MERENTAP WAKTU
Maka diberitahu oleh seorang yang pernah mendengar kejadian ini kepada orang-orang yang ingin mendengar kejadian ini, walaupun sering diragukan kebenarannya. Namun yang benar kekal dengan kebenarannya, sedangkan yang sering meragukan kebenaran kekal juga. Maka wujudlah kebenaran yang diragukan dan mereka yang meragukan kebenaran untuk sama ada terus membenar-benar atau meragu-ragu akan ia.
Hatta bangkitlah kembali kisah aneh ini mengisi sebuah randau ke sebuah randau yang lain lalu merebak ke seluruh rumah panjang. Dari sebuah rumah panjang ke sebuah rumah panjang lalu merebak ke kampung. Dari sebuah kampung ke sebuah kampung hingga merayap ke pekan. Dari sebuah pekan ke sebuah pekan lalu melelat hingga ke pinggir bandar.
Dari pinggir bandar kisah ini menjalar ke dalam bandar hingga menjadi perbualan di kedai-kedai kopi dan di restoran eksklusif di hotel-hotel berbintang di Bandaraya K.
Maka diberitahu oleh yang empunya cerita: Pada suatu petang yang suram, tiba-tiba kilat sambar-menyambar. Guruh membelah angkasa raya. Tetapi yang anehnya sudah sekian hari kejadian yang menggerunkan ini bermula, hujan tidak pernah turun-turun.
Bermula pada hari kedelapan sebagai lanjutan kepada kisah yang sememangnya aneh ini, dengan segala keagungannya sebagai sebuah cerita yang menggerunkan, air di Batang Lupar tiba-tiba jadi merah. Lebih menakjubkan air sungai yang merah seperti darah itu pula jadi pekat dan likat umpama darah yang beku. Sememanglah ketika itu Batang Lupar airnya adalah darah yang sedang membeku.
Di angkasa Batang Lupur bermacam-macam perkara aneh terjadi: Pelangi bertindih-tindih merentangi hari. Ular-ular yang panjang dan menggerunkan bentuknya berterbangan di ruang hari. Sesekali burung-burung raksasa kelihatan terbang berkejar-kejaran, sambar-menyambar. Sekali-sekala apabila burung raksasa ini mendekati maka nampaklah paruhnya yang cantik dan berkilau-kilauan. Burung yang gagah inilah yang berkeliaran di angkasa raya Batang Lupar lalu menyerang ular-ular yang ajaib itu.
Dari Bukit Sadok, berangkatlah dengan segala kemegahan yang pernah kita dengar mengenai baginda, tanpa menghiraukan keagungan dirinya, dengan berpakaian lengkap pahlawan ditinggalkan Taman Aman Tenteram, merentas bebas baginda dari kawasan persemadian yang agung itu.
Siapa saja yang melihat, siapa saja yang mendengar akan berita keberangkatan baginda jadi terkejut dan tergamam. Baru beberapa langkah sahaja beliau meninggalkan pohon beringin tempat persembadian baginda, terdengarlah suara-suara memanggil baginda supaya kembali.
Suara-suara terus mendayu, semakin ramai semakin nyaring semakin sayu: Suara yang lunak, suara yang garau, suara yang nyaring, suara yang parau sedikit demi sedikit mengambil ruang dalam alunan yang merayu-rayu itu. Pulang Apai, pulang. Pulang Apai, pulang. Jangan tinggalkan kami, Apaaaaiii.
Terlalu sayu, terlalu mendayu panggilan itu hinggakan dahan pohon beringin bagaikan turut menangisi keberangkatan baginda bila daun-daunnya berterbangan meninggalkan dahan-dahan yang tua dan kukuh itu. Daun-daun yang berterbangan itu pula bagaikan enggan jatuh ke bumi tetapi melayang-layang meningkahi irama tangisan dari suara-suara yang sayu mendayu.
Suara orang-orang tua lelaki dan suara orang-orang tua perempuan. Suara orang-orang muda lelaki dan suara orang-orang muda perempuan. Suara-suara itu penuh mengisi angkasa Batang Lupar di Taman Aman Tenteram. Suara-suara sahut-menyahut dan menyebut-nyebut nama baginda dengan nada pujukan agar jangan pergi meninggalkan perkampungan damai itu.
Terlalu memilukan bunyi panggilan itu hinggakan baginda hampir tertoleh ke belakang. Namun apabila mengingatkan bahawa ini adalah satu pantang larang apabila akan berpergian, baginda tetap kuatkan semangat kepahlawanan demi niat suci yang tidak ternilai ini. Maruah bangsa mesti ditebus.
Sementara itu suara-suara dari Taman Aman Tenteram terus juga mendayu-sayu memanggil baginda supaya jangan pergi. Hati baginda bertambah pilu bertambah hiba. Tumbuhan-tumbuhan yang menutupi jalan keluar dari Taman Aman Tenteram bagaikan turut menghalang perjalanan baginda. Tumbuhan melelat menjalar bagaikan bernyawa seperti ular cuba membelit kaki baginda.
Akar rotan sekelilingnya mencakuk cawat baginda. Duri-durinya menyangkut-lekat. Baginda terpaksa menarik dengan kuat. Hampir berurai ikatan cawat seorang pahlawan perkasa. Melihat keadaan sekeliling yang memilukan, menitis airmata baginda. Namun dikesatkannya airmata perjuangan suci itu dengan bahagian hujung cawat yang telah tercarek.
Kemegahan adalah baginda. Keagungan adalah baginda. Keberanian adalah baginda yang tidak pernah mengenal takut pada musuh. Keberanian baginda sememangnya terbilang dari zaman dahulu hinggalah ke masa kini.
Dengan wajah seorang pahlawan dan dengan sinaran mata penuh magis baginda menepis segala gangguan yang cuba menghalang keberangkatannya ke Ibu Negeri.
Hati baginda tetap juga rasa terguris dan kepiluan walaupun kelihatan hebat dan megah dengan hiasan di kepala yang indah dari bulu kenyalang, kulit rusa sebagai penutup badan dan di tangan kiri erat memegang utap yang kuat dari kayu tertua di Bukit Sadok.
Pilu baginda mendengar suara-suara yang terus-terusan sayu-mendayu memanggil baginda pulang. Kepiluan baginda juga kerana penampilan diri dirasakan tidak lengkap apabila parang ilang pusaka moyang penguat keperibadian dan lambang keagunan seorang pahlawan terbilang, hilang dari tangan pemegang amanah bangsa yang cuai.
Sesekali semasa berjalan baginda mendongak ke angkasa. Sungguh megah dan anggun baginda. Rambut baginda yang panjang terurai lemah lembut apabila diusap bayu segar wangi-wangian. Berkilau-kilauan rambut itu disinari cahaya.
Setelah masuk hari kesepuluh semuanya kembali seperti sediakala. Namun demikian matahari tidak begitu jelas kelihatan. Sungguhpun begitu suasana bertambah tenteram bertambah aman. Sedang matahari belum lagi menunjukkan wajahnya yang penuh namun lantunan cahaya pelbagai warna berjalur-jalur merentangi langit dari ufuk barat ke ufuk timur, dari ufuk utara ke ufuk selatan. Warna jalur-jalur cahaya gemerlapan itu bagaikan sinaran dari alam nirwana ciptaan.
Kini tiada apa yang sukar bagi baginda. Meredah hutan membelah belantara dari hujung negeri ke hujung negeri pernah baginda lakukan sendirian. Perjalanan baginda bertambah senang apabila sudah banyak kawasan dulunya belantara tebal kini dirasakan seperti pinggiran rumah panjang sahaja. Dalam hati baginda bertanya kemanakah lenyapnya pokok-pokok besar dan tinggi kerana yang tinggal cuma tunggul dan perdu.
Sesekali terdengar oleh baginda bunyi-bunyi hutan yang sungguh asing. Bunyi menderu di kejauhan itu baginda pasti bukan dari suara penghuni-penghuni hutan. Baginda memang arif tentang bunyi binatang sama ada yang besar atau yang kecil. Sungguhpun baginda merasa pelik dan hairan dengan berubahan yang dilihatnya, namun tidak juga ianya melalaikan perjalanan baginda yang penuh bermakna itu.
Siang berganti malam dan malam berganti siang, kaki baginda terus juga melangkah dengan gagahnya. Sememangnya baginda seorang pahlawan yang gagah dan terbilang.
Sesampai baginda di Tebingan Sungai, Bandaraya K dilanda kemarau. Jerebu semakin menebal. Selama baginda merayau-rayau di Ibu Negeri selama itulah juga hujan tidak turun-turun. Wabak taun menyerang pusat bandar. Selang beberapa hari, wabak taun merebak ke kampung-kampung.
Termasuk waktu-waktu baginda tersesat dalam kesesakan Bandaraya, sudah tiga puluh siang tiga puluh malam baginda bangkit dari persemadian. Selama itulah juga baginda meninggalkan Taman Aman Tenteram. Terlalu rindu baginda akan tempat persemadiannya. Namun kerana maksud belum tersampai, baginda tetap menahan hati yang sayu. Semasa di Ibu Negeri kadangkala baginda berteduh di serambi bangunan Dewan Undangan Negeri. Apabila terasa jemu baginda akan pindah berteduh di belakang bangunan Muzium Negeri.
Semasa baginda mengagumi persekitaran yang begitu asing di Taman Budaya di Ibu Negeri, baginda berjalan-jalan dan merayau-rayau dekat Tugu Peringatan yang cantik itu. Pada waktu-waktu sepi dingin awal subuh sering juga baginda mendongak dan memerhati wajah-wajah yang terpahat di tugu itu.
Masa berlalu begitu lambat. Baginda keletihan memikirkan kehilangan parang ilang itu. Maka pada suatu petang yang menjadikan cerita aneh ini bertambah aneh baginda tiba-tiba merasa terlalu ngantuk. Tetkala itu matahari belum terbenam dan siang masih lagi cerah.
"Aku sudah pulang. Kamuu jugaa sudaah pulaang. AAkuu pulaang baanyak baawa hartaa, baawa barang. Kau pulaang, hilang parang ilaang. Kenapa caari aakuu? Paraang ilaang tidak aada paada akuuu."
"Jahanam kau! Buruk sungguh kau Brooke. Di sini rupanya kau, beruk! Nanti kau kupancung!"
"Maahuu paancuung? Maanaa boleh paancuung. Paarang ilaang sudah hilaang."
Bagindapun melompat dan menerkam. Baginda tertumbuk tugu. Baginda sedar rupa-rupanya baginda tertidur dan bermimpi.
Ramai anak muda melintasi kawasan itu. Baginda hairan melihat ramainya anak muda berpakaian seperti Brooke. Ada yang berambut perang bertompok-tompok. Bercakap bunyi bahasa Brooke.
Sebenarnya mereka itu adalah anak-anak muda yang sedang menuju Panggung Udara yang tidak jauh dari situ. Malam itu ada persembahan kebudayaan oleh artist-astis dari Kampung Budaya.
Baginda menyedari kesilapan diri baginda kerana melangkah pantang-larang supaya jangan tidur selagi matahari belum tenggelam. Baginda begitu sugul dan hampir putus asa kerana perjuangan yang begitu besar dan memakan masa yang begitu lama telah tercemar oleh kelalaian baginda sendiri.
Sambil menitis airmata, beliau duduk tercangguk dengan kepala tunduk ke bawah. Dalam hati beliau merasa bahawa pada bila-bila masa sahaja orang pasti dapat melihat dirinya kerana pantang yang tercemar itu telah menyisihkan keajaibannya selama ini. "O Betara, tolong aku. O betara, tolong akuuuuuuuuuuu."
Di belakang pentas Panggung Udara, pengurus persembahan kelam kabut kerana sebuah kenderaan yang membawa salah seorang artist penari tidak sampai-sampai. Dari beberapa orang pegawai polis yang bertugas di Jalan Budaya beliau mendapat tahu mungkin kenderaan tersebut itu tersekat kerana kesesakan lalu lintas di Jalan Satok. Flyover yang baru dirasmikan dua minggu yang lalu roboh. Berita kehilangan artis itu tersebar antara pegawai-pegawai polis yang bertugas di kawasan itu.
"Jangan ditangkap aku. Jangan ditangkap akuuuuu."
Baginda terus dibawa oleh dua orang pegawai polis ke Panggung Budaya. Pengurus pentas tercengang-cengang apabila pegawai-pegawai polis itu menyerahkan baginda kepadanya.
Di hadapan pentas Pangung Udara orang ramai telah penuh sesak mengisi tempat duduk. Apabila tempat duduk yang disediakan sudah penuh, orang ramai yang datang kemudiannya terpaksa berdiri berhimpit-himpit.
Di barisan kerusi yang terdekat dengan pentas duduklah pembesar-pembesar dan orang-orang kenamaan negeri dengan isteri dan suami masing-masing. Begitulah adatnya di mana-manapun di dunia ini. Perbezaan darjat dan taraf kadangkala bagaikan sengaja ditonjol-tonjolkan hatta sekalipun pada waktu-waktu yang tidak menghendaki pernonjolan seumpamanya.
Semakin ramai orang datang dan memasuki Panggung Udara, semakin bertambah sesaklah keadaan di situ. Cahaya limpah dan cahaya setempat yang terang benderang itu sengaja ditujukan ke arah orang ramai untuk menunjukkan betapa ramainya pengunjung ke persembahan pada malam itu.
Cahaya dari lampu-lampu bergerak pelbagai warna dan bentuk diarah ke pentas, menari-nari mengikut rentak musik yang sengaja dimainkan agar penonton tidak merasa jemu menunggu. Lebih-lebih lagi dalam peristiwa ini seorang artis penari yang disebut-sebut sebagai penari prima taridra malam itu belum sampai-sampai lagi.
Bahagian awal persembahan telahpun bermula. Orang ramai bertepuk sorak, gegap-gempitalah seluruh Panggung Udara dibuatnya. Begitulah cerita yang empunya cerita.
Permulaan persembahan sungguh mengejutkan tambahan pula dengan teknik pencahayaan yang begitu menakjubkan. Alunan musik pelbagai rentak mendayu-sayu hasil adunan bunyi beberapa alat gegendang, tiupan dan talian warisan pelbagai suku kaum negeri ini, meresap ke jantung hati hingga ke sanubari.
Orang ramai bertepuk sorak tanda gembira. Orang-orang besarpun turut bertepuk juga. Kalau diperhatikan cara tepukan orang-orang besar dan orang-orang kenamaan memang berbeza dari tepukan orang-orang biasa, kata yang empunnya cerita. Ketika bertepuk orang-orang besar tidak membuka depa tangan mereka terlalu lebar sehingga bunyi tepukan darinya kedengaran lembut, anjal dan elit. Sementara tepukan orang-orang biasa dan orang-orang kecil sengaja dibesar-besarkan. Mungkin orang-orang besar terlalu kenyang untuk bertepuk kuat-kuat. Penari-penari terus menari dengan ligatnya di atas pentas.
Tiba-tiba tersembur asap dari kedua-dua sudut belakang pentas. Irama musik latar semakin jelas semakin kuat. Cahaya dari lampu-lampu bergerak semakin rancak semakin menarik.
Sementara itu, cerita empunya cerita, sejak baginda diheret masuk ke belakang pentas oleh polis tadi, baginda mendiamkan diri dan tidak berkata sepatahpun kecuali menoleh ke kiri dan ke kanan, kehairanan melihat suasana yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Lain halnya pula dengan pengurus pentas, tanpa berfikir panjang lalu dipegangnya lengan baginda, ditariknya baginda perlahan-lahan di pintu pentas. Tercegat-cegatlah baginda. Dalam pada menunggu itu, baginda bagaikan hayal dan kagum melihat segala yang ada. Sungguh ajaib sekali bagi baginda. Pengurus pentas memerhati baginda meningkah-ningkah irama ngajat yang mulai sedikit demi sedikit dimainkan. "Ooooooooooohaiiiiiiiiiiii." Pengurus pentas terkejut lalu pengsan.
Baginda yang berteriak tadi lalu melompat dan hilang dalam kepulan asap yang masih menebal di awangan pentas.
Setelah bunyi musik dibesarkan menanda sesuatu episod beralih, asap yang tadi tebal kini semakin nipis, berarak ke selatan ditiup angin sepoi dingin. Salah seorang penari wanita mendongak ke atas, terkejut lalu bungkam dan kaku apabila melihat seorang penari lelaki sedang mengajat dengan ralipnya dalam suasana terapung, sementara kain cawatnya melambai-lambai ditiup angin.
Api sorot diarah kepada penari itu. Orang ramai bersorak-sorai. Suasana di Panggung Udara semakin gamat tidak keruan. Cerita yang empunya cerita, bunyi tepukan dan sorakan bercampur aduk hingga membengitkan telinga.
Satu persatu penari jadi bungkam dan beku apabila mendongak dan terlihat baginda yang sedang ngajat dengan indahnya dan dalam keterapungan suasana serta bermandikan cahaya.
Orang-orang kenamaan yang duduk di kerusi barisan depan turut jadi bungkam dan beku. Ada yang ternganga dan ada pula yang terkunci rahang. Ada yang membeku dalam keadaan mahu lari.
Apa lagi isteri-isteri orang besar-besar yang sering berkepit dengan suami mereka maka berkepitlah mereka dalam keadaan beku dan bungkam. Beku dan bungkam mereka kerana ketakutan, dalam pelukan suami-suami mereka yang memang sejak tadi sudah beku dan bungkam. Cerita yang empunya cerita.
Baginda masih asyik dan ralip mengajat. Pada ketika-ketika yang mengasyikkan itulah sekali-sekala baginda berteriak.
"Ohaiiiiiiiiiii." Teriak baginda. Getaran teriak darinya seakan menumbangkan beberapa replika tiang seri roma yang teguh dan indah di sekeliling Panggung Udara.
Pun demikian orang yang menonton dari jauh terus bersorak gembira melihat satu persembahan yang ajaib dan tidak pernah dipertontonkan secara langsung seperti ini kecuali persembahan di layar perak dan di kaca telivisyen.
"Siapa menyimpan parang ilang itu. Parang ilang itu bukan parang aku. Bukan parang kamu semua. Parang itu parang bangsa kita, parang benua kita," lantang dan nyaring suara baginda menggetar-belah lembah Panggung Udara. Sementara itu tarian ngajatnya diteruskan juga.
"Jangan dijual parang itu. Kalau tergadai, tebuskan kembali. Kalau terjual, beli semula. Kalau tercuri, rampas kembali. Kalau tidak dapat parang ilang itu, tulah kamu semua."
"Oooooooohaiiiiii," sambil bertempik beliaupun mendarat perlahan-lahan di atas pentas.
Orang-orang kenamaan di kerusi hadapan sebelum ini bungkam kini boleh bergerak dan mulai lari bertempiaran. Keadaan menjadi kelam kabut. Dalam suasana hiruk-pikuk, Datin Marilyn Jagoh merasakan suaminya melepaskan pelukan. Datin tidak sempat menahan Dato Anderson Jagoh yang meluru seperti kilat ke pentas panggung, bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib. Dato Anderson Jagoh tersungkur di kaki baginda.
Penonton-penonton di belakang terus-terusan bersorak. Gegap gempita tidak terkira, kata empunya cerita.
"Tulah kamu!!," tempik baginda lalu melompat dan hilang di udara. Musik serta-merta terhenti.
Sementara itu Datin Marilyn meraung-raung di atas pentas. Tangisannya menjadi semakin lantang semakin nyaring apabila disedut oleh alat pembesar suara yang sememangnya sedia terpasang di pentas itu.
Penonton yang ramai di belakang terus juga bersorak. Kata yang empunya cerita, pada sangkaan penonton mungkin laungan itu menjanjikan satu lagi episod yang lebih menarik. Semakin kuat semakin rancak tepukan penonton.
Datin Marilyn tidak peduli sorakan itu. Dia terus juga meraung-raung sambil memeluk suaminya yang sudah jadi halimunan.
- Abdillah SM
No comments:
Post a Comment