SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Friday, December 5, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Antologi Puisi Sekalung Bunga Putih


Inilah dia wajah antologi puisi 'Sekalung Bunga Putih' yang tetap menjadi kebanggaan saya hingga ke hari ini. Kenapa? Saya adalah pencetus idea penghasilannya. Bayangkan hal ini terjadi di awal tahun-tahun 1980 an. Pada waktu itu inilah satu-satunya antologi yang menghimpunkan karya beberapa orang penyair Kota Kuching. Mungkin inilah juga antologi bersama yang pertama khusus bagi penulis-penulis Negeri Sarawak yang dibantu-terbit oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka sejak ia menjejak kaki dan bersila-duduk di wilayah Malaysia, Sarawak. Walau tanpa ISBN walau tanpa lambang daun lontar DBP antologi 'Sekalung Bunga Putih' adalah sebuah dokumentasi yang amat berharga bagi saya dan mungkin juga bagi rakan-rakan penulis yang terlibat.


Terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak, khususnya kepada mantan Timbalan Pengarah waktu itu Sdr Hamdan Yahya kerana sudi menyumbang tenaga pakar kakitangan DBP, Cawangan Sarawak untuk menyiapkan projek kilat ini. Hasilnya seratus naskah telah saya bawa untuk diedarkan secara percuma di perhimpunan Hari Puisi Malaysia yang berlangsung di Kem Kijang, Kelantan Darul Iman 1981. Waktu itulah saya berkenalan dengan Arisel Ba, Masli N.O dan lain-lain.


Saya ke Hari Puisi tahun itu adalah atas perbelanjaan sendiri, hasil sisihan daripada wang saku beberapa bulan sebelumnya. Cara ini pertama kali pernah saya lakukan sewaktu saya berusaha menghadirkan diri di Seminar Penulis Asean tahun 1978 di Kuala Lumpur. Untuk beberapa keigatan bahasa dan sastera yang saya ikuti tahun-tahun selepas itu cara saya tetap sama. Ah! Siapalah yang sudi menganjur pemergian seorang Abdillah!


Yang paling bersejarah perhimpunan Hari Puisi Malaysia, Kem Kijang itu telah menemukan saya dengan Noor Zalihah bt Pandak Abd Jalal, seorang pegawai bahasa dari Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur. Kami mendirikan rumah tangga pada tahun 1985.


Usaha menghasilkan antologi ini adalah kenangan manis yang tidak bisa dipisahkan dari ingatan saya kerana 'Sekalung Bunga Putih' adalah lambang kemurnian hasrat mengatur langkah seniman, berdepan arus pancaroba, jatuh bangun perjuangan kami dalam dunia kepenyairan.


Terima kasih rakan-rakan penulis (Aldi Salim, Esmawy Husly, Halimah Hashim, Jamilah Morshidi, Margi Leo, Mat Segalang, Mood, Muhamad Sabli, Rohaiza Nuraliza, Saiee Driss, Sajali Mohamad, Shamserbie Naruddin, Siti Zahrah, Zaini Ozea, dan Zakaria Embi) yang telah sudi menyumbang karya untuk sebuah antologi bersama yang bersejarah itu.


Sekalung bunga putih dan seuntai doa untuk anda semua!




- Abdillah SM

5 Disember 2008


2 comments:

dariana said...

salam kasih hormat buat saudara moga sejahtera bahagia.selamat berkarya kerana Allah.

Abdillah SM said...

insyallah. salam kasih hormat juga untuk saudara.semoga sejahtera dan bahagia.