KUPU-KUPU PUTIH
Semuanya tak terurus. Cangkir dan pinggan bergelimpangan di atas lantai bilik makan, bilik tamu hinggalah ke bilik tidur. Atas katil ada gelas dan cangkir. Kain cadar yang cantik buatan Itali telah ditumpahi kopi. Permaidani warna kuning senja dalam bilik tidur sudah comot. Corak bunga mawar melelat yang indah di permukaan permaidani sudah bertompok-tompok dengan abu rokok dan bekas hangus. Rokok yang hanya separuh dihisap, bertaburan di mana-mana sahaja di dalam rumah itu seperti sudah jadi amalan penghuninya.
Empat bulan. Selama itulah Mala mula bencikan segalanya, kecuali rokok dan kopi pahit. Kalau bukan rokok dan kopi apa lagi yang digemarinya ? Mala bertanya pada diri sambil tersenyum-senyum bila terjaga jam dua petang. Bangkit dari tidur panjang sudah biasa bagi Mala.
Bagaimana akan kunyatakan padamu, Abas, bagaimanakah? Cincanglah aku, cincanglah. Bunuhlah aku. Bunuhlah. Kalau kautanya kenapa tidak saja kubunuh diriku; itu perkara senang. Aku boleh lakukan; pelbagai caranya. Namun matiku nanti adalah sebuah rahsia, menyimpan sebuah rahsia. Yang tidak akan dapat dipecahkan. Kecuali.
Mala cuba-cuba bangun setelah duduk di tepi katil untuk beberapa ketika. Tidak jadi Mala bangun. Penglihatannya tiba-tiba gelap. Mala duduk kembali tetapi lambat-lambat. Dia memicit-micit dahinya. Lambat-lambat. Setelah berasa pulih barulah dia bangun lalu melangkah menuju bilik mandi.
Aku mahu memberitahu kau segala rahsia ini sebelum aku mati. Aku mahu kau menghadapi kenyataan kematianku sebagai tanda masih ada sejalur putih kejujuran di hatiku.
Di hadapan cermin di bilik mandi, Mala memerhati mukanya untuk beberapa saat. Setelah itu Mala melangkah berhati-hati ke bejana basuh lalu berkumur. Dari situ dia ke cermin lagi. Direnung wajahnya dengan serius. Wajah itu semakin berubah setiap kali dia berhadapan dengan cermin.
Sepuluh tahun aku menanggung seksanya keinginan pada kelahiran yang suci dan murni. Sepuluh tahun jua aku mengerti betapa kau bagai penunggu buah yang tidak jatuh-jatuh. Namun dengan sabar kaupendam hasratmu yang bergelora itu jauh ke lubuk hatimu, terlalu tulus dan kudus berbanding hatiku yang kini sudah tercemar kembali kemurniannya.
Sememangnya muka Mala tetap pucat kekuningan seperti semalam juga. Direnungnya badannya yang semakin kurus, seperti semalam juga tulang-tulang di dada bidangnya kelihatan menonjol. Renungannya kini beralih ke perutnya. Perut itu pula semakin hari semakin besar, menolak gaun tidur ke depan.
Di situ renungan Mala terhenti seketika. Dia gerun. Kegerunannya terbayang pada muka cengkungnya apabila bulu keningnya bagaikan bertemu. Hati Mala semakin kecut. Seperti selalu wajah dalam cerrmin itu dirasa seperti bukan wajah dirinya. Dada Mala berdebar. Lekas-lekas dia beredar dari situ.
Dua ekor cicak berkejaran di siling ruang tamu. Jantan dan betina.
Tergesa-gesa keluar dari bilik mandi, Mala terus berjalan ke bilik makan. Terlalu lama pelayaranmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu rupa-rupanya telah memberi peluang pada keinginan untuk membukti keupayaanku. Keinginan yang tidak terlintas di hatiku melakukan kalau kau tidak pergi; selama pemergianmu ini.
Praaaak!
Terkejut Mala.
Diurut-urutnya dadanya menahan degupan jantungan yang mendadak kuat. Sebiji pinggan terjatuh dari meja makan apabila seekor kucing hitam melompat lari apabila terpandang Mala berjalan ke arah meja. Kucing hitam masih menikus di balik daun pintu ke bilik dapur. Mala terus meluru ke arah meja, mengambil sebiji pinggan yang masih kotor lalu melontarkannya ke arah kucing itu.
Praak!
Sebiji lagi pinggan pecah.
Di antara pinggan dan mangkuk yang masih kotor dan bertindih-tindih di atas meja, diambilnya biskut dari bekas kaca. Biskut dikunyah seperti hendak tak hendak. Setelah itu dituang kopi daripada teko terus ke mulutnya. Seekor lipas merayap ke betis. Mala terkejut dan terlepas teko kaca dari genggaman. Berkecai teko di atas lantai mozaik yang keras. Mala peduli apa yang berlaku. Dia terus kembali menuju bilik tidur.
Kumat-kamit mulut Mala.
Tanpa saksi melihat segala kelakuanku, telah kurelakan seorang lelaki mencemar kemurnian bilik tidur kita, Abas. Dua ekor cicak berkejaran dari siling ruang tamu, ke siling bilik tidur. Kalau cicak itu bisa berkata-kata lalu memberitahu siapa sahaja, segala yang cemar ini tentu telah sampai juga ke pengetahuanmu.
Cik cik cik.
Berdecak seekor cicak di siling bilik tidur. Segera datang jantannya.
Di hadapan meja hias di dalam bilik tidur, Mala duduk sambil menyikat rambut. Setelah disikat, Mala menyimpul rambutnya yang ikal itu menjadi sanggul sederhana kemas. Mala kelihatan sungguh manis dengan sanggul itu walaupun tidak terniat di hatinya untuk kelihatan cantik. Dia berbuat demikian kerana terlalu rimas apabila udara terlalu panas. Daun jendela tidak pernah dikuak sejak dia berdepan dengan ketegangan ini.
Mala seorang perempuan cantik: Berleher jinjang, berdada bidang, tinggi lampai dan berkulit cerah. Sewaktu badanya berisi, mukanya montok dengan lesung pipit jelas kelihatan. Tetapi kini lesung pipit itu pula menambah cengkung pipinya.
Apakah cicak sepasang ini memecah keheningan lantas meningkahi rentak kemelut permainan asmara itu? Memang. Memang sah. Inilah cicaknya. Jahannnam.
Tiiiiiig paaar.
Mala melontar sebiji gelas ke siling. Dua ekor cicak berlari dengan cepat, berkejar-kejaran lalu bersembunyi di balik chandelier di ruang tamu.
Masih lagi bergaun tidur, Mala berjalan ke bilik tamu sambil menyalakan sebatang rokok. Sambil membetul-betulkan gaun tidurnya, Mala mengibas-ngibas kerusi empuk yang berdebu itu lalu duduk. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari lubang hidungnya. Dan hidung itu, semakin kurus badan Mala semakin mancung kelihatan.
Mala mencecah rokok di meja di hadapannya. Dinyalakan lagi sebatang lalu dihisap dan disedut lama-lama. Setelah menarik rokok dari bibir, mulut Mala kumat-kamit lagi. Beginilah, sebatang demi sebatang rokok ditarik dari kotak, dinyalakan, dihisap dan disedutnya. Matanya yang cengkung kelihatan layu dan lemah.
Bagaimana akan kunyatakan padamu, Abas, bagaimanakah? Bunuhlah aku. Bunuhlah. Jikalau kautanya kenapa tidak sahaja kubunuh diriku; perkara senang. Membunuh diri perkara senang. Namun matiku nanti adalah sebuah rahsia yang menyimpan sebuah rahsia, yang tidak akan dapat dipecahkan.
Kumat-kamit mulut Mala.
Dia merenung ukiran bunga petola pada meja kayu di hadapannya.
Setelah kita bernikah aku telah cuba menukar gaya hidupku. Abas, kerana kau aku lakukan. Dari kehidupan pelayan kelab malam aku jadi suri rumahtangga. Abas, kerana kau aku lakukan. Kau tidak pernah memaksa aku meninggalkan minuman keras dan rokok. Tetapi aku lakukan kerana kau, Abas. Kerana tiada paksaan dan mendalamnya kasih sayangmu terhadapku, aku mulai insaf terhadap nilai budi dan cinta.
Mala tergugat. Degupan jantungannya bertambah kencang. Mala terdengar tangisan. Tangis bayi. Lutut Mala gementar. Tangisan itu semakin kuat semakin jelas; semakin hampir pada dirinya. Mala merenung perutnya.
Jangan menangis, sayang. Mama tidak akan membunuh diri. Mama sayangkan kamu. Mama sayangkan kamu. Mama sayang. Sayang mama. Mama sayang padamu. Tangisan tetap juga mendayu-dayu. Tangisan yang memilukan. Mala mencuba sedaya upaya memisahkan tangisan dari dirinya sehingga beteriak dia sepuas-puas hati.
Seperti lupa akan apa yang telah dilakukannya, Mala mula kumat-kamit mulutnya. Dia kelihatan tenang namun kenangan masa lampau tetap ligat mengisi ruang fikirnya. Mala menarik lagi sebatang rokok lalu menyalakannya.
Sepuluh tahun aku menanggung derita seksanya keinginan. Keinginan pada kelahiran yang suci dan murni. Sepuluh tahun jua aku mengerti betapa kau bagaikan penunggu buah yang tidak jatuh-jatuh. Namun dengan sabar kaupendamkan hasratmu yang bergelora itu jauh ke lubuk hatimu yang terlalu tulus dan kudus bagi hatiku yang cemar ini. Abas, tentang cinta kita, Tuhan saksi abadi. Mala menarik lagi sebatang rokok tetapi tidak dinyalakannya.
"Malaaaa, Maaaaaala."
Terkejut Mala dari lamunannya.
Sial! Mala marah dalam hati.
"Mala aaaaaa."
Panggilan itu berulang-ulang dan mendayu-dayu.
"Aku? Siapa yang memanggil aku?"
Mala bangun dan berjalan ke arah pintu. Daun pintu dikuaknya. Pertama kali dalam masa menghadapi ketegangan pintu itu dibuka. Merempuh kasar angin petang ke muka pintu; segar. Ke muka Mala. Mala mendepa tangannya.
"Aaabang, abang balik," jelas bunyi suara itu.
"Abangkah?" Kumat-kamit mulut Mala.
"Abaaaaang..."
Terlalu lama pelayaranmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu rupa-rupanya telah memberi peluang pada keinginan untuk membuktikan keupayaan. Keinginan yang tidak terlintas di hatiku jikalau kau tidak pergi selama permergianmu kali ini.
"Kau nampaknya kurang sihat?"
Kumat-kamit mulut Mala.
"Mala terharu, bang." Mala menarik sebatang rokok. Tidak jadi. Rokok yang ditariknya sebelum ini belum lagi dinyalakannya.
"Kau merokok lagi, Mala?"
"Rokok teman Mala, seperti kopi pahit yang abang suka pun Mala suka juga." Rokok yang terbaring di atas sofa diambilnya lalu dibakar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan dengan laku yang anggun.
"Kau telah memberi kesempatan untuk abang nikmati kebahagiaan, Mala. Ingat itu."
"Mala sebaliknya, bang. Patah sayap. Penuh kompleks." Mala berdiri dan terus berlalu menuju bilik makan. Sambil berjalan kumat-kamit mulut Mala.
Praak!
Mala terkejut. Tercegat dia di tepi meja makan. Seekor tikus buncit berlari di atas rak pinggan mangkuk. Sebiji piring jatuh.
“Jahanam. Jahanam. Jahanaaaam.” Sumpah Mala. Bertalu-talu. Terasa degupan jantungya menyorong tulang dadanya. Menyengal-nyengal. Dia kembali lagi ke ruang tamu lalu cuba duduk dengan tenang.
“Tanpa saksi yang melihat segala kelakuanku, telah kurelakan lelaki itu mencemar kemurnian bilik tidur kita, Abas."
"Dalam keadaan sepertimu, semua wanita begini. Keragu-raguanan dan kurang sihat."
"Mala sihat. Mala telah jumpa doktor. Bukan Mala sakit badan, hati Mala yang sakit. Sakit, bang. Aduuuuuh!"
Mala menyala sebatang rokok lagi lalu dihisap. Disedutnya dalam-dalam. Perlahan-lahan asap keluar dari hidung dan mulutnya. Perlahan-lahan juga asap rokok menyapu mukanya yang pucat lesi itu. Dia tergugat. Pecah perwatakan.
"Aku tahu, bukan senang membahagi nyawa untuk kelahiran, Mala." Kumat-kamit mulut Mala.
"Bukan juga kerana itu, bang. Mala pernah bersabar, Mala sedar erti kesabaran. Tetapi kini Mala penuh rahsia. Penuh seksa." Mala membaringkan badannya di atas sofa.
"Memang hidup penuh rahsia, Mala."
"Terlalu lama pemergianmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu, telah kucemari bilik tidur kita."
"Perpisahan memang menyeksa. Abang juga seperti kau, sering dicuit rasa rindu dan cemburu."
"Perpisahan sudah berlalu. Kenyataan yang mesti kuhadapi."
"Kita hadapi bersama-sama. Kelahiran adalah kebahgiaan."
"Sesuatu mesti kita selesaikan sebelum kelahiran ini."
"Kau kurang sihat, Mala. Cuma perasaan kau kegentingan. Berehatlah."
Mala bagaikan terlupa kata-kata. Kumat-kamit mulut Mala.
"Abang tidak mahu mengerti."
Mulut Mala kumat-kamit.
"Kau perlu rehat."
"Mala tidak perlu rehat. Terlalu banyak rehat. Terlalu sihat."
Mala bergerak dari satu sudut ke satu sudut lain; pelakon mengimbangi pentas.
"Kau seperti tidak jemu-jemu berbicara seperti ini."
"Mala perlu bicara secara terbuka, bang."
"Eh, ada apa yang masih lagi tertutup?"
"Bicara terbuka, bang."
"Terbuka bagaimana?"
Mala mulai sedar diri sedar ruang. Berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan hujung kakinya sendiri. Dari sudut ruang tamu ke satu sudut ruang tamu dia bergerak mencari kedudukan yang berkesan; menambah impak pengucapan. Sambil berjalan-jalan diurai simpulan rambutnya yang ikal itu. Mala menghampiri meja lalu menarik keluar sebatang rokok dan menyalakan. Dia mengibas-ngibas gaun tidurnya ke bawah. Dia terpandang seekor cicak. Mulut Mala kumat-kamit.
"Dulu kau riang, kaugembira."
"Dulu Mala riang Mala gembira."
"Sekarang kau tidak?"
"Jikalau tidak, tidak jujurkah Mala?" Mala berjalan ke arah pintu.
"Terpulang kepada seseorang. Terlalu peribadi perkara ini, Mala."
Mala mendepa pintu. Angin petang bertitup kencang. Gaun tidur Mala yang nipis tersingsing hingga ke peha. Mala tidak pedulikan semua itu. Mulutnya masih kumat-kamit.
"Tidak jujurkah Mala, bang?"
"Entah."
"Dulu abang kata kejujuran membahagia hidup manusia."
Mala terhuyung-hayang di muka pintu. Rambutnya yang ikal dan panjang hingga ke pinggul itu bagaikan mengepak ditiup angin. Mala tidak peduli semua itu.
"Terpulang, bagaimana kita menghadapi hidup ini, Mala."
Kumat-kamit mulut Mala. Mala bermain-main dengan angin di muka pintu. Untuk sekian waktu, kali ini baru Mala berani menjengah pintu. Tangga rumah sudah berlumut. Kayu yang sepatunya hitam kini kehijauan kerana ditumbuhi lumut tebal. Untuk sekian waktu juga tangga itu tidak pernah dipijak apalagi dibersihkan. Mulut Mala kumat-kamit.
Degupan jantung Mala tiba-tiba menjadi kencang; kepalanya pusing. Tangan serta lututnya gementar. Segalanya berlaku serentak. Dengan tiba-tiba. Mala, penglihatannya gelap.
"Bang tolong Mala, baaaaang. Aduuuuuuh! Tolong, baaaaaang!"
Mala mendakap angin yang bertiup kencang. Mala, terlayah ke depan. Mala jatuh terguling, menghitung anak tangga, satu-satu. Tersungkur dia di atas simen di kaki tangga. Darah mengalir daripada lubang hidung, telinga dan mulut Mala. Banyak lagi darah keluar membuak-buak. Berbuih-buih, tersembur.
Seekor kucing hitam berjalan lambat-lambat; lenggang-lengguk, lenggang-lengguk, lenggang-lengguk. Terhenti seketika. Perasan, seperti tercium sesuatu. Mengendap. Seperti mengintip tikus, tenang lengang-lengguk kucing menuju ke hadapan. Ke arah Mala. Badan yang telah layu. Lembik lintuk bagai sebatang paku hulu diselar panas. Dijilat kucing darah Mala yang masih panas mengalir. Sebahagian darah bertakung; memesrai penuh retak-retak di simen. Melimpah. Merah. Membeku.
- Abdillah SM
No comments:
Post a Comment