SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, August 4, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Puisi / Negara Pertiwi


NEGARA PERTIWI


mereka yang kita harap
gagal mengangkat nasionalisme
semangat rela mati. pertahan pertiwi


mereka yang kita harap
masa bodoh peduli ratap tangis
mereka yang kita harap

tidak lagi menghormati hak
gampang dan tega tindak
dipaksa kita melepaskan
amanah warisan leluhur
seumur hidup miliki
sekangkang kera!


memang satu ironi
sampai jadi diskusi sepi
kita yang dibisu tidak mampu
tembusi benteng
kuasa
kukubesi.


diajar kita supaya tertib
menunggu mensyukuri
menatap datang pergi
pelbagai warna
gaya kolonialisme
dipakai baju tradisi
modern dan
kontemporari.


pembangunan ke akar umbi
meyentap hak kita. sehingga
ke akar umbi!


mesjid dan surau
mimbar dan podium
guna melegitimasi korupsi
dianutnya kita pada bentuk
kepercayaan baru
mereka rampok
ikatan mistik
transendental,
khaliq-makhluk.


diajarnya.
diajarinya kita!
menjual tanah,
tanah pusaka leluhur
harga paling murah.


so!?,
(
Edna, maaf bapa kerana perlu
pinjam ekspresimu yang sering.)

jangan tanya mengapa
kami tidak lagi

sayangi tanah

pertiwiku!

negaraku!

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Diari Satira (Sayang Sarawak) - fragmen

Diari Satira
(Sayang Sarawak)

Hampir enam bulan Granny berusaha mencari kertas-kertas itu. Kemudian dibaca dan dikumpul semula. Diusahakan pula kerja terjemahan dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Harapannya semoga kerja ini dapat diselesaikan dalam masa yang dirancangnya.


Nadia dan sepupunya Normah bertolak terus dari Geneva ke London. Mereka sampai di Bath lewat malam semalam. Granny tidak ada. Tapi itu biasa bagi Granny. Dia mungkin bermalam di London. Membeli sesuatu yang istimewa. Lusa ulang tahun hari lahir Granny. Dirinya dan Nadia sepakat datang bersama lebih awal. Kedua-dua gadis ini sedang menuntut di tahun tiga bidang perubatan, University of Basel, Basel, Switzerland.


Tiap ada cuti universiti kedua sepupu itu akan ke sini. Sebenarnya Bath adalah tempat kelahiran kedua-dua gadis ini. Bagi mereka Bath tempat yang cantik. Apabila berada di rantauan, yang menjadi pengukuh kenangan mereka tentang Bath adalah kononnya bangunan-bangunan di sini istimewa, kelihatan keemasan dalam cahaya malam hari. Mungkin itu kenangan masa lalu. Tidak siapa dapat menyangkal. Zaman kanak-kanak penuh fantasi.


Sejak bayi lagi dua sepupu ini memang dijaga oleh Granny dengan bantuan nanny. Ada masa Granny perlu dua orang pembantu. Tetapi apabila mereka berusia lima tahun, Granny mengurus sendiri kedua-dua cucunya. Semasa mereka dilahirkan ayah mereka masing-masing bertugas dan menetap di Paris dan Geneva. Kebetulan pula mereka lahir pada tahun dan bulan yang sama. Nadia sepuluh hari lebih tua dari Normah.


Setelah tamat cuti bersalin kedua-dua ibu mereka terpaksa kembali ke Paris dan Geneva, meninggalkan mereka berdua dibawah peliharaan Granny. Itu bukan keputusan yang senang bagi kedua menantunya. Tapi itulah permintaan Granny. Tidak siapa mampu menghalang. Tidak juga kedua-dua anak lelakinya. Hubungan Nadia dan Normah tidak seperti sepupu malah bagi orang yang tidak mengenali; mereka kelihatan seperti kembar tak seiras. Persaingan mereka cuma satu; mendapat perhatian lebih dari Granny.


Sekarang musim Spring. Inilah masa yang paling menarik apabila berada di Bath. Taman dan perkebunan menyerlahkan pelbagai warna kuntum sepanjang bulan Mei dan Jun. Dan lusa adalah hari istimewa Granny. Mereka telah membeli sesuatu buat nenda tercinta.


Janji Granny adalah untuk menyerah sebuah catatan masa lalu, ditulis olehnya sendiri untuk tatapan kedua cucu kesayangan. Granny pernah membertahu mereka bahawa masa lalu umpama sebatang pena untuk melakari masa depan. Dia sudah mengambil keputusan bahawa mati dan hidupnya biarlah di Bath saja.


Setelah menunggu beberapa jam di apartment Granny; sedikit resah. Tanpa mengetahui keberadaan orang tua itu. Juga tanpa sebarang nota diletak atas meja dapur seperti selalu. Mereka berdua mulai diserang gundah. Tapi sebelum itu mereka telah membuka bilik tidur Granny. Granny memang tidak ada di apartmentnya. Mereka mengambil keputusan menelefon keluarga di Paris dan Geneva.


Yang mereka temui dalam bilik tidur Granny cuma sebuah catatan tebal - sebuah dairi yang telah diperkemaskan terletak di atas katil. Dituju kepada Nadia dan Normah dengan tandatangan Granny sendiri bertarikh seminggu yang lalu.



Diari


Apabila sampai di England aku dapati di sini banyak bandar. Birmingham dan Liverpool di bahagian utara merupakan bandar industri. Sementara Bath dan Canterburry tidaklah begitu besar tapi tempat-tempat ini bersejarah. Seperti pendatang lain aku lebih tertarik dengan suasana di Bath.


London bandaraya tertua dan terkenal adalah juga ibu negara England. Sungei Thames mengalir melaluinya; melewati banyak mercu tanda yang mesyhur seperti Tower of London, Hyde Park, Big Ben and Parliament.


Antara nama-nama tempat yang penting dalam catatanku adalah Oxford dan Cambridge. Kedua-duanya adalah bandar-bandar di England yang dikaitkan dengan tradisi pendidikan; dua nama besar dalam dunia keilmuan berbahasa Inggeris. Di situ terdapat bangunan-bangunan lama. Universiti di sini mempunyai
kolej-kolej cawangan. Oxford walaupun kecil tetapi lebih kosmopolitan, berbanding Cambridge yang konservatif.


Aku betul-betul berhasrat membawa kedua-dua anak lelakiku tinggal di sini. Mereka sekarang dalam jagaan sepupuku di Sibu, Sarawak. Aku berdoa agar mereka rajin belajar supaya nanti layak menuntut di universiti-universiti seperti ini serta berjaya jadi lulusannya. Terpulang kepada mereka sama ada ingin meneruskan perjuanganku yang belum selesai.

Wallahualam.




London /
Spring - 21th April, 1947
10.00 am


(Kuching, Sarawak, Ogos 1939 – Feb 1940)

Tebingan Sungai dicengkam kesayuan. Tidak jauh di hadapan Fort Magharetta, setelah lurah kedua kawasan hijau perbukitan berumput taman, aku duduk seorang diri di salah satu kerusi batu yang disediakan di situ. Kawasan itu terjaga dengan rumput yang dinipis menyerlah kehadiranku berpakaian putih dengan kontras warna hijau padang. Sungai Sarawak jenuh berunding. Pengkalan Sapi, Pengkalan Batu dan petambang adalah satu keserasian kehidupan kami, orang Melayu di sebuah pekan yang baru membangun. Keindahan sungainya yang mengalir bengkang-bengkuk, melewati tanjung dan cabang sungai, ke muara bertembung lautan biru. Itu adalah temumujanji yang tidak dapat dielak pesonanya. Seperti keberadaan diriku di sini.


Kuhela nafas. Kemudian kulepas pandang di kejauhan tanjung yang kelihatan berbalam. Kutayang-tayang sekuntum bunga mawar ke hidung. Sebuah skuner kelihatan bergerak perlahan-lahan di muara, seperti ular melepaskan lingkaran. Semakin lama semakin menghilang ia ke dalam garisan horizon, sepi, menuju kanopi awan putih, namun semakin jauh semakin terasa dekat kehadirannya dalam ingatanku..........

............................................................................................................................

..........Senja semakin masak. Kedengaran waktu itu azan bergumandang dari surau-surau di perkampungan tebing Sungai Sarawak. Hatiku rasakan terhiris pilu. Aku maklum diriku harus bersabar menerima segala yang datang. Dan laungan azan itu kini meresap ke jiwaku yang damai pasrah.



11.00 pm


Sayang Sarawak tebing berbukit;

Tempat orang bertanam nenas;

Nenas dibawa dari Andalas;

Budimu tuan bukan sedikit;

Bukan nilainya wang dan emas;

Hingga padam tidak terbalas.

-----------------------------

Hampir jam 11:47 malam waktu tempatan, chime apartment berbunyi.

Nadia menandatangani telegram dari Kuching, Sarawak, Malaysia yang dituju kepada kedua-dua bapa mereka tapi dialamatkan ke Bath:


.....................................................
HAJJAHSATIRABTMOHDALI(.)PASSEDAWAYPEACEFULLY(.)
KUCHINGGENERALHOSPITAL(.)@1008HRS(.)11JUN19..(STOP)
WASSALLAM(STOP)HJSUHAIMIBINABGTOBI(.)
KUCHINGSARAWAKMALAYSIA(.).............................



- Abdillah SM

Friday, August 1, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Di Ruang Tawa



DI RUANG TAWA


Sejak aku bercuti rehat di rumah, dia pulang kerja seperti selalu jam lima petang. Dari jendela kamar tidur aku melihat keretanya masuk lambat-lambat ke perkarangan rumah. Kereta warna ungu itu semakin hilang bentuknya dilindungi pohon-pohon angsana di kiri kanan jalan masuk. Semakin dekat semakin jelas pula bunyi deru injin kudengar. Tidak lama setelah itu deru injin tidak kedengaran lagi. Aku turun ke bawah membuka pintu. Turun tangga bagiku tidak seletih waktu naik. Namun demikian turun naik tangga akhir-akhir ini mula mendatangkan kesulitan.


Pintu kubuka. Itu dia! Sebuah wajah dengan warna intan gemerlapan di ruang cahaya. Dan senyuman itu tidak pernah lari dari bibirnya di saat-saat hatinya tenang. Itulah suamiku, Radin, seorang lelaki yang kacak dan segak.


Dikucupnya dahiku. Kubalas dia dengan sebuah senyuman. Radin membawa brief casenya ke ruang tamu lalu diletakkan di atas sofa. Aku masih tercegat di tempat aku berdiri tadi, memerhatinya. Langkah-langkahnya yang amat teratur, manis kulihat mengimbangi susuk badannya yang tegap itu. Ia berjalan ke arahku sambil tersenyum-senyum. Tangannya pula kulihat sibuk membuka tali leher. Tali leher warna biru itu sering dipakainya akhir-akhir ini. Senyum simpul dia. Lalu diikatnya rambutku dengan tali leher itu. Kami sama-sama ketawa. Dikucupnya pipiku. Terima kasih bang, kataku dalam hati. Kami berjalan menuju ke kaki tangga.


Kami naik tangga. Tangan kiri Radin menggenggam tangan kiriku. Sementara tangan kanannya, kadang-kadang kurasa dekat pinggangku dan kadang-kadang kurasa di belakang bawah bahu; mengusap-usap tulang kipasku. Dengan Radin membantu aku naik tangga, tidaklah seletih aku naik turun seorang diri. Kami sampai ke atas dan terus ke kamar. Minuman petang untuk Radin telah kusediakan.


“Minumlah bang,” kataku sambil baring menelentang di atas katil. Aku keletihan.
“Dah diberitahu, jangan turun naik tangga, kalau abang tak ada. Bahaya, tu. Biar abang sendiri bancuh kopi,” kata Radin lalu duduk dekat meja.
“Buka pintu untuk abang tadi tak mengapa?” Soalku pantas.
“Kan abang terlupa kunci, jatuhkan saja kunci dari jendela, tu hah,” Radin menunjuk jendela kamar tidur kami yang berlangsir hijau, “abang boleh kutip,” tambahnya lagi.
“Dah sedia tu, bang, minum ajalah,” kataku menjawabnya.
“Petang semalampun begitu juga, tapi, tak apalah. Petang esok ingat tau,” kata Radin mengingatkan aku sambil jari-jarinya sibuk membetul-betul misainya.
Misai itu nak dibetul bagaimana lagi, sama seperti selalu kulihat, kataku dalam hati sambil tersenyum-senyum. “Mengapa senyum?” tanya Radin.
“Tak ada apalah. Tapi kalau ke pejabat esok tak usah bawa kunci,” kataku membalas lalu kami sama-sama ketawa.


Sambil menuang kopi ke dalam cawan, Radin sempat mengerling ke arahku. Dia senyum-senyum sambil meletak cawan ke atas piring. Kuperhati senyuman Radin. Senyuman itu berkembang menjadi sebuah tawa yang tertahan-tahan. Alamat nak tumpahlah tu, rungutku apabila Radin menuang kopi ke dalam cawan sambil sekali sekala menoleh ke arahku. Aku membalas senyumannya. Dia tetap juga senyum. Belum puas nampaknya dia. Lalu pecah ketawanya. Kucuba pejamkan mata.


Ketawa Radin dahulu sungguh menyenangkan. Aku bahagia dengan tawanya yang unik bagiku itu. Hinggakan bila sedang tidurpun aku bisa senyum bila Radin ketawa, kata Radin beberapa hari setelah kami bernikah.


Tapi akhir-akhir ini ketawa Radin kurasa berubah. Telah kuberitahu Radin tentang perubahan itu. Perubahan itu bukan pada dirinya, kata Radin, tetapi kerana perkembangan yang berlaku dalam diriku. Lebih-lebih lagi bila aku terpaksa berehat di rumah seperti seminggu ini, tambahnya lagi. Itu kuakui benar, tinggal sendirian tanpa teman bercakap detik-detik singkat amat panjang kurasa.


Meninggalkan keriuhan dan kenakalan kawan-kawan, timbul rasa jemu yang menekan di rumah yang sepi ini terutama apabila Radin tidak ada. Radin berkata aku harus bersabar serta menurut nasihat doktor. Radin selalu memberitahu aku bahawa segalanya itu adalah untuk keselamatanku yang diutamakan dan orang ketiga yang akan mencemar hening kamar kami. Dulu Radin pernah berkata, “Hening adalah kebahgiaan kita, sih...” Dan pernah juga Radin menyebut, “... orang ketiga yang bakal mencemar hening kamar ini adalah kebahgiaan kita, sih....”


Lalu, tinggal seorang diri di rumah, selama seminggu, rupa-rupanya penuh kuisi dengan memikirkan masalah hening dan tangis. Keheningan dan tangisan membuat aku kurang faham, apa lagi yang Radin kehendaki dariku di masa-masa akan datang. Sedangkan nampakanya sekarang Radin amat menghendaki kedua-duanya, dan sekali gus.


Terdengar aku Radin menghirup kopi.


Satu petang di pejabat aku menyumpah-nyumpah dalam hati. Tauke tempat keretaku dibaiki meninggal dunia. Aku bukan marahkan orang meninggal dunia, mana boleh! Tetapi peristiwa ini meletakkan aku dalam keadaan terpaksa menelefon Radin; menjemput aku pulang. Sedangkan semalam aku bertengkar dengannya kerana dia mahu aku pergi ke klinik.


Selama ini dia tidak jemu-jemu membujuk aku supaya pergi ke klinik. Selama itu jugalah aku sering mengelak dengan gurau senda lewat cerita-cerita asmara. Bila kuusap-usap rambutnya dan kuurut-urut jambangnya, perbualan kami bisa menyimpang ke lain perkara, seperti masalah pejabat dan kakitangan.


Radin yang boleh bermain piano dan gemarkan lagu-lagu seriosa selalu kuheret ke pianonya, sementara aku sendiri menyanyi lagu-lagu yang dia pernah ajar padaku. Begitulah sering aku lakukan. Tetapi malam itu pujukan Radin sudah berubah kurasa, seperti ugutan pula. Aku tetap bertahan, seperti selalu. Kerananya Radin keluar, keluar malam meninggalkan aku seorang diri. Satu perkara yang belum pernah dilakunya sejak kami bernikah.


Terdengar aku bunyi sebuah cawan kosong diletak di atas piring.


Kusedari, rupanya aku sudah hilang daya pujukan. Mungkin kerana itulah sekarang aku sering marah-marah. Apakah aku sudah tergolong sebagai seorang yang pemarah.
“Orang yang pemarah tidak bijak membujuk. Sebaliknya dia suka dipujuk,” kata Radin padaku satu ketika dahulu. Aku selalu cuba menahan diriku daripada sering marah-marah. Kerana itulah bila aku memarahi budak pejabat seperti pagi itu, aku berasa kesal. Aku ingin meminta maaf. Kufikir juga apakah kewibawaanku sebagai ketua akan terjejas kiranya terpaksa minta maaf terus-terusan. Walau bagaimanapun, aku ingin mengasah lagi bakat pemujuk yang pernah ada padaku seperti dahulu. Tujuankun tidak lain dari sekadar dambakan kemesraan. Bagiku kemesraan pertanda masih ada rasa cinta, kasih, hormat maupun simpati.


Jauh dalam telinga aku terdengar semacam bunyi air dituang ke dalam sebuah bekas kecil.


Petang itu pukul enam Radin datang menjemput aku. Mukanya kelihatan masam. Dia tidak menoleh apabila aku masuk ke dalam kereta. Kereta dilarikannya laju benar. Ada juga rasaku hendak menegurnya. Tidak berani aku. Mudah-mudahan kami selamat, dalam hati aku berdoa. Sedar tak sedar rupanya kami sudah melewati bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Satok. Radin memusing ke kiri menuju lebuh di hadapan Bangunan Salmas. Sampai di sana dia melambat-lambatkan kereta. Sementara itu aku menjenguk keluar. Radin masih terkial-kial memilih tempat letak kereta.


Tertarik aku melihat sepasang suami isteri yang keluar dari kereta di sebelah kami. Radin menghentikan kereta tiba-tiba. Terangkat duduku. Apakah dalam fikiran Radin, aku mengeluh diam-diam lalu keluar. Sepasang suami isteri seperti sangkaanku tadi menoleh ke arah kami sambil bercakap-cakap. Mereka melintas dan berpaling sambil senyum apabila terpandang aku.
“Hai Ani, bila you datang?,” teriakku sambil melambai-lambai ke arahnya.


Ani bergaun labuh tanpa lengan. Dia kelihatan sungguh cantik dalam gaun jenis kain lembut itu. Kutoleh Radin yang menyusul. Radin kelihatan seperti minta diperkenalkan. Kuperkenalkan kepada Radin bahawa mereka adalah rakan sepengajianku di universiti dulu. Ani dan Sufian. Mereka berkahwin semasa di tahun akhir. Gembira sungguh aku dapat bertemu Ani. Maklumlah bertemu setelah sekian lama berpisah. Kulihat perut Ani membuncit bila angin bertiup menepis gaunnya yang lembut itu.


“Yang ke berapa ‘ni, Ani?” tanyaku, leka merenung perutnya yang buncit itu. Ani menoleh suaminya, terangkat keningnya.
“Yang kelima,” suaminya pula menjawab.
“You dah berapa orang?” Ani bertanya padaku.
“Belum lagi,” jawabku. Aku tiba-tiba berasa perubahan pada wajahku sendiri. Apakah kerana pertanyaan itu Radin kulihat menunduk kepalanya; diam.
“You orang merancangkah ni?” tanya suami Ani menyambung bicara. Tiba-tiba dia tertawa memecah kebungkaman suasana. Aku tersentak. Kupandang Radin. Radin pun ketawa juga. Kami sama-sama ketawa. Aku seperti mengejek diriku sendiri kerana terpaksa ketawa. Apa boleh buat.
“Begitulah,” jawab Radin pendek. Ketawa kami terhenti apabila suami Ani menghulur tangan kepada Radin, ertinya minta diri. Kami bersalaman lalu beredar. Hari sudah gelap. Radin berjalan ke kereta. Aku menurut. Tak jadi makan di restoran Binarasa rupa-rupanya, kataku dalam hati, nyesal.


Dalam kereta Radin membisu. Dia menghidupkan injin kereta dan kami beredar dari situ. Cermin pintu kereta kunaikkan apabila Radin menghidupkan penyaman udara.


“Abang,” kataku cuba menyisih kesunyian yang mencengkam. Radin manarik sebatang rokok. Dibakarnya rokok. Aku jangka Radin memang sengaja merokok, sedangkan dia tahu aku benci pada asap rokok dalam kereta yang tertutup begitu. Mungkin juga, rasaku, apabila rokok tersepit di bibirnya dia ada alasan tidak menjawab aku. Atau apa mungkin Radin ingin menyatakan betapa hatinya terbakar seperti rokok itu. Perasaanku cuma. Aku mula gelisah. Begitulah aku, jika sesuatu di dalam hatiku belum kunyatakan. Aku menangis tertahan-tahan.


“Usah perlakukan aku begini, bang. Aku tau......” Pandangan ku sudah berkaca.
“Kalau dah tau apa guna kita bercakap?” Radin menjawabku. Tegas sekali kudengar. Berdesing telingaku. Kulihat wajah Radin sudah berubah dalam samar lampu di Jalan Penrissen yang lengang itu.
“Aku tak paksa abang bercakap, tapi dengarlah.” Airmataku terasa panas mengalir ke pipi.
“Cakaplah aku mendengar,” jawab Radin sambil kakinya menekan minyak.


Kereta bertambah laju. Tangisan yang tersimpan sejak tadi tiba-tiba terlepas keluar. Kereta kami terasa penuh diisi tangisanku yang amat memaksa aku.


“Bang, aku mengandung!” Lantang saja suaraku setelah beban tangis yang berat itu terlepas.
“Apa???” Radin terkejut. Kali pertama dia menoleh ke arahku sejak kami meninggal kawasan letak kereta tadi. Radin hampir tidak dapat mengawal kereta. Kereta dibreknya perlahan-lahan ke pinggir jalan. Injin dimatikannya. Dia menurunkan cermin kereta. Dia berpaling lalu menghadap aku yang sedang terisak-isak.
“Apa, apakah ini kehendakmu, sih? Radin gugup, “bukankah abang selalu menyuruh kau ke klinik, ambil pil?” tanya Radin dan dahinya berkedut. Aku rasa aku tidak perlu menjawabnya. Terlalu letih aku bercakap perkara yang sama. Semalam kisah ini juga dan berakhir dengan pertengkaran. Takut sekali aku akan pertengkaran seperti itu.
“Abang takut aku mati? Tanyaku.
“Jangan kausebut perkara itu, sih,” Radin tersentak.
“Kenapa tidak saja kita hadapi kenyataan ini, bang?” tanyaku dengan penuh rasa terharu.
“Kenyataan sudahpun kaurasa sendiri. Sakitnya kau yang tanggung selama tiga bulan di hospital,” sahut Radin. Aku menghempap mukaku ke bahu Radin bersama tangisan yang terputus-putus.


Aku terdengar seperti bunyi air dihirup, tetapi jauh benar.


Sebenarnya begitulah. Aku bisa merancang sampai bila-bila. Namun kesan sampingan yang kulihat pada wajah Radin, kutafsir hari ke hari tidak kuasa aku berdepan. Walupun kami perlu bermusyawarah kerana ini adalah soal hidup dan mati, merurut Radin, tetapi bagiku musyawarah di peringkat ini tidak akan mendatangkan resolusi yang diharapkan. Memang ini kepentingan bersama, tapi setiap risiko yang berbangkit mestilah aku sendiri yang bertanggungjawab.


Aku tidak akan lupa pada satu peristiwa dalam sejarah pernikahan kami, apabila Radin seperti orang kehilangan fikiran sewaktu aku keguguran dulu. Sebuah harapan yang bakal menyinari hidup kami tiba-tiba diragut nasib. Aku sendiri tidak tahu sama ada takdir yang itu telah membuat tekadku lebih kuat. Yang jelas kedudukanku sebagai seorang wanita, langsung sebagai seorang isteri dengan kewajipannya sekali gus telah tercabar dan dipersoalkan.


Aku dengar nafasku sendiri turun naik.


Waktu itu kami baru saja bernikah. Keriangan dunia perkahwinan membuat Radin dan aku seperti sepasang burung yang tidak betah di dahan. Kami seakan burung yang tidak kenal siang dan malam, tiap waktu membelah kabus. Kesannya Radin ditumpahi sinar kegembiraan yang wujud di senyum dan tawa. Aku persoalkan, apakah aku bisa terbang begini selama-lamanya, kerana jangtungku yang uzur sering pula menjemput aku kembali ke dahan.


Satu pagi setelah tiga bulan kami bernikah, aku tiba-tiba berasa mual dan muntah-muntah. Aku terus kembali ke kamar dan baring. Radin mengekori aku. Dia tersenyum-senyum. Wajahnya, menjadi amat manis pernah kulihat selamaku mengenalinya.
“Apa ‘ni? Kita sakit dia senyum-senyum,” kataku sambil menekan-nekan ulu hatiku. Senyumannya semakin lebar. Sambil berjalan ke katil dia ketawa.


Siapa! Tanyaku dalam hati, terpesona. Terkocak kewanitaanku bila memori tertangkap getar tawa itu. Jauh dalam diriku masih terngiang tawa yang serupa. Teringat aku sebuah ketawa yang hampir sama iramanya, tapi serasa nun jauh di lembah.


“Orang sakit, dia gembira pula,” rungkutku. Radin merangkul kepalaku rapat-rapat ke dadanya. “Abang berpeluh, aku mengelak dadanya. Gelinya aku diasak-asak dengan bulu dadanya yang lebat itu.
“Sih, kenapa kau tak beritau abang awal lagi,” Radin merenung aku sambil mengurut-urut misainya. Aku memalis ke arah lain, kemalu-maluan.
“Nak tau jua rahsia perempuan?,” kata-kataku antara keluar dan tidak.
“Mestilah. Itu rahmat dari Tuhan untuk kita. Akan lahir cahaya mata yang akan mencemar hening damai kamar ini, sih. Abang gembira, sih,” kata Radin sambil menunjuk perutku. Kami sama-sama ketawa.


Malam itu Radin memerap dalam kamar. Katanya dia juga keletihan. Diusap-usapnya rambutku hingga aku terlena. Aku merasa terlindung dan bahagia sekali. Tengah malam dikejutnya aku.
“Sih, kita sembahyang. Minta kelahiran sempurna,” bisik Radin ke telingku. Aku tidak menjawabnya tetapi terus bangun. Dipegangnya daguku. Aku memandang ke dalam matanya. Matanya itu tetap bersinar; pesona puncanya memerangkap pengabdianku. Seluruh kewujudanku tergegar, terserah; pasrah.


Setelah sembahyang kulihat jam di dinding menunjuk dua setengah pagi.
“Sih, apa yang kaupinta dalam doamu tadi?” tanya Radin.
“Rahsia” jawabku sambil kusentuh tangannya yang berbulu itu. Kupandang dia. Terlalu cerah wajahnya yang dihiasi senyuman manisnya. Aku terpukau.
“Jangan-jangan kaupinta anak perempuan,” katanya lalu jari-jarinya mengatur rambutku yang jatuh di dahi.
“Boleh jadi,” jawabku pendek.
“Abang minta anak kembar.....” Aku menoleh ke arahnya serius. Cuba-cuba beraksi tapi tidak berjaya. Lalu pecah ketawa kami di malam buta yang dingin itu. “Senang jua kaunanti,” sambungnya lagi, “kalau dua kali lima dapat sepuluh.” Kami sama-sama menutup- mulut. “Sih, wajah macam mana kau mau?”
“Tentu sekali macam abang!” Aku menyambar. Cepat dan tangkaslah konon.
“Haahahahaha.”
“Apa dia?”
“Abang tau kau tadi tentunya meminta anak laki-laki.”


Aku mendengar ketawa yang memanjang jauh dalam memoriku.


Satu malam bulan kedua kandunganku itu, aku terkejut menyedari diriku baring di katil hospital. Aku keguguran. Doktor yang merawat memberitahu aku tidak dibenarkan lagi mengandung kerana keuzuran jantungku. Kiranya aku hamil juga ia akan mendatangkan masalah. Untuk setahun dua selepas keguguran, memang aku tidak dibenarkan. Satu arahan doktorkah atau amaran maut. Tanpa banyak soal Radin nampaknya menyetujui.


Aku tertanya-tanya dalam hati apakah Radin betul-betul mementingkan diriku. Atau itu cuma sifat sementaranya saja. Aku tetap berkira-kira jauh dalam diriku setelah Radin pulang. Dan inilah juga masalah yang turut menemani aku di hospital di saat kesakitan masih menegang.


“Hai orang tidur! Kenapa pula senyum-senyum ‘gitu? Jauh dalam kepalaku aku mendengar suara itu. Aku terkejut. Kutoleh ke kiri ke kanan. Radin masih juga duduk di situ sambil menghirup kopi. Direnungnya perutku yang membuncit. Tersenyum-senyum dia.
“Bermimpikah?”, tanyanya lalu ketawa.


Aku malu berbaur rasa bangga walau kelahiran masih lagi sebuah tandatanya.



- Abdillah SM

Wednesday, July 30, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Cerpen / Kupu-Kupu Putih


KUPU-KUPU PUTIH


Semuanya tak terurus. Cangkir dan pinggan bergelimpangan di atas lantai bilik makan, bilik tamu hinggalah ke bilik tidur. Atas katil ada gelas dan cangkir. Kain cadar yang cantik buatan Itali telah ditumpahi kopi. Permaidani warna kuning senja dalam bilik tidur sudah comot. Corak bunga mawar melelat yang indah di permukaan permaidani sudah bertompok-tompok dengan abu rokok dan bekas hangus. Rokok yang hanya separuh dihisap, bertaburan di mana-mana sahaja di dalam rumah itu seperti sudah jadi amalan penghuninya.


Empat bulan. Selama itulah Mala mula bencikan segalanya, kecuali rokok dan kopi pahit. Kalau bukan rokok dan kopi apa lagi yang digemarinya ? Mala bertanya pada diri sambil tersenyum-senyum bila terjaga jam dua petang. Bangkit dari tidur panjang sudah biasa bagi Mala.


Bagaimana akan kunyatakan padamu, Abas, bagaimanakah? Cincanglah aku, cincanglah. Bunuhlah aku. Bunuhlah. Kalau kautanya kenapa tidak saja kubunuh diriku; itu perkara senang. Aku boleh lakukan; pelbagai caranya. Namun matiku nanti adalah sebuah rahsia, menyimpan sebuah rahsia. Yang tidak akan dapat dipecahkan. Kecuali.


Mala cuba-cuba bangun setelah duduk di tepi katil untuk beberapa ketika. Tidak jadi Mala bangun. Penglihatannya tiba-tiba gelap. Mala duduk kembali tetapi lambat-lambat. Dia memicit-micit dahinya. Lambat-lambat. Setelah berasa pulih barulah dia bangun lalu melangkah menuju bilik mandi.


Aku mahu memberitahu kau segala rahsia ini sebelum aku mati. Aku mahu kau menghadapi kenyataan kematianku sebagai tanda masih ada sejalur putih kejujuran di hatiku.


Di hadapan cermin di bilik mandi, Mala memerhati mukanya untuk beberapa saat. Setelah itu Mala melangkah berhati-hati ke bejana basuh lalu berkumur. Dari situ dia ke cermin lagi. Direnung wajahnya dengan serius. Wajah itu semakin berubah setiap kali dia berhadapan dengan cermin.


Sepuluh tahun aku menanggung seksanya keinginan pada kelahiran yang suci dan murni. Sepuluh tahun jua aku mengerti betapa kau bagai penunggu buah yang tidak jatuh-jatuh. Namun dengan sabar kaupendam hasratmu yang bergelora itu jauh ke lubuk hatimu, terlalu tulus dan kudus berbanding hatiku yang kini sudah tercemar kembali kemurniannya.


Sememangnya muka Mala tetap pucat kekuningan seperti semalam juga. Direnungnya badannya yang semakin kurus, seperti semalam juga tulang-tulang di dada bidangnya kelihatan menonjol. Renungannya kini beralih ke perutnya. Perut itu pula semakin hari semakin besar, menolak gaun tidur ke depan.


Di situ renungan Mala terhenti seketika. Dia gerun. Kegerunannya terbayang pada muka cengkungnya apabila bulu keningnya bagaikan bertemu. Hati Mala semakin kecut. Seperti selalu wajah dalam cerrmin itu dirasa seperti bukan wajah dirinya. Dada Mala berdebar. Lekas-lekas dia beredar dari situ.


Dua ekor cicak berkejaran di siling ruang tamu. Jantan dan betina.


Tergesa-gesa keluar dari bilik mandi, Mala terus berjalan ke bilik makan. Terlalu lama pelayaranmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu rupa-rupanya telah memberi peluang pada keinginan untuk membukti keupayaanku. Keinginan yang tidak terlintas di hatiku melakukan kalau kau tidak pergi; selama pemergianmu ini.


Praaaak!
Terkejut Mala.


Diurut-urutnya dadanya menahan degupan jantungan yang mendadak kuat. Sebiji pinggan terjatuh dari meja makan apabila seekor kucing hitam melompat lari apabila terpandang Mala berjalan ke arah meja. Kucing hitam masih menikus di balik daun pintu ke bilik dapur. Mala terus meluru ke arah meja, mengambil sebiji pinggan yang masih kotor lalu melontarkannya ke arah kucing itu.
Praak!
Sebiji lagi pinggan pecah.


Di antara pinggan dan mangkuk yang masih kotor dan bertindih-tindih di atas meja, diambilnya biskut dari bekas kaca. Biskut dikunyah seperti hendak tak hendak. Setelah itu dituang kopi daripada teko terus ke mulutnya. Seekor lipas merayap ke betis. Mala terkejut dan terlepas teko kaca dari genggaman. Berkecai teko di atas lantai mozaik yang keras. Mala peduli apa yang berlaku. Dia terus kembali menuju bilik tidur.


Kumat-kamit mulut Mala.


Tanpa saksi melihat segala kelakuanku, telah kurelakan seorang lelaki mencemar kemurnian bilik tidur kita, Abas. Dua ekor cicak berkejaran dari siling ruang tamu, ke siling bilik tidur. Kalau cicak itu bisa berkata-kata lalu memberitahu siapa sahaja, segala yang cemar ini tentu telah sampai juga ke pengetahuanmu.


Cik cik cik.
Berdecak seekor cicak di siling bilik tidur. Segera datang jantannya.


Di hadapan meja hias di dalam bilik tidur, Mala duduk sambil menyikat rambut. Setelah disikat, Mala menyimpul rambutnya yang ikal itu menjadi sanggul sederhana kemas. Mala kelihatan sungguh manis dengan sanggul itu walaupun tidak terniat di hatinya untuk kelihatan cantik. Dia berbuat demikian kerana terlalu rimas apabila udara terlalu panas. Daun jendela tidak pernah dikuak sejak dia berdepan dengan ketegangan ini.


Mala seorang perempuan cantik: Berleher jinjang, berdada bidang, tinggi lampai dan berkulit cerah. Sewaktu badanya berisi, mukanya montok dengan lesung pipit jelas kelihatan. Tetapi kini lesung pipit itu pula menambah cengkung pipinya.


Apakah cicak sepasang ini memecah keheningan lantas meningkahi rentak kemelut permainan asmara itu? Memang. Memang sah. Inilah cicaknya. Jahannnam.
Tiiiiiig paaar.
Mala melontar sebiji gelas ke siling. Dua ekor cicak berlari dengan cepat, berkejar-kejaran lalu bersembunyi di balik chandelier di ruang tamu.


Masih lagi bergaun tidur, Mala berjalan ke bilik tamu sambil menyalakan sebatang rokok. Sambil membetul-betulkan gaun tidurnya, Mala mengibas-ngibas kerusi empuk yang berdebu itu lalu duduk. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari lubang hidungnya. Dan hidung itu, semakin kurus badan Mala semakin mancung kelihatan.


Mala mencecah rokok di meja di hadapannya. Dinyalakan lagi sebatang lalu dihisap dan disedut lama-lama. Setelah menarik rokok dari bibir, mulut Mala kumat-kamit lagi. Beginilah, sebatang demi sebatang rokok ditarik dari kotak, dinyalakan, dihisap dan disedutnya. Matanya yang cengkung kelihatan layu dan lemah.


Bagaimana akan kunyatakan padamu, Abas, bagaimanakah? Bunuhlah aku. Bunuhlah. Jikalau kautanya kenapa tidak sahaja kubunuh diriku; perkara senang. Membunuh diri perkara senang. Namun matiku nanti adalah sebuah rahsia yang menyimpan sebuah rahsia, yang tidak akan dapat dipecahkan.


Kumat-kamit mulut Mala.
Dia merenung ukiran bunga petola pada meja kayu di hadapannya.


Setelah kita bernikah aku telah cuba menukar gaya hidupku. Abas, kerana kau aku lakukan. Dari kehidupan pelayan kelab malam aku jadi suri rumahtangga. Abas, kerana kau aku lakukan. Kau tidak pernah memaksa aku meninggalkan minuman keras dan rokok. Tetapi aku lakukan kerana kau, Abas. Kerana tiada paksaan dan mendalamnya kasih sayangmu terhadapku, aku mulai insaf terhadap nilai budi dan cinta.


Mala tergugat. Degupan jantungannya bertambah kencang. Mala terdengar tangisan. Tangis bayi. Lutut Mala gementar. Tangisan itu semakin kuat semakin jelas; semakin hampir pada dirinya. Mala merenung perutnya.


Jangan menangis, sayang. Mama tidak akan membunuh diri. Mama sayangkan kamu. Mama sayangkan kamu. Mama sayang. Sayang mama. Mama sayang padamu. Tangisan tetap juga mendayu-dayu. Tangisan yang memilukan. Mala mencuba sedaya upaya memisahkan tangisan dari dirinya sehingga beteriak dia sepuas-puas hati.


Seperti lupa akan apa yang telah dilakukannya, Mala mula kumat-kamit mulutnya. Dia kelihatan tenang namun kenangan masa lampau tetap ligat mengisi ruang fikirnya. Mala menarik lagi sebatang rokok lalu menyalakannya.


Sepuluh tahun aku menanggung derita seksanya keinginan. Keinginan pada kelahiran yang suci dan murni. Sepuluh tahun jua aku mengerti betapa kau bagaikan penunggu buah yang tidak jatuh-jatuh. Namun dengan sabar kaupendamkan hasratmu yang bergelora itu jauh ke lubuk hatimu yang terlalu tulus dan kudus bagi hatiku yang cemar ini. Abas, tentang cinta kita, Tuhan saksi abadi. Mala menarik lagi sebatang rokok tetapi tidak dinyalakannya.


"Malaaaa, Maaaaaala."
Terkejut Mala dari lamunannya.
Sial! Mala marah dalam hati.
"Mala aaaaaa."
Panggilan itu berulang-ulang dan mendayu-dayu.
"Aku? Siapa yang memanggil aku?"
Mala bangun dan berjalan ke arah pintu. Daun pintu dikuaknya. Pertama kali dalam masa menghadapi ketegangan pintu itu dibuka. Merempuh kasar angin petang ke muka pintu; segar. Ke muka Mala. Mala mendepa tangannya.


"Aaabang, abang balik," jelas bunyi suara itu.
"Abangkah?" Kumat-kamit mulut Mala.
"Abaaaaang..."


Terlalu lama pelayaranmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu rupa-rupanya telah memberi peluang pada keinginan untuk membuktikan keupayaan. Keinginan yang tidak terlintas di hatiku jikalau kau tidak pergi selama permergianmu kali ini.


"Kau nampaknya kurang sihat?"
Kumat-kamit mulut Mala.
"Mala terharu, bang." Mala menarik sebatang rokok. Tidak jadi. Rokok yang ditariknya sebelum ini belum lagi dinyalakannya.
"Kau merokok lagi, Mala?"
"Rokok teman Mala, seperti kopi pahit yang abang suka pun Mala suka juga." Rokok yang terbaring di atas sofa diambilnya lalu dibakar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan dengan laku yang anggun.
"Kau telah memberi kesempatan untuk abang nikmati kebahagiaan, Mala. Ingat itu."
"Mala sebaliknya, bang. Patah sayap. Penuh kompleks." Mala berdiri dan terus berlalu menuju bilik makan. Sambil berjalan kumat-kamit mulut Mala.


Praak!
Mala terkejut. Tercegat dia di tepi meja makan. Seekor tikus buncit berlari di atas rak pinggan mangkuk. Sebiji piring jatuh.



“Jahanam. Jahanam. Jahanaaaam.” Sumpah Mala. Bertalu-talu. Terasa degupan jantungya menyorong tulang dadanya. Menyengal-nyengal. Dia kembali lagi ke ruang tamu lalu cuba duduk dengan tenang.


“Tanpa saksi yang melihat segala kelakuanku, telah kurelakan lelaki itu mencemar kemurnian bilik tidur kita, Abas.
"
"Dalam keadaan sepertimu, semua wanita begini. Keragu-raguanan dan kurang sihat."
"Mala sihat. Mala telah jumpa doktor. Bukan Mala sakit badan, hati Mala yang sakit. Sakit, bang. Aduuuuuh!"


Mala menyala sebatang rokok lagi lalu dihisap. Disedutnya dalam-dalam. Perlahan-lahan asap keluar dari hidung dan mulutnya. Perlahan-lahan juga asap rokok menyapu mukanya yang pucat lesi itu. Dia tergugat. Pecah perwatakan.


"Aku tahu, bukan senang membahagi nyawa untuk kelahiran, Mala." Kumat-kamit mulut Mala.
"Bukan juga kerana itu, bang. Mala pernah bersabar, Mala sedar erti kesabaran. Tetapi kini Mala penuh rahsia. Penuh seksa." Mala membaringkan badannya di atas sofa.
"Memang hidup penuh rahsia, Mala."
"Terlalu lama pemergianmu kali ini, Abas. Ketiadaanmu, telah kucemari bilik tidur kita."
"Perpisahan memang menyeksa. Abang juga seperti kau, sering dicuit rasa rindu dan cemburu."
"Perpisahan sudah berlalu. Kenyataan yang mesti kuhadapi."
"Kita hadapi bersama-sama. Kelahiran adalah kebahgiaan."
"Sesuatu mesti kita selesaikan sebelum kelahiran ini."
"Kau kurang sihat, Mala. Cuma perasaan kau kegentingan. Berehatlah."


Mala bagaikan terlupa kata-kata. Kumat-kamit mulut Mala.


"Abang tidak mahu mengerti."
Mulut Mala kumat-kamit.
"Kau perlu rehat."
"Mala tidak perlu rehat. Terlalu banyak rehat. Terlalu sihat."
Mala bergerak dari satu sudut ke satu sudut lain; pelakon mengimbangi pentas.


"Kau seperti tidak jemu-jemu berbicara seperti ini."
"Mala perlu bicara secara terbuka, bang."
"Eh, ada apa yang masih lagi tertutup?"
"Bicara terbuka, bang."
"Terbuka bagaimana?"


Mala mulai sedar diri sedar ruang. Berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan hujung kakinya sendiri. Dari sudut ruang tamu ke satu sudut ruang tamu dia bergerak mencari kedudukan yang berkesan; menambah impak pengucapan. Sambil berjalan-jalan diurai simpulan rambutnya yang ikal itu. Mala menghampiri meja lalu menarik keluar sebatang rokok dan menyalakan. Dia mengibas-ngibas gaun tidurnya ke bawah. Dia terpandang seekor cicak. Mulut Mala kumat-kamit.


"Dulu kau riang, kaugembira."
"Dulu Mala riang Mala gembira."
"Sekarang kau tidak?"
"Jikalau tidak, tidak jujurkah Mala?" Mala berjalan ke arah pintu.
"Terpulang kepada seseorang. Terlalu peribadi perkara ini, Mala."


Mala mendepa pintu. Angin petang bertitup kencang. Gaun tidur Mala yang nipis tersingsing hingga ke peha. Mala tidak pedulikan semua itu. Mulutnya masih kumat-kamit.


"Tidak jujurkah Mala, bang?"
"Entah."
"Dulu abang kata kejujuran membahagia hidup manusia."


Mala terhuyung-hayang di muka pintu. Rambutnya yang ikal dan panjang hingga ke pinggul itu bagaikan mengepak ditiup angin. Mala tidak peduli semua itu.


"Terpulang, bagaimana kita menghadapi hidup ini, Mala."
Kumat-kamit mulut Mala. Mala bermain-main dengan angin di muka pintu. Untuk sekian waktu, kali ini baru Mala berani menjengah pintu. Tangga rumah sudah berlumut. Kayu yang sepatunya hitam kini kehijauan kerana ditumbuhi lumut tebal. Untuk sekian waktu juga tangga itu tidak pernah dipijak apalagi dibersihkan. Mulut Mala kumat-kamit.


Degupan jantung Mala tiba-tiba menjadi kencang; kepalanya pusing. Tangan serta lututnya gementar. Segalanya berlaku serentak. Dengan tiba-tiba. Mala, penglihatannya gelap.
"Bang tolong Mala, baaaaang. Aduuuuuuh! Tolong, baaaaaang!"


Mala mendakap angin yang bertiup kencang. Mala, terlayah ke depan. Mala jatuh terguling, menghitung anak tangga, satu-satu. Tersungkur dia di atas simen di kaki tangga. Darah mengalir daripada lubang hidung, telinga dan mulut Mala. Banyak lagi darah keluar membuak-buak. Berbuih-buih, tersembur.


Seekor kucing hitam berjalan lambat-lambat; lenggang-lengguk, lenggang-lengguk, lenggang-lengguk. Terhenti seketika. Perasan, seperti tercium sesuatu. Mengendap. Seperti mengintip tikus, tenang lengang-lengguk kucing menuju ke hadapan. Ke arah Mala. Badan yang telah layu. Lembik lintuk bagai sebatang paku hulu diselar panas. Dijilat kucing darah Mala yang masih panas mengalir. Sebahagian darah bertakung; memesrai penuh retak-retak di simen. Melimpah. Merah. Membeku.


- Abdillah SM