SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Tuesday, July 8, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Lobotomy

LOBOTOMY

Purnama pada waktunya harus gemilang. Seperti sepatutnya purnama tergantung ia antara langit dan bumi. Permukaannya kadangkala dinodai gumpalan awan mahaputih mahalembut. Densiti cahaya perak yang dilimpahkan purnama ke mayapada malam sering menjadikan dunia seakan firdausi; kata seorang penyair. Betapapun, yang sering itu tidak berlaku di sini malam ini.

Malam sepi. Tetapi kenderaan yang lalu lintas di jalan perdana terus juga menggetari suasana sekitar dengan auman empat roda yang berdesing jauh. Terkocak udara malam yang sejuk tak sejuk dingin tak dingin. Jerebu kini mencipta rupa atmosfera alam malam yang luar biasa, di sini malam ini.

Duduk dia di atas longgokan tanah pejal di simpang pendek dari jalan perdana. Di pinggir jalan simpang Anggerik Bulan inilah terletak rumah kediamannya.

Apalah purnama kalau tidak bercahaya. Tercetus sesuatu di fikirannya. Mungkin saja mencipta sebuah kesendirian lebih lunak suasananya tanpa cahaya. Begitu ia berfikir. Sembunyi diri dari realiti wujud fizikal: Samarasa. Samarupa. Samarentak. Berfikir lagi ia. Apa mungkin begini saja: Bersendirian. Bertafakur. Berhening.

Memang seharusnya dia berhening. Berhening cipta. Belesungkawa. Mengimbau kenangan manis hari-hari menguruskan lanskap karya seninya - ideal dan pasrah laram temanya. Maujud pandang berentak irama; berteras-paksi magnetis-graviti-densiti. ‘Perkebunan Cinta’ - lanskap kecintaannya.

Siang tadi sebuah bulldozer dengan rakus telah menghancur lebur sebahagian halaman rumahnya. Rancangan orang sekeliling yang mahukan bahagian tanah rumahnya disentap. Punca dan tujuan akhirnya tidak lain daripada meluaskan jalan simpang kecil Anggerik Bulan. Kemudian bolehlah mereka memandu dengan laju kereta yang besar-besar dan yang mahal-mahal tanpa risau dan gundah bergeseran dengan kereta mahal orang kaya-orang kaya lain.

Dikepal-kepalnya tanah dingin dan segar dari longgokan terhampir tempat dia melabuh duduknya. Dihidunya tanah itu. Harum, bisiknya dengan nada sendu hampir tidak terdengar kata-kata dari bibir yang sering dikejapkannya.

’Kasihan halaman rumahku. Mimpi dan usaha, dikumpul bertahun-tahun tapi yang tinggal cuma ini......’ Keluhnya sambil menyedut udara malam yang segar tak segar tetapi masih juga terasa dinginnya, dalam-dalam.

Telefon sel dalam sakunya bergetar. Sengaja memang dia tidak suka telefon itu berbunyi. Dia tidak mau orang lain terganggu. Lebih suka kalau dalam keadaan bersentuhan padanya. Atau paling tidak dalam jarak yang dekat lantas dia bisa melihat kalau telefonnya bergetar.

  • Siapa di sana? Tuan sendiri ya?
  • Memangnya kamu mau bercakap sama siapa?
  • Sama tuan
  • Pernah bercakap sama saya?
  • Selalu
  • Kalau selalu kenapa jadi bongok
  • Saja nak main-main. Gurau. Ben. Ini aku
  • Aku tau. Tapi kamu sudah lapan bulan tidak menjawab telefon!
  • Aku sibuk
  • Lapan bulan, tiap detik yang sibuk?
  • Tidak juga begitu tapi pada hari-hari kau telefon aku memang tidak berada di pejabat.
  • Telefon bimbitmu kenapa sering tukar nombor. Apa kamu juga dikejar along?.....Hello!
  • ---- peep, peep, peep.
  • Hellllo!
  • Sial kamu! Hitam!

Disimpannya telefon itu kembali ke dalam saku seluarnya. ‘Segala macamnya perangai manusia,’ rungutnya.

Sejak bulldozer menyodok tanah pinggir rumahnya tengahari tadi tersifatlah dirinya kini umpama penduduk tanah haram. Tapi tanah ini bukan tanah haram. Juga rumah itu bukan rumah haram. Selesai segala tanggungjawabnya berhubung cukai tanah; cukai rumah. Hutang rumah bukankah juga sudah dilunaskan? Dia ngelamun lagi.

“Yang aku tidak punya hanyalah kuasa untuk mengharamkan! Tiada kudrat untuk membatalkan sesuatu yang diistilah konon oleh bijaksana mereka sebagai ‘atas kemahuan ramai’. ” Dia berfikir panjang sambil mengurut-urut kering rambutnya.

Terbayang kembali keindahahan lanskap ‘Perkebunan Cinta’. Seharusnya mesra manusia. “Sedihnya, manusia keliling malah menang dalam usaha mereka memusnahkannya.” Sesak nafasnya menahan debaran dada.

Demokrasi kini, fikirnya, khazanah kuasa yang dianggap ajaib dan pelindung bertukar jadi pagar makan padi. Malang sungguh! Telah mulai ia mengunyah saki baki hidangan kemerdekaan yang belum sempat diselamatkan oleh mereka yang masih enak bermimpi.

Pilihanraya lewat-lewat ini sudah hilang sentuhan keramat, debatnya. Layak sebuah permainan saja. Pun demikian pilihanraya berjaya mengilusi realiti kehidupan kami, terkamnya. Maka jadilah hidup ini sebuah khayalan sosial. Satu utopia!

Ada yang beruntung dengan bertambah harta dan martabat setelah merdeka. Tidak kurang juga yang bukan saja rugi materi tapi hilang hak asasi dan kesempatan mendakap kemanusiaan dalam erti sebenar. Inilah merdeka yang pernah diperjuangkan. Telah tumbuh benih hantu ini sejak menjelang alaf ke dua puluh satu di bumi ini, ingatnya. Telefon bergetar kembali.

  • Ben!
  • Ya. Apa lagi? Tambah nilai telefonmu dan kemudian teruskan bicara. Pemimpin rakyat yang bergaji besar seperti kamu kenapa tidak guna telefon sel dengan nombornya berdaftar? Bangsat amat kamu ini, kawan
  • Kamu yang sering bergurau seperti ini membuat aku jadi teringin mendengar banyak lagi tentang sakit hatimu
  • Jangan. Jangan buang masa. Aku tau kau sibuk. Kau sendiri yang beritau, juga setiausahamu. Sudahlah. Aku juga sibuk sekarang!

Telefon terputus.

Dia mengeluh. Taman yang dimusnahkan itu tidak akan wujud kembali. Dan dia tidak punya kuasa meminta supaya suaranya dapat didengari semula. Pun demikian, tanpa individu-individu seperti dirinya, dia berdebat terus, tidak wujud kumpulan besar yang digelar sebagai kumpulan orang; orang ramai atau publik. Atau istilah “jemaah” seperti yang sering mereka di sana rujukkan. Jemaah kampung dan jemaah surau. Pasti nada religius itulah yang kukuh. Manupulatif mereka!

“Mereka pergunakan istilah jemaah surau untuk merabitkan laman rumahku! Penjajahan adalah sejarah namun masih melekat caranya pada kelangsungan kehidupan mutakhir kami,” bentaknya dalam diri. Tapi realitinya, jerebu telah mulai mengkelabukan penglihatan lebih sebulan sudah. Pemergian airmata dan tangisan sendunya ke Manila tiga minggu yang lalu terpaksa dibatalkan.

“Aku belum mau mati lagi.” Itu keputusannya pada ketika itu. Memang wajar dia bertindak demikian kerana pihak bewajib pengangkutan udara serta-merta mendapati keadaan menjadi rumit dan berisiko tinggi.

Sedih, pilu dan hancur perasaannya kerana tidak berkesempatan berada di sisi mendiang daddy. Seharusnya daddy menghabiskan hari-hari tuanya di sini saja kerana dia punya hak untuk diurusi. Dirinya adalah anak daddy. Yang pasti jasad Josefina, ibunya sudah berdekad sejatitanah di Kota K. Meninggal ibunya sewaktu Ben berumur setahun lapan bulan.

Tertanya-tanya dia dalam menungan panjang; siapa yang membaca ‘eulogy’ untuk mendiang Edward. Atau memang tidak ada ‘eulogy’ kerana mendiang tidak punya ramai kenalan setempat disebabkan kehidupannya yang sering berada di rantauan; Eropah dan Amerika.

Dia meramas-ramas tanah yang dikepalnya kini. Liat dan basah, bisiknya. Terasa kemesraan menyapa ke dadanya. Ben Baspheno Edward termenung yang lama sekali. Purnama malap. Dan jerebu telah mengubah suasana alam. Telefon bergetar lagi dalam sakunya. Diambilnya telefon.

"Dia lagi!" Rungutnya.

  • Aku di sini, Ben
  • Ya. Aku tau
  • Apa memang kamu duduk di sana?
  • Kenapa? Duduk di sini aku tidak diizinkan?
  • Bukan begitu maksudku
  • Apa lagi?
  • Kalau memang kamu di sana aku ingin bicara
  • Bicara apa lagi. Setan hitam!. Kamu di mana?
  • Dalam keretaku. Tapi aku tidak bisa bawa kereta ke sana
  • Kenapa? Memangnya kerja pemusnahan lamanku baru bermula hari ini..
  • Bennnnnn....
  • Kau melampau....

Telefon dipadamkan terus.

“Beginilah,“ kesalnya tiba-tiba menyerbu, seperti ingin dia mencurahkan segala yang meluap dalam hati nubarinya, “ kalau sudah punya kuasa. Maka ribuan hektar tanah belantara yang tidak pernah ada tuanpunya kini sudah berpunya!

“Setelah hasil kayu kayan habis lalu merayaplah pula keinginan dajal-dajal itu ke tempat lain, ke kawasan hutan lain,” geram hatinya menjadi-jadi, “ tipu tandatangan. Tipu cap jari. Mereka punya kuasa. Setiap kuasa tadbir yang berkepentingan dengan tanah dan hutan belantara semua di bawah arahan mereka. Tebang lagi. Bakar lagi. Duit datang. Duit hilang. Cari lagi. Begitulah pusingan aktiviti setelah merdeka! Merdeka segala. Bermaharajalela.”

Dia menghela nafas panjang dan dalam lalu berdiri lambat-lambat. Melangkah ke depan dan ke kanan mencari keselesaan pada kaki yang sudah mula lenguh. Terasa kepalanya bagaikan dibelah-belah. Pening dan bengkak rasanya sejak usaha terakhir menyelamatkan tanah laman rumahnya itu tidak berhasil.

Di kepal-kepalnya lagi tanah liat dari longgokan yang diduduknya. Wangi. Harum lembabnya mencengkam minda yang terhasil daripada pedih tangis tanah yang baru siang tadi dilukai dan dihancurkan. Hilang segala rumput manis berseri hijau. Hilang sudah bunga kenanga dan pohon delima.

Hilang sudah melor putih yang harum mewangi tiap pagi di laman itu. Hilang sudah sampaghita; kuntum-kuntum harum wanginya yang mengingatkan dia tentang sejarah daddy dan sumpah cintanya. Sekarang lenyap sudah segala keindahan yang dimesrainya hampir belasan tahun bersama ‘Perkebunan Cinta’.

“Bukan aku tidak pernah terfikir untuk memindahkan perkebunan bunga kesayanganku ini ke bahagian lain tanahku. Aku punya pegangan. Kalau aku bertindak demikian bererti aku bersetuju akan perkosaan ini. Rompakan tanah yang dianjurkan oleh mereka, diuruskan oleh pihak-pihak berwajib konon bersebab “public interest” - kehendak orang ramai.“ Dia tidak pernah percaya wujud suara tulus jemaah surau.

“Yang kutahu Islam,” debatnya, “juga agamaku, punya pandangan rasional terhadap kepentingan orang ramai dan juga kepentingan individu. Tapi di mana letaknya kepentingan aku?” Dia merenung ke bulan. Fikirannya menerawang jauh dan meliar.

“Mana bulan aku; dilindung rimbunan ara; mana tunang aku; tunang aku anak dara; anak dara luka dada; ditembak yb gila. Aduuuuuuuuuuuuh. Pedih. Perit. Ngilu dan hancur segala harapan hari-hari tuaku.”

Dia teringat rakan yang menelefonya tadi dengan sedikit rasa lucu di dada. “Kau bukan gila, Hitam. Bukan kamu. Mereka yang gila. Orang ramai yang gila!

“Tanah laman rumah ini telah dicemari kehormatannya. Ternoda.” Bisiknya dalam keluhan yang semakin pasrah hingga terbangkit kembali kemarahan, berapi kembali dengan nyala yang tiba-tiba.

“Hai para isteri orang sekeliling, apa anda pernah diperkosa? Pernah? Kalau pernah, beginikah mungkin persamaan rasa keaiban!,” Segala kemarahan itu cuma gelegak dalaman. Tidak mungkin akan tersembur keluar, dia telah mempastikan diri masih utuh dan waras.

“Tenyata kini demokrasi yang kuharapkan sebagai payung pelindung sudah dilolosi sinar mentari dan hujan.” Kesalnya melautan. “Seperti lapisan ozon ianya kian menipis, berkerawang - bocor dan walang. Demokrasi bagiku kini umpama sebuah hidangan makan siang yang sudah basi. Satu penipuan!” Teriak dia dalam sepi diri.
”Sudah ada bayang-bayang kuku besi mulai mencakar kehidupan yang kuharap-harapkan daripada sebuah perjuangan, mempertahankan kemerdekaan yang memakan masa dan peluang.”
Terasa airmatanya seakan mau mencurah.
“Apa kerana memang aku Melayuuuuuuuuuuuu.....,” jeritnya dalam hati yang membengkak, bersama radang dan panas mendam kesumat. Beberapa minggu yang lalu isterinya menyarankan dia pergi bercuti saja. Berehatlah, nasihatnya.

‘Perkebunan Cinta’ tidak akan dapat diselamatkan,” katanya dengan sedikit nada putus usaha. Diberi kesempatan dia menginap di sebuah hotel di Pantai Damai. Kata isterinya lagi biarlah bawa laptop dan keyboard organ sekali. Moga akan mencurah-curah ilham di sana. Dia mencuba juga.

Telefon sel dalam sakunya yang tadi dimatikan sekarang dihidupkannya semula. Dia sebenarnya menunggu panggilan dari peguam di London yang akan mengurus serba sedikit harta peninggalan daddy. Harta itu tidaklah begitu penting baginya, dia berfikir, tapi amanah itulah yang utama. Hak anak-anak. Bukan lagi bagi dirinya.

Rupa-rupanya keresahan di percutian Pantai Damai itu punya petanda mau diisi dengan apa saja yang bisa menghiburkan. Semasa keluar lobi suatu pagi dalam kemelut resah dan bingung itu, hala ke arahnya mengintai seorang wanita sederhana manis dan pendiam. Pabila mata bertentang mata, kelihatan wanita itu tersentak tapi kemudian meminggir dan hilang.

Beberapa jam kemudian wanita itu kelihatan lagi, hadir dalam wujud yang jauh lebih menarik. Dia cuba mendekatinya - nekad. Tanpa tanya tanpa salam pada selekoh yang sedikit sepi dari pengunjung hotel tepi laut itu, pada kawasan berpasir di belakangnya rimbun sepohon ru, Liza menerpa dan mendakapnya. “Terima kasih, Ben” katanya sambil mengeratkan dakapan, “kerana sudi datang bertanya khabar kesihatanku.”

Dia jadi bingung. Bukan kerana tidak kenal Liza bahkan terlalu kenal. Wanita itu pernah menyintainya sepenuh hati. Bagaikan mimpi yang begitu nikmat. Cuma saja wanita itu kelihatan letih dan sedikit pucat. Pilu dan nikmat sekali gus membungkam ke mindanya. Masih jelas persitiwa itu dalam kenangannya kini. Sedih dan asyik sekali gus mengharukan, seingatnya.

Diam-diam setelah itu, Ben menelefon isterinya memberi tahu serba ringkas perihal di sana. Serba ringkas kerana memang dia memerlukan kekuatan untuk berdepan dengan situasi yang mencemaskan. Di sana isterinya menjawab enteng-entengan bunyinya.

“Mau ketemu anak-anak atau terus mendiri rumah baru di sana? Saya sudah terima surat tawaran kerja ke universiti itu. Kalau saya menerima anak-anak ikut saya semuanya. Ini bukan main-main; yang sah. Kalau masih berteka-teki, tinggalkan segera hotel itu. Saya telefon untuk mengurus bayarannya petang nanti.”

Telefon sel dalam sakunya kini berketaran lagi. Bukan London!

  • Ben, aku ke sana
  • Suka hatimu
  • Aku mau bincang
  • Pasal apa?
  • Pasal tanahmu
  • Hei! Setan Hitam, sudah berlalu waktu itu
  • Kamu janganlah terlalu emosi.
  • Kau yang nyanyuk!
  • Kenapa aku dikatakan nyanyuk?
  • Kamu bermimpi berangkali.
  • Sungguh kataku, Ben. Aku pernah menghantar surat ke kamu.
  • Apa sudah mulai mendekati minuman keras, kamu? Segala apa yang kau sebut itu tidak pernah kuterima. Hei. Pergilah tidur.
  • Mau tidur apa? Aku sedang berjalan ke arah kamu. Dahsyat kotornya di sini
  • Jangan datang. Jangan kotori kakimu.
  • Kamu jangan terlalu bersedih. Yang jadi gila nanti aku.
  • Kau pembohong. Kau tidak bijak pada memberi pengertian demokrasi.. Sudahlah....
  • Sudahlah. Akupun sudah sampai ke tempatmu...


Telefon selnya ditutup terus dan dimasukkan ke dalam saku seperti tadi juga.

"Asalamualaikum," bergerak lembaga itu sambil memancar lampu picit ke arahnya. Kini dia menghampiri longgokan-longgokan tanah berdekatan dengan Ben. Dia menjawab salam itu dalam hati. Dia memerhati saja dari tempat duduknya. Purnama semakin merah dan tidak jelas bentuknya. Sejak jerebu menyerbu bandaraya ini, terasa udara yang memasuki paru-paru tidak murni lagi. Bau kebakaran, bau belerang dan bermacam jenis bau yang begitu seni sehingga tak teranalisa oleh hidung. Sungguh malang!

“Kenapa kamu datang juga? Kau degil!”
“Kaupun sama degil. Aku sering bertanya apa sebenar yang kau mau lagi. Sudah kuuruskan segalanya demi kepentingan persahabatan kita. Namun untuk merubahkan rancangan pembesaran jalan ini memang tidak mungkin terjadi.” Tegas dan jelas terdengar kata-kata dari tetamu awal paginya itu.

“Sah sudah kamu ditipu. Kamu bukan saja ditipu oleh semangat demokrasi yang sudah jadi bayang-bayang hitam itu, tapi orang-orang kamu telah mulai mendatangkan khianat terhadapmu.” Jawabnya dengan sedikit nada simpati.
“Aku memang akan bersara juga dari khidmat ini, Ben, tapi sebelum aku bersara aku ingin penjelasan daripada dirimu sendiri. Mungkin saja kita sedang dilagakan.” Dia terus duduk. Duduk seperti Ben yang sejak tadi masih tekun menginsafi suasana malam yang kian mencengkam.

“Aku sudah menyediakan sekeping tanah untukmu, Ben. Terimalah. Tanah ini hartaku peribadi. Aku terlalu sedih membaca surat rayuanmu. Sudah kubalas semuanya tapi kau tidak pernah menjawab.”
“Tolonglah, kawan. Aku tidak perlu tanah! Janganlah kau menipuku dengan memindahkan tanah kepunyaan orang lain yang dirampas untuk dijadikan kepunyaan aku pula. Aku cuma ingin hak yang sekelumit ini terpelihara sehingga anak-anakku dewasa. Apalah nanti tuduhan mereka terhadapku. Tanah sebesar tapak kaki kucing inipun ayah mereka tidak bisa pertahankan. Selainnya aku terlalu sayang ‘Perkebunan Cinta’, kau tau perkebunan apa yang kumaksudkan.....?, “terhenti dia pada kalimat itu.
“Aku tau, suratmu yang pertama telah menyebutnya. Aku sedih, Ben. Kau jangan buat aku tambah berdukacita.”

“Rupanya manusia keliling kita tidak pernah berkalih dari wujudnya sejarah manusia yang gemar makan daging!.”
“Mengapa kau berkata demikian, Ben.”
“Kau sewajarnya harus sudah mengerti keinginan manusia pada peperangan. Tujuan dan naluri manusia sejak dulu lagi cuma satu - ingin menakluki. ” Terhenti seketika dia. “Dan manusia sekeliling kita juga belum selesai menghakis nafsu kanibalisme mereka,” sambungnya, “walau dalam acara dan sebijaksana manusia yang punya akal, masih juga mereka inginkan darah sesama rakan. Inilah kesannya yang kuhadapi.

“Kau terlalu mengkaji. Maka kau sering ketemu jawapan yang sukar untuk dimengertikan, Ben. Mindaku terlalu simple untuk menelusuri dunia menungan seperti yang kau sering lakukan. Aku sudah tidak punya masa untuk diriku sendiri, isteri dan anak-anakku. Kasihan mereka.”
“Aku tau kau tidak sihat, Hitam. Bukan maksudku mau menambah deritamu. Kamu hak orang ramai. Kau pemimpin mereka. Kau perlu sihat. Pulanglah! Dengan ikhlas kunyatakan, kau tidak punya dosa terhadapku lagi. Sekalipun ada, kumaafkan jua.”
“Aku juga demikian, Ben.”

Mereka bersalaman. Dia berdiri sebentar dari duduk yang lama itu seakan terlintas fikir memberi hormat terhadap pemimpin, sahabat, dan sekaligus rakan sepersekolahannya.
“Selamat tinggal, Ben. Jaga dirimu baik-baik.”
“Kau juga. Kirim salam untuk anak-anakmu.” Dia masih berdiri di situ, memerhati rakannya yang berjalan lambat-lambat. Si Hitam bergerak dengan langkah yang pasti sehingga lenyap dia ditelan sudut malam.

Dari tempatnya berdiri, berdekatan longgokan tanah tepi jalan itu, kedengaran sayup-sayup deringan telefon dari bilik studinya. Jam di tangannya menunjukkan 0300hrs. Satu jam lagi dia akan bersahor. Bersahor seorang diri kerana isteri dan anak-anak sudah balik kampung. Udara pagi semakin terasa kering dan tercemar. Dan menerima panggilan telefon pada waktu-waktu yang tidak diduga sering membawa berita yang tidak terduga juga. Tapi panggilan telefon empat bulan lalu yang kemudian mengkhabarkan berita keuzuran Liza bukan sebuah berita yang tidak diduga. Waktu itu dia sedar Liza akan pergi juga.

Liza telahpun dimasukkan kembali ke pusat rawatan. Penyakit leukaemia yang dihidapinya sudah sampai ke puncak. Liza kecundang sudahnya. Isterinya yang sama-sama dikejutkan oleh deringan telefon dan berita sedih waktu itu sudah berkemas untuk bergegas bersama.

Ben memperkenalkan isterinya. Mereka bersalaman dengan ayah Liza dalam sejuk dingin sebuah bilik di wad kenamaan itu. Liza terbujur sepi. Nafasnya masih jelas turun naik walau semakin tidak teratur ritmanya. Sungguh memilukan suasana ketika itu. Jendela ‘sliding’ yang luas dengan tirai tadinya dirapatkan kini tanpa sebab kenapa ia dileraikan ke samping.

Isterinya terus duduk membaca surah yasin. Dia tidak pun bertanya apakah dia diizinkan membaca. Yang dia pasti pesakit itu adalah kerabat suaminya. Ternyata yang hadir dari keluarga mereka cuma suaminya seorang saja. Isterinya terus menghabis bacaannya selari turun naik nafas Liza yang sedang nazak di pembaringan terakhir.

Liza dalam wasiatnya, antara getar dan sedih suara ayahnya, memberitahu bahawa anaknya mohon mayatnya diuruskan oleh Ben secara Islam.

Pada ia bergegas menuju bilik studinya deringan telefon terhenti tiba-tiba. Wajahnya kelihatan kesal. Dia berjalan juga tapi dilambat-lambatkan langkahnya. Hampir empat bulan sudah perginya Liza. Dalam dia berusaha mengingatnya, telefon berdering semula. Dia mempercepatkan langkahnya dan bergegas masuk lewat pintu pinggir rumahnya yang tidak dikunci itu.

Di luar pintu dia terkial-kial menanggalkan sepatunya yang berlumuran tanah liat. Sehingga selesai, telefon di atas meja studinya terus juga berdering. Sesampai dia menyentap gagang telefon seperti aksi seseorang yang takut terlepas burung yang mau ditangkap.

Ada suara lelaki dewasa di sana dalam nada simpatik tapi kedengaran sedikit formal dan rasmian-rasmian. Dia memberitahu tujuannya menelefon. Ben kelihatan tersentak. Dia mengangguk-anggguk kepalanya sambil mendengar orang di hujung sana talian bercakap. Ben, kumat-kamit bibirnya. Akhirnya dia mengucap terima kasih dengan nada yang jelas. Ben termenung sejenak sambil mengusap-usap gagang telefon yang sedikit lembap dek peluh dinginnya. Gagang telefon di letakknya kembali dengan cermat. Telefon itu berdering sekali lagi.
“Hello,” segera diangkatnya telefon lalu menjawab.
“Hello,” ulangnya sekali lagi.
“Hello.” Tiada jawapan. Telefon diletakkannya kembali.

15 haribulan Ramadhan di perkuburan Islam, jenazah ayah Liza selamat dikebumikan. Selesai ia mengurus tanggungjawab sesama Islam. Dengan ikhlas dilakukannya tanpa mengira penat dan letih berpuasa. Dengan rasa sebak yang mencengkam di dada dia terus juga menggerakkan kakinya di antara nisan-nisan yang berceracak lesu, bertebaran di seluruh kawasan perkuburan itu.

Mentari semakin terik sinarnya sebelum zuhur dalam kepekatan atmosfera berjerebu. Dia terus berjalan dengan teliti meminggiri batu-batu nisan dengan hormat sambil mulutnya kumat-kamit seperti membaca sesuatu. Manusia-manusia terakhir yang harus masih berada di kubur yang baru selesai ditimbus itu sudah pulang semuanya. Sepi mulai mencengkam dalam panas terik merah-kekuningan.

“Kawanku, sahabatku.” Dia terasa mau menangis. “Tidak. Tidak di sini.” Dia menyabar diri sendiri. Kakinya masih juga melangkah lambat-lambat. Longlai dan lesu.

“Aku tidak lagi memikirkan laman rumah yang sudah disumbingkan itu, kawan. Aku sudah tidak peduli lagi kehancuran itu.” Berkata dia dengan nada tersekat-sekat. Kerongkongnya terasa perit letih.

Dia menghampiri. Tujuannya cuma satu; untuk mencari-cari kubur allahyarham. Berita sedih itu diterimanya dari seorang rakan sepersekolahan mereka yang tinggal jauh ribuan batu – di NY City. Dia sedih dan pilu. Kenapalah dirinya yang duduk berhampiran tidak mendapat berita kematian itu secepat yang sepatutnya.

Terbayang dia allahyarham hanya beberapa jam yang lalu telah membuat ziarah yang terakhir terhadap dirinya di longgokan tanah liat subuh tadi.

“Betapa pengasih dan penyayangnya Ilahi terhadap sebuah persahabatan antara kami yang bertegas menjaga hak dan tanggungjawab kemanusiaan masing-masing.” Dia menginsafi rentetan peristiwa itu.

“Aku amat bersyukur kiranya aku bisa mendapat bahagianku di sebelah kuburmu ini."

“Kawan!,” terlepas kesabaran dari dadanya yang berkecamuk antara resah dan pilu, “demokrasi telah menjadikan kami yang masih bernafas ini manusia; yang dipaksa menjalani pembedahan kerana otak ini akan diharamkan berfungsi normal. Otak ini akan menerima segala paksaan birokrasi demi keamanan? Kami yang masih bernafas ini nanti tidak lebih daripada manusia-manusia kerbau dicucuk hidung......”

Dia duduk pada pinggir longgokan tanah kubur yang begitu teliti ditimbus. Di dalam kubur itu, sekujur badan yang kini berbantal tanah liat nan dingin bersemadi. “Alfatihah....” Dia mula membaca dengan nada penuh keharuan dan pilu.

Setelah sekian detik bertafakur dalam terik panas di suasana jerebu perkuburan itu, dia cuba bangun. Tindakan terakhirnya menjamah batu nisan yang kira-kira baru beberapa jam yang lalu dicacak. Ben dicengkam sedihpilu. Tapak tangan kirinya menampal mulut. Dari jauh, kelihatan bahunya jelas bergetar-getar. Dan badan itu membongkok kembali.

Telah beberapa minit dalam keadaan yang sama, sekarang dia sudah mendapat kembali posisi badannya yang tegap sasa itu. Lalu dengan cermat, dia melangkah sambil melirik ke kubur Si Hitam untuk terakhir kalinya. Matanya dipejam sejenak sambil tangan membetul kopiah di kepalanya.

Berjalan dia kini lambat-lambat meninggalkan taman perkuburan menuju ke keretanya yang diparkirkan nun jauh di sana di bawah teduhan sepohon tapang redang di pinggir jalan. Semakin terik cahaya mentari menujah ketumpatan jerebu kini, semakin jelas sepi syahdu suasana laman kuburan di situ. Sepi, sayusendu.

Setelah duduk dalam kereta dan menutup pintunya dengan cermat, injin kereta dihidupkannya segera. Kereta kelihatan mulai bergerak, dipandu dengan amat cermat. Bergerak lambat-lambat kereta itu ke hadapan, atas jalan aspal yang panas; membelah kepekatan kabus yang kian menebal di kejauhan ruang dan waktu.

- Abdillah SM

No comments: