SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Sunday, March 22, 2009

ABDILLAH SM : RENCANA - Anugerah Sastera Negeri Sarawak

ANUGERAH SASTERA NEGERI SARAWAK


Bukan tidak bersebab Cikgu Muhamad Bujang menerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak dari pihak pentadbiran negeri. Sesungguhnya bagi saya beliau memang berhak pada anugerah setinggi itu lantaran beliau adalah seorang penulis dan antara individu terawal berada dalam arena kegiatan kesusasteraaan negeri ini. Pun demikian, ada segelintir orang yang singkat fikir mendakwa bahawa anugerah itu diberi kepadanya kerana nama samaran beliau Melati Sarawak. Kedengaran lucu tapi bagi saya itu serius.


Untuk makluman, Melati Sarawak adalah tajuk sebuah novel karya Muhammad Rakawi Yusuf yang terbit kira-kira dalam tahun 1932. Begitu hebat pengaruh novel Melati Sarawak waktu itu hingga apabila Cukgu Mumamad Bujang menggunakan ‘Melati Sarawak’ sebagai nama samarannya maka sekali gus ia mengingatkan orang ramai kepada sebuah novel karya anak tempatan yang kemudian menjadi sebut-sebutan pengkaji sejarah perkembangan kesusasteraan negeri ini.


Namun demikian, sekilas pandang pada tarikh keterlibatan masing-masing penulis jelas benar pada kita yang lebih tua dan lebih awal bergiat sebagai penulis adalah Muhamad Rakawi Yusuf atau lebih dikenali sebagai Mister Rakawi. Mister Rakawi dalam catatan kita meninggal dunia pada tahun 1936. Sementara penganugerahan baginya berlangsung pada tahun 1995. Cikgu Muhamad Bujang adalah penerima pertama anugerah tersebut pada tahun 1994 semasa lagi berhayat.


Nampaknya kedudukan sebagai penerima pertama atau kedua tidaklah begitu penting bagi ahli jawatan kuasa penilai waktu itu. Memang apa salahnya menyampaikan hajat pada menganugerahkan sesuatu itu didahulukan kepada yang masih lagi bersama-sama kita pada waktu tertentu itu, begitu mungkin keputusan jawatan kuasa yang arif bijaksana. Ini juga pendapat saya peribadi. Sungguhpun begitu, masih juga kedudukan sebagai penerima pertama atau kedua itu jadi isu kepada sesetengah orang yang komited tentang sejarah sastera negeri Sarawak. Secara logik apalah sukarnya untuk mengenalpasti cuma dua orang individu penting dalam sejarah sastera kita, kebetulan memang tiada sesiapa yang lain berada pada arena itu dan pada era yang telah dikenalpasti.


Demikian, kita tinggalkan dulu hal-hal yang sudah berlalu itu yang pada saya setelah dirujuk kepada beberapa sumber yang pasti bahawa memang benar ia sebuah kesilapan: Tidak sedar siapa Mister Rakawi! Yang terserlah gemilang adalah hasil karyanya berjudul ‘Melati Sarawak’ manakala pada peristiwa lain ‘Melati Sarawak’ adalah nama samaran penulis Cikgu Muhamad Bujang. He he he he. Waktu berlalu masa beredar meriak gelombang, membakat pesanan ada padanya risik-risik membincang siapa orang ketiga yang bakal menerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak. Ha. Ini sudah bangus! Saya bertepuk tangan seorang diri dalam bilik studi. Jam menunjuk 3.17pagi.


Penerima pertama dan penerima kedua Anugerah Sastera Negeri Sarawak adalah daripada golongan penulis yang bergiat pada masa di mana setiap peluang aktiviti sastera itu amat terbatas, penuh halangan dan dengan serba kekurangan pula. Kerana itu kita melihatnya sebagai pencapaian yang paling berkesan dan penuh daya usaha yang ikhlas dan jujur dari hati nurani manusia yang bergelar penulis. Mereka berdua adalah lambang kecintaan setiap kita yang menyanjungi seni sastera. Mereka ada idola dan mereka telah menghiasi laman indah dunia sastera kita dengan apa yang terdaya mereka lakukan. Sumbangan itu amat besar dalam meletakkan sejarah kegiatan sastera negeri cemerlang di mata masyarakat dan dunia sastera nasional maupun serantau.


Kini tiba masanya menilai calon penerima ketiga Anugerah Sastera Negeri Sarawak - penilaian yang saya pasti wajib melibatkan kesan daripada kemajuan dalam segala bidang ilmu, tiap kemudahan maklumat di ujung jari terhasil pada era internet dan globalisasi dunia tanpa sempadan sewajarnya lebih diberi pada mencari nilai-nilai yang bersifat sejati, berterusan juga sustain, mengangkatkan ilmu sebagai bicara utama, sementara originaliti hasil karya itu pasti nilai terpenting dari segala yang lain.


Hasil karya calon penerima ketiga ini wajarnya telah disalurkan kepada masyarakat secara meluas hingga menghasilkan kesan positif pemikiran; mendekati peranan bahawa sastera itu harus dikembalikan kepada orang ramai sebagai bahan bicara umum juga sumber ilmu dan bukan semata-mata atas sebab calon itu pernah memenangi sayembara-sayembara sastera, atau sekadar prolifik tetapi hasil karya sastera tidak meninggal kesan nilai keindahan seni di jiwa masyarakat massa. Sewajarnya menilai keprolifikan seseorang calon tidak hanya pada jilid-jilid buku hasil karyanya tetapi skop penilaian wajib diperluaskan kepada usaha-usaha yang berterusan; berkarya dalam segala kesempatan baik melalui majalah, akhbar, sebaran peribadi dan memang sudah tepat masanya memasukkan karya-karya sastera calon yang dimuat ke blog.


Akhir sekali apakah calon penerima itu berjaya menyumbang usaha secara berterusan melalui pemikiran positif serta berkesan dalam membimbing masyarakat lewat karyanya meredakan kegelisahan; keadaan penuh ragu dan confused masyarakat pada eranya apabila berdepan dengan pilihan - setanding perubahan atau kemodenan dalam segala hal yang cuba dicapai oleh masyarakat dunia secara am. Ini penting untuk menilai kejayaan dan keseriusan seseorang calon itu yang bertindak sebagai pemikir, jurucakap dan penglipurlara masyarakat yang dikhalifahinya.


Merujuk kepada perihal penerima Anugerah Sasterawan Negara yang sedia ada ianya sudah cukup memberi gambaran bahawa penulisan itu adalah satu-satunya kerjaya dan sumber kehidupan mereka. Maka tidak mungkinlah dapat kesempatan seperti itu di kalangan penulis-penulis sambilan yang sudah terikat dengan profesyen hakikinya dalam hal yang berkait pula seharusnya berdepan dengan peraturan-peraturan perkhidmatan yang dibayar gaji tetap.


Ambil gambaran mereka yang berkhidmat dengan kerajaan sudah pasti tidak akan punya kebebasan masa berkarya dan menyuarakan pendapat kerana ianya bertentangan dengan kehendak perkhidmatannya yang telah dimaklumkan kepadanya melalui Perintah Am, Arahan Perbendaharaan serta ethika kerja kakitangan awam. Seorang pegawai kerajaan bertanggunjawab kepada jawatannya terus menerus 24 jam. Adalah satu bidaah kiranya seseorang professional bukan dalam bidang penulisan dapat memberi keutamaan 100% untuk kerjaya tetapnya dan 100% lagi untuk berkarya sastera sedangkan kita sedia maklum keupayaan individu terhad pada tahap masksima 100% sahaja dalam tempoh 24jam sehari.


Sebagai contoh Penerima Hadiah SEA Write Award Negeri Sarawak, Sdr Jong Chin Lai, pada penilaian saya tidak mungkin pernah cemerlang dalam kerjaya tetapnya sebagai Pembantu Ehwal Ekonomi Kanan, Lembaga Ladang Malaysia kerana kecemerlangan itu terjadi pada kerjaya sambilannya iaitu penulisan. Atau mungkin juga Sdr Jong Chin Lai cemerlang dalam perkhidmatan hakikinya. Apakala itu terjadi maka ia memberi bayangan pada kita bahawa pihak penganugerahan SEA Write Award pasti telah menurunkan taraf kualifikasinya khas untuk saudara kita itu. Atau wajar bagi sesiapa yang ingin dicalon untuk anugerah sepertinya berusaha mengetahui bagaimana cara penyediaan portfolio yang akan membangkitkan kesan gah dan umph itu.


Mohamed Hj Salleh memang pensyarah puisi, Siti Zainon Ismail pensyarah bidang budaya/sastera dan Lim Swee Tin itu guru/pensyarah bahasa/sastera. Tidak dinafikan sumbangan daripada kerjaya hakiki masing-masing mereka itu menjurus pula kepada kecemerlangan yang satu lagi. Firdaus Abdullah seorang yang dikenali ramai dalam bidang sastera/puisi tapi belum pernah lagi rasanya dicalonkan untuk Hadiah Sasterawan Negara selaras mengakur (mungkin) kepada kerjaya hakikinya dalam pengkhususan bidang yang bukan sastera/penulisan. Kerananya, maka beliau disangkutkan kepada bidang pentadbiran untuk menyumbang kepada hal-hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.


Begitu jugalah halnya bagi Adi Badiozaman Tuah, dikenali ramai dalam bidang sastera/puisi di Sarawak dalam tahun 1970 an namun kemudiannya mulai awal tahun 1980 an hingga kini ternyata lebih menyerlah dalam bidang kepegawaian dan kepengarahan dalam perkhidmatan awam Malaysia khususnya di Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Agama Islam, Negeri Sarawak. Pada masa yang sama perlantikannya sebagai Ahli Lembaga, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia adalah wajar sebagaimana Firdaus Abdullah menyumbang pada pengurusan dan pentadbiran hal-hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan ( kini Firdaus Abdullah seorang senator di Dewan Negara ).


Demikian, maka biarlah Anugerah Sastera Negeri Sarawak dilihat sebagai kecemerlangan dalam karya kesusasteraan, ilmu, budi dan ethika kerja yang serius lagi menyumbang pada kelestarian sastera negeri, kebangsaan, serantau dan sedunia.

No comments: