TOKOH, MASA DAN MASSA
Tokoh ialah sebuah kata nama. Kata nama ini kurang lebih membawa maksud seseorang yang terkenal dalam sesuatu bidang. Makna lain ‘tokoh’ iaitu ‘personaliti’ ada kaitan juga pada pengertian makna yang pertama dirujuk – ‘terkenal’. Personaliti Terkenal – Tokoh Terkenal. Tokoh juga bermakna bentuk.
Dalam setiap bidang orang akan sering tercari-cari siapakah tokoh dalam bidang itu. Sudah tentu bidang yang dirujuk itu bukan sebuah bidang baru yang berusia setahun jagung. Ketokohan tidak terbina dalam sehari semalam. Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa ketokohan tercipta dalam suatu garis waktu yang relatif panjang. Cuma sesuatu bidang yang sudah ampuh kewujudannya dan kepentingannya dalam mesyarakat ada sebab untuk mencari tokohnya. Inipun bukan seperlunya terjadi begitu saja.
Jangka waktu kelahiran tokoh dalam sesuatu bidang itu terlalu tidak pasti masanya. Ketokohan seseorang individu itu terserlah apabila kita membuat perbandingan antara pencapaian-pencapaian sebelumnya. Pencapaian itu pula sebenarnya melebihi purata pencapaian partisipasi massa. Seorang bakal tokoh menyerlahkan kelebihan-kelebihan tertentu sehingga ianya dilihatnya sebagai pencapaian cemerlang dan luar biasa daripada seorang individu.
Cuma seorang tokoh saja yang dimesyhurkan pada suatu jangka waktu atau era atau zamannya. Memanglah mustahil untuk bertemu pencapaian sama bagi dua orang individu. Manusia itu sendiri adalah ciptaan Tuhan yang paling agung. Setiap individu telah ditentukan keistimewaannya. Tiada yang serupa. Memangpun, kalau terdapat persamaan dalam pencapaian pasti akan ada perbezaan walau bagaimana kecil akan terserlah juga. Perbezaan wajib menjurus kepada kelebihan yang positif tentunya. Kemudian kita bertanya apakah kelebihan itu satu kelebihan yang tidak diragukan?
Tokoh terbina dalam hampir semua bidang kehidupan. Beralas kepada kepentingannya, bukan semua bidang melahirkan tokoh yang menjadi keperluan mesyarakat. Keperluan itu pula terpulang kepada kepentingan sesuatu bidang kepada mesyarakat yang mengamal dan memerlukannya. Seorang pakar sesuatu bidang belum tentu seorang tokoh dalam bidang itu pada masa yang sama. Ini tidak pula bererti bahawa dia tidak boleh dilihat sebagai seorang bakal tokoh pada kemudian hari.
‘Tokoh’ merupa pencapaian paling tinggi pernah dicapai oleh seseorang pada satu masa, era atau zaman. Seseorang yang telah mencapai ke tahap itu mungkin saja sudah meninggal dan tidak lagi bersama kita. Begitu ternyata bahawa untuk menunggu kehadiran seorang tokoh itu amatlah rumit dan mengambil jangka masa yang panjang untuk mengisytiharkannya.
Gelaran ‘tokoh’ adalah pencapaian seseorang dan adalah juga sebuah penghargaan daripada pihak yang lagi satu. Pencapaian, Penghargaan dan Pengiktirafan sungguhpun terangkum mungkin dalam pakej bagi menilai seorang bakal tokoh namun ia bukanlah sesuatu yang biasanya diusahakan oleh seorang individu. 'Pencapaian' itu sudah barang tentu adalah usaha peribadi sesorang. Namun 'Penghargaan' dan 'Pengiktirafan' adalah kerja pihak yang lain.
Dan jarang benar anugerah ketokohan itu disebut semasa individu termaklum masih berhayat. Sekira terjadi juga ia mungkin berlaku pada masa seseorang itu dianggap sudah cukup dewasa umur dan mantap keperibadiannya. Pendek kata anugerah ketokohan sebenarnya bukanlah sebuah anugerah kepada seorang secara peribadi di mana akan ada imbalan-imbalan tertentu semasa hayatnya tetapi ia lebih merupakan penghargaan pada tahap pencapaian cemerlang yang pernah terakam pada sesuatu zaman, era dan generasi oleh seseorang itu.
Munysi-munsyi dewan adalah pakar rujuk bahasa Melayu. Mereka bukan tokoh bahasa Melayu. Tetapi tidak mustahil lahir tokoh bahasa Melayu di kalangan munsyi dewan. Penerima hadiah sastera secara umum boleh dikatakan pakar rujuk untuk genre-genre yang dimenanginya. Mereka bukan tokoh sastera genre tertentu itu tetapi tidak pula bermaksud bahawa mereka tidak akan jadi seorang tokoh sastera dalam bidang yang dimenanginya.
Sebenarnya, masa dan massa saja yang wajar menentukan ketokohan seseorang. Masa dan Massa: Wallahualam. - ABDILLAH SM
2 comments:
SALAM 1430/2009
SAYA TERPUKAU , TERHIBUR DALAM MUZIK DAN LAGU, DALAM LIRIK DAN SUARA MERDU. SAYA BERADA SEOLAH-OLAH DI AWAN MELIHAT JAUH DI BAWAH SEORANG SENIMAN DIALUN GELOMBANG.
MUZIK DAN LAGU BERBICARA SEJUTA KATA DALAM BAHASA YANG MEMBISU.
TAHNIAH JUA
berbahagia kekanda dato’,
terima kasih. apakah itu yang benar? hehehehe. walau bagaimanpun, inilah aktiviti sejati adinda dewasa ini selain mengurus anak-anak. adinda menulis, melukis, bermain piano, menyanyi, dan berkebun. ah! semuanya adinda lakukan menghibur resah jiwa yang melanda pada senja usia begini. wassallam.
Post a Comment