SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Wednesday, May 14, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Mastermind

MASTERMIND

Catastropic! Tinggal cuma pada hitung bilang. Raga-raga yang kosong pada bergerak. Hampa. Tanpa energi pertahan maruah dan entiti diri. Berdetak dalamanku, nyesal pada apakah sesia Tuhan menjadikan; cuma untuk dimusnah.

Bangsaku!

Detik punca dalaman kian menyembur adrenaline, menggempur ke salur nadi, nyumbat ke rerambut halus darah. Terkocak jasmaniku bila detak simpul fikir ini bersamanya mengapung. Terpukaulah rohani kini. Suatu kebiasaan jua. Segera ku memohon ampun kerana terjali persoalan ini. Setiap detik sejak semula belum pernah berubah inti bentuk persoalannya. Kerananya hati juga sering mengingat pada sebuah amaran. Tapi mengapa? Kenapa Tuhan tidak mempertahankan mahakaryaNya!

Astaghfirullah.

Aduhai, keunggulan manusia. Nilai manusiawi. Itu janji Tuhan. Diadakan manusia antara kita jadi pemimpin di muka bumi. Pimpinan yang bagaimana? Seperti mana? Dan ke mana hala tuju kita? Mana-mana asal berusaha. Itu janji. Janji Maha Suci Tuhan.

Tapi, apakah janji Tuhan untuk bangsaku? Aku ragu keliru. Ah, terlalu dungu apa harus difikirkan manusia itu pada berbangsa-bangsa. Sedangkan Tuhan tidak menyatakan janji itu pada bangsa yang mana satu. Untuk seluruh manusia semesta alam. Begitu saja. Terjah hatiku. Noktah.

Si Pengagas itu juga manusia. Lahirnya di pemukiman golongan marginal, pada segala situasi yang sungguh tidak utuh serta goyah. Kepimpinan mantap terhasil kupasti kini jelma daripada fenomena insecurity mereka. Kerakusan itu akibat doomsday rush! Golongan yang diperjuangankan nasib mereka oleh Si Pengagas juga manusia. Betul. Sebangsa, bersatu, seketurunan mereka itu. Tapi bukan kami!

Maka kami adalah orang nun jauh di seberang sana. Kita tinggal pada tebing yang bersetentang. Tebing sana mereka, sebelah sini kami. Fikirku lagi. Tebing sebelah sana bahagia, sebelah sini derita. Di sana mewah di sebelah ini papa. Sebelah sana jaya sebelah sini mimpi dan angan. Tapi apalah sungai ini tanpa dua tebingannya? Tentu sudahnya tidak akan wujud topografi ini. Seperti sungai ini. Ah, sungai ini ada air. Ada pasang ada surutnya. Kucuba menghibur hati.

Tiap purnama akan ada pasang yang paling melimpah. Dan aku sering berharap suatu ketika agar air sungai ini melebihi tahap maksima lipah ruahnya. Pasti terjadi banjir yang habis dahsyat. Noah’s Ark. Biar tenggelam kedua-dua belah tebing ini. Biar sama-sama kami lemas. Namun bukan satu keajaiban lagi, mereka di tebing sana, aduh, masih bisa bertahan. Mereka punya rumah tinggi konkrit dan bertingkat-tingkat. Tinggi dan selamat mereka daripada dijamahi banjir. Dan aku terpilu pada memikirkan betapa mereka bahagia; menuai bakti usaha Si Pengagas yang luwes, pemimpin mereka. Mana pemimpin kami? Kami tertipu. Itu yang pasti.

Aku teringat suatu waktu pernah dia memberitahuku. Bang, telah kuberi dia minum. Telah kubancuh kopi pekat kecanduannya, likat sejat bersama benihku yang telah matang busuk. Astagh.... Isteriku, setinggi itu pencapaian akademik, ijazah phd dari universiti luar negara cuma melayak dia jadi tukang bancuh kopi di pejabat Si Pengagas tebing seberang. Cuba fikirkan. Begitu terjadi kerana kami bukan dari golongan bangsa keturunannya mereka. Kamilah mangsa doomsday rush.

Bang, memang benar aku tidak perlu minta izinmu kerana telah dua puluh satu hari ia berindung dalam rahimku. Ia bukan lagi zat yang suci murni, bang. Biar kutipu Si Pengagas meminum campuran itu. Kupasti bang, dia telah terteguk zat yang tidak akan membina keutuhan manusiawinya lagi. Sebuah proses pemusnahan yang lamban tapi mengaibkan baginya, bang. Semoga dengannya ia akan jadi tolol dan dungu. Aku cuma nyesal, kataku, kau telah mengungsikan sari terindahmu walau memang telah busuk, tapi itu bukan hak dia. Dan aku termenung apakah cuma itu yang bisa dilakukan oleh isteriku. Apakah perjuangan juga punya genderisme. Dan aku bagaimana?

Memang benar Tuhan menjanjikan setiap usaha itu akan dibalas kejayaan. Bentuknya dan untuk siapa usaha itu adalah perkara subjektif. Ia boleh saja apa saja. Dan aku tersirna fikir. Nyesal kenapa kami harus terlalu lama memikir suatu tindak dan usaha? Sedang kami bukan golongan bangsa marginal. Kami pernah punya suara politik yang maha dahsyat.

Memang perebutan itu juga satu permainan. Aku pasti itu. Ketangkasan dan kebijaksanaan memang sebuah kemahiran. Itu betul, sahut hatiku. Tuhan peduli apa bentuk akibatnya pada mereka yang tertembak terpinggir disebabkan usaha golongan manusia lain. Ternyata kamilah manusia yang diabdikan taraf mereka dan mangsa pada sesuatu usaha yang tekun di pihak yang punya rencana. Mereka nyata bijak dan rajin. Sungguhpun rajah kependudukan mereka jauh lebih rendah daripada populasi kami keseluruhannya. Gayanya, itu bukan lagi persoalan yang rumit untuk diatasi. Pada era digital segalanya bisa terjadi.

Persoalan itulah yang tidak pernah surut dari minda dan gejolak nubariku. Kuyakini, hatiku inilah juga satu-satu yang masih bisa kupelihara dan pertahankan. Cuma pada orang seperti aku sajalah ia masih berfungsi. Paling tidak aku masih bisa merenung pada proses sebuah kehancuran; catastrophie. Sedang yang lain laksana tercandu, bisu bungkam – menikmati kemusnahan dengan suasana syahdu yang amat. Tidak ngerti lagi kepada siapa mereka akan bersyahadu. Seperti jasad-jasad yang ditanam ke lahad, mereka cuma bisa merenungi ulat-ulat memesta daging dan sum-sum manis. Itulah sebuah berita yang pasti, kata hatiku.

Aku cuma punya hati ini, yang masih setia bersamaku dalam apa keadaan sekalipun. Dengan khazanah ini aku masih bisa milih jalanku. Walau bukan tidak sering ia meragukan keinginanku yang hakiki; merealisasikan misi ini bukan lagi demi bangsaku yang catastrophic tapi demi mempertahankan maruah dan darjat manusia keseluruhannya. Manusia seperti diriku, yang masih belum ternoda keindahan sebuah mahakarya pada adanya.

Aku menangis. Sungguh menangis itu kata mereka bukan kelelakian. Aku tahu. Tapi aku harus juga menangis. Ini tuntutan hati. Teman yang satu ini tidak akan kupersiakan. Dia yang paling setia. Yang paling akrab bersamaku sejak kukenal alam dan kulturnya. Namun kini kusedari kultur itulah juga yang membendung kerancakanku dalam lingkarannya, adalah sebenarnya sebuah lingkung yang memusnahkan kreativiti. Tapi, ia cuma sebuah anasir, kata hatiku membantah. Aku juga tahu bahawa anasir, yang sedia padanya perlukan seorang pengagas. Siapa dia itu? Itupun aku tau. Sesaat ini, kusesali keberadaanku. Aku cuma bisa merenung keajaiban sihirnya. Ah, terlalu agung sihiran itu.

Seingatku sejak sedar diri aku sudah mulai disusui dengan mentera budaya. Didodoi lagu bahasa. Ditimang tertib adab. Tapi segalanya kini ternyata bukan senjata tajam yang dapat kujadikan pelindung bangsaku yang semakin lenyap entitinya. Telah kuputuskan puluhan purnama yang lalu bahawa keteguhan budaya bangsa tidak akan bererti kalau tidak digandingi budi. Pasti, kata hatiku. Budi pula tidak akan berupaya sebagai senjata kalau tanpa bicara. Memang itu pasti, tegas hatiku. Bicara pada tahap itu bukan lagi kata-kata. Itu memang. Tindakan itulah yang pasti. Pasti itu adalah jawabannya. Aku menghitung sebuah kepastian. Sebuah masa depan yang akan kubina. Jauh terpinggir daripada keriuhan tebing sebelah sana.

Bang, aku sudah mengandung. Syukurlah jawabku. Apa?

Terbayang dalam benakku sebuah keceriaan. Yang murni. Yang baru. Yang putih bersih. Sebuah lembaga yang belum terjejas dek keaiban. Dan zuriat itu puncanya benihku. Bersyukur aku. Telah lama kupelihara punca itu. Bukan cuma pada erti biologinya tetapi telah bertahun aku berusaha menjaga kesucian perbendaharaan maknanya. Mani ini silih berganti. Itu yang pasti. Tapi kemuliaan sumbernyalah yang terpelihara. Dan aku telah berhasil. Telah kutanam semanis impian benih itu pada tempatnya yang hakiki. Dan dia telah mengandung.

Suatu waktu dia bertanya padaku kenapa aku harus nyembunyi pistol ini. Di rabanya pistol yang tersangkut di bahuku di bawah lindungan jaket yang sering kupakai. Atau kenapa aku harus punya pistol ini. Itu sebenar persoalannya. Kerana Si Pengagas juga punya pistol dalam laci meja pejabatnya, katanya membisik dalam kemesraan kami. Bang, kamu bukan manusia sepertinya jadi harus kenapa kamu nyimpan pistol?

Lelaki pejuang bangsa harus punya senjata, sayang, kataku sambil mencium tenguknya. Bangsa kita dan bangsa keturunan Si Pengagas berbeza. Kita cuma diperalatkan, sayangku. Makanya aku tidak lagi mengharap pembelaan daripada pistolnya itu. Begitu aku membujuk isteriku yang sedang hamil itu. Hatiku berdetik memikirkan apakah zuriatku nanti juga akan jadi mangsa keaiban daripada tindak tanduk Si Pengagas itu. Aku harus mengambil kepastian melega gocang gelora pada hati yang semakin menagih ini.

Kutanya pada hati apakah ada isyarat yang harus kuperhitungkan demi mendamaikan resah gelora ini. Hatiku berdenyut. Faham aku maksudnya. Kami faham bahasa antara kami. Dia paling setia. Pernah kupertikai kesetiaan isteriku, sesekali kerana cemburu, namun tidak pernah aku ragu kecintaan hatiku; pada diriku. Thank you Abdullah. Thank you Abdullah. Thank you Abdullah. I trust you. Aku percaya padamu. Pada kerahsiaanmu. I love you Abdullah. Kuakui cintaku; pada hatiku.

Suatu petang aku harus ke tebing seberang. Isteriku tidak kuberitau kerana ternyata ia sedang nyenyak tidur. Kubiarkan ia hanyut bermimpi melega letih jasmani rohani. Seorang yang sedang mengandung. Memang inilah pengalaman yang ulung bagi kami berdua. Dan aku memang tidak pernah punya orang lain yang harus pernah mengindung benihku selain dia. Aku lelaki yang suci bersih untuk musim semi kami.

Hatiku juga percaya isteriku wanita yang suci dan sunti sebelum kali kami yang pertama. Aku juga sepertinya. Cuma ‘virgin’ atau perawan itu tidak disifatkan untuk lelaki. Rupawan juga bukan untuk lelaki. Gagal pemaknaan. Masalah genderisme. Ya. Teguh. Unggul. Teruna. Aku bujang teruna sebelum pernikahan itu. Juga kurang tepat. Persetan semua ituuuuuu, jerit hatiku meronta-ronta. Kenapa dibuangkan masa untuk perkara yang tidak mendatang hasiiiiiiiil? Kecut aku mendengar jeritan, hatiku.

Sorry Abdullah. Maafkan aku Abdullah. Kubujuk hatiku. Tenang kembali ia pabila kujejak langkah di tebing. Di tebing seberang senja cemerlang sekali. Ceria mulai mengisi ruang gundah batinku.

Kunikmati indah kehidupan orang seberang sungai. Terhibur resahku. Indah. Memang indah kehidupan di sini, hatiku nyesal dan cemburu. Dan aku lebih menyesali kerugian bangsaku yang teringgal, yang terpedaya. Semakin resah kumemikirkan kehancuran yang telah tak tertebuskan lagi itu. Apakan daya, kupujuk hati. Aku terus berjalan mencari punca tarikan yang lain.

Isyarat sufi-magnetism begitu memanggil-manggil. Aku tidak seharus gelisah mentafsirkan. Aku tahu maksud arah dan isyarat panggilan itu. Aku percaya hidup ini adalah antara maya dan realiti. Antara keduanya wujud sebuah kemungkinan yang terlalu indah untuk disifatkan. Terlalu seni hingga bahasa kekeringan kata mentafsir.

Aku sedar segalanya telah terencana. Hatikulah yang telah merangka segala perubahan dan kelainan ini. Ya, Illahi Rabbi, izinkanlah ianya terlaksana. Sutu tugas mulia. Sebuah tugasan maha berat, pengorbanan di pihakku dan di pihak yang lain.

Dalam aram temaram senja di sebuah kota tebing sungai, sesingkat laungan azan maghrib senja itu, selesailah sudah sebuah peristiwa. Terlaksana sudah sebuah rencana bathin. Aku bersyukur. Namun, ragu itu kini mulai menjajah sukmaku. Gemuruh mulai menerjah saraf. Aku memerlukan teman setiaku. Wahai hati, di mana kamu. Please. Tolonglah. Datanglah. Kembalilah padaku.

Beristifar aku. Puluhan kali. Entah ratusan kali. Tidak mampu lagi aku menghitungnya. Tenteram yang sering bertampuk di tangkai hatiku kini terasa luruh satu-satu. Langkah kakiku longlai. Hampir terlayah aku beberapa ketika. Beginilah kalau hati tidak bersamaku. Walau sedetik ketiadaannya aku semakin hampir ke sudut sebuah kemusnahan. Betapa aku memerlukan kamu, wahai hatiku.

Sewaktu-waktu itu juga tanpa jemu ku bertanya pada hati. Terasa hatiku nyepi. Sunyi pekat nyumbat. Sunyi menambah sepi rasa. Kehilangan teman. Beginilah adanya. Hilang seseorang yang paling dikasih. Aku tahu hatiku kini nyendiri. Bisu dalam keresahan minda. Wahai hatiku, kekasihku, apakah lagi harus kulakukan demi mencapai tenteram itu? Segala bisikanmu telah kulaksana. Semuanya sempurna. Sempurna indah peristiwa itu, wahai buah hatiku.

Malam telah menawan senja di kedua-dua belah tebingan. Bintang-bintang pada menayang diri di ufuk. Namun fenomena apakah ini, kawanan merpati putih ralip bermain junam di angin malam. Apakah burung-burung ini kemabukan; sebuah perayaan perkasihan apakah?

Dari kejauhan, dalam perjalanan ke rumah, terasa degup hebat membara dalam kaviti dada bidang kelelakianku. Jantung berdenyut hingga rasa terlonjak ia ke rahang. Jauh pada lurah dan tebing, lembah topografi dataran hatiku jelma padanya kini sebuah imejan. Bukan sebuah cerminan imaginasi biasa tetapi gambaran yang terlalu seni maknawi. Gambaran sebuah dataran yang bersinar. Pada latarnya kedengaran sebuah tangisan yang asing, namun kesannya pada nubariku murni mendayu sayu. Realitinya pada sebuah pondok di kampungku. Kediamanku. Pada milik ku peribadi!

Bersama gempa teriak tangis yang memecah resah raguku, di layar langit malam kelihatan maya seorang bayi nyusur keluar dari rangkangan isteriku yang tersenyum tabah. Bersyukur aku bayi itu tidak perlu dibidani sesiapa yang kusangka pernah diaibkan manusiawinya. Syabas isteriku. Kaulah satu-satunya wanita paling berjaya; sedia berkorban jiwa raga dalam mempertahankan kesucian maknawi bangsa kita. Kekal suci bersih murni zuriatku. Syabas Abdullah!

Isteriku minta aku mendekatinya kerana dia ingin pengesahan. Pada gumamnya sedikit demi sedikit diluncurkan berita dari siaran radio yang sempat didengarinya sekejap tadi. Si Pengagas, kata isteriku.

Berita itu membantu gelunsur bayi kami, bersama tuban menyimbah keluar. Melengking teriak anakku sekuat ketakutannya, resah temu sebuah realiti baru. Aku pasti pada ketakutan sekeras teriakannya yang kurakam di kalbuku sejak tadi, tersimpan padanya keberanian dan kepahlawanan bangsaku untuk horizon mendatang.

- Abdillah SM


No comments: