SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, December 8, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Puisi / Deburan Ombak Di Dada Pantai Deburan Ombak Di Dadaku


deburan ombak di dada pantai

deburan ombak di dadaku


gelombang

bersama derumu

apa rahsia

laut penuh misteri

ke dada pantai

kau menghempas

ke dadaku

kau menghempas


gelombang

apa pesan kau sisir

di dada pantai

hingga pantai

ditinggal pasir

ikut desirmu


gelombang

apa bisik

kau hantar

terlantar gusar

aku mentafsir

deru

desirmu.


pcb

19 april 1981


* apabila saya mencipta lagu
daripada puisi saya ini saya telah
mengubah tajuknya kepada
'Gelombang'.
sila ikuti nyanyian saya
di
PERINTANG WAKTU.
muzik
susunan/gubahan
Iskandar Bujang.

Friday, December 5, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Antologi Puisi Sekalung Bunga Putih


Inilah dia wajah antologi puisi 'Sekalung Bunga Putih' yang tetap menjadi kebanggaan saya hingga ke hari ini. Kenapa? Saya adalah pencetus idea penghasilannya. Bayangkan hal ini terjadi di awal tahun-tahun 1980 an. Pada waktu itu inilah satu-satunya antologi yang menghimpunkan karya beberapa orang penyair Kota Kuching. Mungkin inilah juga antologi bersama yang pertama khusus bagi penulis-penulis Negeri Sarawak yang dibantu-terbit oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka sejak ia menjejak kaki dan bersila-duduk di wilayah Malaysia, Sarawak. Walau tanpa ISBN walau tanpa lambang daun lontar DBP antologi 'Sekalung Bunga Putih' adalah sebuah dokumentasi yang amat berharga bagi saya dan mungkin juga bagi rakan-rakan penulis yang terlibat.


Terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak, khususnya kepada mantan Timbalan Pengarah waktu itu Sdr Hamdan Yahya kerana sudi menyumbang tenaga pakar kakitangan DBP, Cawangan Sarawak untuk menyiapkan projek kilat ini. Hasilnya seratus naskah telah saya bawa untuk diedarkan secara percuma di perhimpunan Hari Puisi Malaysia yang berlangsung di Kem Kijang, Kelantan Darul Iman 1981. Waktu itulah saya berkenalan dengan Arisel Ba, Masli N.O dan lain-lain.


Saya ke Hari Puisi tahun itu adalah atas perbelanjaan sendiri, hasil sisihan daripada wang saku beberapa bulan sebelumnya. Cara ini pertama kali pernah saya lakukan sewaktu saya berusaha menghadirkan diri di Seminar Penulis Asean tahun 1978 di Kuala Lumpur. Untuk beberapa keigatan bahasa dan sastera yang saya ikuti tahun-tahun selepas itu cara saya tetap sama. Ah! Siapalah yang sudi menganjur pemergian seorang Abdillah!


Yang paling bersejarah perhimpunan Hari Puisi Malaysia, Kem Kijang itu telah menemukan saya dengan Noor Zalihah bt Pandak Abd Jalal, seorang pegawai bahasa dari Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur. Kami mendirikan rumah tangga pada tahun 1985.


Usaha menghasilkan antologi ini adalah kenangan manis yang tidak bisa dipisahkan dari ingatan saya kerana 'Sekalung Bunga Putih' adalah lambang kemurnian hasrat mengatur langkah seniman, berdepan arus pancaroba, jatuh bangun perjuangan kami dalam dunia kepenyairan.


Terima kasih rakan-rakan penulis (Aldi Salim, Esmawy Husly, Halimah Hashim, Jamilah Morshidi, Margi Leo, Mat Segalang, Mood, Muhamad Sabli, Rohaiza Nuraliza, Saiee Driss, Sajali Mohamad, Shamserbie Naruddin, Siti Zahrah, Zaini Ozea, dan Zakaria Embi) yang telah sudi menyumbang karya untuk sebuah antologi bersama yang bersejarah itu.


Sekalung bunga putih dan seuntai doa untuk anda semua!




- Abdillah SM

5 Disember 2008


ABDILLAH SM : SASTERA - Grup Suara Marhaen

GRUP SUARA MARHAEN
(generasi kedua 1980)
Fatimah Zahrah Razali
(dbp caw sarawak)

Khuzaimah Razali
(pejabat diplomat malaysia, beijing)



Sumbangan Grup Suara Marhaen sebagai sebuah kumpulan penyanyi lagu puisi terulung di Bandar Kuching yang pernah menghiasi semarak perkembangan sastera dan budaya pada tahun-tahun 1980 an tidak dapat dinafikan. Pada hampir tiap majlis berunsur sastera dan budaya kumpulan ini tidak ketinggalan dijemput dan mereka begitu bersedia menyumbang tenaga sukarela memeriahkan peristiwa-peristiwa manis sastera budaya setempat.


Fatimah Zahrah dan Khuzaimah yang masih lagi di alam persekolahan waktu itu mendapat bimbingan seni suara daripada bapa saudara mereka Cikgu Zainuddin Haji Suut, pemain violin juga satu-satunya pencipta lagu dari Negeri Sarawak yang pernah merangkul johan di Pertandingan Mencipta Lagu Patriotik anjuran Radio Televisyen Malaysia: Lagu berjudul 'Sejarah Pertiwiku' - Rujuk nyanyian (i) Mariam Ahmad dan (ii) Ning Baizura / Liza Hanim.


Dan orang kuat di sebalik kewujudan kumpulan ini adalah pengasas Grup Suara Marhaen, Abdillah SM yang menyumbang-cipta lagu-lagu puisi dan muzik untuk tiap persembahan mereka.


Semanis kenangan menghiasi sejarah perkembangan sastera, bahasa dan budaya setempat waktu itu ternyata seni bagi mereka tidak dijual beli. Setiap sumbangan yang diberi adalah cebisan pengurbanan atas dasar perjuangan demi perkembangan bahasa, sastera dan budaya bangsa tercinta.



Monday, December 1, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Tahniah Edna

HADIAH SAGU HATI
Menulis Cerita Rakyat Sarawak 2007
Anjuran DBP, Cawangan Sarawak


ATIQAH ADENA MUTIARA
( Edna Tiara, 16 tahun )
MENCARI KESERASIAN
SENI DI PIANO


Friday, November 21, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Puisi / Dingin


diNgin


terima kasih

kerana

memalukan aku

teman!


terima kasih, teman

selamanya

tidak pernah aku

jadi istimewa

ke depan tersungkur

ke belakang aku terkait

ke kiri terheret

ke kanan aku terhimpit

ke tepi tersisih

ke tengah aku tertikam

ke atas terjatuh

ke bawah

terkubur aku


terima kasih teman

kerana memulau hadirku

dicerca aku diam

dipuji peduli aku

disindir aku tak hairan

disapa aku sahut

kau geram aku tak seram

kau marah ketawa aku

kau benci aku meluat

kau pura-pura jadi aku!

beria pula aku

jadi bukan aku

jadi siapalah

aku


pinggan retak

nasipun dingin

teman!


Tuesday, November 18, 2008

ABDILLAH SM : SASTERA - Puisi / Waktu


waktu


kukayuh biduk ke hulu

tebingan licin

batu berlumut

labuh resah aram temaram

menongkah rindu usia

ke ujung malam

tak kunjung pada


aduh!

tuanya sungai ini

flora fauna herba hayat

udara dingin air jernih

atmosfera

lunak kemenyan

setanggi gaharu

mengapung pepohon

tebingan sungai

bisa kubaca

bisa bicara


pernah kulalui

sungai ini walau samar

dalam ingatan, kenangan

adalah kesetiaan

adalah sungai ini

teguh setia janji


kukayuh biduk ke hulu

rindu semakin

tak kunjung pada


kutunggu tiba detik

semadi labuh

danau punca

sungai waktu






18 nov 2008

taman murni

petra jaya


* deklamasi

'waktu'

abdillah sm

iringan

instrumental

lagu puisi

'detik basirah'

ciptaan abdillah sm

muzik

sabri latif

di

PERINTANG WAKTU



ABDILLAH SM : SASTERA - Puisi / Ke Medan Dunia


ke medan dunia


bawalah daku pergi
dari perangkap
sengketa manusia
api cemburu membara
membakar
kesabaran
di dada

dakaplah daku, malam
dalam pelukan mesra
kecintaan sejati,
debar dan kehangatan
tercabar terumpan
kewujudan kini

deritaaaa!
mari kita menari
mari kita berdansa
di medan dunia;
dari sudut ke sudut waktu
dari ruang ke ruang masa
menggempur keraguan
mendesak halangan
ke pinggir kemungkinan.



1998
mpbl, kuching