SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, May 14, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Prophecy In The Making

PROPHECY IN THE MAKING


Keterasingan. Membenih ketakpastian. Gugah. Gundah. Gayat. Kewujudan diri terasa semakin kelabu, tipis dan nipis. Seperti kabus subuh sepi, lenyap ia bila saat-saat sinar suria mulai menawan pagi. Dan bandar ini semakin sepi di hatiku sekalipun keriuhan terjadi di mana-mana. Semalam aku bermimpi. Terakhir kuingat pesanan ringkas – SMS.

“Goodbye!”
Kuhantar.
“noted” jawab seseorang.
Yang lain bertanya:
“kitak nak g cne?”
Ketiga, tiada respons.

Kenapa harus aku masih ingin mengaitkan keberadaan ini dengan segelintir yang lain. Satu alamat yang tidak baik, fikirku. Pergi itu biarlah senyap-senyap. Amalan bangsaku, kalau berpergian kerana perjuangan tidak cocok jika ada tangisan. Kalau diberitahu, ertinya pengertian cinta kasih masih wujud, seperti inginkan mereka membujuk agar jangan pergi. Jauh-jauh. Itu jauh sekali. Jauh-jauh.

Sebenarnya aku tidak ingin dirayu jika itu harus terjadi. Apa gunanya memikirkan tentang bujuk-membujuk kalau selamanya kita tidak pernah dalam erti yang hakiki sependapat pada banyak perkara yang kuanggap penting demi survival bangsa.

Aku termanggu di lapangan terbang antarabangsa. Dengan beg pakaian, komputer laptop, camera dan sedikit wang saku, aku masih tercegat dalam que yang panjang. Sambil fikiran ligat mencari kepastian terakhir. Teruskan kembara ini atau ada pilihan lain yang lebih tegas dan murni?

Pilu dan tersayat hati. Cerita dulu. Aku orang terbuang. Tiada teman tiada waris. Orang dagang sebenarnya. Dijadikan piatu antara jutaan yang masih memikirkan diri berada dalam satu ikatan persaudaraan sebangsa - archipelago. Piatu aku disebabkan fahaman yang parallel. Seperti dua garis sejajar, memanjang, sampai kiamatpun tidak akan bersatu - tak setujuan.

Punah sudah eksistensi penyandar harapan. Waktu itu. Sedangkan cuma harapan itu satu-satu yang masih kugenggam. Kecewa, tapak harapan sudah kian ranap. Musnah. Selamat tinggal, pada siapa? Sayonara, untuk siapa?! Zaijian! Wilayah ini tidak akan sedar kehilanganku. Goodbye. Tidak perlu. Apabila hidup tanpa sumbangan maka komitmen sekali gus junam ke zero. Malangnya, aku tidak jadi pergi. Apa betulkah?

Penerima SMS mungkin tidak jadi pesta! Berangkali mereka berasa rugi. Sebab aku kembali mengambil tapakku di wilayah sengketa ini, menyempitkan ruang selesa. Apakah mereka sedar wajudnya ruang itu. Atau cuma aku yang suka berkhayal.


Mereka akhirnya tertawa. Mentertawakan aku. Aku sedar mereka menyelimut rasa jengkel terhadapku. Kalau benar begitu. Paling tidak ketawa itu satu komitmen atau sedekah juga sehabisnya - munasabah.

Mau pergi ke mana? Mereka bertanya. Tiada ke mana-mana, jawabku. Nak cari siapa? Tiada lagi siapa-siapa yang wajar dicari, jawabku. Kalau aku harus pergi lagi, kataku penuh rasa mual dan malu, yang kucari cuma harapan, kiranya sinar itu masih lagi ngerdip di ufuk kepercayaan; tentang sebuah janji. Janji apa? Janji dari sebuah mimpi. Mimpi dari sebuah sejarah. Sejarah keberadaan kita di wilayah ini. Lalu aku bertanya apa aku bisa mempercayai mereka: Percaya. Curiga. Prasangka!

Seseorang itu mengikut agama temannya. Maka hendaklah dia melihat untuk memilih dengan siapa dia berteman. Aku tidak ragu tentang itu. Aku mulai ragu tentang ini: Mengatakan diri daripada sesuatu golongan kepercayaan adalah perkara enteng. Kutahu manusia itu pancaroba. Pada peringkat pancaroba sesuatu itu akan sering mencair. Mengalir ikut tendensi semasa, kerana perubahan yang menekan, kuasa yang memancing kejatian diri lalu memaksa kita jadi ikan; makan umpan terkait kail.

Kusedar, kembali bertemu mereka cuma akan dipersoalkan tentang paksi pemikiranku yang aneh menurut mereka. Aku dikatakan punya pemikiran yang tidak selaras dengan apa? Lalu dicadangkan supaya tidak lagi memikirkan tentang asal usulku. Musnahkan tanggapan tentang bangsa dan keturunan. Bagaimana bisa, bentakku dalam hati.

Dakapi ukhuwah agama, cadang mereka. Dengan itu aku selamat tanpa harus memeraskan otak memikirkan tentang bangsa dan keturunan. Itu seranan saja. Lalu mereka menasihatiku bahawa ukuwah itu hendaklah terbina atas dasar keikhlasan kepada pencipta. Sanggarnya keimanan dan ketakwaan. Dan memilih kawan daripada kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Apa, kamu teman-teman yang soleh dan beriman? Tanyaku. Pancaroba!

Tanggapan umum; kami cuma menghibur hati. Mereka dengan cara mereka. Mencari pelarian menyibuk diri dari kegusaran pemecahan masalah bangsa yang tidak terleraikan. Aku caraku. Aku tau segalanya; nasi sudah bubur. Tapi kalau lapar bubur nasi itu masih juga bisa dimakan.

Bangsaku menganggap makan bubur tanda tidak kecukupan. Ah, malu sekali kalau itu harus terjadi. Mana bisa itu berlaku. Kami bersawah padi. Beras itu ibu pada makanan harian kami. Bukan jagong bukan singkong. Bukan sagu bukan umbut. Tetapi bubur nasi bagi kami membawa pengertian tenat. Cuma orang yang sakit-sakit sering disudukan bubur nasi.

Memang ada bangsa yang lebih suka makan bubur daripada nasi. Itu juga suatu identiti bangsa. Sungguh kadangkala kebiasaan itu juga pancaroba. Boleh mencair dipengaruhi massa. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Kedapatan mereka yang mengamal makan bubur masih utuh ke zaman globalisasi ini – gemilang ke zaman internet. Punya modal peradaban. Modal insan. Manusia minda kelas wahid. Apakah itu betul. Cerita dulu. Kena fikir semula. Subjektif.

Kegagalanku cuma kerana aku tidak berjaya mempengaruhi kawan-kawan tentang apa yang terjadi dalam mimpiku. Selamanya mimpi sudah jadi kenyataan. Jadi sejarah. Sejarah yang berterusan. Yang terpaksa kutatap dan kuratap sendiri-sendiri. Bandar wilayah ini pernah suatu ketika dalam sejarah lambang pemerintahan tampuknya dikuasai oleh bangsaku.

Mereka kata aku fanatik bangsa. Apa salahnya kalau memang aku begitu. Cuma sekarang aku lebih berpegang pada wujud suatu pemikiran, mengalir dalam idea bangsa. Sedang rupa paras biologi, kira itu masih dipertimbangkan juga, bagiku sudah tidak penting lagi. Yang ingin kupertahankan bukan lagi bentuk fizikal tapi pemikiran. Sebuah idea itu selamat dibawa kemana-mana.

Aku dari rumpun bangsa archipelago. Gelaran ilmiah austronesia. Gemilang Srivijaya ke Majapahit Raya abad 7-15 Masehi adalah kebanggaanku pasti. Namun semuanya kini tertimbus dalam lapisan sejarah. Harapan itu masih ada kiranya Acheh dan Demak, Melaka, Brunei, Pattani dan Sulu bisa bertahan. Kini semuanya sudah hilang warna asal walau masih wujud pada nama cuma. Peperangan menjadikan bumi kami bertukar iklim tadbir. Apakah rakan-rakan sudah jemu membaca hikayat yang dianggap sudah berdebu dan berhabuk? Aku masih, walau bukan lagi kerana austronesia tetapi kerana sebuah ide - Melayu.

Mimpi. Realiti masa lampau datang dalam pelbagai episode. Ditayang jadi sebuah seni pementasan. Di pentas agung. Pentas dunia. Tapi dalam mimpiku.

Bangsa-bangsa Eropah menjajah Nusantara, memecah tadbir bangsa-bangsa serumpun. Lahir Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia. Sepanyol dan Amerika pernah menguasai Filipina. Mereka berhasil mengkristian dan menkatolikasi sehingga terejam kaum Muslimin, terdesak ke Mindanao. Inggeris menghianati Pattani. Diserahkannnya Pattani secara rahsia kepada Siam. Dan lewat-lewat ini Pattani sungguh menyayat hatiku. Apa, bangsaku binatang buruan? Apa yang silap dalam ajaran leluhur kita.

Lapse.

Kataku pada mereka jangan bungkam. Jangan ternganga melopong mendengar cerita hikayat lama ini. Kalau mereka terfikir tentang seorang penglipur lara, aku bukan orangnya. Bukan juga aku pak dalang wayang kulit. Aku cuma seorang Melayu yang terlalu kepingin melihat darjah terbilang itu bisa kami rangkul semula, sekalipun dalam bentuk pemikiran dan minda.

Lapse.

Sebenarnya aku pergi juga. Senyap-senyap. Setelah SMS sekalipun, tidak pernah aku berpatah balik.

Masa – lapse.

Rakan-rakan yang kutemui ini sudah tidak bisa kukenal pasti secara fizik. Hanya budi dan bahasa yang masih mengimbau dalam benakku dan bicara mesra, antara kami sekalipun – lapse. Ah, pernah kuingat itu suatu ketika dulu. Mungkin begini: Hadirku kini - kebangkitan. Kini aku kembali. Setelah jaya jadi insan mulia - super minda.

Sekian lama aku merantau. Buktinya pernah aku menawan situasi genting keberadaan diri semasa di rantauan. Masa dan ruang mengajar diriku menjadi lebih teguh dan perkasa demi survival di tanah asing.

Pernah kubina sebuah empire dan kekuatanku di benua itu. Bukan kuasa politik. Kuasaku bidang ekonomi. Penjajah zaman siber. Kapitalis. Itu aku. Itu gemilangku dirantau orang. Namun tidak pernah aku lupa bahawa aku - Melayu.

Isteriku bukan orang archipelago. Anak-anakku kenal diri mereka Melayu. Bukan pada rupa tapi jati diri yang tertanam dalam nubari yang cerah dan pasti. Seingatku – lapse - aku pernah mati dan pernah dikebumikan. Penuh upacara kematian orang ternama, tapi di negeri asing. Bukan di mana-mana bumi archipelago, tanah tumpah darahku.

Kuburku di puncak sebuah bukit, wajar cuma bagi seorang pejuang. Pejuang apa aku? Isteriku kerana cinta dan kemegahan keluarga yang kubina, terasa bahawa ini satu kepentingan yang bukan saja mustahak tapi bagi mengabsahkan kewujudanku yang pernah. Pernah apa aku? Lapse.

Pulangku ini hari ini sekadar berpandu kesan nostalgia: pimikiran, suara, lagu, pohon kelapa dan bahasa. Di kepulauan rempah - aroma dan wangiannya meluru ke punca sarafku. Menggegar kenangan dan ingatan yang bertimpa-timpa pada data memori.

Pandan dan serai wangi. Kunyit, halia. Lengkuas aku masih ingat. Buah pala. Sirih, kapur dan pinang. Ya, masih. Beras. Beras, ya beras pulut. Pulut kunyit, pulut kuning. Pulut nazar. Pulut kuning itu ganti emas. Keinginan punya emas yang banyak memaksa kami bangsa archipelago mengilusi pulut kuning jadi emas. Oh bumi Melayu, kecintaanku. Bahagianya aku kembali ke pengkuanmu. Lautan dan kapal layar. Ibuuuuuuuuuuuu. Indahnya alam Melayu kitaaaaaa.

Teringat aku kenduri khatanku ada pulut kunyit. Berpuluh pinggan disediakan; dijamu bersama hidangan lauk pauk lain kepada jemputan yang hadir. Sekalipun perit kerana siang tadi dijawikan, sinar keemasan nasi pulut kunyit malam ini melegakan kesakitan. Di sebelah tabir katil perbaringan itu ramai gadis-gadis. Perempuan! Malunya aku. Kenapalah mereka berhimpun di situ. Ibuuuuuuuuuuuu. Sakitnya. Lapse.

Kembali aku ke sini kerana ingin ku melihat tapak-tapak peninggalan masa lampau. Harus memilukan. Akan kubina kembali idea dan mimpi-mimpi yang layu di bantal. Teringat aku bantal busuk kepunyaanku semasa kanak-kanak. Berdaki dan sejuk apabila dilekap ke pipi. Nyaman sekali – lapse. Tidur. Mimpi.

Mereka yang kutemui sekembaliku bukan rakan-rakan yang pernah menerima SMS. Buktinya mereka galak bertanya antara sesama apa itu SMS. Seorang daripada mereka mencelah – itu sistem lama, katanya. Sudah hampir seabad. SMS itu cerita lama, brother! Tidak sama pesanan alir telepati yang ada sekarang!

Ibuuuuuuuu.

Teriakan rasa malu menggempur nubariku. Sehebat gempar bumi. Tsunamic.

Malu hambamu
Ya Illahi Rabi.
Apakah aku ini Abdullah?
Masih wujud ke detik ini, apa?
Ambillah aku kembali, Ya Illahi Rabi.
Jangan biarkan hambamu merayau saentero ini
Aku orang dagang. Tiada teman tiada rakan
Tiada waris tiada kekasih
Ambillah aku kembali
PadaMu
Ampuni aku,
Ya Illahi Rabi.

- Abdillah SM

No comments: