minah fikirkan juga. Memanglah Janot kadang-kadang perbuatannya boleh di anggap mengada-ngada, kalau dia digolongkan sebagai orang normal. Tapi Janot memang sudah begitu caranya. Sejak dulu lagi. Apalah yang pelik sangat. Semua orang tahu.
Minah mengalihkan pandangannya dari kunang-kunang di pohon manggis ke cahaya colok yang bergerak-gerak menuju ke jambatan. Dalam pada itu teringat dia satu peristiwa Janot.
Hari itu Janot hampir-hampir dikapak oleh Idrus. Waktu itu Idrus sedang membelah kayu api untuk mereka. Tidak semena-mena, menurut kata Idrus yang Minah dengarlah, Janot turun dari pondok lalu duduk dan kencing betul-betul di hadapannya. Tapi Janot memang tidak betul orangnya. Apa yang pelik.
Minah tidak terkejut apabila balik dari sekolahnya petang tadi mendapati Janot tidak ada di rumah. Satu perkara biasa. Kalau tidak di rumah Mak Uda, Janot mungkin di rumah Ngah Ali kerabat sebelah suami Mak Uda. Isteri Ngah Ali sering juga memberi Janot makan. Kalau tidak di kedua-dua tempat itu, Janot mungkin menonton telivisyen bersama budak-budak di kedai kopi. Tapi tidak pernah dia balik selewat ini.
Kelihatan seorang lagi yang membawa colok. Kalau membelok ke jambatan Minah pastilah itu Janot. Colok Mak Udalah yang dipinjamkannya, Minah mengagak. Dah berapa batang belum sempat dihantar balik. Minah mengeluh. Dia masuk ke dalam. Lega hatinya.
"Minah! Minah! Ada kamu di rumah?" Minah bergegas ke muka pintu.
"Mak Uda, Ada apa, Mak Uda?" tanyanya. Tersilap dia rupanya.
"Tak mengapa, aku nak cepat ni. Janot mana?"
"Kakak belum balik. Minah ingat dia di rumah Mak Uda"
"Tak ada dia di sana. Buat fasal lagi budak ni. Macam mana ni, Minah? Bingung betul aku dibuatnya."
"Biasa, Mak Uda. Nanti dia balik." Minah menyabarkan Mak Uda. Tapi dia sendiri hatinya bertambah bingung.
"Kau tau, tak? Tengah hari tadi, dia kupaksa balik. Dia bergaduh dengan isteri Aji Jali. Dia berak depan kedai orang, siapa tak marah. Kebetulan aku ke kedai nak beli minyak tanah. Aku dengar orang bergaduh. Aji Tipah isteri Aji Jali bergelut dengan Janot dalam lumpur dekat kedai. Aji Jali naik marah. Diambilnya parang nak ditetaknya Janot." Tidak terjawab Minah cerita Mak Uda. Semakin resah dia mendengar berita itu.
"Patutlah sarung dan baju kurung di jabir tempayan itu berlumpur. Rupa-rupanya....."
"Sudah. Biar aku cari dia. Kau jangan ke mana-mana." Mak Uda bergegas pergi.
Hujan merintik lagi. Rasanya terpaksa juga Minah pergi mencari Janot. Kunang-kunang tidak seekorpun kelihatan. Minah mengenakan kasut getah. Lepas itu diambilnya pelita lalu turun tangga berhati-hati. Kedengaran Minah bunyi seperti orang berjalan-jalan dalam becak di bawah rumah. Minah tidak peduli. Dia turun juga.
Kunang kelihatan semakin banyak. Berterbangan di mana-mana saja. Antara yang berwarna perak keputihan ada seekor dua kunang-kunang bercahaya merah dan biru tua.
Tiba-tiba pelita yang dilapnya terpadam. Minah perasan; api pelita itu tadinya seperti terhembus oleh sesuatu dari arah kiri. Gelap pekat kini. Terkejut Minah. Tiba-tiba dirinya dipeluk dari belakang. Minah meneriak sekuat-kuat suaranya. Pelukan itu semakin ketat dirasakan. Minah cuba melepaskan diri.
Bergelut Minah dalam gelap. Terjatuh. Tertiarap. Terlentang. Minah cuba meneriak. Tidak berdaya lagi Minah. Dia dihempap dan digomol. Minah letih. Terlalu letih Minah melawan. Minah tidak berhasrat menyerah tetapi keupayaannya begitu terbatas. Masih juga Minah melawan, berusaha dengan tenaga yang berbaki. Namun, terpaksa juga akhirnya.
"Minah! Kita kahwin saja"
"Jahanam! Jahannam! Sampai hati kaubuat aku begini! Sampai hati, kamu!"
"Minah! Minah! Emak datang." Bergegas dia ke menuju semak paku midin di sebelah kiri pondok.
Kunang-kunang terbang menari-nari di atas rumput di halaman.
"Minah! Minah! Janot dah balikkah?" Mak Uda bertanya dari halaman lagi.
"Minah!" Mak Uda sudah sampai ke kaki tangga.
"Minaaaaah!" Tiada juga jawapan. Tidak ada lagi pelita di pintu. Mak Uda bertambah bingung.
"Ke mana perginya budak niii. Dah kularang pergi, pergi juga." Mak Uda merungut. Dua kali Mak Uda jatuh terduduk di atas titian kerana licin selut.
Anjing menyalak di kejauhan. Sayup-sayup salakannya. Salakan memanggil hantu sesat jalan.
Nampak cahaya pelita dari tempat mandi. Dekat perigi. Tempat mandi itu berdinding nipah tetapi tidak beratap. Mak Uda bergegas ke situ.
Darah beku bagaikan agar-agar merah tua tertumpah di atas papan. Minah tertiarap memeluk Janot. Kepala Janot mereng ke kiri. Terdedah liang tetakan di lehernya yang hampir memisahkan badan dari kepalanya.
- Abdillah SM
No comments:
Post a Comment