Rasa etnik sentrik seperti itu tidak perlu lagi diwar-warkan, bangsa yang kerdil saja yang masih ingin merasai dirinya berada dalam kepompong itu. Tak hilang jati diri kita jika kita faham makna kesusasteraan yang lebih besar. Sewajarnya kita berhenti untuk banyak melihat daerah kita kerana itu bukan sikap bangsa yang unggul. Entah sampai bila kita gemar jadi lintah yang asyik bangga pada kulitnya, sedang sisik orang jauh lebih sasa.
December 20, 20088:40 PM
(menjawab komen sdr taufek18 sehubung rencana di bab 1)
terima kasih sdr taufek18 kerana turut sama melihat dan mempertimbang untung rugi penerapan kategori pelbagai kaum ke atas sastera kita.
memang tidak dinafikan bahawa pengkategorian penulis mengikut kaum itu ada juga kelebihannya. tapi kalau ditimbang dengan saksama kita pasti dapat melihat rasional kenapa ia tidak harus dikekalkan.
yang ingin mempertahankannya mungkin berpendapat bahawa tujuannya adalah demi pengekalan nilai-nilai etnik dalam segala aspek demi menambah warna pada kemungkinan yang lebih besar. siapa kata itu salah? saya kata tidak salah. kerana akhirnya itu terserah kepada nawaitu juga.
setiap kewajaran yang kita pilih ada rasionalnya. pun demikian, sampai bila dapat kita mengekalkan semangat yang diperkaum-kaumkan seperti itu. di negeri sarawak, tolak kaum keturuan cina dan keturunan india, yang lain-lain itu adalah bumiputera. apakah kita kaum bumiputera sedar bahawa kita ini adalah dari rumpun bangsa melayu yang agung itu. bumiputera dan orang asli itu adalah daripada ras melayu! dan di atasnya duduk gelaran bangsa; iaitu Melayu.
subjek ini seharusnya dibicarakan oleh pakar dalam bidang antropologi / sosiologi. tapi kita masih boleh melihat ragam bicara kerana kita membaca dan terdedah kepada ilmu yang diperkuatkan oleh sumber dan penegasan ilmiah lainnya.
great britain tidak pernah mengisytiharkan bahasa inggeris itu kepada gelaran bahasa united kingdom, bahasa commonwealth atau gelaran apa saja, demi kepentingan kedaulatan bangsa dan kewajaran politiknya. jangan mimpi kerana itu tidak akan terjadi. australia tidak pernah mengisytiharkan bahasa inggeris dengan gelaran bahasa australia, di new zealand - sebagai bahasa new zealand atau di usa sebagai bahasa amerika. bahasa inggeris itu kekal dan dikenali di mana-mana sebagai bahasa inggeris. kenapa bahasa inggeris itu begitu jaya dikekalkan kehormatan namanya berbanding malangnya bahasa melayu. bahasa bangsa kita – melayu.
demikian, saya sungguh teruja mencari alasan mengapa gelaran bahasa melayu sering dikaburi dengan gelaran-gelaran yang meletakkan nama negara sebagai topengnya. contoh - bahasa malaysia itu bahasa melayu, bahasa melayu brunei itu bahasa melayu, bahasa indonesia juga bahasa melayu. barangkali kita telah ditipu oleh bangsa pendatang yang ingin menghilangkan entiti melayu. melayu itu sinonim dan hak kepada nusantara keseluruhannya. wajar benar diperkasakan realiti hasrat dan sejarah bahawa seluruh nusantara ini adalah dunia melayu. dunia bagi setiap kita, ras daripada bangsa melayu itu.
bahasa sukuan maupun dialek yang menjadi tunggak kewujudan tiap etnik daripada ras bangsa melayu samalah juga sepertimana banyaknya dialek dalam bahasa bangsa-bangsa lain. ambil saja contoh bangsa cina. berapa puluh dan ratus dialek yang digunakan oleh orang berbangsa cina tetapi bagi saya tetap saya kenali ia sebagai bahasa orang cina.
pada anggapan saya idea kategori pelbagai kaum itu bermula di dbp pusat maupun gapena. mungkin sebagai galakan agar orang bukan melayu menulis dalam bahasa melayu. ingat, bahawa perkara ini berlaku di semenanjung malaysia dan dbp caw sarawak menerapkannya di negeri ini secara tangkap muat. maksud pelbagai kaum di semenanjung malaysia melibatkan orang india dan cina. tidak pernah pula disenaraikan kumpulan penutur dialek kelantan, perak, jawa, bugis, banjar, mendeheleng, rawa dan sebagainya.
tiap-tiap kumpulan di atas sebenarnya bercakap dalam dialek kelompoknya sendiri. oleh kerana perhubungan fizikal di semenanjung tanah melayu itu sederhana baik maka itu amatlah bermanfaat kepada penyebaran bahasa melayu baku. demi komunikasi berkesan untuk sesama tiap kumpulan orang yang disebut di atas memilih tanpa prasangka bahasa itu – melayu baku.
saya percaya semua orang pernah mengetahui bahawa keturunan cina walau bagaimana sekalipun malaysia cara kehidupannya masih juga mereka dikenali sebagai golongan mahua. dalam medan kesusasteraan melayu golongan ini kalau terlibat sebagai penulis hasil karya mereka dikenali sebagai karya mahua. mereka adalah penulis mahua. bukan penulis melayu. lim swee tin itu penulis mahua. salina ks lee juga.
dalam mengidentifikasikan penulis di negeri sarawak, sebagai contoh, antara jong chian lai dan jais sahok besar bezanya. bukan kerana yang seorang itu penerima sea award tetapi kedudukannya dalam kesusasteraan melayu malaysia. jais sahok itu mengikut pendapat saya memang penulis melayu. jong itu bukan kalau mengikut syarat kategori penulis di semenanjung malaysia. jong penulis mahua seperti lim dan salina juga.
dahiri, jaya ramba, paul nanggang, saiee driss itu penulis melayu. saya kalau nanti dikenali penulis - melayu juga. ha ha ha ha ha. -Abdillah SM
jadi penulis jika bekerja dgn dbp bukan tiket utk berjaya. berapa ramai penulis yang gah karya dari staff dbp? inilah senarionya. fikirkanlah.
December 17, 20087:42 PM
(menjawab komen sdr dahiri sehubung rencana di bab 2)
sdr dahiri. dalam konteks ini gah atau tidak itu perkara subjektif. tapi ada secalit elemen penyalahgunaan dan 'chances for granted', gitu maksud saya. gambaran tidak murni itulah yang ingin saya elakkan sekiranya nanti akan tercetus daripada silap tindak. apabila saya menulis pandangan saya itu, tujuan saya bersih daripada perasaan hasad tetapi ikhlas kerana ingin melihat dbp selamat dari fitnah dan tomahan.
maaf cakap, saya cuma khuatir dbp akan terpesong daripada landasan asalnya sebagai sebuah organisasi pejuang bahasa, kemudian sastera - gitu setup awal yang semua orang tahu. tapi apa silapnya maka sekarang kita berdepan dengan petaka menimpa bahasa kebangsaan yang 'diacah-acah' kedaulatannya, ironinya oleh pihak pentadbir negara kita sendiri! siapakah tokoh silap mata yang membuang batu sembunyi tangan itu?
begitu terjadi, saya berasa amat tercabar apabila sdr jiso rutan, pemangku pengarah dbp cawangan sarawak bagai akan menitis airmata dengan nada suara yang terketar-ketar bersahadu, sewaktu berucap di majlis makan malam menjunjung budi pada 18hb dis 2008. betapa beliau sedar ancaman bahaya yang sedang melanda kedudukan bahasa kebangsaan kita. namun begitu, saya percaya jika setiap tenaga dan setup dbp digembling semula ke arah usaha yang lebih drastik dan logik berasas perjuangan pokok harus ia dapat bertindak jaguh dalam kemelut ini. dan mesyarakat tidak akan semudah menuding jari ke arahnya, walau memang pada hakikatnya dbp bukan penyebab hakiki apabila ia dikaitkan dengan goyahnya kedudukan bahasa kebangsaan. banyak lagi elemen lain berpengaruh bisa mendatangkan ancaman serupa. itu kan cuma perasaan sedih dan rajuk yang melanda nubari kita. walau bagaimanapun saya persaan ada seurat fakta logiknya tudingan itu, bukan begitu sdr?
kronism yang berlaku dalam umno, maaf cakap, seperti condong dan membayang pada dbp, badan pejuang bahasa yang kita amat sayangi ini. mudah-mudahan anggapan ini tidak akan jadi fakta. demikian, jangan semudahnya mengubah prioriti perjuangan kerana ia akan cuma membalamkan arah pandang ke depan kita. kewajipan dalam menjalankan tugas yang berbentuk amanah ini adalah tuntutan bagi survival identiti generasi akan datang khususnya kelestarian bahasa. segala kepentingan peribadi yang bersifat nafsu dan materialisme wajib dibersihkan daripada minda berakhlak; berbudi dan berbahasa.
seperti gapena, maaf cakap sekali lagi, apa manfaat yang kita dapat dengan berbelanja begitu banyak wang cuma untuk menjejak melayu di seluruh muka bumi ini? itu perjuangan ybhg prof em ismail husein. pada pendapat saya belum masanya untuk menyatukan melayu di seluruh dunia sedang dalam negara masih belum selesai masalah membina semangat ‘melayu’. melayu yang saya maksudkan mencakupi semua rasnya yang bertebaran di muka bumi wilayah dalam malaysia. sedang pemahaman tentang diaspora melayu setempat belum lagi disebarluaskan secara tuntas demi memperkasakan jaringan semangat sepunya dalam spiritualisme Melayu.
bagi saya peribadi, kalau hidup ini sudah jaya dan kaya saudara mara akan kenal tanpa kita berususah payah menjejaki mereka. pasti ada usaha kedua-dua belah untuk berhubung sekadar yang termampu, dek kerana kemiskinan di pihak yang mana satu; berkirimlah salam di angin lalu.
yang memilukan saya dewasa ini adalah apabila melayu negara jiran yang ditimpa musibah lalu mencari rezeki di wilayah kita dihalau seperti anjing kurap yang konon akan menyebar kumannya ke saudara-saudara serumpun melayunya di sini. pernahkah penghinaan seperti itu 'diludahkan' ke muka pendatang haram bangsa lain di malaysia? - abdillah sm
dinding buruk tikar mengkuang;
atap nipah pucuknya layu;
daging busuk jangan dibuang;
buah perencah daun kayu.
Abdillah SM dan Noor Zalihah pada majlis makan malam 'Menjunjung Budi' anjuran DBP, Caw Sarawak 18hb Disember 1008 - gambar kosmas dbp.
Syabas! Terima kasih DBP Caw Sarawak kerana masih setia menganjurkan projek-projek sastera dan bahasa. Memang tidak dapat tidak wajib kita berbesar hati dengan kemurahan hati pihak pengajur projek seumpamanya. Pengajuran itu sudah tentu melibatkan kos yang banyak. Ya! Memang itulah kerjanya DBP. Menguruskan aktiviti sastera dan bahasa, membuat kajian bahasa dan sastera, membantu penulis bakat-bakat baru menemu arah yang boleh menjadi laluan pengasah sebelum melangkah jauh ke ranjau dunia penulisan. Core bussiness DBP kurang lebih begitulah pada anggapan saya.
Sesiapa yang ingin memohon kerja di DBP harap-harap janganlah meletakkan niat untuk jadi penulis. Anda boleh jadi penulis (dengan cara yang normal seperti kami) tanpa perlu menjadi kakitangan DBP. Kalau anda punya niat menjadi kakitangan DBP untuk jadi penulis maka itu adalah kesilapan yang besar. Dan kami penulis di luar sini tidak dapat memaafkan anda kerana harus berlaku persaingan antara kita.
Kami punya pengalaman bahawa penulisan itu satu profesyen. Ia bukan kerja yang mudah tetapi sebenarnya amat mengambil masa dan perhatian. Siang dan malam sudah tidak banyak bezanya kerana kita berdepan desakan karya harus disiapkan. Ada dateline, gitu. Dalam kasus anda, di manakah anda mendapat waktu untuk itu sedangkan anda adalah pekerja tetap dan sepenuh waktu DBP? Apakah gelaran jawatan anda itu Penulis? Kadang-kadang bukan main prolifik lagi anda. Anda bukan dibayar gaji oleh DBP untuk berkarya!
Persaingan antara kita: Anda yang lebih dekat pada sumber pencerahan dalam segala hal berhubung sastera dan penulisan sudah tentu mendapat kelebihan. Sudah barang tentulah anda akan lebih berjaya selain anda adalah keluarga DBP! Anda mendapat imbuhan sebagai penulis. Anda juga mendapat gaji sebagai pekerja DBP. Ini sungguh tidak adil. Silap-silap mau bersalam dengan wakil badan penyiasat.
Kebanyakan badan yang menganjur sebarang pertandingan menyenarai dengan jelas beberapa peraturan yang melibatkan penyertaankakitangan, keluarga terdekat kakitangan dan saudara mara. Tapi sejauh mana yang kita sedari DBP tidak pernah mengeluarkan klausa senada dengannya berhubung penganjuran sayembara dan yang seumpama!
Walau bagaimanapun memang DBP wajar berasa bangga punyai kaki tangan yang sekarang mesyhur penulis, gitu kira. Ha, ha, ha, ha.
Hidup ini adalah penjara maya, tapi aku bukan pesalah yang terhukum. - dilsm
hAti kE HaTi
KEPADA RAKAN PENULIS, SAHABAT DAN PENGUNJUNG dillsm.blogspot.com
Semua karya yang dimuat ke blog ini adalah karya peribadi saya. Ada karya semasa. Dan ada juga karya yang pernah disiar pada majalah, akhbar dan antologi bersama; kini dihadirkan semula dengan beberapa suntingan yang saya fikir sesuai ke peringkat bacaan umum.
Usaha penyiaran di blog ini saya lakukan dengan hasrat agar karya-karya saya paling tidak dapatlah kiranya dibaca oleh rakan penulis, sahabat dan juga pengunjung lain yang sudi menjenguk dan ziarah.
ABDILLAH SM lahir di Kuching, Sarawak pada 6 Ogos 1949. Lulus peperiksaan Cambridge Higher School Certificate pada tahun 1973 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di ITM (sekarang UiTM) pada tahun 1974. Pernah berkhidmat di beberapa buah jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di negeri Sarawak dan Semenanjung sehingga berhenti daripada perkhidmatan awam pada tahun 1992.
Abdillah SM mula menulis puisi lewat 1970 an. Puisi pertama karya beliau bertajuk ‘Identiti’ tersiar di Majalah Dewan Sastera keluaran September 1977. Antologi puisi berjudul 'Antropologi II' adalah antologi puisi peribadi beliau yang pertama; terbitan Mutiara Bimasakti Publishing tahun 2009. Sementara antologi bersama berjudul ‘Sekalung Bunga Putih’ (stensilan - 1981), hasil idea beliau yang mendapat galakan daripada Ismail Ahmad (Ajikik) dan Hashim Awang telah dibawanya sebagai buah tangan ke Hari Puisi Nasional April 1981, Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang kegiatan dalam bidang puisi beliau sering mendendangkan puisi tokoh-tokoh penyair negara dan juga puisi beliau sendiri.
Kerana minatnya dalam bidang bahasa, kesuasteran dan kebudayaan Melayu, beliau sering menghadirkan diri di seminar dan pertemuan penulis peringkat negeri, kebangsaan dan antara bangsa atas biaya sendiri dan / ehsan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysiayang mana beliau kerapkali dijemput membuat persembahan lagu puisi dan/pengucapan puisi. Ini termasuklah pada Hari Puisi, Hari Sastera, Pertemuan Nusantara, Petemuan Penulis Asean, Festival Penulis Komanwel dan Pengucapan Puisi Dunia.
Beliau merupakan pengasas dan nadi penggerak Grup Suara Marhaen, kumpulan penyanyi lagu puisi yang pertama di negeri Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1974. Semasa berada di Semenanjung dan bermastautin di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan, beliau terus aktif dan bergiat cergas mengembang dan memajukan kegiatan bahasa, sastera dan budaya. Pada tahun 1991 bersama pelajar-pelajar Institut Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris), beliau telah menubuhkan Grup Pemuisi IPSI dan menjadimentor sehingga tahun 1994. Beliau turut menyumbang sebagai jurulatih drama/dramatari bagi Maktab Perguruan Batu Lintang (sekarang Institut Perguruan Batu Lintang) dan jurulatih drama bagi kumpulan pelajar kursus Drama Praktik – Program Pengajian Jarak Jauh Universiti Malaya. Beliau juga dilantik sebagai tokoh sastera dan budaya bagi Program Latihan Khidmat Negara bermula pada tahun 2005.
Sebagai penggiat seni beliau turut menceburi bidang drama sejakawal-awal lagi. Beliau pernah terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik di Pesta Teater Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun 1984. Sementara drama skrip adaptasi cerpen beiau berjudul ‘Kupu-kupu Putih’ mendapat tempat kedua pada Pesta Teater anjuran RUSDA dan Sri Tarinapada tahun 1982.
Kepelbagaian kegiatan seni beliau hampir merangkumi semua bidang termasuklah seni lukis, mencipta lagu puisi, penulisan cerpen dan skrip drama.Cerpen-cerpen beliau merupakan karya terawal penulis Sarawak yang mengisi dada majalah Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera mulai tahun 1982( ‘Di Ruang Tawa’ Dewan Sastera, Mei 1982). Abdillah SM adalah penerima Anugerah Sastera Kebangsaan, Negeri Sarawak,kategori cerpen bagi Tahun 1997.
Sebagai penulis bebas Abdillah SM adalah penulis bagi kolum ‘Pintar Budaya’ di akhbar Utusan Sarawak dan ‘Maaf Cakap’ di akhbar Cermin Rakyat. Semasa bertugas sebagai Timbalan Pengarang di akhbar The People’s Mirror/Cermin Rakyat 1996-1997 beliau membuka ruang muka halaman siaran mingguan bertajuk ‘Jendela Persuratan’, ‘Jendela Cipta’ dan ‘Jendela Pendidikan’. Ruang ini diisi dengan karya-karya sastera, bahasa, budaya dan pendidikan.
LAGU RAKYAT: PERJUANGAN RAKYAT KECIL
Menara Jambatan Gantung Seberang Satok
Awal tahun-tahun 70an, lama sebelum saya melibatkan diri dengan mana-mana kumpulan aktiviti sastera, budaya dan pementasan saya telah mula berjinak dengan kerja mengumpul lagu-lagu rakyat.
Pendedahan seperti itu bukanlah asing bagi saya kerana almarhum ayahanda saya Hj Suud bin Majalis adalah seorang yang dikenali dalam bidang seni suara seperti lewat kerja amal beliau sebagai guru membaca al quran, berzanji, berzikir (zikir maulud) dan berqasidah. Di bandar Kuching waktu itu beliau adalah guru al quran kepada ramai murid sekitar Kampung Satok, Kampung Kudei, dan perkampungan sebelah kawasan Matang.
Almarhum ayahanda juga pada waktu mudanya terdedah kepada hiburan tradisional seperti lagu rakyat dan berzapin / bermain gambus. Berasal dari daerah Simunjan, Sarawak ayahanda telah diserah tinggal bersama bapa saudara tertua sebelah ayahnya di bandar Kuching untuk mendalami bidang agama. Waktu itu ayahnya sendiri telah lama meninggal dunia.
Di bandar Kuching almarhum mendapat didikan daripada beberapa orang guru agama yang terkenal di bandar itu selain daripada bapa saudaranya sendiri iaitu Lebai Hashim bin Haji Morshidiq. Lebai Hashim kemudian menjadi ayah mertua apabila beliau mendirikan rumahtangga dengan bonda saya.
Saya dimaklumkan rumah kami yang awal sekali letaknya berhampiran menara Jambatan Gantung (sebelah matang). Menara itu sekarang pada anggaran saya mungkin berusia kira-kira 82 tahun. Jambatan Gantung yang panjangnya 130meter itu telah roboh pada 7 Oktober 2004 dalam usia kurang lebih 78 tahun kerana uzur disebabkan tiada pembaikan dilakukan ke atasnya. Kini yang tinggal cuma dua menara itulah. Satu menara di seberang sana Satok dan satu lagi di sebelah kawasan Jalan Matang - Kubah Ria.
Bahagian kiri Blok Ke 3, Kubah Ria arah ke tebing Sungai Sarawak itu asalnya adalah kawasan rumah kami; tanah kepunyaan almarhum bonda yang terpaksa beliau serahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana pembinaan Jambatan Satok.
Akhir tahun-tahun 1930an sehingga lewat tahun 1960an rumah kami yang tersebut di atas merupakan tempat anak-anak kampung sekitar mengaji al quran; persis sebuah madarasah! Syukran. Sedangkan di seberang sana sungai berdekatan Jabatan Gantung di kawasan Satok pula wujud sebuah sekolah swasta yang dikenali dengan nama Satok English School, dikendalikan oleh almarhum Cikgu Lily Eberwein, bonda kepada kekanda Yang Berbahagia Puan Hjh Habsah Harun, bekas menteri kabinet Kerajaan Negeri Sarawak. Maka kawasan sekitar Jambatan Gantung yang melibatkan kedua belah tebing Sungai Sarawak waktu itu adalah antara zon aktiviti kependidikan bandar Kuching yang begitu menyerlah. Syabas!
Lebih membanggakan kita kerana wujudnya peluang pembelajaran seperti itu adalah hasil inisiatif individu-individu yang tidak bergantung kepada sokongan dan bantuan daripada pemerintah / koloni.
Dari maklumat yang saya kutip daripada kekanda-kekanda saya; bahawa kesibukan pembelajaran di rumah kami waktu itu bermula sejak jam 2.00 petang apabila almarhum bonda balik daripada menoreh getah. Kebun getah itu adalah kepunyaan almarhum sendiri, terletak kira-kira setengah kilometer daripada kediaman kami. Kawasan itu sekarang adalah tapak perumahan Taman Murni, Petra Jaya, Kuching.
Almarhum bonda saya Hjh. Mahani bt Lebai Hashim, anak kelahiran bandar Kuching sejauh yang saya ketahui adalah seorang ibu yang sederhana luas pengetahuan agamanya. Saya juga yakin bahawa almarhum bonda saya adalah seorang pelajar sufi; ilmu yang diwarisi daripada almarhum nenda saya.
Namun sungguh apa yang saya amati, almarhum bonda adalah antara insan yang amat penyabar pernah saya temui dalam hidup saya, setakat ini. Saya menyaksi sendiri bahawa beliau tidak pernah putus beribadah - terutama sekali sembahyang dan berpuasa. Almarhum sering menjauhkan diri daripada hal-hal yang mendatang fitnah dan tohmahan; antara etika sosial dan perangai almarhum yang saya ingat benar.
Almarhum amat berhati-hati apabila menerima rezeki yang disampaikan kepadanya.Diselidiki tentang sumbernya dengan teliti; dan berhati-hati juga agar si pemberi rezeki itu tidak akan tersinggung, berkecil hati dan segan atau malu. Almarhum bonda ada caranya menyelidiki dan menjaga kehormatan seseorang itu.
Jangan sekali-kali kami anak-anak menganggu beliau semasa wirid dan zikir selepas sembahyang (kecuali kecemasan). Peraturan itu tidak terkecuali ke atas diri saya walau konon saya ini adalah anak bongsu. Setelah selesai wirid dan zikir, almarhum adalah hak keluarga! Almarhum bonda amat cerewet tentang kebersihan diri, anak-anak, rumah serta halamannya.
Antara kebiasaan almarhun bonda yang saya ingat ialah kesediaannya menerima jiran-jiran yang datang berbincang, merujuk dan bertanya hal-hal fiqh kepada beliau. Mereka bukan saja dari kalangan orang perempuan tetapi juga pakcik-pakcik. Pakcik-pakcik yang berkunjung itu seingat saya ada yang jauh lebih tua usia mereka daripada almarhum bonda.
Almarhum bonda memang lebih awal terlibat sebagai guru kampung mengajar anak-anak mengaji muqadam dan al quran. Kesempatan ini mungkin juga disebabkan pendedahan yang almarhum dapati daripada ayahandanya. Seingat saya, dalam hal fardhu kifayah pengurusan mayat jiran-jiran almarhum bonda tidak pernah ketinggalan menyumbang amal, kecuali kalau almarhum waktu itu sedang uzur.
Bermula dengan anak-anak berumur 6-12 tahun samada belajar peringkat muqadam dan awal al quran, almarhum bonda dengan setia mengendalikan semuanya dengan keikhlasan yang tidak berbelah bagi. Begitu komited almarhum terhadap pengetahuan agama anak-anak murid yang datang mengaji al quran dengannya, kesempatan yang mana digunakan sekali gus untuk membimbing anak-anak kecil lelaki dan perempuan Islam mendekati peraturan beragama - terutama tentang kebersihan diri dan sembahyang. Pendek kata almarhum bonda menyediakan anak-anak yang hadir mengaji al quran dirumah kami dengan pengetahuan fardhu ain dan fardhu kifayah.
Sementara almarhum ayahanda menemu kesibukannya mulai jam 10.00 malam apabila balik daripada mengaji di kelas al quran dan kelas bimbingan agama yang diadakan di surau tertentu di Bandar Kuching waktu itu.
Sekembali daripada kelas-kelas seperti itu almarhum terus balik ke rumah dan di sana sudah sedia menunggu belasan orang dewasa dengan sabar untuk menuntut ilmu al quran daripada almarhum ayahanda. Almarhum ayahanda pernah memberitahu saya bahawa beliau mengajar sambil belajar. Menuntut ilmu di satu kesempatan dan disedekah kembali ilmu itu pada kesempatan yang lain untuk mereka yang tak berkesempatan hadir.
Mereka terdiri daripada lelaki dewasa yang sibuk bekerja atau bersekolah pada siangnya. Saya dapat mengagak betapa cerianya aktiviti kependidikan dirumah kami waktu itu. Memang sampai sekarangpun apabila saya berjumpa bekas murid-murid kelas al quran asuhan ayahanda dan bonda,saya mengalami nostalgia yang sungguh menenteramkan jiwa walau memang saya cuma mengenali mereka pada waktu mereka tidak lagi menuntut di situ. Namun tiap berlaku peristiwa suka-duka di rumah itu kemudiannya, saya diperkenalkan kepada mereka oleh ayahanda dan bonda kerana bekas murid akan sering menjenguk. Seperti melawat rumah sendiri yang ditinggalkan. Lalu saya menganggap mereka sebagai abang dan kakak.
Beberapa orang daripada mereka memberitahu bahawa mereka pernah menjaga saya semasa saya kecil. Terkeluarlah cerita-cerita nakal dan lucu. Hehehee. Begitulah kemudian apabila dewasa saya dapati saya punyai ramai abang dan kakak sekitar Bandar Kuching.Di mana-mana saya berada saya sentiasa terserempak dengan mereka. Dan saya tidak dapat berkelakuan nakal seperti kawan-kawan lain.
Terlalu banyak mata yang kenal saya. Kalau tidak ditegur secara semuka, dan berlaku juga perkara-perkara nakal, pasti saya akan ditanya begitu begini oleh kedua almarhum apabila waktu masuk tidur. Pendek kata abang dan kakak yang pernah belajar di rumah kami itu adalah mata-mata bonda dan ayahanda. Teruk juga! Tapi syukur setakat yang mereka sempat lakukan kerana amanah, saya tidak pernah mengalami petaka dan hal-hal yang tidak diingini semasa usia muda remaja. Apabila sudah tua kena jaga badan sendirilah!
Berbalik saya kepada bicara aktiviti pengumpulan lagu rakyatnegeri Sarawak (masyarakat Melayu). Setakat ini saya sempat merakam sebanyak 55 buah lagu untuk arkib khazanah keluarga. Semua koleksi telah dipindah samada ke dalam bentuk tape audio, file audio digital , mp3, file midi dan tidakketinggalan dalam bentuk 'hard copy' nota musikdan lirik. Oleh kerana anak-anak semuanya punya kecenderungan dalam bidang muzik dan juga multimedia, saya akan serahkan khazanah itu untuk mereka teruskan pengumpulannya.
Ada risik-risik bahawa mereka akan mengadakan blogspot untuk lagu-lagu rakyat Negeri Sarawak. Saya berharap semoga akan ada kesempatan untuk muaturun lagu-lagu termaklum bagi mereka yang memerlukannya untuk kajian akademik dan / atau aktiviti kebudayaan.
Al Fatihah untuk almarhum ayahanda Hj Suud bin Majalisdan almarhum bonda Hjh Mahani binti Lebai Hashim. Terimakasih dan bersyukur kerana kedua orang tua saya telah menyediakan suasana keilmuan dan kependidikan sejak saya kecil hingga dewasa.
Lantas, itulah kesempatan kesedaran bagi saya mengisafi betapa menyediakan peluang menuntut ilmu pengetahuan (baik agama maupun akademik) adalah tanggungjawab bersama juga sebagai individu. Selainnya saya pasti bahawa hal-hal ini jugalah yang menyerlahkan kewujudan kita sebagai insan pemegang amanah dan kalifah di muka bumi.