SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Sunday, June 22, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Mengusai Punca Rindu

'Mengusai Punca Rindu'

Dari arah barat daya Bukit Siulan, sinaran suria kelihatan samar di balik mega kelabu, malu-malu menjenguk siang yang tidak sabar menunggu. Limpahan cahaya suria menerobosi selang ruang antara ratusan pepohon tropika yang gagah dan tinggi. Sisa hutan tropika ini adalah antara khazanah yang dituntut warga antarabangsa; warisan hutan terakhir dunia. Keunikannya kerana ia pemisah artistik siang-malam di pulau ini.

“Kalau diubah-ubah dan diwajar-wajarkan aku khuatir memori itu tercedera dan menghilanglah kamu entah ke mana. Apabila aku kehilangan wajahmu, Yang, sama jugalah seperti aku mengabaikan kesejahteraan sepohon cendana yang cuma satu-satunya ini dari disentap serakah-serakah sekelilingku.” Satiya menyimpul lembut rambutnya yang terurai semalaman.

“Panjang dan lebat rambutku,” Dia meyakin-yakinkan diri. “Kalaulah rambutku ini uban seluruhnya apakah kamu masih mengenaliku?” Keraguan ini juga bukan lagi satu kesangsian yang baru.

Diam-diam Satiya menelinga degup jantung yang mengiramai perasaannya. Sesekali melaung Satiya ke dalam diri dengan sekuat-kuat tenaga dalaman kerana mau menepis secepat mungkin nyanyian nafsu yang bernada kasar. Namun cara Satiya menangani godaan demikian tetap lembut, tetap seni walau tetap hening. Sewajarnyalah tenteram dalam diri peribadi semata-mata. Pendekatan mesti disaluti budi. Bahasa pula mesti disaluti cara yang halus murni, kata hatinya.

Di situ terapung sebuah persoalan dalam benaknya: Bilakah akan terjadinya peristiwa indah itu?

Memangnya pertanyaan yang bergema itu bukan lagi sebuah persoalan yang baru sekarang terjelma. Sudah sekian lama kisah itu berlalu. Sudah sekian kali pula ia berulang sehingga menjadi nyanyian kehidupan baginya. Untuk kali keberapakah perihal yang sama, bertandang ke pintu hatinya yang kudus. Dia tidak hairan untuk mengira-ngira lagi. Pun demikian, kehadirannya masih juga menjadi persoalan yang sering menjengah tanpa perubahan yang nyata ke arah penyelesaian yang abadi.

Tunduk dia sambil merenung denyutan tampak pada pergelangan tangannya. Rentak nada ternyata setia meningkahi gema aliran dari jantung yang kian lama teruji. Cuma sahaja bagi Satiya, kesan dan hala kerisauan yang terbit dari perkara yang dilaluinya berbeza-beza. Bukan derita; sekali-kali juga bukan sengsara, tetapi adunan kedua-duanya. Percikan rahmat kesyahduan dan keceriaan menjadikan dirinya sentiasa bahagia. Bahagia yang kekal dan berkembang dari dalam. Sungguh dalam. Bukan bahagia tempel-tempelan. Satiya tersenyum merenungi pintu kalbunya terhias indah.

“Aku tidak mahu jadi ketulahan kerana mencemari cintaku sendiri!”, berontak dia dalam hati; sunyi-sunyi, sepi-sepi. Berkekalanlah wahai cinta; indah atau pedih. Kaulah teman dan gimbaran sepanjang hayatku. Walau memang kusedari kewujudanmu cuma pengisi dan penglipur hasratku yang entah bila tergapai. Kekallah kerinduanku. Damailah demi mengutuh pegangan cinta peribadi,” Satiya meyakini diri sepasti mungkin.

Tapi bila! Tapi bila! Tapi bilaaa!

“Kalbu nurani perlu dijaga semurninya.” Satiya memujuk diri dari resah debaran di dadanya. “Selama ini tidak pernah aku terfikir kesangsaraan. Buat apa memikirkan yang pedih-pedih,” dia menjawab cetusan ilham yang tiba mengapung. Pernah ia mendengar manusia serakah sekeliling menyifatkan dia sebagai lambang sebuah sengsara. Peduli apa ia akan cemuhan seperti itu kerana Satiya punya urusan yang lebih berat menunggu sentuhannya.

Satiya menumpu sepenuhnya hala minda dan keupayaannya kepada kebebasan diri yang mutlak, pengabdian dan keabadian. Sudah direnanginya samudera perjuangan maha luas itu sejak dulu lagi. Sejak dulu juga Satiya tidak henti-henti memikirkan pertanyaan batiniah, bahawa sampai ke takat mana perjuangan terhadap pegangan itu wajar diasakkan.

“Ah! Pokoknya,” bisik Satiya ke dasar kalbu, “Wajarnya! Sampai ke mana?”

Ke pinggir kemungkinan!

Sebuah jawapan mengaum dan bergema sehebat gelombang tujuh samudera dari kalbunya yang penuh tawakal.

“Betul! Betul! Benar dan betul katamu.” Satiya mengangguk-angguk kepalanya. “Inilah hal-hal yang puncak dalam kemanusiaan diri, wajib ia diperjuangkan. Inilah puncak perjuangan demi memanusiakan diri sendiri. Tapi bagimana pula tentang cintaku. Sebuah milikku yang amat peribadi tetapi terhambat dan terdampar?”

Satiya bagaikan memaksa diri senyum. Apa mungkin cebisan dari kenangan manisnya turut terheret dan tenggelam ke dalam arus memori yang ligat, pun demikian ia masih bertenaga dan cekal.

“Memang itu perjuangan lama, tapi tetap manis, bukankah begitu? Juga bukan kerana apa,” katanya seperti berbisik, “kerana usiaku…,” dia menyabar diri. Dia tahu dirinya sering menang dalam kancah menenteram seperti ini.

“Bukankah usia kian hari kian menyebabkan aku hilang keperibadian diri.” Satiya mendebat sehebatnya apabila detik menggemparkan seperti ini tiba. Dia mengenali sifat dirinya; wanita bijak yang tidak mudah terpedaya sekalipun oleh diri sendiri.

Oh! Maha Pencipta, ampunilah segala dosaku. Ampunilah keangkuhan hambaMu ini.

Suara dari kalbu nurani bergema lagi. Satiya menyedari kedaifan diri, dan tentang cinta peribadi yang terpaksa dibelai, dikendung, dijunjung, didukung dari detik ke detik, dari masa ke masa, dari ruang ke ruang kehidupan yang nyata maupun yang rahsia. Dia bersyukur kerana kesedaran itu kian teguh memangkinkan pegangan hidupnya.

“Mana bisa ingatan tentang kasih dan kekasih boleh hilang sehingga tidak berharga sama sekali. Tidak wajar segala yang semurni itu musnah begitu saja lalu tidak meninggalkan apa-apa bekas pada pangkalan rindu manusia. Sekalipun datang bertindih pertanyaan serupannya, tetap juga ia tidak memerlukan jawapan.” Dia berkira-kira dengan tekun dan khusyuk. Satiya yakin mesti ada satu jawapan yang tepat untuk musibah ini sekiranya terjadi juga. Hatinya mulai reda dan tenteram.

“Sekiranya terjadi kecelakaan,” Satiya berkira-kira, “bukan kerana apa. Cuma disebabkan manusia memilih untuk terus berpura-pura!” Termenung sejenak ia.

“Ah! Mana bisa cintaku musnah! Mana bisa! Satiya memberontak sendirian. Terkial-kial dia mendakap sebanyak mungkin keyakinan daripada tanggapannya yang maha kukuh itu. “Mana bisa hal seperti itu terjadi padaku. Bukan! Aku tidak pernah mendekati kepura-puraan. Satiya bukan orangnya!”

“Aduh! Ampun Pak. Maafkan dia pak. Saya boleh lupakan dia. Jangan diapa-apakan dia, Pak!”

Rintihan itu sebuah kenangan yang paling rahsia dalam diri, tetapi kini bergema semula dari sudut-sudut kalbu yang alpa. Dirasakan keperibadian diri berkocak kembali. Kecamuk ini perlu ditenteramakan, fikir Satiya. Antaranya, Satiya berasa dia wajib pasrah sekalipun dirinya hilang segala-gala termasuk zaman remaja yang dirasakan baru semalam melafaz selamat tinggal. Tidak dinafikan bahawa itulah hakikat masa yang tidak mudah mungkir janji. Demikian pun, dia masih punya satu-satu kenangan yang tidak pernah lenyap dari punca memorinya.

“Aduh! Ampun Pak. Maafkan dia Pak, Pengiran. Ampun. Saya boleh lupakan dia. Jangan diapa-apakan dia, Pak!”

Rintihan itu bergema meruntun benteng kalbu Satiya. Dia tidak menyangkal daya dan bentuk ingatannya lewat-lewat ini semakin kabur dan sesekali pula sesat larat entah ke mana. Tetapi kenangan dan ingatan yang murni dan manis akan kembali juga menjengah, tersimpuh penuh kesopanan di pengkuan kasih yang setia dan penuh pengabdian. Bersyukur aku kepada Maha Pencipta, katanya bagaikan berbisik pada diri sendiri.

Satiya sedar bahawa kenangan itu kesetiaan. Dia pasti bahawa mana bisa sebuah kenangan lebih-lebih lagi cinta semurni cintanya, terlepas dari bendungan ingatan begitu mudah.

Ah! Apa-apa sajalah! Sebuah jawapan terbit dari pinggir ingatan. Memang itulah jawapannya, tangkap Satiya. Dia tidak ingin dikelirukan lagi oleh desakan dalaman yang negatif.

Biarkan! Biarkan! Biarkan! Peduli apa!

“Memang, ya. Peduli apa! Memang segalanya kurelakan. Ah! Bukankah cinta itu sinonim sebuah perangkap?” Dia mengangguk-angguk kepala.

“Saya boleh lupakan dia, Pengiran, Saya boleh lupakan dia, Ngian. Jangan diapa-apakan dia, Pak. Saya akan pergi ke mana saja membawa hati dan cinta kami. Jangan apa-apakan dia, Ngian, Pak jangan apa-apakan dia. Ampun, Ngian, ampun Pak. Saya lebih rela pergi daripada melihat dia disiksa begitu. Ampun, Pak, ampun kola, Pak!”

Daifnya rintihan Radin di hadapan almarhum ayahanda pada suatu waktu yang samar dalam ingatan Satiya. Dia ingin memadamkan apa-apa saja kaitan peristiwa itu dengan keris lok tiga bertatah permata yang kejap di genggaman almarhum.

“Mengapalah terlalu mahal harga bangsawanku….,” Satiya mengeluh sesal. Kalimah “membawa hati dan cinta kami” tetap segar dan harum mewangi kenangannya.

“Aduh! Kekasihku, kau bawalah cinta kita kemana-mana semaumu,Yang. Walau bagaimana daif sekalipun kamu di hadapan almarhum, tiada siapa yang lebih memahami niatmu selain aku dan Maha Pencipta. Aku sedar di sebalik kedaifan kau pendam mutiara kasih cinta kita.”

“Di manakah kamu…?” Satiya melontar kembali pertanyaan yang sering bergema dari kalbu. Dipinggirkannya segala ingatan pahit tentang Radin kerana dia ingin menemukan yang indah-indah sahaja. Kepedihan dan kesengsaraan Radin baginya tidak dapat tidak akan menyangkutkan nama almarhum ayahandanya yang amat disanjungi. Almarhum baginya adalah seorang wira, sebuah lagenda bangsanya.

“Ampuni hambaMu, Maha Pencipta. Jauhilah hamba dari perbuatan syirik dan penyembahan watak. Kiranya hamba menghormati ayahanda adalah kerana Almarhum itu pemegang amanahMu jua.”

Memang dia sepenuh yakin kerinduan yang semakin uzur ini bukan sahaja seerti dengan perpisahan yang memedihkan seperti yang dialaminya. Baginya kerinduan ini adalah sebuah kerenggangan yang lunak dan manis.

“Memang ingatan tentang kamu sebuah kenangan yang indah, Yang.” Satiya mengakui. “Semakin lama kufikirkan semakin lemas rasa diriku dalam selautan kenangan lampau yang memilukan, Yang,” keluhnya dalam-dalam, “tapi penuh kerinduan sejati syahdu, bukankah begitu?” Satiya tersenyum, berseloroh pada diri sendiri. “Yang, kalau aku bisa menyelami dasarmu yang kelam dan dalam tapi mengasyikkan itu, aku pasti memilih duniamu yang terasing itu daripada hidup bersama manusia serakah sekitar ini.” Satiya membenar-benar alis mata dengan ibu jari dan telunjuk. Dia terpinga-pinga. Disedutnya sebanyak mungkin udara subuh bening yang segar dan nyaman sekelilingnya.

“Kedinginan waktu tidak memudaratkan diriku,” Dia mengurut-urut lembut tapak tangannya. “Jasmani, semangat dan rohaniku bisa saja kupisah-pisahkan dan kuabadikan untuk sesiapa yang kusanjungi. Apa betulkah bisa begitu?” Satiya bertanya kembali pada diri sendiri. Radin baginya adalah lambang, laksana sebuah mahligai kenangan, yang terapung indah; bersinar gemilang setiap detik ia menatapnya dalam mimpi atau jaga.

Satiya menghening diri, kembali pada situasi tafakur. “Kerana itulah, Yang, wajahmu dalam ingatan dan memoriku sentiasa muda, segak dan perkasa,” keluhnya memanjang. “Segala tentang kamu tiada yang tidak bagus”. Dia tersenyum pasti. “Memang mustahil setelah puluhan tahun wajah kamu tidak berubah. Wajarnya, memang berubah, ya!” Satiya menjawab pertanyaan kalbu. Satiya mengurut-urut betisnya. Dia kembali bertenang sementara matanya ralip memerhati titik-titik embun yang bertaburan di rumput yang menghijau sekelilingnya. Indah dan bersahaja umpama seraup butiran permata yang dihamburkan, berkilauan menghiasi hamparan permaidani di sapaan cahaya.

“Tetapi buat apa diwajar-wajarkan dengan keadaan semasa? Ingatan tentang wajah dan segala tentang kamu dalam punca memoriku adalah satu rakaman, … kekasihku,” Satiya mengulangi, “dan mengapa harus ia diwajar-wajarkan dengan masa dan keadaan yang kulalui?”

“Radin,” dia membenar-benar simpulan rambut yang baru dikemaskan tadi, “kamulah sepohon cendana yang hak bagiku. Padamu kusandarkan harapan yang kian hari kian berat ini. Aku tidak mahu kehilangan kamu sekalipun dalam ingatan cuma. Aku tidak rela detik-detik itu menyelinap ke degup jantungku sedang duniaku ini belum sepenuhnya padam.” Satiya mengurut-urut pipinya.

“Bila aku sudah padam, kau padamkanlah aku dari kenanganmu. Aku rela. Aku sedar kamu juga setua aku, Radin. Tapi, mudah-mudahan kau tidak seuzur aku, mudahan-mudahanlah.

Kamu tau, hingga ke detik inipun aku masih mengharap kamu datang menjemputku.” Titis demi titis airmata mulai jatuh ke pangkuan. Beralun nada sendu dari sudut-sudut kalbunya yang kecemasan. Semakin sebak semakin terhimpit dadanya.

“Yang….Aku tidak akan berganjak dari bumi tumpah darahku ini kerana fitrahku seorang wanita, sekalipun aku sudah tua. Sebab selebihnya kerana aku belum berkeluarga. Tiada muhrim, tiada waris menemani kembara itu.” Dia tersedu-sedu. Sekitaran yang masih kabus berembun menambah kesayuan rasa.

“Kalau kamu pasti aku sudah padam, janganlah kau bebankan ingatanmu dengan kenangan yang tidak mendatangkan apa-apa harapan untuk dirimu.” Satiya bangkit dari duduk yang lenguh. Dia berjalan-jalan sekitar pohon cendana yang teduh dan rimbun itu. Dia mendongak ke atas. Terbit kesyukuran yang tulus dari kalbunya. Kenikmatan ini adalah limpahan rahmat dan rahim dariMu jua, Maha Pencipta.

“Telah puluhan purnama aku di sini,” dia berfikir lagi sambil melihat sekeliling. “Malam tadi tidurku nyenyak. Malam yang dihiasi sejuta bintang rupanya mengangkat impianku ke sudut rindu syahdu tapi penuh rasa sayu dan pilu.” Satiya memandang ke bawah bukit, ke sebuah tasik dan bangunan indah tersergam di tepinya.

“Rasa baru sekejap tadi kawasan ini dibanjiri ribuan manusia.” Dia ada di pinggir tasik itu malam tadi. Hadir sendirian, tapi untuk puluhan kali yang keberapakah sejak kawasan itu dibangunkan. Direnungnya tasik yang masih diselubungi kabus nipis namun perlahan-lahan kabus keputihan itu berarak ke pinggir Bukit Siulan yang sebahagianya masih gelap kelabu.

Permukaan tasik kian berkedut lembut dihembus sepoi pagi. Pasrah dan damai menerima usikan cahaya. Tersentuh perasaan Satiya melihat fenomena alam penuh sindiran. Ia meraba-raba pipinya. Terbungkam seketika ia pada detik-detik yang amat menyentuh itu. Bergenangan airmata menginsafi usia yang semakin lanjut tapi rindu masih belum terusai.

Di sebalik belantara tropika yang tebal dan gagah di pinggir perteduhannya, sang suria tersipu-sipu malu. Mega kelabu yang berarak dan sesekali tersangkut di kening suria seolah-olah bercengkerama, umpama bujang teruna yang terjebak di kerlingan jelita malam, tanpa salam lalu menerpa.

Satiya teringat detik-detik yang memaksa ia membuka balut luka percintaan. Malam tadi ia menangis di tengah keceriaan sekitar. Dia kepiluan sendiri di gemerlapan cahaya bunga api yang menghiasi pesta malam menghantar tahun; menghantar kurun.

“Radin; telah puluhan tahun kita tidak bersua. Siapa yang akan menemani cinta kita, Yang? Cinta kita!” Satiya menggoncang-goncang kedua lututnya yang terpacak kaku.

“Kau ingat cinta kita yang kau bawa pergi! Kini ia terpaksa ditinggalkan; terapung sendirianlah ia di pinggir mellinium yang baru sekejap tadi berlalu.” Satiya dikejutkan oleh dentuman yang menebarkan bunga api ke udara, terserlah keindahan malam sedang refleksi warnanya bertaburan di permukaan tasik, semakin gemilang hingga ke penghujung nyala.

“Kekasihku, Radin. Abadikanlah cinta kita semurni mungkin. Bawalah ia bersama kita ke alaf ini, Yang. Jangan biarkan ia terumbang ambing. Jangan biarkan ia tanpa kamu tanpa aku mengawetinya. Jangan biarkan ia piatu. Jangan biarkan ia jadi yatim. Aku masih wujud. Aku yakin kau juga bersamaku terlontar ke medan realiti maya, menjengah alaf ini.”

Semakin banyak bunga api tersembur mewarnai langit gelap. Serpihan yang lain bagai kilat menyambar dengan dentuman lalu meretak kedamaian atmosphera. Ribuan manusia sekeliling tasik bertepuk dan bersorak. Satiya turut terpesona melihat keindahan bangunan tersergam di tepian tasik seberang sana. Cahaya beraneka warna dilimpahkan ke arah bangunan itu sehingga menjadikan ia kelihatan seperti sebuah karyacipta daripada air separa beku.

Satiya menoleh sekeliling dan merasa terharu melihat ribuan manusia setia membanjiri kawasan ini.

“Tersergam bangunan ini bukan suatu yang baru bagiku.” Satiya bangga sendirian. Tapak bangunan ini adalah warisan keluargaku! Kurelakan ia jadi hak masyarakat kerana kecintaanku terhadap bangsaku.” Satiya menahan rasa kagum di dada senyap-senyap.

“Inilah sahaja pengorbananku untuk anak bangsa. Cuma ini saja yang aku terdaya. Semoga anak bangsaku jadi warga yang menghargai kemerdekaan sejati yang mutlak!” Satiya termenung sambil tangannya bermain-main dengan air di tasik, sejuk dan menyegarkan.

“Mereka bukan tidak tahu hak punya tapak ini. Perlu apa aku laungkan sumbangan sekecil ini.” Satiya menyimpan rasa bangga yang tidak terbendung.

“Memang aku wanita perjuangan berjiwa besar sekalipun aku bukan pemimpin yang mereka pilih! Aku relakan mereka meroboh kediamanku bertepatan duduk bangunan seindah istana itu. Kini sudah puluhan purnama aku berteduh di bawah pohon cendana itu. Aku peduli apa.”

Dia memerhati ke seberang. Terang benderang cahaya dari istana di seberang tasik. Gegap gempita bunyi muzik klasik dan tradisional yang dialirkankan dari setiap penjuru arena, bertambah gempar suasana dan upacara. Satiya mengurut rentetan peristiwa bersejarah malam tadi.

“Tiada yang tidak kukenal tentang cuaca khatulistiwa ini. Panas, hujan, banjir dan kering-kontang. Aku sudah lali dengan ragam tropika yang semakin uzur ini. Ah! Memang semua kita suatu hari nanti akan musnah juga. Tidak terkecuali, semua kita mentaati ekologi,” tegas Satiya sehingga tekanan nada suara dalaman terserlah pada perilakunya.

Beberapa orang kanak-kanak nakal yang main kejar-kejaran sekelilingnya menyuluh muka Satiya dengan lampu-lampu picit. Kedengaran oleh Satiya anak-anak itu dimarahi oleh orang tua mereka.

“Tentang masa dan janji awal yang tidak bertukar, kupohon dariMu Yang Maha Pencipta, berilah hambaMu ini kesempatan. Bukan kerana ada apa-apa yang terlalu mahal dan berharga yang hambaMu tunggu. HambaMu masih menyimpan janji-janji mereka. Apabila siap bangunan ini, katanya hambaMu bisa menemu sesuatu yang indah dari penantian.” Dia berdoa dalam kesepian diri.

Selama ini Satiya menyedari dirinya menjadi bahan gelak ketawa pekerja-pekerja di tapak pembinaan. Satiya pernah bercakap-cakap dengan seorang arkitek binaan di situ. “Mereka tidak tahu aku punya semangat dan tekad yang jauh lebih jati, jauh lebih kental dari tujuan hidup mereka,” kata Satiya sambil mengetap bibir.

“Hei! Kamu semua. Kamu semua cuma mahu makan-makan disuap ya? Kasihan anak-anakku! Kasihan generasi alaf baru! Seribu kali sayang… anak-anakku…. ,” keluh Satiya, mengarah telunjuknya kepada perkerja-pekerja yang bermandi peluh di bawah sinaran matahari terik di tapak pembinaan.

“Zaman remajaku dulu, jejaka seperti kamu cuma layak jadi budak rantai. Kamu tahu macam mana kehidupan orang rantai? Darjat mereka tidak lebih daripada kehidupan seekor monyet yang sering dirantai.” Jerkah Satiya sekuat-kuat hati. Payung yang tadi dibuka kini dikuncupkan kembali. Dia berharap semoga suaranya jelas dan lantang didengar mereka.

“Kelebihan orang seperti kamu cuma kerana kamu bersifat manusia. Kamu faham, tak?” Satiya melepaskan geram. “Tetapi pelik juga ya, mengapa kamu memilih menjadi abdi kepada makhluk sedarjat dengan dirimu. Lalu kamu semua diasuh oleh tuan kamu yang juga manusia seperti dirimu, untuk menjadi penarik peti khazanah mereka?”

Satiya mulai bertenggek di atas sebuah buldozer yang tersadai di pinggir sebuah tempat berteduh bagi sekumpulan jurutera dan arkitek. Antara mereka ada seorang arkitek Satiya kenali dengan baik. Arkitek itu tersenyum-senyum mesra memandangnya. Satiya melambai-lambai tangan dan memanjang-manjangkan leher selaku orang bertanya khabar. Memang mereka kenalan mesra sejak bermula kerja-kerja pembinaan di situ.

“Peti-peti itu pun belum tentu hak tuan kamu. Kamu faham, tak? Wajarnya memang hak rampasanlah! Harta tuan-tuan besar begitulah sejarahnya. Kalau kamu pernah baca buku kamu tahu semua ini. Huh! Buat apa aku bercakap panjang-panjang dalam panas terik begini. Buang masa!” Satiya menghabiskan geram dan rasa meluatnya.

“Memang tugas kamu berbeza daripada tugas monyet yang diasuh sekadar memetik kelapa! Selainnya, apa kelebihan kamu? Kamu tahu, tak? Apa? Jawab! Cuma kerana kamu manusia, yang memilih kerja hamba abdi kepada seorang abdi yang lain. Lagi, apa? Nasib tak baik jadi korban semahan!” Terhenti di situ Satiya meraba-raba tengkoknya.

“Ha! Baru puas hatiku!”, Teriak Satiya tapi belum nampak ia akan meninggalkan tapak binaan yang sibuk itu.

“Aku tahu kamu sekadar punya sekeping tanah haram, bukan begitu? Kamu ingat aku tidak tahu itu. Siapakah yang melabelkan tanah kamu itu sebagai tahah haram? Hai kamu semua, dengar sini, dengar sini baik-baik, siapaaaaaa? Seluruh Bandar K ini telah kujelajahi. Tanah haramkah atau tanah halalkah semuanya telah kujejaki.”

Satiya menolak-nolak sebatang cangkul yang disandarkan di situ dengan kaki kiriya. Cangkul terjatuh, tapi tak jadi. Beberapa orang jurutera dan arkitek termasuk arkitek kenalannya itu menoleh ke arahnya. Dia senyum, mereka senyum.

“Tapi macam mana kamu bisa miliki harta haram itu aku tidak mau tahu. Yang aku pasti, kamu tidak bijak meneliti perlembagaan negaramu sendiri! Juga kerana kamu malas! Malas berfikir juga menjadikan kamu dunguuuuu!, Satiya berteriak. Faham?!!!” Caranya Satiya mengingat-ingat cebisan peristiwa hangat yang pernah dilaluinya sepanjang pembinaan bangunan itu. Baginya bangunan itu memanglah sebuah istana. Indah dan bermakna.

“Kasihan anak bangsaku. Mengapa begini jadinya kamu!” Dia bercakap dengan tekanan nada yang sungguh-sungguh menyesali sesuatu. “Cuba kamu fikir masak-masak, … anak-anak. Mana bisa segalanya haram-haram saja? Kenapa yang halal-halal itu dipunyai mereka. Dipunyai tuan-tuan kamuuuu? Kenapa tidak kamuuuu? Kenapa tidak, kamu, cari, jawapaaan untuk persoalan seperti iniiii?Cubalah kamu berfikir dalam-dalaaaaam!!,” teriak Satiya sambil menghentak-hentak kaki. Bagaikan meraung Satiya kerana terlalu sedih dan kesal.

“Bukankah berfikir itu lebih baik daripada kamu mentertawakan wanita ini. Aku ini wajarnya nenek atau boleh saja moyang kepada kamu.” Satiya menyingsing-nyingsing lengan kebayanya.

“Kalau sukar juga menemu jawapanya, biar moyangmu ini menyumbat ke telinga kamu jawapan dan kuncinya! Dengar sini, dengar betul-betul!” Satiya melaung sambil menitis air mata. Sebahagian daripada ratusan pekerja sudah mulai tertarik dengan pidatonya.

“Semuanya kerana …., kerana kamu bodoh! Kamu malas berfikir! Kamu memerlukan orang seperti aku sebagai serikandimu.” Satiya mengangkat dagunya dengan keanggunan sejati, konon itulah lagak dan persediaan imej politikus wanita alaf baru, yang berwibawa dan berilmu.

Dia menoleh ke kiri sekejap ke kanan sekejap. Dikembangkan bahunya, kemudian beraksi umpama sebuah tugu setelah beberapa ketika tadi menarik nafas panjang-panjang. Walau dengan udara yang masih penuh dan dada yang tentunya merening dan berpeluh, paru-paru rasakan mahu pecah di dalam, namun dipaksakan juga dirinya membusung dadan ke depan. “Hebat! Hebat! Hebat!,” dia memuji sendiri dalam hati.

Teringat dia satu-satunya arkitek yang dia kenali di tapak pembinaan itu membenar-benar tanggapannya bahawa bangunan itu memang sebuah istana. Istana untuk berkumpul para intelek, pelajar dan anak-anak yang rajin menimba ilmu. Ini satu perkara yang paling hebat fikir Satiya. Setiap kali ada peluang bercakap-cakap, Satiya tekun mendengar taklimat arkitek yang lawa dan tampan itu. Menurut arkitek itu lagi mereka yang berkumpul itu mempunyai kewajipan masing-masing tapi tujuan mereka tetap sama, mengangkat martabat manusia.

Apa lagilah setelah mendengar penerangan yang berapi-api itu, kian meremang bulu tengkok Satiya. Itulah perjuanganku selama ini, katanya dalam hati. Dia mengetap bibir tanda bersemangat. Wajar benar wawasan itu direalisasikan, fikir Satiya lagi. Supaya anak-anak bangsaku jangan tergopoh-gapah meletakkan harga diri ke darjat monyet dan orang-orang rantai. Kalau demikian, wawasan mereka dan perjuanganku adalah sama, fikir Satiya.

Di sini mereka tidak membaca buku tapi membaca dari monitor komputer, beritahu arkitek itu pada suatu hari. Di sini nanti, mereka tidak menulis pada kertas, terang arkitek itu lagi, tapi di atas papan kekunci komputer. Satiya mengangguk-angguk tanda faham akan penerangan arkitek muda sahabatnya itu. Dan sebagainya dan sebagainya lapor arkitek itu seterusnya. Demikian pun, Satiya tiba-tiba merasa sedih. Dia ingin kepastian apakah buruh-buruh binaan yang terdiri dari golongan miskin dan marhaen yang juga dari golongan anak bangsanya diberi kesempatan berkumpul dalam istana itu untuk menuntut ilmu agar jadi manusia berguna demi mengangkat darjat bangsanya sendiri?

Satiya tersenyum. Dia teringat untaian cempaka, tanjung dan melur yang dikarangnya malam tadi. Semuanya diembunkan untuk memulih kesegaran kerana dia akan menggunanya pagi ini.

Satiya segera ke gebuk air jaga yang disimpan semalaman. Lilin yang masih menyala di atas keris yang dilintangkan di mulut gebuk kini dipadamkannya. Keris lok tiga pusaka almarhum ayahanda yang bertatah permata di sampirnya itu disarungkan semula, setelah dikucup berkali-kali, keris itu disimpannya baik-baik. Tapi ingatan tentang kesibukan dan peristiwa yang dilaluinya di tapak binaan masih sakan berligar dalam benaknya.

“Ha! Nanti kau akan lihat,” dia mendabik dadannya, “nanti kamu akan lihat, di tangan wanita tua ini nasibmu akan terjamin. Di bahu wanita berkedut ini nasib anak isterimu akan terbela. Paling tidak, hai! Kamu dengar sini, paling tidak akan kuhalalkan sekelumit harta haram yang sempat kau sentapkan itu. Kau faham tak?” Satiya menghenti syarahan sambil berjalan meninggalkan kawasan pembinaan itu. Dia meludah dengan rasa benci yang teramat sangat.

Pekerja-pekerja yang pada mulanya merasa geli hati dengan telatah Satiya kini mulai bercakap-cakap sesama sendiri. Belumpun jauh Satiya berlalu mereka melambai-lambai tangan. Satiya menoleh beberapa kali ke belakang. Dia tidak faham kenapa mereka harus menghentikan kerja cuma kerana seorang perempuan tua sepertinya.

“Apakah kamu sudah termakan janji-janjiku? Seperti janji tukang sihir-tukang sihir lidah bercabang itu?”

Pagi ini bunga seri pagi warna biru keungguan di tangannya dibelek-belek dan disapu-sapukan ke muka. Terasa sejuk segar apabila titis-titik embun membasahi mukanya. Dia terkenang hari-hari yang telah dilaluinya di tapak binaan itu dengan hati berdebar. Satiya ingin bertenang. Bertenang dan tafakur dapat menenteramkan amarah manusia, ingatnya. Itulah antara pesanan almarhum yang paling akhir.

“Tapi kalau terlalu tenang sehingga tidak berkocak sedikitpun apa akan terjadi pada kehidupan ini?,” bantah Satiya lagi. “Mungkin seperti kehidupan di kubur,” Satiya tersenyum mengejek diri. Boleh jadi itu pilihan anak bangsaku. Kasihan, sungguh-sungguh kasihan! Mereka lebih suka dikenali lewat gemilang sejarah lampau yang ditokok tambah oleh sejarawan, oleh….. politikus-politikus … oleh ….. tikus-tikus itu semua!” Kembali Satiya mengutip butir-butir peristiwa itu dengan dada berdebar-debar.

“Apa memang betul, ya? Kamu tidak mahu berusaha dan berjaya? Memang betul, ya? Rupa-rupanya kamu tidak ingin dihormati kerana kejayaan masa kini.” Satiya terus juga menghafal rentetan peristiwa itu. “Anak-anak. Ambil saja perbandingan nilai duit. Ringgit dulu dan ringgit sekarang! Masih lagikah kamu menyimpan ringgit-ringgit kita yang dulu? Kalau masih, cuba-cuba kamu bawa untuk membeli keperluanmu di pasar raya. Tu, ha! Itu, di selekoh itu ada sebuah lagi pasar raya yang baru dibuka! Di situ kamu akan bertemu ramai pengunjung dan cuba-cubalah kamu membeli-belah dengan wang itu. Kamu, kamu dan kamu, akan, mendapat, malu besaaaaar!”

“Walau bagaimanapun, walau, bagai, mana, pun… “ dia cuba menyabar diri sendiri, “pada masa-masa tertentu wang lama itu berharga juga, tetapi tidak semuanya dan tidak juga selalu ada kesempatan seperti itu. Bergantung pada peminat barang-barang antik!” Satiya hampir pecah ketawa.

“Apa dia istilah yang sering digunakan sekarang….. durian runtuh?! Ya. Kalau durian runtuh yang kamu tunggu, silakan. Tapi ingat, kamu kena pinjam topi keselamatan jurutera dan arkitek itu! Nampaknya tengkorak kamu jauh lebih murah berbanding tengkorak mereka!”

Bersiar-siar awal pagi seperti ini memang kebiasaan Satiya. Sementara seri pagi semakin renyuk digenggamannya dilontarkannya ke belakang, lalu meneruskan perjalanan.

Teringat dia bahawa senja semalam telah dikutipnya puluhan kuntum kenanga, sedap malam dan mawar hutan yang terdapat sekitar perteduhan. Bunga-bunga itu disimpan dalam gebuk tanah berisi air untuk dijadikan air jaga. Pagi ini dia akan mandi air jaga itu seperti selalu tiap menunggu tiba purnama. Dia akan berlangir. Dia akan berbedak dan dia akan menghias diri. Apa lagilah kerana pagi ini terselit keistmewaan yang tersendiri. Cuma Maha Pencipta sahaja yang tahu betapa gelora dan ceria mengisi kalbu nuraninya apabila meramalkan kemungkinan-kemungkinan yang akan dilalui pada detik-detik syahdu itu sekejap nanti.

Dia berkemban dan melangkah dengan cermat membawa air jaga dalam gubuk tanah ke perigi. Sementara itu tidak henti-henti dia memikir tentang diri peribadi.

“Jasmani ini tidak boleh dimanja-manjakan keterlaluan. Aku tidak memerlukan tilam empuk, bantal empuk dan selimut tebal untuk mengharungi malam sepiku. Maha Pencipta telah menyediakan segala yang paling asas untuk manusia terus berhayat dan berkehidupan. Memangnya kita digalakkan berusaha tapi janganlah keterlaluan mengejar kesenangan. Jika terlanjur kita terlontar dalam kehidupan musim panas, berpanaslah. Sebaliknya kalau sejuk, bersejuklah,” Satiya mengulangi diksi-diksi yang pernah diluahkan pada mana-mana sesi pidato di tapak pembinaan itu.

“Aku telah melalui keselesaan hidup paling minima ini puluhan purnama sudah, tapi masih juga aku bisa melihat dunia dengan harapan dan semangat yang berkobar-kobar!”

Belum sampaipun ke perigi, Satiya tiba-tiba menghenti langkahnya seketika. “Kesabaranku ini ada batasnya, bukankah begitu?” Dia faham itulah gema dari laungan yang maha dalam, fikirnya. Memang ia satu kesedaran yang terlompat dari kamar kesempurnaan diri peribadi. Satiya merasa wajar dia menjawab perkara itu secepat mungkin. “Betul-betul!,” Satiya melepas keresahan batinnya.

“Aku bukan tidak pernah hidup mewah. Istana yang mereka robohkan itu kediaman siapa? Cuba tengok-tengok sedikit sejarah masa lampau. Mengapa istana itu dimusnahkan. Sebelum dimusnahkan bagaimana harta ini bertukar tangan. Soalan-soalan begini bukan untuk dijawab oleh mereka yang suka menjadi golongan orang rantai itu.” Bentak Satiya dalam hati sambil ia meletakkan gebuk air jaga di tepian perigi mandi dengan cermat.

Satiya mulai menjirus air yang sejuk dan nyaman yang diceduk dari perigi maha dalam itu ke badannya perlahan-lahan. Selepas melangirkan rambut, Satiya menjirus air jaga yang harum murni dari gebuk tanah ke badannya dengan penuh tertib dan sopan santun. Sesekali di antara waktu menjirus air dan menunggu jirusan itu habis turun ke kaki ia mencuri kesempatan menoleh ke seberang tasik, mengagumi istana ilmu yang indah tersergam itu. Cerita orang rantai dan monyet memang antara peristiwa manis-manis pahit, kata Satiya sendirian.

“Tapi!,” Satiya mulai bersemangat kembali, serah padaku anak-anak muda itu. Mereka itu keturunan jati bangsaku tetapi terpaksa menjadi kuli tapak pembangunan. Kasihan mereka, kehidupan terkongkong jasmani, terpendam keinginan dan terencat semangat untuk maju seperti kaum-kaum lain. Serahkan mereka padaku! Akan kupulihkan mereka! Akan kupulihkan mereka dari igauan masa lampau. Kasihan, kasihan. Kasihan sungguh bangsaku yang cuma gemilang dalam mentera dan serapah. Bangga selama-lama dengan kain kuning dan payung kebesaran semata-samata!” Satiya melepas geram.

Satiya sendiri tidak pasti apakah perasaan itu disebabkan dendam. Kalau dendam, bukankah dia sendiri daripada keluarga golongan bangsawan, terbilang menjaga adat istiadat kebesaran juga harga diri? Buktinya sehingga tak terusai kemelut yang melanda dirinya hingga ke kini ini.

“Almarhum telah mendidik aku jadi wanita bersemangat waja. Inilah anaknya yang diwarisikan falsafah bina semangat paling mujarab. Akan kujadikan mereka manusia berjiwa merdeka dan berani bersuara demi maruah, bangsa dan agama!” Teriak Satiya ke dalam kalbu, kemudian ke dalam perigi. Mengaum suara itu jauh ke dalam, menggempur hingga batu hampar.”

Mulanya dia tergesa-gesa meninggalkan tempat mandian, namun setelah beberapa ketika berjalan, dia bertukar gaya, melangkah dengan teratur, lambat dan penuh tertib. Gebuk air jaga dipeluk begitu mesra ke dada. Melangkah ia secermat ibu yang baru bersalin, penuh kasih ia seperti mendakap bayi yang melekap ke dadanya. Dengan wajah cemas bagaikan tidak yakin ia pada deria peribadi yang menghantar pesanan bahawa yang didakapkannya itu sebenarnya sudah padam!

Sesampai di perteduhannya, Satiya terus berhias dan membenar-benarkan simpulan rambutnya agar menjadi sanggul yang lebar dan kemas tergantung di tengkuk. Di kiri, menghiasi sanggulnya berjutaian bunga melur, bunga tanjung dan cempaka. Semalaman Satiya menyiapkan karangan itu.

Dia mengenakan baju kebaya dari kain baldu nipis berbunga tebuk sekeliling tepinya. Dengan latar warna gelap, jahitan kerawang bunga tebuk menyerlahkan kehalusan karya tradisi bangsanya.

Di hadapan sebuah cermin badan yang retak-retak dia memastikan selendang batik jawa warna kuning tua disangkut rapi-rapi di bahu, sementara kain batik lepas pekalungan warna kuning pucat bermotif burung dan bunga dipakai sekemas-kemasnya untuk menampakkan susuk badannya yang tinggi lampai.

Terakhir, disisipkan keris pusaka lok tiga bertatah permata ke pinggang.

Setelah selesai persiapan tradisional Satiya mencari dan memilih antara detik-detik langkah ketika yang diyakini kalbu rohani diri sebagai pelengkap. Kini dia ingin memastikan beberapa kali di hadapan cermin badan bahwa senjata yang dibawanya tidak kelihatan oleh khalayak.

Satiya melangkah meninggalkan perteduhannya. Teratur dan anggun.

Dia memesan senya-senyap ke dalam kalbu nubari biarlah degup ceria dan gempar pemanis terserlah di wajahnya. Dia menyusuri tepi tasik yang cetek tapi jernih itu penuh keyakinan di dada. Ingin benar kiranya dia sempat mengutip setiap kenangan yang dilaluinya selama masa pembinaan istana ilmu ini.

Memang. Memang wajah arkitek muda itulah yang terbayang-bayang di ruang matanya. Lelaki itu baginya tidaklah terlalu lawa tetapi memang dia segak bergaya orangnya. Seorang lelaki yang sempurna. Berbudi dan menyayangi wanita. Tetapi itu cuma ukuran dan penilaian luaran, fikirnya sambil berjalan. Senyap.

Suatu detik peristiwa pernah dialaminya yang tidak akan terpadam dari ingatanya. Hari panas terik di tapak binaan dan seperti selalu dia memang sering berada di sana. Semua orang kepanasan dan berpeluh. Tanpa dijangka dia berpintasan dengan arkitek muda itu. Selisih mereka dalam jarak yang terlalu hampir tetapi tidak berlaga. Dalam keadaan sibuk dan berpeluh begitupun sempat juga arkitek muda itu berhenti dan bertanya khabar padanya. Penuh hormat dan kasih.

Satiya tidak berdaya menjawab salam hormat arkitek muda itu. Dia dikhayali oleh bau badan dan peluh arkitek yang tercegat di hadapannya. Insiden itu bagai merangsangkan tindakan dalaman dirinya. Terpukau ia seketika. Tiada kata seindah rasa. Reaksi Satiya kemudiannya cuma soalan yang sering bermain di hatinya tapi tak terucapkan.

“Kamu menjemputku? Mana anak kita?” dia menarik nafas dalam-dalam. Arkitek itu masih juga berada di situ memerhatinya dengan penuh simpati.

Aroma badan arkitek yang terhidu olehnya semacam nikmat yang mengimbau sebuah kenangan yang lain bagi Satiya. Rasakan terbuka setiap rongga di jasadnya. Arkitek itu senyum padanya penuh kemesraan seperti selalu tetapi semakin itu pula ia berasa malu walau memang detik-detik itu penuh nikmat baginya. Dia terus tunduk dan pergi dari situ tersipu-sipu.

Kini Satiya masih dalam perjalanan meniti tepian tasik untuk hadir ke pembukaan hari pertama istana ilmu.

Di seberang sana entah ratusan pasang mata merenung ke arahnya. Mereka tertegun melihat seorang wanita berhias cantik, berjalan dan bergaya, keluar melalui gerbang hutan tropika yang bersejarah menuju ke istana ilmu. Tidak terkecuali beberapa orang jurutera yang masih menyiapkan kerja-kerja tertinggal selepas majlis pembukaan rasmi malam tadi.

“Apakan daya, demi masa,” keluhnya sendirian sambil menghayun kasut tumit tinggi warna kelabu.

Apabila siap pembinaan bangunan istana ilmu ini, kumpulan arkitek dan jurutera yang bertungkus-lumus bertugas hampir tiga tahun di tapak pembinaan istana ilmu sewajarnya merasa lega. Tersergamnya istana itu menjadi kebanggaan seluruh rakyat. Apa lagi bila ianya mendapat pujian dari dalam dan luar negara. Mereka bangga negara dipuji kerana berpandangan jauh dalam perkembangan multimedia dan teknologi maklumat.

“Keterlaluan sungguh aku ini!” Satiya tersenyum nakal sambil berjalan.

Suatu waktu, kumpulan jurutera dan arkitek yang merekacipta istana ilmu ini pernah diberi taklimat oleh sebuah panel yang terdiri daripada pengarah museum, pensyarah-pensyarah dari bidang anthropologi dan beberapa orang pakar pathologi. Sebuah rahsia tetap sebuah rahsia, sumpah mereka.

Sewaktu berlangsung taklimat iaitu sebelum pembinaan istana ilmu secara rasmi dimulakan tiada wartawan atau pemberita dari mana-mana akhbar dijemput kecuali beberapa orang peguam dan pemerhati dari Jabatan Polis.

Pagi ini Satiya berjalan penuh ceria dan keyakinan di dada. Dia melangkah naik dari tepian tasik melalui tangga-tangga konkrit ke tebing di atasnya. Dengan tertib serta penuh sopan ia melangkah ke dataran marmar yang membawanya ke gerbang masuk ke istana ilmu.

Sesampai di dalam istana ilmu, Satiya berasa kakinya mulai lenguh. Badannya sejuk dingin bagaikan suatu kefanaan tiba-tiba menggempur dalaman diri peribadi. Perasaan itu sekali gus membuat dirinya tidak lagi berkeinginan untuk melihat-lihat sekitar dalam istana ilmu yang amat disanjunginya ini.

Satiya mulai berasa suatu kesedaran halus menyelinap ke dalam dirinya. Dari detik ke detik pula dia perasan diri peribadi walau berhias; angggun dan bergaya tetapi semakin ia berasa daif.

Antara ribuan pengunjung yang begitu ghairah untuk melihat kecanggihan teknologi maklumat di istana ilmu itu sebahagiannya kini mulai memberi perhatian akan kehadirannya.

“Apakah aku ini sebuah lagi bahan pameran sempena alaf baru dan pembukaan istana ilmu?” terlintas kesedaran itu dalam fikiran Satiya. Namun demikian tetap juga dia tenteram dan sabar. Dia bersyukur kepada Maha Pencipta kerana rahmat dariNya jua diri peribadi berjaya menyembunyikan gemuruh rasa yang datang umpama sebuah fatamorgana.

Satiya mengambil keputusan bahawa adalah lebih wajar dia duduk bersimpuh di permukaan batu marmar secara tradisi bangsanya walaupun dia sedar kesejukan itu akan tambah mencengkam dirinya.

Seharusnya, mengikut pertimbangan Satiya, seorang warga menjaga kesopanan dan tatasusila apabila ia memasuki sebuah istana yang indah-indah. Apa lagi sebuah istana yang teragung ini. Baginya sebuah istana sering dikaitkan dengan kehidupan bangsawan dan tuan-tuan. Dia sebagai tetamu wajar benar bersifat sopan santun.

Satiya berasa kefanaan yang dialaminya tadi telah mulai ditafsir oleh akal dan mantiknya. Kemelut rasa sebentar tadi adalah sebuah kesedihan yang begitu seni dan halus tapi lembut mengalir dalam dirinya. Sehingga ke detik ini kesedihan itu tidak lagi seperti kehadiran sebuah luka yang mengilukan.

Dalam pada itu Satiya masih lagi mahu memastikan, bahawa sekaranglah waktunya. Memang di sinilah, tempat temujanjinya dengan arkitek sahabatnya itu. Arkitek itu juga berjanji memperkenalkan, ayah, isteri dan anak-anaknya. Yang paling istimewa, Satiya dijemput makan tengah hari bersama mereka.

“Mereka kata pemimpin besar itu Radin, kekasihku. Mereka juga kata istana lama yang menjadi kediamanku dirobohkan atas arahan pemimpin besar itu. Betapa tidak masuk akal cerita itu. Radin memang telah dihambus pergi dari lingkungan hidupku namun almarhum ayahanda terus juga membiayai pelajarannya sekalipun semasa Radin menuntut di luar negeri. Almarhum tidak akan merobak janji yang telah dilafazkannya.

“Perpisahan kami adalah kerana ketelanjuranku yang dianggap menggadai kehormatan, sekalipun waktu itu aku masih terlalu muda untuk menilai pentingnya erti kehormatan. Yang aku ingat aku pernah melahirkan seorang bayi lelaki. Kemudian bayi itu telah dirampas dariku kerana akan diserah kepada keluarga Radin yang aku tidak tahu di mana.”

Sambil menunggu, Satiya terbayang akan arkitek yang mesra dan peramah itu. Dia teringat Radin Satria, arkitek itu pernah memuji dia cantik. “Memang tidak syak lagi,” Satiya meyakini diri sambil membenar-benarkan ingatanya. “Memang arkitek itu pernah memuji aku cantik!”

Semakin ia mencari kepastian tentang pujian arkitek itu semakin kerap jejari kurusnya yang runcing itu membetul-betulkan selendang dan untaian bunga yang menghiasi sanggulnya. Antara detik-detik yang teruji, Satiya berbisik halus manis ke kalbu nurani.

"Barangkali juga isterinya tidak secantik aku!"


- Abdillah SM

2 comments:

bahazain said...

ASM Sdr Abdillah
Saya seronok dan terhibur menerawang ke halaman maya sdr, tetapi lebih daripada itu sangat kagum melihat kesetiaan sdr menumpahkan imaginasi kreatif sejak bertahun lamanya. Mahu tidak mahu sdr adalah antara seniman yang telah menghidupkan bangsa kita dengan suara manusiawinya dan fitrah pemberian-Nya.Bangsa yg kaya dengan seni adalah bangsa yang akan terus hidup kerana terimbang hala tuju kebendaan dan teknologi yg bisa menghancurkan darjat manusia. Teruskan! jangan letih dengan keindahan yang hebat itu.

Abdillah SM said...

Berbahagia Dato',

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blogspot saya.

Blogspot sajalah setakat ini ruang terluang untuk saya sebarkan karya bagi tatapan umum.

Apabila pelita ini padam maya mungkin melenyap tanpa meninggal jejak realiti yang dapat dirujuk cucu-cicit. Wallahualam.