ZUBIR ALI DALAM KENANGAN ABDILLAH SM
Pertama kali saya kenal Sdr Zubir Ali lewat tahun 1970an semasa beliau berkunjung ke bandar Kuching. Kami yang bergiat dalam bidang teater dan sastera waktu itu telah mendapat kesempatan bertemu dan berdialog singkat dengan beliau. Waktu itu lagu ‘penantian’ yang meletup kemudian belum lagi berada di pasaran atau mungkin saja dalam proses masuk studio. Zubir berbisik pada saya bahawa lagu yang sempat dipersembahkannya untuk kami malam itu adalah antara beberapa buah lagu masih dalam proses rakaman. Mengetahui bahawa saya juga terlibat dalam kegiatan lagu puisi beliau memberi galakan bahawa hasrat itu harus diteruskan Abdillah, katanya, bukan untuk glamour tapi untuk mengangkat darjat bahasa dan sastera Melayu.
Terlalu sedikit saya ketahui tentang beliau pada pertemuan pertama itu. Namun kemudian saya berkesempatan bertemu Zubir sekali lagi di Kota Kinabalu sekitar awal tahun 1980an dalam acara deklamasi Malam Puisi Tanah Air atas jemputan Grup Teater Elit yang diketuai oleh Dinsman. Waktu itu saya perhatikan bahawa Sdr Zubir memang seorang yang serius dalam aktiviti nyanyi puisi yang ditekuninya. Saya mentafsir demikian kerana melihat pada betapa tegas beliau menggunakan masa dan menepati waktu terhad yang dikhususkan untuk sedikit latihan. Beliau tidak banyak menegur atau memberi arahan pada kerabat Grup Harmoni yang diketuainya tapi lebih pada melakukan sesuatu itu untuk dimengerti yang lain. Almaklumlah, dalam sebuah kumpulan kadangkala terdapat kelainan cara manusia menghadapi tugas. Bagi saya beliau seorang yang tidak banyak cakap.
Pada malam persembahan beliau mengajak saya naik bas yang sudah sedia untuk menghatar kami ke Bangunan Yayasan Sabah tanpa ahli Grup Harmoni yang lain. Saya bertanya ke mana pergi yang lain. Katanya, kita sudah menerima arahan dan arahan yang sama sudah saya sampaikan kepada mereka yang bertanggungjawab kepada saya. Terserah mereka. Saya sudah selesai! Begitu seloroh bunyi tekanan nada suara namun sungguh terkesan di hati saya. Memangpun Sdr Zubir boleh meneruskan persembahannya secara solo. Dan guitar itu serta kelengkapan sewajarnya kemas dikepit. Ah! Begitu seniman dan kelangsungannya tanpa halangan. Kecuali takdir dari Ilahi. Di persembahan Malam Puisi Tanah Air saya menyajikan acara solo deklamasi puisi berjudul ‘Tasik Biru’ dan kemudian bermain piano sambil menyanyikan puisi yang sama.
Waktu di Kota Kinabalu itu jugalah saya bertemu Muhamad Hj Salleh, Pak Keris Mas dan kawan-kawan yang telah saya kenali - Dinsman, Latiff Mohidin, Adi Muara dan Sutung Omar RS. Daripada Pak Keris Mas banyak pengalaman yang dicurahkan kepada saya tentang tertib mendekati dunia sastera. Yang paling saya ingat kata nasihat Pak Keris ketika menghantar saya ke lobi Hotel Hyatt semasa hendak bertolak balik ke Kuching: Abdillah, katanya, saya harap kamu terus menulis. Saya tak dapat nak kata genre apa kamu harus tekuni. Bagi saya semuanya sama saja. Pilihlah yang kamu senangi. Saya percaya pada naluri saya mengatakan bahawa suatu hari nanti kamu akan menjadi seorang penulis. Hebat atau tidak itu bukan pokok cerita kerana sesudah ini adalah kamu sendiri yang akan berusaha. Tuhan memakbulkan yang baik-baik untuk kita. Jangan lupa berdoa dan berharap.
Saya ingat sempat bercakap selama lebih kurang 15minit dengan Zubir selepas persembahan saya dan Azalea. Beliau beri komen sindir – ajak bapa pergi jogging, dia bercakap pada Azalea. Kemudian dia menoleh pada saya, katanya, diaphrama itu menurun kerana awak sudah membuncit! Ha ha ha ha. Kami sama-sama ketawa. Saya beritau Zubir yang Azalea Kamellia esoknya akan menduduki UPSR. Beliau merenung ke saya dengan mata yang sedikit menyindir. (Kenapalah dengan kamu ni Abdillah – takanlah kamu nak anak kamu semuda ini jadi penyanyi? ) Itu mungkin fikiran Zubir. Tanpa komen daripadanya saya secara membela diri memberitahu bahawa Azalea Kamellia sudah cukup menekuni pelajarannya dan malam ini aku bagi dia sedikit cabaran ulangan, tambah saya. Beliau menoleh pada Azalea dan memberi amaran bahawa Azalea mesti dapat 'straight As' kalau ingin balik belajar di Semenanjung. Kurang lebih 8 tahun sejak pertemuan itu, kini Azalea Kamellia berada di Semenanjung dan sedang menuntut di Universiti Malaya. (Kalau tidak silap Uncle Zubir pernah bertugas di sana).
Dan hari ini kenangan itu tiba-tiba berputar lambat. Lesu dan sendu suasana sekitar. Segalanya berlaku sebelum saya menerima sms daripada Sdr Zakaria Abd Manan; menyampaikan berita sedih kepergian yang sungguh tidak saya jangka; lain halnya sekiranya saya ada menerima berita keuzurannya. Alfatihah. Salam takzim dan ucapan takziah kepada keluarga Zubir Ali daripada saya dan seisi keluarga. Semoga roh beliau dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat daripada Ilahi.: Berakhir sudah 'Penantian' itu!
No comments:
Post a Comment