SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, July 14, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Hening Cipta

HENING CIPTA


Lelaki mana yang tidak kenal dengan Lorong Sempit. Bagi mereka yang sering berkunjung ke situ, Lorong Sempit itu adalah Lorong Pisang. Namanya Lorong Sempit mungkin disebabkan keadaannya yang sempit dan gelap. Gelaran Lorong Pisang pulang adalah kerana di hujung lorong ini terdapat sebuah pelabuhan kecil, tempat bermacam-macam jenis pisang dari perkampungan tepi laut dipunggah. Di sinilah kapal-kapal kecil dari daerah persisiran berlabuh apabila sampai ke kota ini.


Terkenalnya Lorong Pisang waktu itu bukanlah kerana jual beli yang berlaku di situ pada siang hari tetapi adalah kerana tarikan suasana malamnya yang menawan keinginan lelaki tua dan muda untuk sesekali mengharungi lorong itu lalu mengharap sapaan mesra dari kembang malam yang menghidupkan suasana gelap di situ. Lelaki yang pernah melawat ke situ bukanlah seorang pelawat biasa kalau dia tidak kenal padanya.


Pada zaman itu Lorong Sempit atau Lorong Pisang dan dia, adalah satu dalam pengertian. Dia seorang pelacur tua. Kepada pelacur-pelacur muda di situ dia adalah seorang rakan yang disegani, bukan kerana mesranya tetapi kerana keunggulan peribadinya. Dia berada di lorong itu bukan atas kemahuannya yang wajar tetapi terjerumus oleh pelarian dari keseksaan putus kasih.


Sebenarnya setelah dewasa baru aku mengerti rupanya dia berada di Lorong Sempit yang gelap itu adalah kerana sempit dan gelapnya fikiran yang telah dimatikan oleh peristiwa percintaan yang tragis. Kekasihnya, yang berketurunan bangsawan itu telah dihantar oleh keluarganya ke Malaya untuk melanjutkan pelajaran di SITC. Kekasihnya itu kemudiannya dikahwinkan dengan kerabat di sana. Bermulalah penantian yang panjang baginya ditingglkan oleh bakal ayah kepada anak dalam kandungannya.


Yang terlintas dalam fikiran Rabiah ketika sampai ke Kota K ini bersama anak gadisnya, Sara ialah untuk menemui Datuk. Dia yakin Datuk masih ingat padanya; Mem Tuan Richard Brown. Datuk dan Richard adalah kawan rapat. Semasa ada Tuan, Datuk tidak pernah ketinggalan di setiap majlis dansa yang mereka adakan - satu kegiatan sosial golongan pentadbir Inggeris yang turut disenangi oleh pembesar-besar tempatan. Bermula dari majlis-majlis dansa seperti inilah dia mengenali Datuk.


Memang betul, Rabiah amat memerlukan bantuan. Setelah Tuan Ricahrd Brown kembali ke tanah leluhurnya, Rabiah masih terus mengekalkan cara hidup seperti masa dia bersama Tuan Brown dulu. Dengan harta peninggalan Tuan Brown dia cuma dapat bertahan dengan kehidupan demikian untuk beberapa ketika sahaja. Kini semua hartanya termasuk banglo pemberian Tuan Brown untuk dia dan anak mereka Sara telah tergadai kepada Tauke Wong. Dan milik satu-satunya yang tinggal ialah anaknya, Sara. Dia bersumpah bahawa miliknya yang ini tidak akan terlepas ke tangan Tauke Wong yang berperut gendut itu. Rabiah insaf bahawa dirinya telah tersisih, bagaikan seorang ratu yang diturunkan dari takhta. Tanpa harta tanpa kuasa.


Aku melepaskan pandangan ke sungai yang mengalir deras. Beberapa buah perahu penambang tersadai sepi di seberang sana. Aku menoleh ke arah jalan masuk di sebelah kanan masjid. Sekumpulan pelancong kulit putih berjalan-jalan di situ sementara beberapa orang daripada mereka sibuk mengambil gambar.


Sara masih ingat, hari itu ibunya mengambil masa agak lama di depan cermin hias. Seraya menyanyi-nyanyi kecil Rabiah menyarungkan gaun dari kain lace warna putih yang beropol di bahagian pinggul, bahu dan hujung lengan. Bagaikan seorng model memperagakan pakaian tradisi wanita Inggeris, Rabiah menghayun langkah dengan kasut tumit tinggi warna merahnya yang telah haus dek selalu digunakan. Itulah satu-satu kasut mahal yang ada padanya.


Tanpa menoleh Sara yang mengekorinya dari belakang Rabiah terkial-kial berjalan di kawasan tanah bukit berpasir menuju pengkalan. Semua mata memandang ke arah mereka apabila mereka tiba di situ. Seorang wanita peribumi dengan lagak mem bersama seorang gadis serani berbaju kurung. Sesampai di seberang mereka menaiki beca.


Beca itu berhenti betul-betul di kaki tangga rumah Datuk. Sebelum melangkah turun Rabiah membenar-benarkan rambutnya sambil membuka tas tangan dan bercermin. Setelah berpuas hati barulah Rabiah melangkah turun. Dia hampir tersembam kerana tumit kasutnya tersangkut di pepijak beca.
"Jahanam! Bikin malu aku saja," rungut Rabiah yang mujur sempat berpaut pada Sara yang berdiri menunggunya di sisi beca. Mulut pak beca melopong kerana menjerit tak jadi.


"Hello, ada orang di rumah? Hello, Datuk ada di rumah?" Rabiah melaung sambil mendongak ke pintu. Tiba-tiba menjenguk seorang anak muda dari jendela.
"Beliau tidak ada di rumah. Berburu dengan Tuan Residen," beritahu pemuda itu sambil tersenyum memandang Sara.
"Lama lagikah beliau akan pulang? Kola ada perlu..., kola perlu nak jumpa Datuk," kata Rabiah kurang sabar.
"Kami kurang pasti Puan .."
“Mem Brown," tukas rabiah kurang senang.
"Oooo...Mem Brown....," jawab pemuda itu seperti dalam kebingungan sedang matanya tidak berkelip menatap wajah yang satu lagi. Sara jadi tersipu-sipu lalu melarikan muka ke arah beca yang meninggalkan perkarangan rumah itu.
"Silakan naik!"
"Siapa di luar tu?" tanya suara dari dalam.
"Ada orang bertanyakan bapa, mak." Rabiah dan Sara terus naik. Pemuda itu mempersilakan mereka duduk dengan penuh hormat.


Aku bingkas dari duduk terkejut kerana leherku terasa dirayapi semut. Aku menepis kolar bajuku. Seekor rerama berwarna hitam berbintik-bintik putih terbang melintasi hadapanku. Aku duduk kembali.


"Oooo Mem Brown. Pandai kaucari rumah aku, ya! Pergi kau dari sini. Aku tidak sudi perempuan seperti kamu menjejak kaki di rumahku ini. Perempuan sial, tak malu, tak bermaruah. Setelah kau merempat ditinggalkan oleh orang putih tu, kaudatang pula ke mari? Apa? Kau ingin mengulangi tembang lama? Kau masih ingin nak merampas lakiku lagi? Ini kampung halamanku. Kalau di sana kau boleh berdansa hingga pagi dengan laki siapa-siapa saja. Kau cantik, mem tuan. Di sini kau jangan cuba nak berlagak! Berambus dari sini. Kalau tidak ...," Mak Dayang, isteri Datuk seperti mahu melontar tepak sirih yang ada di tangannya ke muka Rabiah.
"Sabar, mak! Malu didengar jiran." Pemuda itu cuba menenangkan ibunya. Sara pucat ketakutan sambil memandang ke arah pemuda itu seperti minta simpati. Dia menarik tangan ibunya yang tercegat bingung menerima sambutan yang sungguh tidak diduga itu. Di luar hujan mulai turun.


"Hati-hati, mama," Sara memapah ibunya yang tergelincir atas titian di hadapan rumah Datuk. Sara merasakan pemuda itu mungkin masih tercegat di beranda memerhatikan mereka. Sara ingin cepat sampai ke pengkalan dan pulang ke rumah. Malu yang tidak terperi.


Malam itu Rabiah demam dan tidak bercakap walau sepatah katapun. Keesokan harinya sewaktu pulang dari kedai singseh selepas membeli ubat ibunya yang demam, Sara terserempak dengan anak Datuk. Abang, anak Datuk meminta maaf atas kekasaran ibunya kelmarin. Abang kemudian menghantar Sara pulang. Sara pada mulanya membantah kerana masih malu dengan peristiwa itu, tetapi mengalah setelah Abang berkeras dengan alasan dia ingin menemui ibu Sara.


Sekuntum bunga kemboja jatuh di atas kepalaku. Kukutip dan kucium. Harum.


"Mama janganlah keluar malam-malam begini. Saya takut tinggal seorang diri di sini. Dan jiran-jiran sudah mulai bercakap tentang mama," kata Sara kepada ibunya suatu malam apabila Rabiah berkemas-kemas untuk pergi lagi.
"Kau jangan ikut campur urusanku! Kaufikir rumah ini tidak perlu dibayar sewa dan kita tidak perlu makan? Ini pasti hasutan dari Abang. Aku tidak membantah kau berdua berkawan tapi jangan ikut campur urusan peribadiku," Rabiah terhenti di situ. Dia duduk di tepi katil kerana menahan batuk yang kian menjadi-jadi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Tanpa menoleh Sara yang sedang mengurut-urut belakangnya, Rabiah meneruskan kata-katanya.
“Mama tidak menghalang cinta kasih kau berdua, tapi janganlah kerana itu kau menyerahkan segala urusan rumahtangga ini kepadanya."


Dua bulan kemudian Rabiah sudah tidak berupaya bangun lagi. Penyakit batuk berdarah yang dideritainya tidak mungkin akan sembuh. Pada suatu subuh yang hening Rabiah telah menghembus nafasnya yang terakhir dihadapi oleh anaknya Sara dan Abang.
"Kaunikahilah Sara secepat mungkin, Abang," kata Rabiah kepada Abang dengan nafas yang tersekat-sekat. "Kau bakal menjadi ayah," Itulah wasiat Rabiah kepada Abang.


Di hujung kaki pusara Sara terburai sarang burung. Sarang burung pipit dari rerumput kering itu mungkin terhumban dari pohon rendang bunga tanjung di sana apabila angin bertiup kencang semalam.


Meskipun berpisah jauh, Sara terus menerima kiriman daripada Abang. Sara cuba mengubat hati yang luka, namun nasib begitu kejam menghukumnya. Setelah tujuh bulan Abang pergi, anaknya pula pergi tanpa sempat menghirup udara dunia. Pun demikian Abang terus mengirimi Sara hinggalah kiriman terakhir dari Abang bukan lagi wang tetapi sehelai selendang putih yang diwasiatkan supaya disampaikan kepadanya. Abang telah pergi.


Menyara diri sebagai kupu-kupu malam di Kota K pada masa itu bukanlah tempatnya. Ini pendapat Sara yang wajar. Apa mungkin Kota K kini telah berubah? Atau mungkin sejajar dengan pembangunan dalam segala bidang selepas merdeka, kehidupan golongan minoriti seperti ini menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda.


Kami mencabut-cabut rumput di perkuburan ini dalam hening yang padu. Terlalu rapuh akar rumput yang tumbuh di atas tanah kuning berpasir. Dapatkah aku menemui hening yang betul-betul padu sementara di sebelah pagar besi yang memisahkan perkuburan ini adalah lalu lintas kotaraya yang paling sibuk?


Ya. Kini untung rugi dalam pelacuran tidak patut lagi dikait-kaitkan dengan nama Sara kerana Sara sudah lama pergi. Lalu tinggallah nama itu kekal sebagai sebuah legenda dalam kehidupan malam di kota raya ini kalaupun masih ada yang ingin menyebut nama itu.


Lorong Sempit yang gelap pada malam hari tidak ada lagi kerana pembangunan Kotaraya K telah memusnahkannya. Pelabuhan kecil di hujung Lorong Sempit yang dulunya tempat memunggah buah pisang juga sudah tidak ada lagi. Dan Sara sudah lama perginya.


Di sini aku, di tanah perkuburan pada pagi hari pertama dalam bulan Ramadhan adalah kerana menziarahi kubur Sara; satu kewajipan yang bukan dipaksa ke atas diriku tetapi kerana menjunjung kasih yang telah ditakdirkan ke atas diriku. Bersama anak tunggalku yang baru balik dari universiti aku di sini sekali lagi mengharap sebuah hening cipta yang tenang untuk kuimbas kembali kenangan terhadap Sara. Mengingati jasa-jasa Sara adalah tuntutan hatiku terhadap ibu angkat yang penyayang.


Pohon kemboja berdaun lebat dan berdiri megah ia memayungi kubur Sara dari sinar mentari. Aku duduk bersandar pada pohonnya sambil mengelap peluh di dahi. Dan ingatan itu menjelma lagi.


Aku berasal dari sebuah desa yang terpencil di utara negeri ini. Semasa kecil aku seorang budak yang nakal dan sering dimarahi ibu bapa. Dalam keluarga tiga beradik akulah contoh segala kejahatan, kata bapaku. Aku tidak peduli tetapi jauh di sudut hati aku tersinggung. Bapa seperti tidak menyayangi aku. Pada hari itu sedang kami menghadapi sarapan, bapa sekali lagi menyinggung perasaanku dengan kata-kata yang sering diucapkannya. Dan petang itu aku menghilang diri hingga sekarang tidak pernah kujejak kampung halamanku.


Semasa kecil hidupku penuh dengan fantasi. Aku ingin menjadi kelasi kapal. Hayalan demikian terbawa-bawa ke waktu tidur hingga menjadi mimpi dan igau. Aku pernah mimpikan kehidupan di sebuah bandar yang pernah kudengar; apa mungkin bandar itu adalah bandar K? Memang bandar K waktu itu adalah sebuah nama yang terbilang di daerah kami. Dengan hati yang luka bersama keinginan inilah membawa aku mencuri masuk ke dalam sebuah kapal kecil yang mengangkut buah pisang dan padi. Bukan secara kebetulan tetapi kapal itu bagaikan mengisi impian kosongku selama ini untuk menyampaikan diriku ke sini.


"Anakku! Kota ini dulu kecil. Dan orang tidak seramai ini." Kebisingan kota raya dengan bunyi kereta dan motosikal memekak telinga. Taman perkuburan ini bagaikan dua dunia yang sama sekali berbeza di tengah-tengah kesibukan manusia-manusia yang aktif.
"Di mana-manapun begitu, ayah. Cuma sebuah bandar yang mati saja tidak akan berkembang dan membangun." Ikhwan anakku menjawab kehairananku dalam bahasa Inggeris pelat Amerika sambil mencabut-cabut rumput kecil di sekeliling nisan Sara.
"Itu ayah tau. Ayah cuma ingin mengingatkan Iwan!" tegasku juga dalam bahasa Inggeris bagi membalas penerangan Ikhwan yang tidak perlu itu. Aku faham Ikhwan tidak senang hati dari rumah lagi kerana ibunya tidak sempat bersama kami ke sini. Isteriku sibuk kerana kami akan mengadakan kenduri arwah petang ini.
"Biar Iwan jemput ibu dulu, ayah. Ibu janji jam sepuluh setengah. Kami akan ke mari. Ayah tunggu saja di sini." Ikhwan terus bangun menepis-nepis tangan yang berpasir basah. Huh, tangan itu selembut tangan gadis, kataku dalam hati. Aku memerhati Ikhwan dengan pandangan yang mengiakan.


Ikhwan berlalu dengan amat cermat melangkahi nisan-nisan di perkuburan yang sesak ini. Aku masih memerhatikannya dari belakang. Dan rambut itu terlalu panjang bagi lelaki zaman mudaku dulu. Ikhwan anakku satu-satunya; buah hati kami suami isteri dan cucu Sara yang amat disayanginya.


Aku menggosok-gosok nisan Sara yang berlumut tebal. Akan kugantikah nisan ini? Jangan diganti nisan ini. Batu nisan ini dibeli dari baki wang Sara yang telah diserahkannya kepadaku semasa dia sakit tenat dua puluh lima tahun yang lalu.
"Ini wang emak, Sudin. Cuma inilah baki dari simpanan emak. Kau jangan belanja wang ini. Emak tau kau tidak memerlukannya." Sara menyerah wang itu kepadaku.
"Untuk apa wang ini, mak?" tanyaku sambil mengelap-ngelapkan dahinya dengan tuala basah yang sudah diperah. Rahmah, isteriku sedang melayan Ikhwan yang menangis minta susu. Ikhwan waktu itu berumur tiga tahun.
"Mana Mah? Jangan dibiarkan budak tu menangis."
"Ada mak. Dia sedang menyusukan Iwan," jawabku sambil melipat-lipatkan wang kertas darinya tadi.
"Sudin."
"Ya mak. Ada apa?"
"Jangan kaupersiakan isterimu.Kaulah tempat pergantungannya."
"Ya mak."
"Anakmu."
"Ya mak."
"Kaujagai dia secukup-cukupnya. Jangan kau persiakan tanggungjawabmu sebagai lelaki dan kepala keluarga, nak."
"Wang itu kausimpan. Aku tahu kau tidak memerlukannya. Kau bergaji besar. Kausimpan baki wang simpanan ini. Wang ini untuk membeli nisan emak nanti."
"Emak! Jangan bercakap begitu, mak. Mak akan sembuh."
"Mak tahu. Mak tahu apa kata doktor padamu pagi tadi. Mak tidak akan sembuh. Sakit ini belum ada ubatnya."
"Itu sangkaan doktor saja, mak. Bila emak sembuh kita akan bersenang-senang di Singapura."
"Jangan membazir duit Sudin. Berjimat-jimat membelanjakannya."
"Tapi saya berjanji."
"Tidak usah lagi. Kalau kau nak juga, nanti kau pergi."
"Bila Mak?"
"Setelah aku tiada nanti."
"Emak jangan bercakap begitu, mak."


Emak jangan cakap begitu! Nisan Sara kucium. Masih terbayang wajahnya yang tersenyum setiap kali kubawa pulang keputusan peperiksan sekolahku. Sara bangga dengan kemajuanku. Dengan hati yang jujur dan penuh kasih sayang Sara terus membantuku. Kasih sayang Sara terhadapku tidak terbalas olehku. Tiada kata yang dapat kulafazkan sebagai tanda terima kasih.


Aku menatap tulisan pada nisan Sara. Tulisan itu jelas dan masih boleh dibaca.


Keluar dari kapal aku terus merayau-rayau di bandar K ini. Dulu seperti sekarang juga, ramai orang Cina yang berdagang di sini. Selain orang Cina terdapat juga orang India yang menjual makanan dan kain.


Sejauh kakiku melangkah dibawa hasrat menjelajah lebuh dan lorong yang lengang di Kota K fikiranku ligat memikirkan di mana akan kurebahkan kepala pada malam hari nanti. Kalau di kampung ada surau, di sini bagaimana? Di depan kedai orang India menjual makanan itulah aku masih ingat lagi pada tengah hari itu aku tercegat-cegat berdiri dan perutku terasa lapar. Tiada siapapun yang menoleh padaku. Letih berdiri di situ aku berjalan lagi.


Nisan sara kuusap-usap.


Aku melintas sebuah tempat di mana kelihatan beberapa orang perempuan Cina menjual buah-buahan. Aku pelik melihat longgokan buah-buahan seperti itu. Walau apapun, kataku dalam hati, buah itu mungkin sedap dimakan. Dari sudut sebelah kanan sebuah lorong yang lain aku berjalan lambat-lambat. Memang dari situpun aku boleh nampak perempuan-perempuan Cina itu. Bila sampai di hujung lorong itu aku bersembunyi di belakang tiang batu yang telah retak-retak.


Aku betul-betul nekad. Seperti kelinci aku meluru ke depan sambil menyambar dua biji buah yang aku sendiri tidak tahu namanya waktu ini, lalu berlari dari tempat itu sekuat-kuat hatiku. Perempuan Cina yang bernasib malang itu mungkin menyumpah segala macam seranah yang aku tidak faham. Yang kudengar teriakannya yang mengalahkan bunyi anjing tersepit.


Bunga kenanga dan daun pandan yang dihiris-hiris kutabur atas kubur Sara. Bau air cendana meresap ke hidungku. Semoga Tuhan menerimamu dalam peliharaanNya, mak. Air mataku menitis satu-satu.


Sampai di kawasan Main Bazaar yang ada sekarang, aku masih berlari tapi tidak sekuat tadi kerana aku sudah jauh meninggalkan suara nyonya Cina yang berteriak-teriak kerana dua biji buah lai jualannya telah kusambar lari. Ya. buah lai. Buah lai dua biji itu habis kumakan sambil berjalan-jalan. Kenyang perutku. Dalam pada itulah aku terfikir mencari tempat yang selamat untuk berteduh pada malam nanti. Aku teringat kapal yang kutumpangi tadi. Tanpa berlengah-lengah lagi aku terus menyusur jalan dalam panas terik menuju tebing sungai.


Dekat Pengkalan Batu itulah aku mulai bingung. Aku lupa arah jalan ke pelabuhan kecil tadi. Dalam pada itu aku merayau-rayau di situ pura-pura melihat kiri dan kanan. Dan apakah malam akan tiba dengan perjanjian gelapnya yang pasti seperti di kampung? Aku jadi gusar.


Aku melihat tiang lampu dekat pagar yang memisahkan perkuburan dari sebuah jalan raya yang sibuk.


Tuhan telah memberi petunjuk. Entah bagaimana aku terdorong membawa kakiku ke sebuah lorong yang rupa-rupanya menuju ke pelabuhan kecil itu. Hari sudah senja waktu itu. Aku terus berlari-lari di lorong gelap itu dengan harapan menuju ke pengakalan dan menumpang tidur di kapal. Malangnya tidak sebuahpun kapal yang masih berlabuh di situ lagi. Air di sungai surut.


Air cendana atas kubur Sara telah kering kerana panas mulai terik. Aku merasa tenteram berteduh di bawah pohon kemboja yang rimbun ini.


Dari pelabuhan aku berlari masuk ke lorong gelap itu semula. Ketika itulah aku telah berlaga dengan beberapa orang perempuan secara kebetulan berada di situ. Perempuan-perempuan itu menyumpah-nyumpah. Aku masih ingat salah seorang daripada mereka cuba menghambat aku tetapi kurempuh juga. Harum bau wangian yang dipakainya.


Harum daun pandan bersama cendana dan bunga kenanga atas kubur ini meresap ke hidungku.


Aku terus berlari lagi. Akhirnya aku sampai ke hujung lorong sebelah kanan. Di situ aku nampak sebatang lilin bernyala di atas kotak-kotak kayu. Cahaya malap lilin putih itu sesekali meliuk-liuk ditiup angin dari arah tebing sungai.


Pada malam Sara menghembuskan nafas terakhirnya aku ingat pernah menyalakan beberapa batang lilin dalam kamar di sisi Sara yang terbaring kaku.


Di sebelah lilin itu duduk seorang perempuan berpakaian serba hitam sambil mengatur rambutnya yang jatuh ke dahi. Mendengar bunyi tapak kakiku dia menoleh ke arahku dengan semacam kehairanan. Tapi peliknya aku tidak merasa takut atau pergi saja dari situ. Dalam samar cahaya lilin di depannya aku dapat mengagak bahawa dia tidak sebengis perempuan-perempuan yang tidak sengaja berlaga dengan aku tadi. Dalam cahaya malap sebatang lilin itu kulihat mata itu bagaikan tersenyum padaku. Terlalu mesra dan pengasih.


"Dari mana hendak ke mana abang kecil?" Aku terpegun mendengar suara itu. Suaranya mengingatkan aku kepada Kak Minah syeh gendang di kampungku yang sering minta aku menemaninya pergi bergendang di kampung seberang. Dia mengangkat lilin seperti mahu melihat wajahku. Tapi cahaya lilin itu lebih membantu aku menatap wajahnya dengan jelas. Cantik. Aku teringat anak patung mainan adik perempuanku. Bulu mata dan merah di pipinya hampir serupa.



Malam Sara menghembus nafas yang terakhir aku pernah mengurut-urut lembut kelopak matanya dengan sedikit minyak kerana mata itu enggan pejam. Rahmah, isteriku tersedu-sedu di sisiku sambil memangku Ikhwan. Sampai hati emak tinggalkan kami.


"Abang kecil tidak ke surau Tidak baik berjalan senja-senja begini. Kalau bapa abang kecil tau, tentu dia marah."
"Saya tidak ada bapa," jawabku sambil menghentak-hentakkan kaki.
"Kalau tidak ada bapa, emak juga boleh marah."
"Saya juga tidak punya emak." Dilepaskannya lilin lalu jatuh. Dia merapatiku.
"Kamu tinggal di mana?" tanyanya sungguh-sungguh. Aku bungkam dan tunduk melihat lilin yang masih menyala di tanah. Kupungut lilin itu. Cahaya lilin melimpah ke mukaku. Aku teringat peristiwa yag membawa aku ke mari. Aku teringatkan emak. Emak sesekali pernah menyebelahi aku. Emak tidak tahu aku lari.
"Emak..."
Dia merangkulku. Aku menangis sepuas-puasnya dalam pelukannya. Aku mendongak. Dapat kulihat betapa jernih dan lembut mata itu.


Sampai hati emak. Apakah mata Sara masih sebening, semesra dan selembut itu lagi? Pertanyaan liar terjelma dari sudut hatiku yang terlalu sayang padanya. Sudah lebih dua puluh tahun Sara meninggalkan aku namun ingatan seperti ini tidak pernah lenyap-lenyap. Sememangnya aku menghargai kenangan ini makanya mungkin ia tetap melekat bagaikan kepingan gambar-gambar kenangan kekal tersangkut di dinding fikiran.


Kucipta sebuah keheningan yang kudus untuk Sara.


Tidak dapat kubayangkan saat-saat gembira kami dua beranak apabila aku membawa pulang gaji pertamaku sebagai seorang guru. Aku masih ingat Sara terus menitiskan air mata apabila aku mengatakan hasratku untuk mengahwini Rahmah. Rupa-rupanya telah lama Sara memilih menantunya itu tanpa pengetahuanku. Aku masih ingat betapa gembiranya Sara menyambut kelahiran anak kami Ikhwan. Malam-malam seterusnya dipenuhi dengan nyanyian Sara mendodoikan Ikhwan. Aku masih ingat semua itu.


Dari atas munggu di depan masjid aku melihat isteri dan anakku melambai-lambai mengajak aku pulang. Di sebelah isteriku kelihatan seorang gadis bermini telekung turut memandang kepadaku. Dengan pakaian baju kurung warna biru muda dan telekung mini putihnya itu dia kelihatan warak, bersih dan terpelajar. Itukah gadis jurutera kawan Ikhwan yang diceritakan oleh Rahmah padaku kelmarin. Tangan kiri Rahmah memeluk bahu gadis. Isteriku kelihatan suggguh gembira. Aku yakin dia merestui pilihan Ikhwan itu. Aku juga pasti Sara tentu menyetujui pilihan cucunya kalau dia masih hidup.


Emak, Sudin pulang, mak.


- Abdillah SM


--------------------------------------------------------

‘Hening Cipta’
arang 60cm x 45cm,

dilsm ‘88


‘Frangipani’
30 x 35cm
marker ink/kepingan kaca
- dilsm 2005


No comments: