SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, February 21, 2011

ABDILLAH SM - Bacaan - Novel 'Salam Maria'

NOVEL
SALAM MARIA
KARYA FATIMAH BUSU


"Jiwa raga Melayu-Islam diarkibkan untuk rujukan zaman
dalam novel 'Salam Maria' - satu langkah kreatif persediaaan seandainya Melayu pupus di mata dunia." - Abdillah SM




Inilah sebuah novel asli dalam bahasa Melayu hingga kini pernah saya baca satu-satunya menyentuh tentang citra wanita secara berkesan mengambil iktibar dari ciri-ciri arketaip wanita Islam berkedudukan mulia dalam sejarah.

Perwatakan yang diterapkan oleh penulis ke atas citra peribadi Maria Zaitun bukan calang-calang imej. Dan tugas kreatif ini menagih ilmu dan bacaan rujukan ilmu agama Islam demi untuk merealisasikannya sehingga menjadi sebuah novel kisah kehidupan seorang wanita; yang mengagumkan.

Buku ini memang tepu dengan ilmu agama Islam. Namun begitu bukan semua rujukan amalan agama dalam novel ini sepertinya perlu dibuat rujukan pada kitab semata-mata kerana kebanyakannya adalah perkara-perkara rutin harian seorang muslim, seharusnyalah telah sebati menjadi pegangan hidup seseorang yang ditimba sepanjang kehidupan, dipelajari bersumber awal daripada ibubapa, yang benar serta diamalkan sepanjang hayat. Menepati peribahasa bahawa tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad.

Pada jangkaan saya penulisan novel yang khusus seperti ini sesungguhnya seorang penulis itu amat memerlukan masa, ketekunan dan kesabaran yang jitu bukan saja kerana bentuk fizikal buku ini relatif tebal tapi kesempurnaan kreativitinya nanti harus bisa menatangkan penceritaan; biar terapung, bergerak dan berhayat. Sifat-sifat karya kreatif inilah yang mendukung wujud novel Salam Maria sehingga terasa jiwa raga Melayu-Islam telah diarkibkan untuk rujukan zaman sekiranya Melayu itu pupus di mata dunia.

Mungkin pembaca berasa bahawa kebanyakan contoh amalan agama Islam serta peraturan dalam kehidupan rutin dalam novel ini sudah ada ditulis dalam kitab dan buku tentang agama Islam dan apa perlu sebuah novel seperti Salam Maria ditulis untuk memperkatakannya lagi.

Bagi saya semua kitab dan buku itu adalah bukan tulisan kreatif dan bukan semua orang tertarik pada jenis tulisan seperti itu. Sebaliknya, sebuah hasil tulisan kreatif sifatnya merentasi peringkat usia para pembaca, golongan masyarakat dan kaum serta pegangan-pegangan agama. Inilah keistimewaannya sebuah karya kreatif. Salam Maria buat masa sekarang adalah jawapan bagi tuntutan seumpamanya.

Maka saya yakin bahawa apabila membaca novel ini, seseorang tidak akan dapat menikmatinya secara kreatif keilmuan yang diangkatkan oleh penulis sebagai intipati kesengajaan yang logik dan estetik nilai persembahannya kalau seseorang itu tiada kesabaran membaca serta tanpa rasa prejudis yang melulu. Kalau anda tidak pentingkan nilai ilmu di dalamnya anda pasti akan mendapat hiburan lain kerana jalan ceritanya Salam Maria sungguh menarik.

Novel ini secara am menceritakan emansipasi wanita. Wanita biasa dalam segala kesedarhanaannya bermula daripada kehidupan zaman kecil; lingkung ruang biasa kehidupan keluarga dan dijagai ibubapa sehingga terlontar ia ke ruang kehidupan yang lebih luas. Luas itu juga membawa konotasi kehidupan yang penuh dengan peluang juga tidak kurang cabaran yang berat-berat. Kehidupan yang luas ini juga bermakna betambah jumlah penghuni manusia serta menghadirkan interaksi-komunikasi dengan pelbagai kelebihan dan kekurangannya sekali gus. Inilah perkara yang menyumbang kepada segala cabaran yang dihadapi dalam kehidupan Maria Zaitun dalam novel Salam Maria.

Pada pengamatan dan pertimbangan kreatif semasa pertama kali membaca novel Salam Maria, terasa watak Maria Zaitun mungkin sengaja nanti diolah penulis untuk melangkaui masa sehingga merentasi sempadan zaman seperti terjadi pada teknik penulisan dalam beberapa buah novel barat yang pernah saya baca. Tapi tidak! Memang tidak perlu. Teori apa yang diaplikasikan dalam novel ini? Ah, itu juga tidak perlu bagi seorang pembaca seperti saya. Paling tidak bukan pada waktu bacaan pertama dan kedua apabila saya cuma berminat menumpukan minda saya pada menikmati bacaan sebuah karya sastera!

Dalam novel Salam Maria sungguh jelas bahawa ‘zaman’ tertentu tidak begitu diteraskan secara berimpak sambung, namun kejelasan kisah arketaip beberapa perwatakan wanita mulia dalam sejarah Islam begitu nyata dan ketara telah diwarnakan pada watak Maria Zaitun. Sungguh memang terasa pada deretan detik-detik tak terduga, bacaan minda tersentuh dek penegasan motif keinginan Maria Zaitun; mengambil iktibar daripada kisah-kisah kehidupan dan amalan dari citra perwatakan wanita-wanita mulia itu, dibisikkan ke nubari pembaca secara halus oleh penulis – berdiplomasi, tepu intelek serta renyah budaya Melayunya.

Tidak juga begitu keseluruhannya novel Salam Maria kiranya cuma berkisar tentang citra wanita sahaja. Sedangkan yang utama dapat saya kesani sepanjang menelaah novel ini ialah rujukan penulis terhadap penceritaan kreatif novel, ralipnya, disandarkan kepada ajaran dari kitab suci Al Quran, rujukan riwayat Nabi Muhamad SAW. Seterusnya akan ada rujukan ayat-ayat suci dari Al Quran, hadith Rasulullah, serta tidak ketinggalan kisah-kisah dipercayai benar berlandas rujukan yang dipersaksikan.

Maria Zaitun dalam novel Salam Maria bukan wanita superhuman namun ia seorang perempuan biasa; berdarah daging, punya keinginan dalam kehidupan seperti juga wanita-wanita lain. Dia punya impian untuk berumahtangga dan hidup bahagia di samping suami yang dicintai dan punya anak.

Perwatakan Maria Zaitun dalam novel Salam Maria bukanlah wanita feminis; yang menolak kehadiran lelaki. Cuma kesempatan dan takdir seperti yang pernah diinginkan itu tidak berlaku ke atas dirinya. Kesimpulannya, watak Maria Zaitun dihadirkan melalui perkembangan kehidupan manusia yang amat biasa dengan keperluan fitrah yang normal. Sehigga kemudian dikesaninya bahawa kehidupan kota yang dilaluinya telah mulai mencabar kemanusiaannya. Maka ia perlu ditangani dengan satu keputusan yang tegas sifat tawakal pada takdir Ilahi.

Dia memilih kesempatan berhijrah daripada kebobrokan kehidupan masyarakat kota, lari dari fitnah dan tohmahan; kekejaman manusia yang telah rosak nilai dan harga kemanusiannya. Ia memilih untuk menemukan kehidupan yang lebih selamat dengan berhijrah ke dalam ruang bentuk kehidupan yang ‘diskala kecilkan’ seperti masyarakat minimal terpencil Hutan Beringin bersama orang-orang yang senasib dirinya. Yang jelas hijrah Maria Zaitun ke dalam kehidupan daif orang-orang terbuang di Hutan Beringin bukan satu pelarian yang membawa kedaifan diri. Dia tidak begitu tua serta masih cantik dan bukanlah miskin. Dia punya wang dan barang kemas. Dia seorang wanita Islam yang berpengetahuan agama dan seorang Melayu yang teguh budayanya.

Bukan cuma ketakutan yang tidak berasas tetapi kekejaman yang mulai diterimanya di kota sudah mulai mendatangkan masalah keselamatan fizikal pada dirinya. Ternyata nilai-nilai Islam dan Melayu yang begitu kukuh dalam kejituan dirinya itulah yang membuat ia dilihat sebagai manusia pelik dan tidak normal di mata masyarakat kota yang zalim dan jahil. Di sinilah konsep hijrah yang pernah dilalui oleh rasul junjungan, Muhamad SAW, diterapkan dengan begitu dramatik dan kesannya amat bermakna apabila teks sejarah dalam Islam dihubungkan secara logik kreatif. Pelarian pada meninggalkan kehidupan kota penuh cabaran, tanpa diduga perjalanan kereta api malam yang ditumpangi dengan tiket perjalanan sehala ditakdirkan telah membawa suratan hidupnya ke Hutan Beringin, sebuah kawasan berhampiran lebuhraya timur barat.

Maria Zaitun telah memohon kepada Kimbung Tua untuk mengungsi rumah kongsi balak terbiar yang didiami oleh perempuan tua itu. Di sanalah Maria Zaitun melarikan diri dari kehidupan kota yang menzaliminya. Dan itulah titik mula penghijrahannya apabila terjadi peristiwa jemaah mesjid di kota menghalaunya daripada melakukan ibadah. Orang-orang yang bersolat di situ telah menghambuskannya daripada mesjid dengan kejam sekali sehingga ke tahap tega menghubungi pihak polis untuk mendapat khidmat menangkapnya. - Abdillah SM