Abdillah SM
bandaraya pelabuhan
7 nov 2009
terhenti
cinta
kencana
kutemu
suatu detik
kelalaianmu
mencatur
pesona
relakan aku
berdamai
tanpa sesal
bukankah
sekian
bukti
kau
terhenti
peduli
Abdillah SM
Malaysia
20 Jun 2009
ABDILLAH SM lahir di Kuching, Sarawak pada 6 Ogos 1949. Lulus peperiksaan Cambridge Higher School Certificate pada tahun 1973 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di ITM (sekarang UiTM) pada tahun 1974. Pernah berkhidmat di beberapa buah jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di negeri
Abdillah SM mula menulis puisi lewat 1970 an. Puisi pertama karya beliau bertajuk ‘Identiti’ tersiar di Majalah Dewan Sastera keluaran September 1977. Antologi puisi berjudul 'Antropologi II' adalah antologi puisi peribadi beliau yang pertama; terbitan Mutiara Bimasakti Publishing tahun 2009. Sementara antologi bersama berjudul ‘Sekalung Bunga Putih’ (stensilan - 1981), hasil idea beliau yang mendapat galakan daripada Ismail Ahmad (Ajikik) dan Hashim Awang telah dibawanya sebagai buah tangan ke Hari Puisi Nasional April 1981, Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang kegiatan dalam bidang puisi beliau sering mendendangkan puisi tokoh-tokoh penyair negara dan juga puisi beliau sendiri.
Kerana minatnya dalam bidang bahasa, kesuasteran dan kebudayaan Melayu, beliau sering menghadirkan diri di seminar dan pertemuan penulis peringkat negeri, kebangsaan dan antara bangsa atas biaya sendiri dan / ehsan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia yang mana beliau kerapkali dijemput membuat persembahan lagu puisi dan/pengucapan puisi. Ini termasuklah pada Hari Puisi, Hari Sastera, Pertemuan Nusantara, Petemuan Penulis Asean, Festival Penulis Komanwel dan Pengucapan Puisi Dunia.
Sebagai penggiat seni beliau turut menceburi bidang drama sejak awal-awal lagi. Beliau pernah terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik di Pesta Teater Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun 1984. Sementara drama skrip adaptasi cerpen beiau berjudul ‘Kupu-kupu Putih’ mendapat tempat kedua pada Pesta Teater anjuran RUSDA dan Sri Tarina pada tahun 1982.
Kepelbagaian kegiatan seni beliau hampir merangkumi semua bidang termasuklah seni lukis, mencipta lagu puisi, penulisan cerpen dan skrip drama. Cerpen-cerpen beliau merupakan karya terawal penulis
Sebagai penulis bebas Abdillah SM adalah penulis bagi kolum ‘Pintar Budaya’ di akhbar Utusan
Awal tahun-tahun 70an, lama sebelum saya melibatkan diri dengan mana-mana kumpulan aktiviti sastera, budaya dan pementasan saya telah mula berjinak dengan kerja mengumpul lagu-lagu rakyat.
Pendedahan seperti itu bukanlah asing bagi saya kerana almarhum ayahanda saya Hj Suud bin Majalis adalah seorang yang dikenali dalam bidang seni suara seperti lewat kerja amal beliau sebagai guru membaca al quran, berzanji, berzikir (zikir maulud) dan berqasidah. Di bandar Kuching waktu itu beliau adalah guru al quran kepada ramai murid sekitar Kampung Satok, Kampung Kudei, dan perkampungan sebelah kawasan Matang.
Almarhum ayahanda juga pada waktu mudanya terdedah kepada hiburan tradisional seperti lagu rakyat dan berzapin / bermain gambus. Berasal dari daerah Simunjan, Sarawak ayahanda telah diserah tinggal bersama bapa saudara tertua sebelah ayahnya di bandar Kuching untuk mendalami bidang agama. Waktu itu ayahnya sendiri telah lama meninggal dunia.
Di bandar Kuching almarhum mendapat didikan daripada beberapa orang guru agama yang terkenal di bandar itu selain daripada bapa saudaranya sendiri iaitu Lebai Hashim bin Haji Morshidiq. Lebai Hashim kemudian menjadi ayah mertua apabila beliau mendirikan rumahtangga dengan bonda saya.
Saya dimaklumkan rumah kami yang awal sekali letaknya berhampiran menara Jambatan Gantung (sebelah matang). Menara itu sekarang pada anggaran saya mungkin berusia kira-kira 82 tahun. Jambatan Gantung yang panjangnya 130meter itu telah roboh pada 7 Oktober 2004 dalam usia kurang lebih 78 tahun kerana uzur disebabkan tiada pembaikan dilakukan ke atasnya. Kini yang tinggal cuma dua menara itulah. Satu menara di seberang sana Satok dan satu lagi di sebelah kawasan Jalan Matang - Kubah Ria.
Bahagian kiri Blok Ke 3, Kubah Ria arah ke tebing Sungai Sarawak itu asalnya adalah kawasan rumah kami; tanah kepunyaan almarhum bonda yang terpaksa beliau serahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana pembinaan Jambatan Satok.
Akhir tahun-tahun 1930an sehingga lewat tahun 1960an rumah kami yang tersebut di atas merupakan tempat anak-anak kampung sekitar mengaji al quran; persis sebuah madarasah! Syukran. Sedangkan di seberang sana sungai berdekatan Jabatan Gantung di kawasan Satok pula wujud sebuah sekolah swasta yang dikenali dengan nama Satok English School, dikendalikan oleh almarhum Cikgu Lily Eberwein, bonda kepada kekanda Yang Berbahagia Puan Hjh Habsah Harun, bekas menteri kabinet Kerajaan Negeri Sarawak. Maka kawasan sekitar Jambatan Gantung yang melibatkan kedua belah tebing Sungai Sarawak waktu itu adalah antara zon aktiviti kependidikan bandar Kuching yang begitu menyerlah. Syabas!
Lebih membanggakan kita kerana wujudnya peluang pembelajaran seperti itu adalah hasil inisiatif individu-individu yang tidak bergantung kepada sokongan dan bantuan daripada pemerintah / koloni.
Dari maklumat yang saya kutip daripada kekanda-kekanda saya; bahawa kesibukan pembelajaran di rumah kami waktu itu bermula sejak jam 2.00 petang apabila almarhum bonda balik daripada menoreh getah. Kebun getah itu adalah kepunyaan almarhum sendiri, terletak kira-kira setengah kilometer daripada kediaman kami. Kawasan itu sekarang adalah tapak perumahan Taman Murni, Petra Jaya, Kuching.
Almarhum bonda saya Hjh. Mahani bt Lebai Hashim, anak kelahiran bandar Kuching sejauh yang saya ketahui adalah seorang ibu yang sederhana luas pengetahuan agamanya. Saya juga yakin bahawa almarhum bonda saya adalah seorang pelajar sufi; ilmu yang diwarisi daripada almarhum nenda saya.
Namun sungguh apa yang saya amati, almarhum bonda adalah antara insan yang amat penyabar pernah saya temui dalam hidup saya, setakat ini. Saya menyaksi sendiri bahawa beliau tidak pernah putus beribadah - terutama sekali sembahyang dan berpuasa. Almarhum sering menjauhkan diri daripada hal-hal yang mendatang fitnah dan tohmahan; antara etika sosial dan perangai almarhum yang saya ingat benar.
Almarhum amat berhati-hati apabila menerima rezeki yang disampaikan kepadanya. Diselidiki tentang sumbernya dengan teliti; dan berhati-hati juga agar si pemberi rezeki itu tidak akan tersinggung, berkecil hati dan segan atau malu. Almarhum bonda ada caranya menyelidiki dan menjaga kehormatan seseorang itu.
Jangan sekali-kali kami anak-anak menganggu beliau semasa wirid dan zikir selepas sembahyang (kecuali kecemasan). Peraturan itu tidak terkecuali ke atas diri saya walau konon saya ini adalah anak bongsu. Setelah selesai wirid dan zikir, almarhum adalah hak keluarga! Almarhum bonda amat cerewet tentang kebersihan diri, anak-anak, rumah serta halamannya.
Antara kebiasaan almarhun bonda yang saya ingat ialah kesediaannya menerima jiran-jiran yang datang berbincang, merujuk dan bertanya hal-hal fiqh kepada beliau. Mereka bukan saja dari kalangan orang perempuan tetapi juga pakcik-pakcik. Pakcik-pakcik yang berkunjung itu seingat saya ada yang jauh lebih tua usia mereka daripada almarhum bonda.
Almarhum bonda memang lebih awal terlibat sebagai guru kampung mengajar anak-anak mengaji muqadam dan al quran. Kesempatan ini mungkin juga disebabkan pendedahan yang almarhum dapati daripada ayahandanya. Seingat saya, dalam hal fardhu kifayah pengurusan mayat jiran-jiran almarhum bonda tidak pernah ketinggalan menyumbang amal, kecuali kalau almarhum waktu itu sedang uzur.
Bermula dengan anak-anak berumur 6-12 tahun samada belajar peringkat muqadam dan awal al quran, almarhum bonda dengan setia mengendalikan semuanya dengan keikhlasan yang tidak berbelah bagi. Begitu komited almarhum terhadap pengetahuan agama anak-anak murid yang datang mengaji al quran dengannya, kesempatan yang mana digunakan sekali gus untuk membimbing anak-anak kecil lelaki dan perempuan Islam mendekati peraturan beragama - terutama tentang kebersihan diri dan sembahyang. Pendek kata almarhum bonda menyediakan anak-anak yang hadir mengaji al quran dirumah kami dengan pengetahuan fardhu ain dan fardhu kifayah.
Sementara almarhum ayahanda menemu kesibukannya mulai jam 10.00 malam apabila balik daripada mengaji di kelas al quran dan kelas bimbingan agama yang diadakan di surau tertentu di Bandar Kuching waktu itu.
Sekembali daripada kelas-kelas seperti itu almarhum terus balik ke rumah dan di sana sudah sedia menunggu belasan orang dewasa dengan sabar untuk menuntut ilmu al quran daripada almarhum ayahanda. Almarhum ayahanda pernah memberitahu saya bahawa beliau mengajar sambil belajar. Menuntut ilmu di satu kesempatan dan disedekah kembali ilmu itu pada kesempatan yang lain untuk mereka yang tak berkesempatan hadir.
Mereka terdiri daripada lelaki dewasa yang sibuk bekerja atau bersekolah pada siangnya. Saya dapat mengagak betapa cerianya aktiviti kependidikan dirumah kami waktu itu. Memang sampai sekarangpun apabila saya berjumpa bekas murid-murid kelas al quran asuhan ayahanda dan bonda, saya mengalami nostalgia yang sungguh menenteramkan jiwa walau memang saya cuma mengenali mereka pada waktu mereka tidak lagi menuntut di situ. Namun tiap berlaku peristiwa suka-duka di rumah itu kemudiannya, saya diperkenalkan kepada mereka oleh ayahanda dan bonda kerana bekas murid akan sering menjenguk. Seperti melawat rumah sendiri yang ditinggalkan. Lalu saya menganggap mereka sebagai abang dan kakak.
Beberapa orang daripada mereka memberitahu bahawa mereka pernah menjaga saya semasa saya kecil. Terkeluarlah cerita-cerita nakal dan lucu. Hehehee. Begitulah kemudian apabila dewasa saya dapati saya punyai ramai abang dan kakak sekitar Bandar Kuching. Di mana-mana saya berada saya sentiasa terserempak dengan mereka. Dan saya tidak dapat berkelakuan nakal seperti kawan-kawan lain.
Terlalu banyak mata yang kenal saya. Kalau tidak ditegur secara semuka, dan berlaku juga perkara-perkara nakal, pasti saya akan ditanya begitu begini oleh kedua almarhum apabila waktu masuk tidur. Pendek kata abang dan kakak yang pernah belajar di rumah kami itu adalah mata-mata bonda dan ayahanda. Teruk juga! Tapi syukur setakat yang mereka sempat lakukan kerana amanah, saya tidak pernah mengalami petaka dan hal-hal yang tidak diingini semasa usia muda remaja. Apabila sudah tua kena jaga badan sendirilah!
Berbalik saya kepada bicara aktiviti pengumpulan lagu rakyat negeri Sarawak (masyarakat Melayu). Setakat ini saya sempat merakam sebanyak 55 buah lagu untuk arkib khazanah keluarga. Semua koleksi telah dipindah samada ke dalam bentuk tape audio, file audio digital , mp3, file midi dan tidak ketinggalan dalam bentuk 'hard copy' nota musik dan lirik. Oleh kerana anak-anak semuanya punya kecenderungan dalam bidang muzik dan juga multimedia, saya akan serahkan khazanah itu untuk mereka teruskan pengumpulannya.
Ada risik-risik bahawa mereka akan mengadakan blogspot untuk lagu-lagu rakyat Negeri Sarawak. Saya berharap semoga akan ada kesempatan untuk muaturun lagu-lagu termaklum bagi mereka yang memerlukannya untuk kajian akademik dan / atau aktiviti kebudayaan.
Al Fatihah untuk almarhum ayahanda Hj Suud bin Majalis dan almarhum bonda Hjh Mahani binti Lebai Hashim. Terimakasih dan bersyukur kerana kedua orang tua saya telah menyediakan suasana keilmuan dan kependidikan sejak saya kecil hingga dewasa.
Lantas, itulah kesempatan kesedaran bagi saya mengisafi betapa menyediakan peluang menuntut ilmu pengetahuan (baik agama maupun akademik) adalah tanggungjawab bersama juga sebagai individu. Selainnya saya pasti bahawa hal-hal ini jugalah yang menyerlahkan kewujudan kita sebagai insan pemegang amanah dan kalifah di muka bumi.
No comments:
Post a Comment