SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Thursday, December 11, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Sebuah Penghijrahan Seni



MALAM DEKLAMASI PUISI AWAL MUHARAM

Sebuah Penghijrahan Seni


Ada perkara mirip sejarah perkembangan sastera tiba-tiba hinggap ke dada lapang saya. Saya semakin tua dan sebenarnya tidak begitu ghairah untuk berada di limelight arena sastera itu lagi. Walau bagaimanapun seperkara ini terjadi semasa saya menghadiri majlis yang menemukan rakan-rakan penulis; muka baru, muka lama dan muka yang tidak begitu penting lagi seperti wajah saya dewasa ini.


Saya sebenarnya menemani anak gadis saya Edna Tiara yang begitu bangga akan menerima secebis hadiah sagu hati kerana penyertaanya dalam menulis semula cerita rakyat Negeri Sarawak 2007. (Syukran. Memang sudah tua saya). Terpaksa selesa dengan mendapat tempat di meja paling belakang sekali; begitu memang dikhaskan bagi mereka yang tidak lagi menyumbang untuk gemerlapan aktiviti sastera di wilayah kami.


Tiba-tiba menyerbu seorang teman mendapatkan saya. Kami bersalaman. Kami bercakap seketika sebelum dia mengambil tempat duduk di tempat yang lebih istimewa (pada anggapan saya) kerana di situlah duduknya penulis-penulis yang punya nama. Dia menyempat bisik tentang sesuatu yang saya agak sudah expired. Tak tau apa nak balas ketika itu apabila saya mendengar keluhan teman lama itu. Namun yang jelas bagi saya peristiwa kehancuran Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) yang dibisiknya masih bergema. Pada hemat saya api kemarahan ini masih nyala walau yang kelihatan cuma asapnya yang semakin menipis ke ruang kelmarin.


Meneruskan tulisan ini adalah wajar saya memberi sedikit bayangan senerio perkembangan kegiatan sastera dan persatuan sastera/bahasa yang pernah saya ikuti. Secara peribadi, saya beranggapan ada suatu yang tragis terjadi di situ.


Saya adalah salah seorang ahli Angkatan Karyawan Sastera Sarawak (AKSS). Setelah persatuan ini secara rasmi didaftarkan, saya adalah salah seorang ahli jawatankuasanya. Ketua I, AKSS adalah Saudara Saiee Dris. Menjadi anggota persatuan ini, saya mendapat banyak peluang berdiskusi puisi antara sesama ahli sementara sering pula berpeluang menganjurkan majlis bacaan/deklamasi puisi bersiri: Malam Berbunga Puisi.


Bukan main lagi kegiatan kami waktu itu. Cakap saja diskusi puisi, kamilah yang akan mengadakan kunjungan rumah ke rumah ahli-ahli. Sambil berdiskusi puisi ada juga makan-makan walaupun ala kadar tetapi meriah. Bilik kegiatan/mesyuarat di Tapian Gelanggang, Kuching adalah tempat yang sering kami pinjam untuk pertemuan jawatankuasa pada tiap mesyuarat bulanannya. Kalau GPPS itu bayi maka ia belum lagi janin waktu itu.


Seingat saya sebelum wujud AKSS telah ada sebuah persatuan yang punya aktiviti yang sama rancak iaitu Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak (PEBAS). Sebelum PEBAS ada Angkatan Sasterawan Sarawak (ANSAR) yang saya ikuti kegiatan mereka melalui sebuah rancangan mingguan terbitan Radio Sarawak. Begitulah kedudukannya - ANSAR, PEBAS, dan AKSS. ANSAR sudah tidak kedengaran lagi gemanya waktu itu, sedang PEBAS kian condong dan hampir merudum. AKSS mengambil tempat pada ruang cerah kegiatan sastera di bandar Kuching.


Benda ini lagi, sesal saya diam-diam semasa duduk menunggu acara majlis Tinta Kenyalang 2008, DBP, Cawangan Sarawak dirasmikan. Fikiran tua saya ingin menolak kemungkinan terpaksa menerobos kembali ke isu yang paling saya benci; Politik-Sastera-Politik yang pernah saya saksikan sepanjang sejarah penglibatan saya di arena sastera negeri ini.


Antaranya saya benci kuasa yang mempolitikkan kegiatan sastera: Mempolitikkan peluang bergiat dalam sastera yang sihat. Merosakkan masa depan bakal penulis kerana caturan kuasa politik ke atas sastera. Dan seterusnya menghancurkan harapan untuk melihat perkembangan kegiatan sastera yang sihat dan makmur di bumi tumpah darah ini. Mempolitikkan sastera secara kejam itulah perkara yang paling saya benci.


Persoalan awal tadi ialah kenapa GPPS begitu menjadi sesalan dek kehancurannya. Saya tidak pernah berasa apa-apa sebenarnya. Sebab lain mungkin waktu itu saya bertugas di Semenanjung. Sekalipun berada di Bandar Kuching saya bukan sangat terlibat dengan GPPS pada zamannya. Bukan disebabkan tidak ingin tetapi apabila kita sudah disingkirkan daripada salah satu badan yang menganggotainya maka dengan sendiri kita bukan lagi seorang ahli yang bergabung di dalam badan induk yang begitu gah.


Untuk catatan pembaca, keahlian saya telah digantungkan setelah begitu aktif bergiat sama-sama mengembangkan kemesyhuran AKSS. Surat itu telah ditandatangi oleh Ketua Satu, Sdr Saiee Dris. Sebab penggantungan tidak begitu jelas kepada saya. Tapi ada satu peristiwa yang mungkin boleh dikaitkan kepada tercetusnya tindakan itu. Dan saya ingin menegaskan di sini sekirapun bahawa peristiwa itu puncanya maka jelas ia bukan sekali-kali disebabkan oleh saya. Insiden itu terjadi semasa dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Sdr Adi Badiozaman Tuah. Sebuah kesaksian yang terbagus!


Saya tidak pasti samada Sdr Adi Badiozaman Tuah waktu itu seorang ahli AKSS atau ahli PEBAS. Yang saya faham Sdr Adi Badiozaman Tuah telah diminta oleh Ketua I AKSS, Sdr Saiee Dris mempengerusikan mesyuarat suatu tengah hari Sabtu, bertempat di Bilik Kegiatan, Tapian Gelanggang, Kuching kerana Sdr Saiee Dris sendiri masih dalam waktu tugas rasmi.


Seingat saya yang turut hadir pada mesyuarat itu sebahagian ahli jawatankuasa AKSS; Cik Halimah Hashim, Cik Margaret Leonard, Encik Sajali Mohamad dan turut diundang Puan Latifah Hj Mohd Sebli dari PEBAS. Agenda mesyuarat hari itu ialah untuk mengadakan Malam Baca Puisi Awal Muharam. Walau bagaimanapun perlu disebut di sini bahawa sahabat karib juga jiran sekampung saya Sdr Sajali Mohamad hadir sebagai setiausaha mesyuarat dan beliau adalah rasmi Setiausaha AKSS.


Perkara utama yang kami bincangkan waktu itu ialah pemilihan puisi-puisi yang sesuai untuk majlis deklamasi itu. Beberapa karya penyair Semenanjung Malaysia telah disebut dan disenaraikan. Dan kerja itu bukanlah senang kalau kita tidak merujuk atau pernah membaca karya-karya yang dianggap sesuai untuk peristiwa yang ingin disambut itu.


Semua yang hadir memberi tajuk-tajuk puisi yang mereka fikir punya tema ‘hijrah’, begitu barangkali. Demikian maka adalah senarai panjang tajuk puisi dan penyairnya. Ada juga yang mencadangkan supaya kita utamakan karya-karya puisi penyair tempatan Sarawak untuk memberi sokongan moral terhadap usaha pengkaryaan mereka. Saya bersetuju juga dengan cadangan itu kerana memikirkan bahawa karya kami sudah tentu akan dipilih paling tidak sebuah puisi seorang. Penyair tempatan boleh kami hubungi nanti. Sudah tentulah puisi-puisi mereka bertemakan ‘hijrah’ atau yang senada.


Sayugia dicatatkan di sini bahawa Sdr Sajali Mohamad yang bertanggungjawab sebagai setiuasaha mesyuarat yang bersejarah itu kelihatan tidak begitu selesa. Keluar masuk bilik mesyuarat entah berapa kali, meninggalkan majlis dipengerusikan oleh Sdr Adi Badiozaman Tuah tanpa pencatat. Saya beranggapan Sdr Sajali Mohamad tentunya ada urusan yang jauh lebih penting daripada berada dalam bilik mesyuarat dan jika demikian adalah tidak wajar beliau asyik keluar masuk tanpa menyerah tugas mencatat minit mesyuarat kepada seseorang.


Entah apa yang difikirkan oleh Tuan Pengerusi, Sdr Adi Badiozaman Tuah waktu itu. Bagi ahli jawatankuasa AKSS, kami begitu faham dengan Sdr Sajali Mohamad yang selalunya tidak kelihatan selesa berada dalam mesyuarat. Seperti lelucon sering Sdr Esmawy Hj Husly kepada saya tentang Sdr Sajali – anti protocol nar miak ya, eh! Memang ada saja yang beliau lakukan seperti ingin menarik perhatian kita kepadanya. Nang hyperactive jua miak to eh! Begitu istilah paling cucuk dan lucu keluar dari bibir Sdr Esmawy Hj Husly.


Itu dia Sdr Sajali Mohamad sahabat karib saya. Semua rakan faham dan sering pula hal-hal seperti itu menjadi terlalu lucu. Hingga bila orang lain berhasil ketawa dibuatnya dan tamat di situ, tibalah pula gilirannya ketawa sendirian macam nak pengsan. Kami yang pada mulanya hanya merenungnya dengan senyum sinis, akhir-akhirnya terpaksa juga turut pecah ketawa. Ya! Memang inilah keceriaan pada setiap mesyuarat kami. Saya kenal allahyarham atuk kepada Sdr Sajali Mohamad. Tak tahu saya apakah bakat komidi itu genetik.


Ketika itu kami masih juga berbincang tentang puisi-puisi yang dipilih. Memang sering kalau kami mengadakan majlis deklamasi puisi pasti ada brosur atau handout di mana semua puisi yang dipilih untuk acara malam itu turut dibekalkan. Selain bertujuan untuk penyebaran karya-karya penyair terpilih, kami beranggapan itu adalah penghormatan kami kepada penyair dan penonton.


Kali ini setiausaha mesyuarat, Sdr Sajali Mohamad menyelak pintu dan masuk untuk kali keberapakah saya tidak perlu mengiranya lagi waktu itu; mukanya kelihatan tegang seperti seorang ‘incredible hulk’ (teringat saya lelucon Cik Ratanawati Jamil terhadapnya – liat tak Bang Dillah, Bang Jali merenung kamek tang macam rang ‘berhak’ jak matanya!) merenung ke arah saya dan Puan Latifah Hj Mohd Sebli. Waktu itu saya ingat Sdr Adi Badiozaman Tuah duduk membelangki pintu. Sudah pasti dia tidak melihat perubahan yang saya lihat pada wajah Sdr Sajali Mohamad.


Saudara Setiausaha kita itupun berjalan dan kelihatan hendak menarik kerusi dan duduk tetapi tidak jadi. Betapalah terkejutnya kami tiba-tiba saja beliau berteriak kurang lebih begini kata-katanya: Kenak kita tok sik pande-pande selese mbincang hal tok ajak-ajak. Sik pande abis-abis!


Bukan itu saja yang berlaku. Terperanjat semua kami yang hadir apabila timbunan fail yang dibawanya ke mesyuarat itu (warna putih kalau saya tidak silap) terlontar ke lantai (ke tengah) meja persidangan. Sdr Adi Badiozaman kelihatan begitu terkejut. Pertama kerana mendengar teriakan. Kedua, ah! Fail-fail terlontar dengan begitu ganas sekali. Saya tidak pasti, demi tuhan, tangan siapakah yang sebenarnya melontar fail-fail itu!


Maka keluarlah kata-kata protes daripada Pengerusi, Jawatankuasa Malam Deklamasi Puisi Awal Muharam itu: Kamek dijemput oleh Angkatan Karya (AKSSlah tu) untuk sama bebicang. Kamek (?) (Saya tidak pasti keanggotaan Sdr Adi Badiozaman waktu itu - AKSS atau PEBAS) tok datang untuk nolong kitak orang. Kenak kau ..(peep! peep!).. gilak? ... Menoleh kepada kami yang hadir pada mesyuarat itu saudara pengerusi berkata: sapa nok ngikut saya keluar dari mesyuarat tok? Mesyuarat itupun berhenti tanpa penangguhan.


Begitulah apabila sudah dikejutkan oleh sesuatu, maka selepasnya adalah macam-macam yang tersembur tanpa disedari. Saya faham itulah proses biasa untuk melegakan ‘keterkejutan’. Siapalah yang tidak terkejut?


Dalam suasana formal perbincangan pasti ada sedikit ketegangan, memang mesyuarat sepatutnya begitulah. Sdr Sajali Mohamad bukan tidak biasa dengan acara-acara seperti itu. Cuma yang luar biasa pada mesyuarat kali ini ialah Sdr Saiee Dris tidak hadir, Sdr Adi Badiozaman Tuah (AKSS/PEBAS) mempengerusi menyuarat dan Puan Latifah Hj Mohd Shebli (PEBAS) dengan senang hati hadir apabila dijemput. Cuma saya kurang pasti siapa menjemputnya. AKSS atau Sdr Adi Badiozaman Tuah? Bagi saya tidak ada peliknya. Tapi saya ada jawapan untuk teka teki ini namun tak perlu saya memberi pendapat saya di sini kerana saya cuma melaporkan yang original saja – face value.


Hari isnin minggu kemudiannya saya menerima surat penggantungan keahlian saya. Wah! Ini seperkara pelik, saya berfikir sendirian. Saya tidak tahu laporan apa yang Ketua I, AKSS, Sdr Saiee Dris terima. Kalau ada laporan salah laku saya siapa yang menulisnya dan apa dakwaan-dakwaan yang memaksa Ketua I, AKSS mengambil tindakan demikian?


Rumusan peristiwa: Kekecuhan berlaku di mesyuarat disebabkan oleh Sdr Sajali Mohamad. Fail terhambur sama ada dilakukan oleh setiausaha atau pengerusi mesyuarat yang naik marah. Yang kena gantung keahliannya cuma saya sendiri (sejauh mana saya ketahui). Apa jadahnya saya pula yang jadi bersalah/disingkirkan? Kenapa tiada tindakan ke atas yang melakukan kurang hajar. Adakah Ketua I, AKSS bersaksikan lutut?


Sungguh! Saya sudah mulai rasa muak. Saya juga tidak ingin bertanya perihal penggantungan itu secara rasmi. Saya tidak ingin kembali menjadi ahli persatuan itu sekalipun diberi pertimbangan. Pertimbangan apa? Memang saya tidak terlibat apa-apapun dalam peristiwa itu.


Saya sudah mulai faham waktu itu apa jenis politik yang sedang di injeck ke dalam AKSS. Sehingga projek-projek lain seperti Malam Manifestasi Budaya & Sumpah Budayawan anjuran badan-badan kesenian negeri Sarawak yang diadakan pada 31 Disember tiap-tiap tahun itu saya hadiri sebagai seorang individu. Namun pada penganjuran yang ulung kali saya betul-betul tidak diajak sekalipun oleh RUSDA di mana keanggotaan saya masih berbekas.


Saya tidak kecewa! Saya meneruskan aktiviti saya secara solo. Saya bahagia dengan cara itu. Dan tidak siapa akan dapat menghalang kemaraan saya. Saya masih muda dan aktif. Dan yang peliknya bahawa penggantungan keahlian saya itu sebenarnya menjadi isu duri dalam daging selama ini. Saya dengan cara saya tetap tidak ingin bertanya kepada Sdr Saiee Dris akan sebab mengapa dia bertindak demikian terhadap saya. Selamanya saya memilih bisu dalam hal ini. Saya fikir bisu itu bijaksana. Sekarang?


Pada masa yang sama saya juga menganggotai sebuah badan drama, Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA) dan pernah menjadi Setiausaha badan ini. Tahu apa? Rupa-rupanya hal yang sama saya temui dalam RUSDA setelah peristiwa penggantungan keahlian saya oleh AKSS. Saya berasa kehadiran saya dalam RUSDA juga tidak diingini. Saya fikir sebabnya cuma satu; bahawa kebanyakan orang-orang besar RUSDA adalah juga orang-orang besar AKSS. Elemen politik yang sama. Peristiwa penggantungan keahlian saya oleh AKSS turut menghembus bahangnya ke situ.


Sdr Esmawy Hj Husly rakan karib, guru teater saya, dan sama-sama pula berada dalam AJK RUSDA telah cepat-cepat mengambil jalan selamat bagi dirinya dengan menghidari saya. Dia sepertinya melepaskan apa-apa saja ikatan dengan saya; ikatan seni yang kami sama-sama manfaatkan selama itu. Memang saya waktu itu tidak memerlukan pembelaan sesiapa. Sebagai rakan saya cuma seorang individu sedangkan ramai lagi yang berada dalam RUSDA dan AKSS yang memerlukan kehadiran dan buah fikirannya.


Sdr Esmawy Hj Husly dan saya sama-sama menceburi bidang sastera, drama dan seni lukis secara serius. Kami pernah mengadakan pamiran lukisan bersama. Saya sering diminta menyanyi lagu-lagu puisi pada persembahan teater produksinya. Saya banyak belajar daripadanya tentang kesenian teater. Tapi sayang persahabatan itu bagaikan direntapkan tangan nasib. Sabar Abdillah! Saya sering menyabarkan diri saya sendiri. Biar apapun fikir saya, aku anak kelahiran Bandar Kuching dan aku tidak akan hanyut ke mana-mana!


Saya bergegas keluar daripada kepompong itu dan menyertai Sdr Nurjayadi Jasan. Sdr Nurjayadi Jasan adalah seorang pakar budaya dari Republik Indonesia yang bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sarawak waktu. Persahabatan saya dengan Sdr Nurjayadi Jasan yang telah saya anggap sebagai abang memberi peluang saya belajar ilmu seni pementasan secara amali. Peluang itu telah menyerlahkan horizon masa depan kegiatan kesenian saya. Saya gembira kerana berpeluang menambah dapatan ilmu seni pementasan lewat sesi diskusi bersama beberapa rakan lain di bawah kelolalaan Sdr Nurjayadi Jasan.


Pokok perbicangan awal adalah tentang kehancuran GPPS. Saya memang tidak punya jawapan untuk itu. Bagaimana pun tidak siapa menghalang kita menoleh ke belakang untuk mengkaji sejarah serba ringkas bagaimana mulanya PEBAS itu menemui kehancurannya. Perhatikanlah dengan teliti senerio keseluruhannya. Kerana kalau kita tertinggal beberapa kerat peristiwa antaranya maka kita tidak akan ketemu rentetan yang bakal menyerlahkan keindahaan hasil kajian teliti sebahagian daripada sejarah perkembangan kesusasteraan Negeri Sarawak.


Bagi saya teori domino itu sesekali ada rujukan dalam hal ini. Begitu juga teori penjajahan divide and rule. Merujuk masalah migrasi semasa yang berlaku di negara kita millennium ini; pendatang haram sekiranya dibiarkan berleluasa cuma kerana kita berasa kasihan terhadap mereka dan tanpa pengawasan oleh pihak berkuasa wilayah ia boleh mendatangkan isu peribahasa diberi betis minta paha; berdagang kerbau di padang, maupun seperti Belanda diberi tanah: kita akan kerugian kerbau yang banyak dan terlepas pula hak milik tanah warisan. Kalau hilang paha ayam saja tak jadi apa-apa! Tapi apa relevennya peribahasa ini sehubung perkembangan sastera di Negeri Sarawak. Entahlah. Mungkin saja kerana saya ingin mengalih renungan ke satu sudut perbandingan yang masih samar-samar. Jangan lupa isu Sastera-Politik-Sastera yang pernah saya sebut di atas.


Dalam konteks kehancuran GPPS persoalan itu masih belum selesai di sini. Dan, yang penting di tangan siapa!? Ini seperkara yang baik dijadikan bahan kajian. Darinya mungkin kita bisa belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, lantas membentuk hari muka yang lebih cemerlang. Tapi mestilah original. Jangan buat-buat. Sekalipun memang semua kita sedar bahawa setiap hasil kajian sejarah tidak dapat tidak mesti ada bias nya. Apa boleh buat.


Fikiran saya jauh menerawang ke hari-hari kelmarin. Cuba menggali daripada memori yang semakin letih; peristiwa-peristiwa masa lalu yang pernah saya kembarai. Saya berusaha menyusun imej wajah rakan-rakan seperjuangan di jejak-jejak kembara seni ini. Sedih! Yang ada cuma kenangan hambar. Seperti menatap secebis kertas yang sudah kumal; saya kenal huruf-hurufnya tapi tidak kenal bahasanya.


- Abdillah SM



Update:

(Apakah anda percaya pada pengulangan pengalaman? Baik! Perkara yang hampir senada berlaku pada saya beberapa bulan yang lalu. Namun prinsip saya tetap sama. Jangan berada pada tempat di mana orang tidak suka melihat muka kita (tak peduli apa saja sebabnya). Yang saya tahu apa saja yang saya lakukan adalah atas niat hati yang putih dan ikhlas. Saya lebih menghormati kepentingan orang ramai daripada diri peribadi. Kalau saya dilihat sebagai punca kerugian dalam satu-satu kumpulan saya lebih rela pergi. Saya percaya diri saya harus bisa bertahan untuk meneruskan kembara ini hingga ke pinggir kemungkinan!).

No comments: