SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Friday, August 1, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Di Ruang Tawa



DI RUANG TAWA


Sejak aku bercuti rehat di rumah, dia pulang kerja seperti selalu jam lima petang. Dari jendela kamar tidur aku melihat keretanya masuk lambat-lambat ke perkarangan rumah. Kereta warna ungu itu semakin hilang bentuknya dilindungi pohon-pohon angsana di kiri kanan jalan masuk. Semakin dekat semakin jelas pula bunyi deru injin kudengar. Tidak lama setelah itu deru injin tidak kedengaran lagi. Aku turun ke bawah membuka pintu. Turun tangga bagiku tidak seletih waktu naik. Namun demikian turun naik tangga akhir-akhir ini mula mendatangkan kesulitan.


Pintu kubuka. Itu dia! Sebuah wajah dengan warna intan gemerlapan di ruang cahaya. Dan senyuman itu tidak pernah lari dari bibirnya di saat-saat hatinya tenang. Itulah suamiku, Radin, seorang lelaki yang kacak dan segak.


Dikucupnya dahiku. Kubalas dia dengan sebuah senyuman. Radin membawa brief casenya ke ruang tamu lalu diletakkan di atas sofa. Aku masih tercegat di tempat aku berdiri tadi, memerhatinya. Langkah-langkahnya yang amat teratur, manis kulihat mengimbangi susuk badannya yang tegap itu. Ia berjalan ke arahku sambil tersenyum-senyum. Tangannya pula kulihat sibuk membuka tali leher. Tali leher warna biru itu sering dipakainya akhir-akhir ini. Senyum simpul dia. Lalu diikatnya rambutku dengan tali leher itu. Kami sama-sama ketawa. Dikucupnya pipiku. Terima kasih bang, kataku dalam hati. Kami berjalan menuju ke kaki tangga.


Kami naik tangga. Tangan kiri Radin menggenggam tangan kiriku. Sementara tangan kanannya, kadang-kadang kurasa dekat pinggangku dan kadang-kadang kurasa di belakang bawah bahu; mengusap-usap tulang kipasku. Dengan Radin membantu aku naik tangga, tidaklah seletih aku naik turun seorang diri. Kami sampai ke atas dan terus ke kamar. Minuman petang untuk Radin telah kusediakan.


“Minumlah bang,” kataku sambil baring menelentang di atas katil. Aku keletihan.
“Dah diberitahu, jangan turun naik tangga, kalau abang tak ada. Bahaya, tu. Biar abang sendiri bancuh kopi,” kata Radin lalu duduk dekat meja.
“Buka pintu untuk abang tadi tak mengapa?” Soalku pantas.
“Kan abang terlupa kunci, jatuhkan saja kunci dari jendela, tu hah,” Radin menunjuk jendela kamar tidur kami yang berlangsir hijau, “abang boleh kutip,” tambahnya lagi.
“Dah sedia tu, bang, minum ajalah,” kataku menjawabnya.
“Petang semalampun begitu juga, tapi, tak apalah. Petang esok ingat tau,” kata Radin mengingatkan aku sambil jari-jarinya sibuk membetul-betul misainya.
Misai itu nak dibetul bagaimana lagi, sama seperti selalu kulihat, kataku dalam hati sambil tersenyum-senyum. “Mengapa senyum?” tanya Radin.
“Tak ada apalah. Tapi kalau ke pejabat esok tak usah bawa kunci,” kataku membalas lalu kami sama-sama ketawa.


Sambil menuang kopi ke dalam cawan, Radin sempat mengerling ke arahku. Dia senyum-senyum sambil meletak cawan ke atas piring. Kuperhati senyuman Radin. Senyuman itu berkembang menjadi sebuah tawa yang tertahan-tahan. Alamat nak tumpahlah tu, rungutku apabila Radin menuang kopi ke dalam cawan sambil sekali sekala menoleh ke arahku. Aku membalas senyumannya. Dia tetap juga senyum. Belum puas nampaknya dia. Lalu pecah ketawanya. Kucuba pejamkan mata.


Ketawa Radin dahulu sungguh menyenangkan. Aku bahagia dengan tawanya yang unik bagiku itu. Hinggakan bila sedang tidurpun aku bisa senyum bila Radin ketawa, kata Radin beberapa hari setelah kami bernikah.


Tapi akhir-akhir ini ketawa Radin kurasa berubah. Telah kuberitahu Radin tentang perubahan itu. Perubahan itu bukan pada dirinya, kata Radin, tetapi kerana perkembangan yang berlaku dalam diriku. Lebih-lebih lagi bila aku terpaksa berehat di rumah seperti seminggu ini, tambahnya lagi. Itu kuakui benar, tinggal sendirian tanpa teman bercakap detik-detik singkat amat panjang kurasa.


Meninggalkan keriuhan dan kenakalan kawan-kawan, timbul rasa jemu yang menekan di rumah yang sepi ini terutama apabila Radin tidak ada. Radin berkata aku harus bersabar serta menurut nasihat doktor. Radin selalu memberitahu aku bahawa segalanya itu adalah untuk keselamatanku yang diutamakan dan orang ketiga yang akan mencemar hening kamar kami. Dulu Radin pernah berkata, “Hening adalah kebahgiaan kita, sih...” Dan pernah juga Radin menyebut, “... orang ketiga yang bakal mencemar hening kamar ini adalah kebahgiaan kita, sih....”


Lalu, tinggal seorang diri di rumah, selama seminggu, rupa-rupanya penuh kuisi dengan memikirkan masalah hening dan tangis. Keheningan dan tangisan membuat aku kurang faham, apa lagi yang Radin kehendaki dariku di masa-masa akan datang. Sedangkan nampakanya sekarang Radin amat menghendaki kedua-duanya, dan sekali gus.


Terdengar aku Radin menghirup kopi.


Satu petang di pejabat aku menyumpah-nyumpah dalam hati. Tauke tempat keretaku dibaiki meninggal dunia. Aku bukan marahkan orang meninggal dunia, mana boleh! Tetapi peristiwa ini meletakkan aku dalam keadaan terpaksa menelefon Radin; menjemput aku pulang. Sedangkan semalam aku bertengkar dengannya kerana dia mahu aku pergi ke klinik.


Selama ini dia tidak jemu-jemu membujuk aku supaya pergi ke klinik. Selama itu jugalah aku sering mengelak dengan gurau senda lewat cerita-cerita asmara. Bila kuusap-usap rambutnya dan kuurut-urut jambangnya, perbualan kami bisa menyimpang ke lain perkara, seperti masalah pejabat dan kakitangan.


Radin yang boleh bermain piano dan gemarkan lagu-lagu seriosa selalu kuheret ke pianonya, sementara aku sendiri menyanyi lagu-lagu yang dia pernah ajar padaku. Begitulah sering aku lakukan. Tetapi malam itu pujukan Radin sudah berubah kurasa, seperti ugutan pula. Aku tetap bertahan, seperti selalu. Kerananya Radin keluar, keluar malam meninggalkan aku seorang diri. Satu perkara yang belum pernah dilakunya sejak kami bernikah.


Terdengar aku bunyi sebuah cawan kosong diletak di atas piring.


Kusedari, rupanya aku sudah hilang daya pujukan. Mungkin kerana itulah sekarang aku sering marah-marah. Apakah aku sudah tergolong sebagai seorang yang pemarah.
“Orang yang pemarah tidak bijak membujuk. Sebaliknya dia suka dipujuk,” kata Radin padaku satu ketika dahulu. Aku selalu cuba menahan diriku daripada sering marah-marah. Kerana itulah bila aku memarahi budak pejabat seperti pagi itu, aku berasa kesal. Aku ingin meminta maaf. Kufikir juga apakah kewibawaanku sebagai ketua akan terjejas kiranya terpaksa minta maaf terus-terusan. Walau bagaimanapun, aku ingin mengasah lagi bakat pemujuk yang pernah ada padaku seperti dahulu. Tujuankun tidak lain dari sekadar dambakan kemesraan. Bagiku kemesraan pertanda masih ada rasa cinta, kasih, hormat maupun simpati.


Jauh dalam telinga aku terdengar semacam bunyi air dituang ke dalam sebuah bekas kecil.


Petang itu pukul enam Radin datang menjemput aku. Mukanya kelihatan masam. Dia tidak menoleh apabila aku masuk ke dalam kereta. Kereta dilarikannya laju benar. Ada juga rasaku hendak menegurnya. Tidak berani aku. Mudah-mudahan kami selamat, dalam hati aku berdoa. Sedar tak sedar rupanya kami sudah melewati bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Satok. Radin memusing ke kiri menuju lebuh di hadapan Bangunan Salmas. Sampai di sana dia melambat-lambatkan kereta. Sementara itu aku menjenguk keluar. Radin masih terkial-kial memilih tempat letak kereta.


Tertarik aku melihat sepasang suami isteri yang keluar dari kereta di sebelah kami. Radin menghentikan kereta tiba-tiba. Terangkat duduku. Apakah dalam fikiran Radin, aku mengeluh diam-diam lalu keluar. Sepasang suami isteri seperti sangkaanku tadi menoleh ke arah kami sambil bercakap-cakap. Mereka melintas dan berpaling sambil senyum apabila terpandang aku.
“Hai Ani, bila you datang?,” teriakku sambil melambai-lambai ke arahnya.


Ani bergaun labuh tanpa lengan. Dia kelihatan sungguh cantik dalam gaun jenis kain lembut itu. Kutoleh Radin yang menyusul. Radin kelihatan seperti minta diperkenalkan. Kuperkenalkan kepada Radin bahawa mereka adalah rakan sepengajianku di universiti dulu. Ani dan Sufian. Mereka berkahwin semasa di tahun akhir. Gembira sungguh aku dapat bertemu Ani. Maklumlah bertemu setelah sekian lama berpisah. Kulihat perut Ani membuncit bila angin bertiup menepis gaunnya yang lembut itu.


“Yang ke berapa ‘ni, Ani?” tanyaku, leka merenung perutnya yang buncit itu. Ani menoleh suaminya, terangkat keningnya.
“Yang kelima,” suaminya pula menjawab.
“You dah berapa orang?” Ani bertanya padaku.
“Belum lagi,” jawabku. Aku tiba-tiba berasa perubahan pada wajahku sendiri. Apakah kerana pertanyaan itu Radin kulihat menunduk kepalanya; diam.
“You orang merancangkah ni?” tanya suami Ani menyambung bicara. Tiba-tiba dia tertawa memecah kebungkaman suasana. Aku tersentak. Kupandang Radin. Radin pun ketawa juga. Kami sama-sama ketawa. Aku seperti mengejek diriku sendiri kerana terpaksa ketawa. Apa boleh buat.
“Begitulah,” jawab Radin pendek. Ketawa kami terhenti apabila suami Ani menghulur tangan kepada Radin, ertinya minta diri. Kami bersalaman lalu beredar. Hari sudah gelap. Radin berjalan ke kereta. Aku menurut. Tak jadi makan di restoran Binarasa rupa-rupanya, kataku dalam hati, nyesal.


Dalam kereta Radin membisu. Dia menghidupkan injin kereta dan kami beredar dari situ. Cermin pintu kereta kunaikkan apabila Radin menghidupkan penyaman udara.


“Abang,” kataku cuba menyisih kesunyian yang mencengkam. Radin manarik sebatang rokok. Dibakarnya rokok. Aku jangka Radin memang sengaja merokok, sedangkan dia tahu aku benci pada asap rokok dalam kereta yang tertutup begitu. Mungkin juga, rasaku, apabila rokok tersepit di bibirnya dia ada alasan tidak menjawab aku. Atau apa mungkin Radin ingin menyatakan betapa hatinya terbakar seperti rokok itu. Perasaanku cuma. Aku mula gelisah. Begitulah aku, jika sesuatu di dalam hatiku belum kunyatakan. Aku menangis tertahan-tahan.


“Usah perlakukan aku begini, bang. Aku tau......” Pandangan ku sudah berkaca.
“Kalau dah tau apa guna kita bercakap?” Radin menjawabku. Tegas sekali kudengar. Berdesing telingaku. Kulihat wajah Radin sudah berubah dalam samar lampu di Jalan Penrissen yang lengang itu.
“Aku tak paksa abang bercakap, tapi dengarlah.” Airmataku terasa panas mengalir ke pipi.
“Cakaplah aku mendengar,” jawab Radin sambil kakinya menekan minyak.


Kereta bertambah laju. Tangisan yang tersimpan sejak tadi tiba-tiba terlepas keluar. Kereta kami terasa penuh diisi tangisanku yang amat memaksa aku.


“Bang, aku mengandung!” Lantang saja suaraku setelah beban tangis yang berat itu terlepas.
“Apa???” Radin terkejut. Kali pertama dia menoleh ke arahku sejak kami meninggal kawasan letak kereta tadi. Radin hampir tidak dapat mengawal kereta. Kereta dibreknya perlahan-lahan ke pinggir jalan. Injin dimatikannya. Dia menurunkan cermin kereta. Dia berpaling lalu menghadap aku yang sedang terisak-isak.
“Apa, apakah ini kehendakmu, sih? Radin gugup, “bukankah abang selalu menyuruh kau ke klinik, ambil pil?” tanya Radin dan dahinya berkedut. Aku rasa aku tidak perlu menjawabnya. Terlalu letih aku bercakap perkara yang sama. Semalam kisah ini juga dan berakhir dengan pertengkaran. Takut sekali aku akan pertengkaran seperti itu.
“Abang takut aku mati? Tanyaku.
“Jangan kausebut perkara itu, sih,” Radin tersentak.
“Kenapa tidak saja kita hadapi kenyataan ini, bang?” tanyaku dengan penuh rasa terharu.
“Kenyataan sudahpun kaurasa sendiri. Sakitnya kau yang tanggung selama tiga bulan di hospital,” sahut Radin. Aku menghempap mukaku ke bahu Radin bersama tangisan yang terputus-putus.


Aku terdengar seperti bunyi air dihirup, tetapi jauh benar.


Sebenarnya begitulah. Aku bisa merancang sampai bila-bila. Namun kesan sampingan yang kulihat pada wajah Radin, kutafsir hari ke hari tidak kuasa aku berdepan. Walupun kami perlu bermusyawarah kerana ini adalah soal hidup dan mati, merurut Radin, tetapi bagiku musyawarah di peringkat ini tidak akan mendatangkan resolusi yang diharapkan. Memang ini kepentingan bersama, tapi setiap risiko yang berbangkit mestilah aku sendiri yang bertanggungjawab.


Aku tidak akan lupa pada satu peristiwa dalam sejarah pernikahan kami, apabila Radin seperti orang kehilangan fikiran sewaktu aku keguguran dulu. Sebuah harapan yang bakal menyinari hidup kami tiba-tiba diragut nasib. Aku sendiri tidak tahu sama ada takdir yang itu telah membuat tekadku lebih kuat. Yang jelas kedudukanku sebagai seorang wanita, langsung sebagai seorang isteri dengan kewajipannya sekali gus telah tercabar dan dipersoalkan.


Aku dengar nafasku sendiri turun naik.


Waktu itu kami baru saja bernikah. Keriangan dunia perkahwinan membuat Radin dan aku seperti sepasang burung yang tidak betah di dahan. Kami seakan burung yang tidak kenal siang dan malam, tiap waktu membelah kabus. Kesannya Radin ditumpahi sinar kegembiraan yang wujud di senyum dan tawa. Aku persoalkan, apakah aku bisa terbang begini selama-lamanya, kerana jangtungku yang uzur sering pula menjemput aku kembali ke dahan.


Satu pagi setelah tiga bulan kami bernikah, aku tiba-tiba berasa mual dan muntah-muntah. Aku terus kembali ke kamar dan baring. Radin mengekori aku. Dia tersenyum-senyum. Wajahnya, menjadi amat manis pernah kulihat selamaku mengenalinya.
“Apa ‘ni? Kita sakit dia senyum-senyum,” kataku sambil menekan-nekan ulu hatiku. Senyumannya semakin lebar. Sambil berjalan ke katil dia ketawa.


Siapa! Tanyaku dalam hati, terpesona. Terkocak kewanitaanku bila memori tertangkap getar tawa itu. Jauh dalam diriku masih terngiang tawa yang serupa. Teringat aku sebuah ketawa yang hampir sama iramanya, tapi serasa nun jauh di lembah.


“Orang sakit, dia gembira pula,” rungkutku. Radin merangkul kepalaku rapat-rapat ke dadanya. “Abang berpeluh, aku mengelak dadanya. Gelinya aku diasak-asak dengan bulu dadanya yang lebat itu.
“Sih, kenapa kau tak beritau abang awal lagi,” Radin merenung aku sambil mengurut-urut misainya. Aku memalis ke arah lain, kemalu-maluan.
“Nak tau jua rahsia perempuan?,” kata-kataku antara keluar dan tidak.
“Mestilah. Itu rahmat dari Tuhan untuk kita. Akan lahir cahaya mata yang akan mencemar hening damai kamar ini, sih. Abang gembira, sih,” kata Radin sambil menunjuk perutku. Kami sama-sama ketawa.


Malam itu Radin memerap dalam kamar. Katanya dia juga keletihan. Diusap-usapnya rambutku hingga aku terlena. Aku merasa terlindung dan bahagia sekali. Tengah malam dikejutnya aku.
“Sih, kita sembahyang. Minta kelahiran sempurna,” bisik Radin ke telingku. Aku tidak menjawabnya tetapi terus bangun. Dipegangnya daguku. Aku memandang ke dalam matanya. Matanya itu tetap bersinar; pesona puncanya memerangkap pengabdianku. Seluruh kewujudanku tergegar, terserah; pasrah.


Setelah sembahyang kulihat jam di dinding menunjuk dua setengah pagi.
“Sih, apa yang kaupinta dalam doamu tadi?” tanya Radin.
“Rahsia” jawabku sambil kusentuh tangannya yang berbulu itu. Kupandang dia. Terlalu cerah wajahnya yang dihiasi senyuman manisnya. Aku terpukau.
“Jangan-jangan kaupinta anak perempuan,” katanya lalu jari-jarinya mengatur rambutku yang jatuh di dahi.
“Boleh jadi,” jawabku pendek.
“Abang minta anak kembar.....” Aku menoleh ke arahnya serius. Cuba-cuba beraksi tapi tidak berjaya. Lalu pecah ketawa kami di malam buta yang dingin itu. “Senang jua kaunanti,” sambungnya lagi, “kalau dua kali lima dapat sepuluh.” Kami sama-sama menutup- mulut. “Sih, wajah macam mana kau mau?”
“Tentu sekali macam abang!” Aku menyambar. Cepat dan tangkaslah konon.
“Haahahahaha.”
“Apa dia?”
“Abang tau kau tadi tentunya meminta anak laki-laki.”


Aku mendengar ketawa yang memanjang jauh dalam memoriku.


Satu malam bulan kedua kandunganku itu, aku terkejut menyedari diriku baring di katil hospital. Aku keguguran. Doktor yang merawat memberitahu aku tidak dibenarkan lagi mengandung kerana keuzuran jantungku. Kiranya aku hamil juga ia akan mendatangkan masalah. Untuk setahun dua selepas keguguran, memang aku tidak dibenarkan. Satu arahan doktorkah atau amaran maut. Tanpa banyak soal Radin nampaknya menyetujui.


Aku tertanya-tanya dalam hati apakah Radin betul-betul mementingkan diriku. Atau itu cuma sifat sementaranya saja. Aku tetap berkira-kira jauh dalam diriku setelah Radin pulang. Dan inilah juga masalah yang turut menemani aku di hospital di saat kesakitan masih menegang.


“Hai orang tidur! Kenapa pula senyum-senyum ‘gitu? Jauh dalam kepalaku aku mendengar suara itu. Aku terkejut. Kutoleh ke kiri ke kanan. Radin masih juga duduk di situ sambil menghirup kopi. Direnungnya perutku yang membuncit. Tersenyum-senyum dia.
“Bermimpikah?”, tanyanya lalu ketawa.


Aku malu berbaur rasa bangga walau kelahiran masih lagi sebuah tandatanya.



- Abdillah SM

No comments: