Hidup berbudi itu mulia. Tahu menghargai budi itu sama mulianya. Budi tidak semestinya di balas. Budi pada asasnya bukan satu bentuk perdagangan. Ia merupakan sumbangan ikhlas dan jujur. Balasannya adalah keikhlasan dan kejujuran juga. Tidak lebih daripada itu. Memberi dengan ikhlas dan menerima dengan ikhlas itu status bahagia yang amat penting untuk minda kita. Jadi, hargailah budi dengan cara bijaksana. Orang berbudi kita berbahasa. Maka wujudlah situasi mulia dalam budaya kita disebut sebagai: berbudibahasa. Orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa. Gitu.
Habis manis sepah dibuang. Peribahasa ini membawa konotasi bahawa apabila sudah selesai mendapat yang dikehendaki maka sumbernya yang sudah kering dan kosong tidak lagi terpandang oleh yang jaya mendapatnya. Sepah itu ada gunanya! Konsep ‘recycle’ atau guna semula itu harus dilihat sebagai cara kita zaman sekarang menghargai sesuatu yang pernah menyumbang kesenangan atau keuntungan agar sesuatu yang pernah kita gunakan tidak diabaikan begitu saja. Peka pada kepentingan alam sekitar! Hehehehe.
Tapi kalau sumber kemanisan itu datangnya daripada sesama insan maka seorang yang melakukan ‘buang sepah’ itu maksudnya orang yang tidak mengenang budi. Membalas kebaikan seseorang dengan perbuatan tidak baik itu bererti membuang sepah apabila manis atau kesenangan selesai didapati daripada penyumbang yang ikhlas dan jujur berbudi itu. Kemanisan pula boleh objektif juga subjektif sifatnya. Kedua-dua bentuk kemanisan itu adalah budi. Membalas budi dengan kejahatan itu seperti perumpamaan membalas berian susu dengan tuba. Atau seperti membalas berian madu dengan racun. Kurang lebih begitu maksudnya. Mungkin ada lagi perbandingan yang lebih hebat daripada ini. Tapi cukuplah setakat perenungan kita di sini.
Perihal balas membalas kebaikan ini bukan saja terhad antara manusia dan benda, manusia dan haiwan, manusia sesama manusia tetapi harus lihat pada sudut lain yang terjadi antara manusia dan pihak berwewenang. Antara rakyat dan kuasa pentadbir umpamanya. Di sini kuasa pentadbir itu kerajaan yang punya kuasa politik. Rakyat adalah kita yang menyumbang majoriti suara untuk menubuhkan sesebuah autoriti pentadbiran; kerajaan. Pengumpulan suara itu penting untuk mengabsahkan kuasa dan ini dilakukan lewat sebuah pilihanraya. Itu budi kita kepada pihak berkuasa politik yang memerintah!
Apakah kita seperti sepah yang dibuang setelah pihak kuasa politik mendapat mandat daripada kita apabila mereka jaya memenangi sesebuah pilihanraya? Selesaikan pertanyaan ini dulu sebelum anda memangkah pada pilihanraya yang dijalankan bila tiba masanya nanti.
Budi kita pada peringkat ini amat penting dan bukan lagi sifatnya seperti budi pada tahap peribadi dan kecil-kecilan. Budi ini kita lakukan secara berkumpulan dan besar sumbangan kita sebenarnya apabila memberi budi yang satu ini. Kerananya kita menuntut timbal-balik dalam isu ini. Ini bukan jenis budi yang diberi tapi tidak dituntut balasan. Kita menuntut balasan itu walaupun sumbangan kita pada pendapat saya masih bersifat budi pekerti lewat budibicara. Budi pada peringkat ini melibatkan masa depan bangsa dan agama. Ingat itu!
Anda juga wajib bersedia supaya jangan termakan budi yang dijadikan umpan untuk mendapat sokongan anda. Pihak parti politik sering menggunakan kesempatan ini untuk menabur janji hatta ada yang akan membelanjakan wang yang banyak cuma untuk meyakinkan anda bahawa mereka itu baik, ikhlas dan jujur. Mereka menanam budi yang singkat untuk dituai bagi keperluan pilihanraya semasa saja. Setelah selesai keperluan pungutan suara dan terbukti majoriti di pihak mereka maka anda akan dilupakan. Anda adalah sepah yang dibuang!
Saya ingin mengajak adik kakak semua agar berjihad. Melakukan pindah minda dengan mengaplikasi intelek yang ada pada diri kita masing-masing. Membezakan yang baik dan buruk. Memilih yang mulia dan jujur. Memilih kepimpinan yang ikhlas berbudi dan jujur menerima budi. Lakukanlah ini demi kesejahteraan negara, bangsa dan agama.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment