SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, May 14, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Journey Home

Journey Home

Sebutiran halus terperangkap ke dalam isian liat. Dari keseksaan fizik, mesra kimia membentuk kembang edan; kualiti objek. Mutiara!

Psyche! Kapal layar. Inilah pengangkutan yang diingininya untuk menghantar dia kembali ke sana. Datangku dengan kapal layar kembalikan aku ke sana dengan cara yang sama, pinta Kakek.

Tertarik dia pada perkampungan berderet tebing sungai. Senja itu dia telah diajak anak-anak muda rakan yang baru dikenalinya, sembahyang maghrib di mesjid bandar. Sebagai remaja belasan tahun dia senang menerima persahabatan baru yang ditemuinya di sini. Malamnya mereka berkunjung ke majlis-majlis zikir Maulidur Rasul yang diadakan di perkampungan sekitar. Kakek pertama kali menjejak kaki ke bandar ini lapan puluh tiga tahun yang lampau.

Pada kesoronakan pergaulan baru itu hatinya sendu mengenang keluarga yang ditinggalkan. Tanpa pamit tanpa salam. Kecuali sebelumnya ayahenda yang hampir nanar kerana musibah yang menimpa keluarga mereka, telah dengan cara tidak sengaja berkata dalam nada rajuk dan kesal: Kamu lelaki! Kamu adik lelakinya. Berhambus kau dengan cara apa sekalipun, kuizinkan kau sebagai wali gantiku memenggal kepala si jahanam juragan itu!

Esok paginya dia sudah belayar menumpang kapal dari Makasar yang belum diketahui tujuan pelayarannya. Paling tidak baginya, meninggalkan rumah bermakna dia sedang berusaha dengan semangat kejantanannya membela maruah keluarga. Tanpa rencana, nasib telah mendamparkannya ke bandar ini.

Haniff, cicit lelaki tunggal mengeluh resah di haluan. Sungguhpun ia lulusan kejuruteraan nautika tidak semestinya ia memilih untuk membuang masa kerana pelayaran sepelik ini. Pengangkutan udara demi menjimat masa! Pernah ia bertegas. Kakek tidak pernah terpengaruh.

Dan kapal layar yang membawanya pulang ke kampung halaman ini tetap juga diperlengkapkan dengan sebuah enjin kuasa tinggi. Persediaan Haniff untuk detik-detik kecemasan. Haniff memikirkan tentang kesihatan Kakek yang tidak menentu akhir-akhir ini. Andai terjadi sesuatu, ketika itulah saja kapal ini akan digerakkan oleh enjin - ikhtiarnya. Dia tau Kakek tidak akan mudah tertipu.

Pada termenung di haluan kapal layar yang sedang gagah mengharung samudera fikirannya berligar. Mutiara. Itulah nama kekanda perempuan Kakek yang pernah hilang. Seorang juragan bangsa Moro menghantar pinangan pada mulanya. Tetapi mendapat tolakan dengan alasan terlalu juah dari keluarga. Mereka percaya Mutiara telah dilarikannya ke Mindanao.

Masa lalu itu adalah sejarah, tulis Haniff. Pada laptopnya. Sains menganggap sejarah layak digunakan untuk nyelusuri ke punca. Memeriksa sebab berlakunya wabak. Dan Melayu kini dalam ancaman! Teringat ia sebuah ceramah yang dihadirinya seminggu yang lalu. Anggapan apapun yang diaplikasikan dunia, Melayu tetap punya indentiti tersendiri. Demi masa, terbentuk ia daripada keseksaan dan kemesraan.

Mutiara. Subjek itu menyimpang memberi laluan lain dalam memorinya kini. Kalimat itu sudah menjadi metapora, kata perbandingan sifat sesuatu yang sukar didapati, indah dan digemari. Mutiara perairan archipelago dunia Melayu, seperti cerita Kakek, amat jarang dijumpai. Tiada kata bisa menggambar keindahannya segenap pasti. Adalah hiasan puteri-puteri Melayu zaman bahari. Laut selatan, pulau seribu.

Pelayaran ini sudah melewati Pemangkat, Sambas, Singkawang, Pontianak di perairaan Laut Natuna beberapa hari yang lalu. Hari ini samudera begitu tenang. Angin bertiup sederhana keras menolak kapal layar ke hadapan dengan pasti dan berhasil. Semalam Kakek bertanya apakah kapal mereka sudah melintasi Tanjung Datu? Dia tahu kenapa Kakek bertanya demikian. Tanjung itu adalah lokasinya di mana seseorang pelayar itu harus sudah mengucap selamat tinggal pada bumi Sarawak. Sedangkan kapal mereka kini sudah lama memasuki perairan Laut Jawa.

Ingin benar dia bertanya Kakek buat apa ia mengingati bumi Sarawak kalau sudah memang nekad mau kembali ke tempat asal. Kakek yang beristirehat dalam kabin sedang selesa ditemani dua orang kerabat cucu saudara lelaki.

Hari ini hari kelima pelayaran. Siang cuaca begitu baik. Matahari cemerlang. Langit biru dengan calitan putih awan di sebelah timur. Indah. Tidak sedikitpun kelihatan awan hitam di langit. Cuaca diramalkan baik – begitu yang dibaca Haniff dari internet. Ah! Aku juga pelaut, fikirnya, seperti irihati akan Jurumudi yang segak dan tekun berdiri sambil mengendali penuh konsentrasi roda kemudi kapal layar.

Pada asasnya Melayu tidak memilih bangsa dan keturunan, kata penceramah itu. Haniff mengambil buku catatannya dari dalam beg disangkut di bahunya. Matanya terus memandang ke depan. Luhur budi dan cinta kemanusiaan orang Melayu itu. Sesiapa saja yang ingin berkampung dan sudi menjadi ahli keluarga akan mereka terima dengan senang hati.

Itulah antara keunikan hati budi ide Melayu, tegas si penceramah. Sesuatu itu pasti juga punya sempadan, tambahnya sambil mengendur nada suaranya. Ada had dan steaming point. Berhenti seketika ia di situ sambil melihat audien, ke kiri dan ke kanan.

Just dont give them the shit! Waktu itu Haniff terkejut dari lamunan. Whaaaaa! Tersentak duduknya pada kerusi apabila seluruh hadirin terkejut lalu terhambur nada takjub itu. Ada sergahan di hujung ayatnya, ingat Haniff.

Haniff mencatat sesuatu ke dalam laptop di pangkuannya kemudian membaca lagi. Pada zaman gemilang Melaka, masyarakat Melayu menganggap anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po seperti saudara Melayu. Dan Hang Tuah apakah benar ia berketurunan dari rombongan puteri Hang Li Po, tidak juga terkecuali.

Tapi, kita tidak perlu mencari wajah seperti Sultan Melaka, Sultan Sulu, Sultan Brunei, Jose Rizal, Deponegoro, Raja Ali Haji, Soekarno, Jugah, Rentap, Rosli Dhoby, maupun Tun Abdul Razak untuk jadi Melayu hingga ke mellinium ini!

Haniff terasa gemuruhnya menyirap. Entah mengapa dia kurang pasti. Dari kabin istirihat Kakek kedengaran alunan bacaan ayat-ayat suci al Quran silih berganti dari pemain cekera padat. Sesekali kedengaran juga bacaan berzanji dan zikir salawat Nabi. Haniff hatinya tenteram kembali. Kerinduan pada sesuatu yang tidak pasti menggamit konsentrasinya.

Id Jasmine mengapung pada Yahoo Messenger di laptop. Jasmine Elona rakan chatnya yang sering jelma seperti kini, bukan lagi nama asing baginya. Internet telah mempertemukan mereka pada keajaiban realiti maya. Bukan itu saja, sejak dua tahun kebelakangan ini hubungan itu semakin akrab. Maka perlayaran ini bagi Haniff punya misi lain yang tersembunyi. Menentukan kewujudan Jasmine Elona. Gadis pelajar tahun akhir fakulti perubatan sebuah universiti di Indonesia. Sejak kecil menurut cerita Jasmine dia dijagai oleh kedua nenda. Sekarang dia sedang dalam cuti semester dan kembali ke kampung halamannya. Kebetulan, ke Tenggarong jugalah tujuan pelayaran kapal ini.

Memasuki Selat Makasar, pelayaran dirasakan semakin nyaman. Seperti belayar di sebuah tasik yang tenang. Cerita Kakek, ia mula menjejak kaki ke bandar Kuching itu tengahari tanggal 11 Rabiulawal. Malamnya sambutan Maulidur Rasul. Tarikh itu bersejarah dalam hidupnya. Kakek tidak pernah jemu bercakap tentang peristiwa itu. Haniff faham, begitu sebabnya mengapa kitab suci Al Quran sering menyebut nama-nama para nabi. Kerana setiap kali kita menyebut nama Rasulullah dan bersalawat, akan berlimpah kerahmantan dari samudera-samudera rahmah, mengalir kepada kita.

Laptop: Walau siapapun Tuah – Cina atau India, bagiku sudah tidak punya nilai semangat Melayu zaman globalisasi. Tulis Haniff. Lagenda yang begitu dimuliakan telah melenyapkan berita sebenar tentang asal usulnya. Apa kah itu perlu lagi? Haniff senyum sumbing. Tetapi bukan begitu halnya semangat Melayu. Tulisnya. Idea Melayu itu tidak pakai DNA. Melayu punya ISME.

Tapi aku peduli apa? Yang penting dia kata dirinya Melayu maka Melayulah dia. Sedang kita belum ditentukan secara publik DNA bangsa Melayu. Siapa model asasi biologi Melayu. Jadi Melayu itu manusia apa saja dari segi biologi. Tulis Haniff seterusnya. Dan hari ini aku dalam pelayaran yang memilukan, Haniff berfikir keras. Aku akan melepas Kakek ke pangkuan kerabatnya yang masih sudi menerimanya. Dan setelah perpisahan ini apakah akan bisa kami bertemu lagi?

Tugas menghantar pulang Kakek ke kampung halamannya bukan saja berat tetapi mempersoalkan ketabahan emosi berdepan dengan suatu perpisahan yang sudah pasti meruntunkan hati. Dia tidak dapat mengaggak bagaimana harus bertindak bila detik-detik seperti ini berlangsung nanti. Dia beristifar dan mengingin bersalawat.

Dia kembali melihat ke laptopnya: Kingdom Melayu archipelago bagiku masih wujud. Dia menulis. Sekalipun bukan dalam bentuk geografi politik. Cuma sayang Tuah tidak pernah jadi wiraku. Biar dia berketurunan Jepang dalam sejarah mereka terkenal wira setia pada ketua. Apa itu penting? Seperti lima sekawan Power Rangers. Bagiku Tuah dan rakan berlima cuma pelipurlara Melayu. Sedang Melaka dan imej Parameswara sudah lenyap dalam permainan perang dan politik: pertembungan eropah, asia dan asia tenggara.

Haniff teringat dia pernah memberitahu Kakek bahawa tunjang hakiki semangat Melayu serumpun kukuh mencengkam akarnya ke dasar samudera. Seperti pohon berbunga, cerah kuntum-kuntum ceria pulau-pulau mewarnai samudera archipelago. Kakek yang pernah berkhidmat sebagai guru itu turut bersyukur kerana dia masih bisa mendengar pengucapan bernas ide Melayu. Aku berdoa, katanya, semoga semarak semangat itu, mewajaperkasakan Melayu masa akan datang.

Kakek pernah ke Mindanao. Sungguh ia bersyukur kerana akhirnya dapat juga mereka bertemu. Kedua suami isteri itu baru kembali dari menunaikan ibadah haji di Mekah. Segala rasa kesal dan benci yang pernah berkarat dalam nubarinya kini terhakis. Yang membebankan perasaanya waktu dulu adalah keselamatan kekandanya. Kini ternyata dia hidup bahagia, punya sembilan orang anak lelaki. Lalu apa lagi yang harus dirisaukan, hujahnya kemudian. Dia kembali ke Sarawak meneruskan kehidupan berkeluarganya dengan hati yang damai.

Beberapa tahun kemudian dia difahamkan suami kekandanya, Haji Nur Masri si juragan itu, telah mengizikan anak lelaki mereka yang ketiga menziarahi kampung halaman ibunya. Persis seorang diplomat untuk menyelesaikan masalah penculikan yang kini jadi sejarah itu. Begitu fikir Kakek. Anak itu, Ahmad Salihuddin telah tidak kembali lagi ke Mindanao. Hidup berkeluarga dan menetap dia di sana dan terkenal seorang saudagar. Tentang Jasmine Elona, cucu tunggal yang amat disayangi saudagar itu adalah sebuah berita yang tidak perlu diketahui Kakek. Biarlah masa menentukannya, putus Haniff.

Laptop. Haniff menulis. Melayu itu bagiku autonomi. Bebas. Kuasa dalam diri. Bangsa Moro, Pattani maupun Acheh. Kalau Melayu berhenti memupuk kesedaran kebebasannya dia akan menjadi semakin lemah. Dalam kemeriahan archipelago, sejarah atau masakini, jiwa Melayu itu subur tumbuhnya. Seperti senangnya kita melihat pohonan kelapa, melambai-lambai di keluasan kingdom ini.

Tersenyum. Haniff yang berusia tiga puluh tahun itu seorang yang ganteng, segak dan bergaya. Pada kerjayanya di sebuah syarikat perkapalan antarabangsa berbekal ijazah kejuruteraaan nautika, dia sering belayar ke seluruh dunia. Dia melihat dunia ini seperti sebiji kelapa. Perbandingan itulah pernah membuat Kakek tersedak ketawa.

Jurumudi memberitahu bahawa mereka akan sampai ke delta menjelang asar nanti. Haniff mengangguk sambil melihat sekitar samudera dengan perasaan tenang dan syukur.

Langit biru. Matahari sudah gelincir ke timur. Gelombang bersenda gurau memukul haluan kapal. Kakek sedang beristirihat setelah puas mendengar bacaan al quran yang diputarkan dari pemain cekera padat. Sambil mendengar Kakek akan turut membaca dan cuba mengalun irama bacaan. Dia kelihatan bahagia dengan acara harian dalam pelayaran itu.

Bumiku Borneo. Pulau buah nyiur. Pulau yang sedang kulayari samuderanya ini. Inskripsi paling tua archipelago terdapat di sini. 400 tahun AD, cuba bayangkan. Pulau ini adalah pulau pertama archipelago yang punya sejarah yang jelas - Kutai.

Eureka!!!!

Jurumudi mendapatkan Haniff yang masih membaca dari laptop. Kita akan memasuki Delta Mahakam dalam setengah jam lagi, dia memberitahu. Begitu Haniff mendongak ke timur, rupanya langit sudah menjelang senja. Dia mahu biarlah mereka belayar mamasuki muara sungai setelah selesai menunaikan solat fardhu Maghrib. Jurumudi mengangguk setuju.

Peribahasa Inggeris: Serigala, tak dapat anggur masam katanya. Sehingga mereka bisa menyatakan sesuatu ikatan dirinya dengan sesuatu yang dianggap gah dan ternama pada kita, maka bermacam tuduhan yang disebarkan. Perihal Tuah yang diragui, sedikitpun tidak tersentuh nubariku. Ambillah! Kata Haniff sambil menulis.

Kisah Puteri Gunung Ledang, Tun Teja dan sebagainya begitu ditafsirkan sehingga Tuah bukan lagi jantan. Dialog antara Tuah dan Sultan Melaka dalam Hikayat Hang Tuah begitu ditafsir mereka sehingga menonjolkan fenomena ini. Lantas citra Tuah adalah seorang manusia homoseksual kata mereka. Itu bukan teori moden, sanggah Haniff.

Seperti Dewi Quan Yin, dalam cerita Cina bersiri yang disiarkan di televisyen, semulanya berjantina lelaki. Setelah mencapai ketinggian dalam ilmu mistik dan pertahan diri lalu jadi perempuan! Mana boleh, tulis Haniff. Berjaya mengelak diri daripada digoda nafsu itu bukan fenomena pondan. Istilah itu silap letak. Tapi tidak mengapa. Melayu punya roh Islam dalam budi bahasanya harus lebih berjaya mensifatkan sesuatu mengikut tingkat kemuliaannya, kalau diberi kesempatan. Di sinilah bahasa itu nilai jiwa umatnya.

Setelah mengimamkan sembahayang jemaah fardhu maghrib, Haniff bersama Kakek dan yang lainnya bersedia, duduk-duduk di persantaian kapal layar sambil menunggu hidangan makan malam. Jurumudi dengan tanggungjawabnya. Kapal layar mengharungi Delta Mahakam begitu cermat, dibantu penjanaan enjin.

Dalam sembang sambil menghadap jamuan, Kakek terus juga berbicara tentang malam yang bersejarah ini. Katanya usah bersedih. Kita hidup dimintakan berusaha. Kakek ini dalam usaha untuk kembali ke kampung halaman. Sekian lama maka baru kini dilaksana? Haniff ingin bertanya. Usah tergesa-gesa. Kakek berpegang pada pendapat bahawa tanggungjawab hedaklah diselesaikan satu persatu.

Malam ini adalah antara malam perayaan Islam. Kakek bercakap dengan nada terputus-putus. Haniff tekun mendengar sambil memerhati dengan rasa yang cemas. Kita patut gembira memperingati kebesarannya, keberaniannya, kepemimpinannya. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dariNya dianugerahi kita dengan menjadi umat Muhammad SAW. Sebagai umat terbaik di muka bumi semoga kita masuk ke syurga kerana kemuliaan Nabi kita. Dan kamu Haniff, bila lagi akan berumahtangga. Kakek bertanya. Tersentak perhatian Haniff.

Langit malam begitu indah. Rambulan 12 Rabiulawal menyimbah cahaya bagaikan siang. Sementara langit disemarakkan kerdipan taburan bintang-bintang. Kapal layar yang membawa Kakek sedang bergerak cermat menyusuri Sungai Mahakam, sungai yang sarat menyimpan sejarah kegemilangan masa lampau. Kakek pasti kepulangannya ini cuma mengisi keinginan berdekad, menjejakkan kakinya kembali ke bumi kelahirannya, Kutai Kertanegara. Bumi yang telah memaksanya merantau; demi maruah dan kecintaan manusia.

- Abdillah SM

No comments: