SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Tuesday, September 1, 2009

ABDILLAH SM - SASTERA - Dairi / September 2009

Rabu 2 September

Aku bahagia dengan damai yang nyelinap pada tiap indera jasmani yang masih dalam pantang peka kreatif. Ramadhan al mubarak telah menghadiahkan padaku rasa keimanan yang nyaman dan perkasihan yang mulai tumbuh dan berakar kembali. Terima kasih samesta kerana berjatuhan dari sana langit lazuardi adalah kuntum-kuntum ceria cintaku; wanginya hujan embun berjerebu penuh nikmat berahi syahdu.

Bawalah aku ke mana saja kamu rasa bahagia dan tenteram. Aku bisa menenteramkan diri atas sebab kamu tenteram dan bahagia. Kupujuk diriku agar berdamai dengan diri sendiri. Tidak akan ada kenikmatan terhasil daripada kontradiksi. Aku bahagia kerana bisa berkorban untuk bahagia yang lain. Aku tidak mahu meminta-minta lagi. Sudah cukuplah pengalaman sebagai pengemis ingin sehingga telah tersasar aku jatuh ke martabat paling terkebawah. Aku bertanya apakah kamu bahagia? Ya, aku bahagia, jawab kamu. Aku juga, tambahku. Inilah antara interaksi diri pada diri yang sempat kurakam menjadi azimat pada kembara mencari ketentuan makrifat.

Kemudian aku jadi ragu dan bimbang pada ancaman-ancaman yang sering terjadi pada kompromi hatta pada diri sendiri. Ancaman atas dasar perebutan nikmat, peluang dan nafsu adalah petaka pada apa saja entiti yang terlibat. Aku mulai diziarahi kekhuatiran dan degup jantung semakin kerap memberi amaran bahawa harus ada waktu kerenggangan agar geseran cemburu tidak jaya menghasilkan api duka; sekalipun antara hati pada jasad yang sama punya sejarah pertelingkahan hebat ngeri.

Sekembali daripada kembara wewenang diri aku duduk tafakur. Berkontemplasi. Muhasabah nubari adalah penting dalam membetulkan arah kiblat perlayaran hati yang mulai dijamah walang. Yang pasti aku perlukan zikir dan bersyahadat. Damba dan berahi nyerbu cinta untuk segera bersujud ke khadrat Ilahi demi janji rahim dan ihsan itu berpunca daripada sumber yang utuh itu.

Hati, marilah kita berdoa semoga pelayaran ini tidak ketemu badai dan taufan. Biarlah samudera mimpi ini tenang dan damai dengan tiupan angin secukup untuk mendesak layar tunggal menggerak bahtera cintaku ini ke hadapan.

Ana maujud
Ana maujud
Ana maujud.

No comments: