SUARA MARHAEN

bUrung-BuRuNg Twit-Twit-Twit

Monday, August 31, 2009

ABDILLAH SM - SASTERA - Dairi / September 2009

Selasa 1 September.

Realma mimpi menghipnotisa ke tahap maksima wujudku dalam pengapungan selama lebih kurang dua puluh satu hari. Suka duka, azab sengsara, berahi dan pinta ingin telah meluruhkan segenap eksistensiku ke tahap nol. Dari diriku sendiri, unsur-unsur kepalingan terjadi hampir pada tiap ujian lahir dan bathin.

Selama itu telah kucuba periksa pengertian budi dan keiklasannya padaku. Ingin kubisik pada anda bahawa yang kutemui di sana cuma utopia. Mendekatinya bererti melontar diri ke unggun api yang dingin, sedang aku ingin dibakar dan dipanggang seenaknya kemudian; silakan.

Rupanya budi tidak punya kecukupan elemen erotis mengisi naluri inginku yang sebenarnya sungguh amat sederhana. Selesai.

Seperti yang sering terjadi pada tiap peristiwa tanpa rencana apabila terserlah ketidakcukupan yang mungkin saja mengaibkan, maka terjadilah pelbagai cara dan alasan untuk mengatasi kekurangan yang ternyata cuma sekelumit itu. Jangan gugup. Jangan sekali-kali gugup apabila berdepan dengan hal seperti ini.

Kekurangan itu kecil saja. Bagiku kebendaan tidak begitu penting. Yang maha penting adalah bahagia. Hangat rasa. Tidak kecukupan itu cuma perasaan berdasar pada bahaya budaya fikir bahawa yang besar hebat. Pendek kata, puisi-puisi panjang, seperti kata seorang rakan penyair dari New Zealand padaku sebentar tadi, tidak memastikan ia bagus dan bermakna tanpa risiko tersasar! Gitu. Aku fikir begitu juga. Bagiku yang ada itu cukuplah. Itu sudah sempurna. Apa lagi yang diragukan. Bertenang. Bahagia sajalah dengannya samada ia pendek atau kurus.

Puisi-puisi deraf kumpulan ‘Festival Mimpi’, yang kubawa ke mana-mana saja apabila bergerak jasmani ini untuk melihat dunia luar, menendang-nendang dalam beg sangkutku. Hey! Kamu semua yang sedang kutapakan ini, harus bersabar. Nanti apabila kulotar anda ke sana dunia saujana aku sudah tidak punya hak lagi menghiasi logik dan mantikmu. Apabila kulepaskan nanti terbanglah seenaknya mencari sasaran nikmat di merata atmosfera.

Sejak semalam, aku sudah selesa melepaskan budi tanpa ikatan maujud di mana budi juga gayanya tenang melepaskan setiap ilusi mimpi; cair di medan utopia.

Wow!

Saturday, August 29, 2009

ABDILLAH SM - SASTERA - Dairi / Roboh

Abdillah SM
Bandaraya Pelabuhan
30 Ogos 2009



Aku telah berusaha.

Aku telah berusaha mati-mati membetul perasaanku setelah fatamorgana fitnah merentap setiap kesenangan utopia kepengarangan itu terjadi. Tidak dapat aku kembali menerima establishment yang seperti sengaja dirobohkan oleh nasib itu.

Aku tidak menyangkal diriku seorang idealist; pendakap kesempurnaan. Jelasnya, aku sudah kehilangan kesesuaian yang kuingini daripada sangkar kehidupan puisi yang begitu indah kubina tapi kini telah musnah berkecai.

Sampai hati!

Dalam menulis inipun aku sedang menangis. Pilu-pilu sendiri. Tanpa siapa tempat mengadu ketika hati diserang rajuk. Pokoknya, kesucian itu sudah tercemar!

Aku sudah tidak mahu lagi. Aku sudah tidak ingin lagi pada wajah-wajah indah penghias dunia puisiku. Selamat tinggal pepatung. Selamat tinggal rama-rama. Selamat tinggal bunga-bunga. Selamat tinggal minpi-mimpi.

Walau giat bagaimana azam kuatur namun hatiku sudah tidak dapat kupujuk lagi. Kelangsungan hidupku sudah tidak seperti dulu. Setiap kata-kata yang keluar daripada bibirku terpaksa kutapis sehabis budi agar tidak melukai hati anda dan juga kesannya pada diriku yang parah. Kawan dan rakan, selamat tinggal.

Esok 31 Ogos 2009, ulang tahun hari merdeka. Ya! Tujuh bulan usianya! Cuma tujuh bulan saja peluang perulangan pengalaman itu terjadi. Kehancuran senada ini hampir berlaku suatu ketika dulu tapi masih samar dalam proses muhasabah apabila aku bersabar. Itu kesempatan kedua - hadiahku kepada kelangsungan seni.

Peristiwa fatamorgana - ‘keadaan’ begitu nekad menyentap kedamaian itu dengan segala kesalahan diletak ke pundakku. Inilah punca rajukku yang tidak siapa lagi dapat membujuk. Beban derita dipersalahkan sukar kuceritakan bagaimana. Aku pasrah pada qadar dan qada. Hanya ilahi rabi yang bisa mengerti. Aku harus bisa tersenyum ketimbang derita yang sedang rakus mengunyah dalamanku.

Ana maujud.
Ana maujud.
Ana maujud

Tuesday, August 25, 2009

ABDILLAH SM - SASTERA - Dairi / Survival

Abdillah SM
bandaraya pelabuhan
26 ogos 2009




SURVIVAL


Betul kata allahyarham ibu. Malu itu maut.

Kalau aku, memang malu menjurus kepada keinsafan; mematikan. Cuma satu saja tentang maluku ini, ia berpunca dari diri masing-masing kami.

Kalau betul kata-kata ingatan allahyarham bapa, yang kualami ini mungkin berlambang fitnah. Ah! Mungkin saja. Tapi apabila sifatnya fitnah samada ia berpunca dari diri lingkungan individu yang terlibat walau tidaklah sehebat berbanding fitnah dari luar memasuki ruang keperibadian yang dijagai rapi; tetap juga ini sebuah fitnah yang membuat aku berasa teramat malu.

Sungguh tajam tikaman malu ini, menusuk ke kalbu yang sedang kumandi restu embun ramadhan al mubarak.
Ya Ilahi Rabi.
Ana maujud.
Ana maujud.
Ana maujud.

Sungguh aku berharap semoga rasa malu ini tidaklah sampai menghadiahkan aku maut! Tapi kalau aku dijemput juga pada saat ini, syukran, aku rela. Aku pasrah. Dari hidup menanggung malu baik mati dikandung tanah. Sekarang juga aku rela. Mungkin lebih nikmat sewaktu sedang berlapar kini.

Mana mungkin aku gagal melihat perihal maluku ini lewat perspektik hamba harus patuh pada qadar dan qada. Ketentuan inilah menjadi perisaiku pada saat-saat berdepan dengan rasa malu yang memualkan kini.

Udara sekitar terasa pekat untuk disedut. Apa mungkin aku perlu meminum udara yang semakin lama semakin likat kerana rasa malu ini telah sekali gus menukarkan bentuknya menjadi sesuatu yang perlu diteguk. Ah! Aku berpuasa. Mana boleh aku minum. Sekalipun cuma udara. Ya! Apakah ini satu lagi kebenaran yang perlu dipertahan dan dilindungi?

Syukran.
Syukran.
Syukran.

Tercungap-cungkap aku mengejar nafas yang semakin dikejar semakin jauh dan singkat. Tambahan diriku kini rasa seperti ditelanjangi depan halayak. Memang aku telah ditelanjangi! Aibnya! Segala marwah yang kupakaikan selama ini sedang hangus membakar jasmani daif yang sedang menjalani ibadah puasa. Sampai hati! Sampai hati! Baru kini kukenal erti kepalingan sebenar ‘sampai hati’.

Pun demikian, terima kasih kawan dan rakan. Ampunkanlah aku sekiranya aku telah melakukan kesilapan yang menjadi punca fitnah ini. Sungguh faham aku cuma Ilahi Rabbi yang berhak memberi keampunan dan dipohon ampun. Tetapi, apabila tindak tanduk hamba sudah melampui tindak tanduk sewajarnya seorang hamba dan berkuasa pula ia memasuki ruang perkasa ilahiah, maka bagiku harus darinya kuminta ampun bukan maaf! Kerana padanya ada sifat mematikan! Demi survival, wajarkah aku mengubahnya? Astaghfirullah.

Janganlah terlalu sampai hati padaku! Bukan aku takut mati. Aku cuma tidak izin diriku mati di tangan sesiapa. Aku tidak mau sesiapa jadi pembunuh senyap! Kerana sesiapa dia akan berduka sepanjang hayat kerananya. Ini juga ciri kebenaran hakiki selagi manusia punya rasa insaf insani!

Sekarang teringat aku memang benarlah malu itu berupaya membawa maut. Ampun aku, jangan buat aku begini. Aku benar-benar minta ampun jangan buat aku begini. Jangan terlalu sampai hati buat aku begini. Jangan! Aku lebih rela mati daripada malu seperti ni.

Aku faham harga diri setiap anda seperti juga bagaimana berjaga-jaganya aku menghargai diri dan menjaga marwahku. Dalam urutan cerita jaga harga dan menghargai bangkitlah istilah kebenaran yang menyakitkan. Kebenaran tetap kebenaran. Tiada yang boleh menyanggah kalau ia benar-benar punya sifat kebenaran sejati.

Yah!
Bagaimanakah usaha kita menjaga kebenaran itu supaya ia tidak menjadi racun yang wajar sifatnya memautkan (ampun aku prof dr asmah!) mengakibatkan maut? Cara melindungi kebenaran agar tidak disilap tafsir terpulang kepada berapa tebal iman di dada diri individu masing-masing terlibat.

Aku tidak berani memberi pendapat perihal menjaga dan melindungi kebenaran agar ia tidak menjadi pembunuh senyap. Sungguh aku tidak berupaya membuka mulut dalam kasus ini.

Aku adalah orang yang terhukum.

Dan, malu ini adalah penjaraku.

Terpenjaralah setiap inderaku demi mematuhi jalan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas ku.

Sampai hati ente buat ana begini.

Subhanallah.

----------------------------------------------------------------------------------

Nota:

Kawan, boleh tak belanja aku berbuka puasa petang ini di mana-mana warung ‘mampu marhaen’ tapi sedap makanannya. Santapan bersama untuk terakhir kali sebelum kuucap selamat tinggal. Hehehehee

Berjanji tolong perkemaskan marwahku sesudah aku tenggelam ke liang hilang. Boleh tak?

- dilsm