SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, May 14, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Placebo

PLACEBO

Nur limpahan kudrat terusan mendenyut lembut dalam otakku - menjana memori dan minda. Detik basirah kualami dulu itu rupanya benar dan cukup jelas tersingkap. Telah keliru aku bagi pertama kalinya tentang alamat dan bayangan maut.

Dan aku belum padam lagi!

Syukran. Bukan takdir kalau belum terjadi. Bahawa aku akan pergi meninggalkan segala yang materialistik menuju sebuah kehidupan di alam barzah itu bukanlah semudah yang kufahami seperti sebelum ini. Sedang takdir merupakan ilmuNya, aku makhluk kerdil cuma mendapat pengertian yang paling minima untuk, membuat sebarang andaian dan tekaan. Sekarang aku masih lagi bernafas dan masih bisa menikmati segala sesuatu seperti yang dikurniakan kepada makhluk lain yang masih utuh fizikal.

Lalu apa itu pengertian nyawa, hayat dan kudrat? Terlentuk ke kiri kepalaku keliru dan letih memikirkannya. Doktor yang sering merawati aku di hospital sewaktu dulu pernah membisik ke telingaku, apakah ia bergurau kerana ia berkata sambil berjenaka; segala yang tuan sebut itu pada pendapat saya cuma satu istilah: energy. Hehehehe. Ketawa dia menampakkan gigi putihnya yang cantik bagaikan tersusun rapi. Teringat aku senyum lucunya, kemudian.

Bertentangan sungguh diagnosis doktor bahawa aku akan fana dalam lingkungan waktu yang difikirnya mungkin, berdasar kepada pengalaman dan ilmu maknusiawinya. Kerana tertundanya peristiwa itu jugalah maka, terus kusentap kesempatan yang ada ini untuk menerima cabaran mencari pertada dan ilmu yang terdaya kukutip dari sisa perjalanan hidup yang masih diizinkanNya bagiku. Dan aku diilhamkan sebuah peringatan: Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!

Dari detik itu akupun mulai melangkah, menghela kaki daripada longlai wujud jasad yang hampir padam ini, dengan berhati-hati kucari premis pemula yang betul dan wajar agar tidak terbuang waktu perjalananku yang tidak dapat kujangka berapa detik maya lagi kudrat yang dipinjamkan bagiku.

Syukur, ya Allah! Terima kasih, Allah! Thank you, Allah!

Aku sedar bahawa otak ini kurniaan Ilahi yang paling berharga bagiku. Paling tidak ia merupakan organ yang pernah kulihat lewat prosidur imaging yang dilakukan ke atasku. Nanti akan ada yang bertanya kenapa roh kurniaanNya bagimu bagaikan ingin kauhindari pengertiannya; tidak begitu penting dan mujarab bagi mengabsahkan rasa syukurmu terhadap Ilahi?

Ampun, ampun! Ampuuun!


Aku menghargai segala yang dikurnia Ilahi padaku. Tapi sering aku diberitahu bahawa perkara mengenai roh adalah urusan Dia, sementara aku makhluk cuma bisa mengerti sedikit saja mengenainya. Cuma sekarang aku sering hubungkan apakah ada kesan pertanda wujud roh pada memori dan mindaku? Kerana bagiku otak itu umpama sebuah kotak hitam yang amat penting harus ada pada sebuah kapal terbang. Dan aku bagaikan sebuah jentera terbang itu dalam perjalanan menuju barzah!

Aku sedar segala yang diketahui melalui maklumat yang didapati di dalam memoriku adalah apa yang pernah dihasilkan dari detik ke detik awal kejadianku sehingga terjadinya sebuah kemusnahan; atau dalam peristiwa yang kusangka kematianku itu. Bukan bermulanya dalam rahim ibuku tetapi jauh lebih awal daripada peristiwa itu. Wujud pada ketika di luar rahim kasih ibuku. Pernah wujud aku di alam metafizika. Wujud pada nama dan maya!

Aku dengan rela menerima cabaran untuk direalisasi secara fizikal. Segala dugaan kehidupan duniawi telah kulalui dengan sumbangan otak yang mengeluarkan pemikiran dan ilham untukku bertahan wujud - demi survival. Aku juga tetap yakin seperti pernah aku diyakinkan bahawa setiap yang bernyawa itu wajib merasai mati.


Aku mafhum, otak yang terkandung memori mindaku adalah sebuah fakulti kesaksian. Maklumat yang disimpannya tidak bisa diubah-ubah dan dipadamkan, dicatat pada belah kiri dan belah kanan otakku. Aku mulai mencari relevan pada pengertian tentang malaikat Atid dan malaikat Raqid - Atid menulis segala amalan kebaikan sementara Raqid bertanggung jawab menulis segala keburukan yang pernah seseorang lakukan. Aku maklum otak ini akan musnah juga seperti organ-organ yang lain apabila jasadku hancur diresapi bumi. Lantas akan ke mana pergi realiti-realiti ingatanku bersama bukti-bukti yang pernah tersimpan di dalamnya?

Syukran! Aku cinta padaMu, Allah!
Terimalah cinta kasih yang tidak sepertinya ini.
Aku, hambamu yang daif dan kerdil
Dan aku bisa saja seperti tumbuhan,
Seperti bakteria,
Yang hidup hanya dalam situasi tertentu,
Atau bisa saja di mana-mana
Selagi Engkau inzinkan hayat ini.
Amin!

Semakin aku mencari pelbagai kemungkinan maka terbit persoalan di manakah suara hasil dari pengucapan lahiriahku, seperti juga bacaan doaku selama ini terkumpul? Wajahku, apakah pernah wajah ini terakam oleh mana-mana lensa maya? Seperti lensa kamera, apakah pernah wujud hal seperti itu? Aku sedar kemajuan teknologi masa kini sebenarnya adalah ilham, terhasil lewat bantuan akal yang merenung pada alam itu sendiri. Demikian tidak silap kalau memang pernah ada sejak dulu lagi apa yang tadi kusebut sebagai lensa alam. Ah! Memang sudah terakamlah segalanya; audio-visual-aroma wujudku.

Telah lama kusedari bahawa jantungku adalah sebuah pam biologi yang berusaha membawa oxygen ke otak supaya bisa membantu tisu kelabu merah terus berdenyut. Kerana kesejahteraan otak itu, maka bermulalah sebuah kehidupan baruku yang kini menjadi lebih indah dan dipenuhi dengan rasa ghairah berbanding sebelumnya.

Syukur, Ya Allah. Terimakasih, Allah. Thank you, Allah. Amin!Amin!Amin!

Sambil mengurut-urut lembut janggutku yang semakin memutih, terasa dadaku seperti diserang peluru maya, sehingga terbit pada minda dan memoriku istilah cinta dan benci. Terkelu aku kerana kusedari kini wujud jauh dalam nubariku perasaan sakit dan takut. Aduh! Timbul pelbagai imaginasi yang menghairankan kerana sebelum ini tidak pernah aku sedari semua itu. Terserlah kini inspirasi dan minat terhadap sekelilingku - segar, harum, cemerlang gemerlapan, pada sudut-sudut tertentu redup, sendu, rindu, kenangan dan berahi tiba-tiba mengocak danau mata air punca resah syahwatku.

Kurenung sekitar yang sungguh tenteram dan objek-objek yang kuamati kewujudannya tetapi lidahku kelu untuk menyebutnya satu persatu. Yang kusedari antara aku dan objek-objek itu, kami punya empati. Empati yang sebelumnya telah dijanakan oleh jaring-jaringan telepati yang membeban voltaj normal upaya cerna minda - aduh! Hampir terbakar dan musnah. Syukur semuanya dalam keadaan terpelihara kerana wujud litar pintas, maha wujud dalam fizikal diriku.

Assalamualaikum, Ya Rabul Alamin. Assalamualaikum, Ya Rabbi. Assalamualikum, Ya Ilahi. Anna Abdullah. Anna Abdillah. Anna Abdallah. Anna Mawujud. Mawujud, Mawujud. Syukran! Syukran! Syukran! Thank you, Allah! Thank you, Ilahi, Rabbi! Amin!Amin!Amin!

- Abdillah SM

No comments: