SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, November 23, 2009

Abdillah SM - SUARA MARHAEN - Rencana - Korban











Abdillah SM

bandaraya pelabuhan

24 nov 2009



KORBAN



Yang sering saya fikirkan sekarang ialah bagimana menjaga hati dan perasaan diri sendiri daripada tergores. Apabila kita terus berinteraksi sesama dan berada pada lingkungan kehidupan rutin, saya dapati adalah mustahil kita dapat hindari ancaman seperti ini.


Tergores perasaan itu lumrah dalam hidup bersosialisasi. Yang pasti bukan semua orang dalam lingkung harian hidup kita penyebab terjadinya fenomena perasaan ini. Usaha yang pernah saya lakukan dalam perkara ini ialah berterus terang pada individu penyebab. Kalau memang dia salah seorang daripada ahli keluarga kita bagi saya perkara itu senang saja. Berterus terang. Beritahu bahawa kita tidak suka sesuatu perkara sensitif itu berlaku banyak kali. Tapi bagaimana kalau ianya terjadi antara rakan yang sama-sama kelihatan baik pada permukaannya, masing-masing konon menjaga hati, tetapi yang musykil terus juga wujud dan berlaku dalam keselindungan budi?


Kadang-kadang penghinaan penyebab rasa tergores bukan mudah untuk dijelaskan dan ia benar-benar pula berlangsung lewat bijaksana budibicara. Tetapi harus diingat bahawa kebijaksanaan bukan cuma hak anda seorang saja. Seseorang yang terhina juga punya kebijaksanaan mentafsir yang tersirat. Bagi saya kalau ada sesuatu yang musykil dalam hubungan antara rakan, setelah berusaha dengan ikhlas membetulkan tapi tidak berkesan, adalah lebih baik hindari dia. Jangan bersifat pura-pura sehingga budi bahasa anda tidak lagi dapat menampung kebijaksanaan berinteraksi. Lambat-laun bisa terbaca sebenarnya apa yang tersimpan dalam nubari itu.


Sebab musabab tindakan anda sudah tidak penting lagi, kerana yang jauh lebih penting waktu itu ialah jangan berterusan bertindak dengan kata-kata berlapis dan bertindak jijik-jijik ulat terhadap rakan. Kalau perhubungan anda memang menjadi sesuatu yang musykil bagi diri anda; duri dalam daging, elakkan saja daripada terus berhubung. Mungkin anda ingin menyelamatkan diri daripada fitnah atau ada perkara yang jauh lebih serius mahu dielakkan; barangkali saja yang melibat maruah dan dosa. Jalan terbagus dan mulia pada pendapat saya ialah dengan menjauhkan diri anda daripada seseorang yang memusykilkan.


Menjaga kepentingan maruah dan menjauhi hal-hal yang boleh mendatangkan dosa itu suatu tindakan yang mulia untuk diri peribadi; satu tindakan orang bijaksana dan beriman. Ganjarannya adalah pahala sekalipun cuma terniat untuk menghindari daripada fitnah. Tetapi apakah menggores perasaan rakan yang mafhum erti tersirat tindakan kita itu tidak mendatangkan perhitungan yang buruk? Takkanlah dapat 10 markah kerana niat menghindari fitnah itu harus ditolak pula 10 markah kerana menggores perasaan rakan? Ini bukan tindakan bijaksana. Kos melepas itu!


Kalau kita masih berasa ragu-ragu terhadap persahabatan atas sebab maruah dan dosa, adalah lebih bijaksana dihindari saja rakan itu daripada anda terus melukai hatinya. Perbuatan melukai hati seseorang dengan sengaja atas tujuan apa saja, serasikah untuk mendapat rahmat Ilahi? Menyebabkan seseorang hamba Allah berasa terhina dengan sengaja itu jelas bukan tindakan mulia walaupun tujuan asalnya tidak begitu. Kalau diteruskan ia satu penganiayaan lebih-lebih lagi kalau rakan anda punya niat yang jauh lebih murni dan mulia dari apa yang anda musykilkan.


Bagi saya anda harus hindari seseorang rakan yang menimbulkan kemusykilan walaupun anda sayang pada persahabatan kerana ada kebaikan pada kepentingan yang lain. Berkorbanlah untuk kesejateraan diri dan rakan anda. Ingat bahawa doa orang yang teraniaya makbul. Hanya Allah saja yang dapat melihat jauh ke dalam hati kita yang sering berubah-ubah, memilih sesuatu untuk sesuatu kepentingan mengikut prioriti yang kita letakkan sendiri pada waktu-waktu tak terduga!


Jangan terlalu bertindak memilih: bahagian roti yang disapu kaya! Jangan bermain dengan asas keimanan selamanya terbilang menegak kukuh yang murni dan mulia saja. Wallahualam.


Sejahtera anda.



1 comment:

Unknown said...

Sangat mendalam maknanya...