16 SEPTEMBER
16 september 1963. 'HARI MALAYSIA'
..... dan jangan lupa! mengingati ulangtahun hari perasmian 'sekolah menengah rakyat tunku abdul rahman', batu 2 1/2, jalan matang, kuching, sebuah sekolah menengah rakyat melayu pertama tajaan rakyat negeri sarawak dalam tahun 1963. perasmian dilakukan oleh encik muhd khir johari, menteri pelajaran malaysia.
sekolah ini lahir dari peluh jerih, tangis dan airmata perjuangan masyarkat melayu tempatan yang peka perihal kependidikan anak-anak pribumi melayu yang dizalimi kesempatan menuntut ilmu persekolahan menengah kerajaan berkurikulum. dalam usaha mengangkat kembali darjat melayu yang tertindas dalam sistem kependidikan british di sarawak sekitar pertengahan tahun-tahun 50/60an, sejarah perjuangan melayu ini amat tinggi nilai kemanusiaannya kerana tanpanya ribuan kami penuntut lepasan sekolah rendah waktu itu harus jadi apa?
sebenarnya orang melayu sarawak tidak begitu sedar airmata menitis kerana aktiviti penindasan penjajah terhadap melayu waktu itu dilakukan secara teliti dan tegas-tekan dalaman. kita penuntut sekolah waktu itu bukan tidak menyedari dasar pilih kasih, berlaku dalam sistem pemilihan dikenali sebagai ‘the selection test primary 6’; menghasilkan senarai nama pelajar ‘the selected’ dan ‘the unselected’. ‘the unselected’ itulah tempatnya sengaja dihimpunkan ramai anak melayu sebab memang di sesebuah sekolah rendah municipal atau rural district di kuching waktu itu majoritinya anak melayu. nah, apa lagi, memang itu tujuannya. senarai ‘the selected pula’ ada susun caranya. ‘first selection’, ‘second selection’ dan ‘third selection’.
saya sedar kedudukan saya dalam kelas primary 6a, merpati jepang school, tahun 1962, sebuah sekolah rendah kuching municipal council. dan saya tidak pernah gagal tiga mata pelajaran wajib (bahasa english, arithmatic dan general paper) tiap ujian bulanan. huh! kezaliman itu amat ketara terasa bagi saya apabila saya sedar saya tidak mengalami kesulitan menjawab soalan-soalan dalam ketiga-tiga matapelajaran dalam ujian itu.
kedudukan kelaurga anda ada saham, siapa orang tua anda dalam perkhidmatan sivil itu penting dan hubungan dengan pihak atasan berwajib itu memang selalunya penting. itulah gambaran kejutan apabila keputusan ‘the selected’ diumumkan seminggu sebelum cuti sekolah hujung tahun. generasi kami adalah mangsa pemilihan kelayakan menengah yang sengaja diabsahkan cara sebagai salah satu motif tekanan memundurkan pencapaian akademik melayu sarawak.
saya sebenarnya terpilih untuk memasuki sebuah sekolah menengah kerajaan tapi termasuk dalam senarai ‘second selection’, penempatan ke green road secondary school, sebuah sekolah menengah yang mengantikan sekolah madarsah melayu, jalan jawa, kuching.
saya secara tegas memberitahu almarhum ayahanda saya bahawa saya tidak ingin menerima tawaran itu kerana saya terlalu terluka dengan keputusan yang terlalu tidak adil dan jelas pilih kasih itu. saya masih punya ramai rakan yang terpaksa berdepan dengan rasa rendah diri apabila tercicir dalam pemilihan ‘the selection test primary 6’ itu. saya beranggapan bahawa adalah lebih baik saya bersama mereka agar dapat memberi dorongan dan sokongan maruah dalam kebersamaan kami. maka saya dengan redha dan senang hati mendaftar sebagai penuntut di tempat asal sekolah menengah rakyat, di bangunan pentas bangsawan mbht, jalan haji taha, kuching.
sebenarnya pembubaran sekolah madarsah melayu, yang membawa nama ‘melayu’ bersamanya itu juga satu tekanan kezaliman penjajah terhadap melayu sarawak walau memang sekolah itu adalah sekolah milik kerajaan. maka dalam kenangan melayu sarawak sekolah madarsah melayu cuma tinggal nama, tiada lagi aktiviti persekolahan di bangunan itu, sudah muzium! yah. muzium. nama melayu sarawak itu dalam percaturan politik tempatan cuma layak dimuzium dan diarkibkan. guna perlu sebagai bahan pameran pada waktu-waktu yang mewajibkannya aje.
rakan sepersekolahanku. nama sekolah kita semakin kabur dalam kenanganku. tiada nama rakyat lagi (sebab bukan punya melayu!), malah lebih indah tintanya kerana sudah diambil alih oleh pentadbiran kerajaan. sah sekarang ia bukan punya komuniti kita orang melayu lagi berbanding teguhnya kuasa orang cina terhadap hakpunya mereka sekolah chung hwa.
sekolah kita dalam kenanganku, telah hilang tiap bentuk yang pernah kuingat tentang dua bangunan (bilik darjah dan bangunan laboratori bersejarah itu). nah beginilah apabila sejarah yang lain dalam kuasa serakahnya membentuk imej diri lalu memadam sejarah sebelumnya.
ironinya, bangunan istana darul hana, jalan haji taha, kuching, kepunyaan seorang bangsawan-pemimpin melayu sarawak sudah lama dijadikan sebuah sekolah chung hwa tapi masih kekal bentuk asalnya, malah pembangunan tambahan sekitarnya tidak sedikitpun merosakkan sejarah harta punya peninggalan pemimpin melayu sarawak yang tergadai itu.
nah, kini pentadbir bandaraya sudah menghulur kreativiti pengidahan sungai bintangor sekali gus adalah satu anjakan memesyurkan lagi lokasi istana darul hana, antara ikon sejarah bekas kuasa pentadbiran melayu sarawak.
wallahualam.
No comments:
Post a Comment