Kuliah yang menjemukan.
Dadanya berombak kerana tidak puas hati. Dia cuma ingin mengutip maklumat yang benar dan bersahaja. Tidak lebih dan tidak juga mahu kalau sengaja dikurang-kurangkan. Bukankah itu hak. Barangkali saja professor tua ini sudah hilang kepakaran bidangnya.
Pengulu yang baru tiba beberapa jam dari Kuala Belait, Brunei tidak terkejut. Di tebing tadipun dia sudah mulai terbaca riak-riak dalaman anak biaknya. Baginya itu cuma satu gambaran biasa apabila ada hal-hal yang rahsia dan tersembunyi mengusik tenteram mereka senyap-senyap.
Perkahwinan Kumang Bulan anak tunggal Pengulu Kubu telah dilangsungkan dengan meriah. Sebuah sejarah tercatat di rumah panjang ini apabila seorang Inggeris memilih wanita pribumi itu sebagai isterinya yang sah mengikut adat istiadat setempat.
Harry tidak pernah henti-henti mengagumi isterinya. Ini cerita yang Lady Jane kutip daripada ibunya, Anna. Sekalipun waktu kembali dan berada di kalangan Inggeris di England dan memulakan kehidupan baru apabila mengahwini Anna, nama Kumang Bulan sering disebut-sebut Harry apabila dia teringat tentang anak lelakinya. Anna merelakan pelepasan emosi suaminya kerana dia tahu Harry menghadapi masalah dicengkam kenangan masa lalu.
Bagi mereka sekeluarga Harry Wilkinson memangnya sakit dan tidak mungkin terpulih lagi. Sudah terlalu jauh dia hanyut dari landasan keperibadian diri. Anna sendiri percaya mungkin ada benarnya Harry termakan ubat bomoh Melayu.
Apa itu Melayu? Apa pula Iban? Segalanya membuat Lady Jane jadi lebih ingin mengutip sebanyak pengalaman bacaan yang ada pada Anne. Dia setuju bahawa Anne banyak mewarisi ketabahan Anna. Pengaruh Anna banyak tertumpah pada cucu tunggalnya itu. Walau bagaimana sabar sekalipun sifat Anna terhadap Harry, Lady Jane tidak mahu anaknya mengahkiri kehidupan tragik seperti Anna. Laporan Scotland Yards cenderung pada mengandaikan Anna menembak kepalanya sendiri. Menembak atau ditembak membawa besar perbezaan dan kesan bagi dunia yang ditinggalkan Anna. Dalam hal ini mungkin saja Harry yang tahu jawapan sebenar.
“Shooting? Shooting, pang! Pang!” Tanya Kumang Bulan hairan.
“No, It’s soothing. Your soothing voice. No, bang! Bang!” Harry bersuara lembut ke telinga isterinya.
“Kalau kamu suka dia, kenapa kamu bebini dengan aku. Hantar aku balik ke Miri, sekarang juga!” Berjam-jam Harry berusaha memujuknya. Waktu itu isterinya mengandung tiga bulan. Terlalu sensitif, takar Harry.
“I don’t like ‘gold teeth’; I married you.” Jawab Harry bodoh.
“Itu saja sebab kamu memilih aku. Kerana aku tidak punya ‘gold fish’, eeeeh! Saru’ aku, sorry, sorry, ‘gold teeth’.”
“Of course! Ya, ikan emas. Betul, betul…. Keh…keh …. keh,” Harry ketawa menekan-nekan perut. Satu kelaziman ketawa yang ditirunya dari kalangan pekerja-pekerja tempatan.
Hampir terpelanting gigi palsu Lady Jane apabila terbaca perenggan itu. “Anne, kamu keterlaluan.” Bisik Lady Jane setelah lega dari sesak tekak tersumbat debu biskut yang dikunyahnya tanpa air liur untuk menenteramkan.
Berdebuk-debuk belakang Harry dipukul Kumang Bulan apabila mereka sama-sama pecah ketawa kerana ‘gigi emas’ dan ‘ikan emas’. Pukulan itu bukanlah kuat. Harry tidak sakitpun. Pukul sayang seorang isteri yang baru kenal bermanja. Harry faham cara orang di sana apabila bergurau manja. Lagi-lagi antara teruna dan dara. Dia sendiri sudah lali dengan keunikan ini. Bukan juga suatu yang pelik apabila dia sendiri sudah mula menikmatinya senyap-senyap.
Itulah yang penting bagi Lady Jane. Dia ingin tau kenapa begitu tertambat hati ayahnya terhadap perempuan belantara itu.
Kiah atau lebih-lebih lagi Tiak tidak juga kurang cantiknya berbanding Kumang Bulan. Dia tidak memilih mereka bukan disebabkan gigi mereka bersalut emas. Bagi Harry gigi bersalut emas menambah cantik senyuman. Yang pasti bukan semua orang mampu. Ongkosnya mahal. Namun apabila dia terpanah asmara dengan Kumang Bulan, segalanya menjadi amat berlainan. Sekalipun di bumi Inggeris, tanah leluhurnya sendiri, cinta sehebat ini belum pernah terjadi.
“Ini kisah Romeo dan Juliet.” Terlepas pengucapan dalaman itu dari bibir terjuih Lady Jane. “Bagaimana sebenarnya nilai cantik wanita pada pandangan lelaki?” Lady Jane tertanya-tanya sendirian. “Ah! Buat apa aku membuang masa kerana hal remeh itu. Bukannya aku lelaki.”
Harry menemu dalam diri Kumang Bulan kekuatan serta semangat dan budi bangsa wanita Iban. Bermati-matian dia berusaha memperisterikannya.
"Lagi, Pengulu pergi ke Brunei. Semua hal orang kita tidak dipedulikan,” Libau terus-terusan membebel.
"Aku pergi bukan lama. Aku nak lihat cucuku,” Pengulu mulai menjawab. “Aku bawa Bulan dan anaknya balik untuk dilihat semua orang kita. Aku nak makan besar, Libau."
Lady Jane berasa iri hati apabila membaca tulisan anaknya. Dia ingin berpeluang seperti Anne. “Sungguh banyak Anne tahu tentang Melayu atau Iban. Dari mana sumber bacaan Anne. Puluhan kali aku membelek dairi usang itu tidak adapun tercatat hal-hal sedemikian itu,” rungut Lady Jane.
"Cucu orang putih. Bukan cucu Pengulu! Bukan Iban tu, orang putih ya! Apa nak ditunjuk-tunjuk sangat. Malu kita." Marah Libau kepada bapa saudaranya. Ungkapan ‘malu kita’ cepat menderaukan darah Pengulu.
"Apa dimalukan. Bukan anak tiada bapa! Kacak budak tu." Pengulu membela kedudukan anak dan cucunya.
"Memanglah kacak. Hidung mesti mancung. Macam orang putih. Biru lagi matanya!" Libau menjawab sambil menjeling-jeling ke arah Bulan yang sedang menyusun lampin anak. Terasa pecah dada Kumang Bulan kerana menahan geli hati.
" Kamu tak suka orang kita kacak?" Tempelak Pengulu.
" Bukan orang kita tu, anak orang putih ya. Pengulu mesti ingat, Bulan tu bukannya laki-laki, bini-bininya ya. Kalau aku tuk berbini mem, baru kekal bansa kita, kekal keturunan Iban. Pengulu fahamkah tak? Satu lagi aku nak tanya Pengulu. Apakah orang kita tidak kacak?" Libau memanjangkan leher sambil menampar-nampar pipinya sendiri. Kumang Bulan sempat mencuri pandang ke arah Libau. Merahnya pipi Libau. Terhinggut-hinggut bahu Bulan kerana menahan geli hati yang hampir tidak tertahan lagi.
“Pengulu faham?” Libau cuba menaikan kemarahan Pengulu. Pengulu masih juga diam.
Ini rekonstruksi keluarga bangsawan dalam Romeo dan Juliet, fikir Lady Jane. Kalaulah mereka seperti ayah Kumang Bulan pastinya drama tragedi karya Shakespear itu tidak meletup!
Harapan Pengulu tentang kekalnya perkahwinan Kumang Bulan diperkuatkan lagi apabila Harry memberitahunya bahawa setelah berkahwin melalui adat, mereka akan mendaftarkan perkahwinan itu secara rasmi di Pejabat Inggeris, di Brunei.
Lady Jane tersentak. Anne masuk membawa beberapa orang rakan penuntut dari Asia dan Australia. Suasana ruang tamu jadi bising. Lady Jane merungut sendirian, “Anak-anak zaman sekarang sudah tidak punya tatasusila lagi. Tatatertib kebangsawanan di rumah ini sudah dilontarnya entah ke mana. Dan, kamu Anne semakin sosialis dari sehari ke sehari. Kalau Lord masih berhayat kamu akan dihantarnya ke Afrika. Kamu ingat rumah ini lapang sukan bola keranjang negro Amerika yang tidak bertatatertib itu? Kamu sudah jadi seperti mereka. Merosak segala macam warisan Eropah di sana.”
Sebenarnya Pengulu letih dan tidak ingin melayan kerenah anak saudaranya itu. Dia merasa kantuk kerana perjalanan jauh dari Kuala Belait, Brunei. Mereka dihantar dengan bot laju syarikat carigali minyak tempat menantunya bertugas, kembang-kempis dadanya kerana rasa bangga yang dia sendiri sukar mengerti.
Lady Jane kagum betapa hebatnya pengetahuan Anne tentang kehidupan di dunia Melayu. Sedangkan Anne tidak pernah menjejak kaki di sana. Seingatnya dia cuma pernah membenarkan Anne melawat Eropah sebagai hadiah harijadi ke dua puluh satu. Itu tiga tahun yang lalu.
“Dah puas makan mentega. Makan daging tin. Minum tuak orang putih? Tuak tapai kita orang Iban bukan sedap lagi,” Libau menyambung sindirannya terhadap Pengulu Kubu yang masih pura-pura tidak tergugat itu.
“Libau, aku ni bapa saudara kamu. Tulah kamu nanti! Jangan kamu bermain-main tentang makan minum aku. Janganlah sebab kamu tidak kahwin dengan Bulan kamu benci aku seburuk ini. Selamanya ini kamu hormat aku kerana bersebab. Kalau kamu dah nak sangat jadi pengulu, silalah.” Pengulu Kubu membalas panjang lebar sindiran anak saudaranya yang semakin celupar itu.
“Tidak pernah aku beritahu aku mau jadi pengulu. Jangan Pengulu mengada-ngada.” Libau mulai terasa jerat yang dipasangnya sudah disedari oleh mangsa.
"Suka hati kamu! Dan kamu jangan terlalu pasti! Belum tentu lagi kamu mengganti aku! Kalau nak selamat, kau dengar cakap aku."
"Pasal apa aku mesti dengar cakap orang yang sudah belot dengan kaumnya sendiri," Libau mencemuh.
“Hai, binatang. Berapa ekor orang kita yang telah kujual pada Brooke dan Inggeris?!
Lady Jane terus menyelinap ke bilik rehat di tingkat atas. Diangkutnya semua manuskrip Anne bersamanya. Dia mahu membaca dalam suasana yang penuh disiplin. “Bukan di bawah pengaruh bising yanky-yanky itu,” rungutnya.
Bulan teringat suaminya. Tapi Harry berjanji cuma akan menjemputnya kembali ke Belait dalam masa tiga minggu lagi. Dia ingin segera kembali ke sana ke dalam pelukan Harry. Di sana dia merasa lebih selamat.
Petang itu ketika Libau menyusur tepian sungai dengan perahunya dia ternampak sebuah bot laju merapati lambat-lambat ke pengkalan rumah panjang mereka.
“Jahanam!” Dia menyumpah-nyumah sendirian. “Kamu, ya! Si laknat ini tentunya mendapat maklumat dari orang-orang itu. Akan taulah kamu nanti,” gertak Libau senyap-senyap sambil mengetap bibir. Sirih yang dikunyahnya sejak tadi disembur keluar. Liur merahnya terleleh di tepi perahu. Disemburnya habis-habis hampas sirih dan kahak merahnya. Menyerbu anak-anak ikan ke permukaan air lalu menyambar.
Harry kembali dalam tempuh beberapa jam memang tidak mengejutkan. Pengulu menjangka mungkin Harry mendapat maklumat bahawa keadaan di sini tidak begitu selamat untuk isteri dan anaknya. Kumang Bulan bukan main lega hatinya apabila melihat Harry kembali. Diletakkan anaknya ke pengkuan ibunya lalu menerpa dan membenam muka ke dada Harry tanpa segan. Memang Harry menjangkakan isterinya dalam ketakutan. Penghulu segera memberitahu Harry dia akan ikut sama ke Belait.
“Aku pergi bukan kerana aku takut dia. Budak mentah. Gila kuasa. Dengki!” Pengulu marah-marah sendirian semasa mengumpul kembali barang-barang yang akan dibawanya.
“Sial kerja bergaduh, tuk.” Tegas Pengulu Kubu pada isterinya yang suka mendengar hasutan iparnya. “ Kau bini aku, kau mesti ikut aku. Kau tidak kesian pada Bulan. Pada cucu kita?” Isteri Pengulu tunduk diam.
Senja sudah lama berlabuh. Bunyi cengkerik, belalang dan segala macam mergasatwa mulai kedengaran dengan jelas. Bulan yang terbit di sebelah barat bukit yang menjunam ke tebing sungai kelihatan terlindung oleh hutan tebal belakang rumah panjang. Sinarannya berkilau-kilau pada permukaan sungai yang tengah naik. Dalam pada itu kedengaran pintu bilik Pengulu diketuk lembut. Tanpa dijemput meluru masuk Tiak, isteri Libau. Dia membawa sebuah ilang yang disarung.
Lady Jane cuba mencari sebab Anne dan kawan-kawannya begitu ceria. “Barangkali juga manuskrip ini sudah selesai, maka berpestalah cucu-cicit Harry dari dunia Melayu dan Inggeris itu. Rupa-rupanya pertemuan ini lebih hebat daripada penemuan akar Negro Amerika.” Lady Jane tersenyum sambil menggeleng-geleng kepalanya.
Tiak terlaga Kumang Bulan yang berdiri dekat pintu. Bulan hampir terjatuh. Tidakpun Tiak minta maaf. Menurut isteri Pengulu Tiak adalah antara orang yang diketahui bersimpati dengan kedudukan Pengulu Kubu. Tiak mendekati Pengulu lalu membisik sesuatu. Apabila dia terlihat Harry yang masih memegang daun pintu, Tiak melempar sebuah senyuman nakal sambil membasah-basahkan bibirnya. Harry membalas senyuman Tiak dengan hormat. Pengulu tertoleh Harry.
Tiak tersengeh memandang Harry. Menyilau-nyilau giginya yang bersalut emas apabila dipancar sinar lampu angin minyak tanah yang baru disangkut Harry ke alang sekejap tadi. Pengulu Kubu menoleh isterinya sambil memberi isyarat supaya mencari tempat bersembunyi. Isteri Pengulu faham dengan isyarat itu. Sementara mereka dalam kesibukan, Tiak lesap entah ke mana.
Harry faham dengan keadaan demikian lalu memberi isyarat supaya isterinya cepat-cepat naik. Harry bergegas mendapatkan anaknya yang masih nyenyak tidur. Anaknya didukung dengan kemas ke bahu lalu pergi bersembunyi ke sudut sebelah kiri di belakang daun pintu. Pengulu tidak berkedip memerhatinya. Harry memandang sekeliling dengan mata melilau. Pengulu mengangguk. Harry juga mengangguk.
Bunyi suara dan hentakan kaki orang-orang serumah panjang kedengaran dari kiri kanan ruai menuju ke bilik Pengulu. Tidak muat ruai depan bilik Pengulu ada antara mereka terkinja-kinja dalam gelap di tanjuk. Semakin sesak ruai depan bilik Pengulu dikerumuni anak biaknya, kebanyakannya lelaki.
“Hei, Pengulu!”
Orang ramai terkejut kerana tengkingan Libau. Ada yang terlompat. Beberapa orang perempuan dalam lingkungan umur isteri Pengulu terlatah-latah; serba macam perkataan yang lucah-lucah tersembur. Walaupun kedengaran lucu tapi tiada siapa yang berani ketawa. Mereka semuanya kecut mendengar bunyi marah Libau yang ditujukannya kepada Pengulu.
Serentak itu juga kedengaran pedih jeritan Kumang Bulan di sadau. Lalu disambut oleh raungan ibunya. Libau terkejut. Terlepas ilangnya ke lantai. Dia mendongak ke sadau dengan mata merah terbeliak.
“Kamu suruh orang bunuh kami! Binatang!” Kini Pengulu Kubu mulai sedar bahawa anaknya mungkin cedera.
Pengulu terasa cecair jatuh dari sadau ke bahunya. Dalam bau peluh dan nafas yang meloyakan itu dia mengusap-usap tapak tangannya. Terasa pekat. Dilihatnya tapak tangan. Tergamam seketika dia.
Darah!
Semakin kerap tetesan darah jatuh ke lantai bilik dari sadau. Tiada lagi kedengaran suara Kumang Bulan. Memangnya Kumang Bulan meneriak cuma sekali sahaja. Semua orang pasti hal itu. Kini yang memenuhi kesepian di sadau cuma raungan ibunya sekali-sekala dengan ratapan yang memilukan.
"Anak akuuuuuuu………," Pengulu berteriak dengan nyaringnya. Cucunya terkejut sekali lagi lalu meraung.
Dia terus keluar dari biliknya sambil merentap tangan Harry. Harry tidak mahu pergi sebaliknya dia memberikan anaknya kepada Pengulu. Dia cuba naik ke sadau tetapi telah dihalang oleh beberapa orang lelaki tua kerana mereka mengsyaki pembunuh masih berada di sana. Pengulu menyerah cucunya kepada salah seorang lelaki yang berada di situ dan memaksanya pergi. Sekali lagi dia menarik tangan Harry.
Mereka sama-sama berlari ke tebing. Dalam pada itu sempat dia merampas sebilah ilang dari tangan salah seorang anak biaknya.
Dia luar udara dingin. Mendung menyelubungi permukaan langit malam. Bulan bagaikan bersembunyi. Fenomena seperti ini sering diakhiri dengan hujan pagi. Hujan yang lebat. Kadang-kadang tanpa disedari kerana keenakan, udara dinginnya boleh melanjutkan waktu tidur yang biasa.
Mereka berkejar dalam gelap ke pinggir bukit menuju tebing sungai. Sambil berlari Pengulu tidak henti-henti menangis dan meratap.
“Mana cucu akuuu. Mana anak akuuu. Mana cucu akuuu. Mana anak akuuu!”
Pengulu perasan mereka sedang diikut. Dia dan Harry bersembunyi di sebalik semak. Seketika itu orang yang mengejar terlepas pandang. Kelihatan tercari-cari dia dalam samar dan dingin waktu. Tapi Pengulu telah masak dengan telatah kehidupan di hutan belantara. Dia cuba sedaya upaya menelan tangisannya. Tanpa berlengah, Pengulu terus menyerbu seperti harimau kumbang dengan parang ke arah lembaga itu dari belakang.
Bersama turunnya rintik-rintik hujan, satu jeritan perempuan meruncing meretak kegelapan lalu memecah kesepian di tebing awal subuh ini.
- Abdillah SM
No comments:
Post a Comment